WADAH: Kesal Penyingkiran Prof. Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman dari UMcedel

July 2, 2014
hafiz@cyberoket

Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) menyesali campurtangan Kementerian Pendidikan Malaysia dalam isu kepimpinan UMcedel yang membawa kepada ‘tersingkirnya’ Prof. Dr. Mohammad Redzuan Othman dari jawatannya sebagai Pengarah. Beliau yang sepatutnya memegang jawatan hingga Disember 2014, telah ‘disingkirkan’ pada bulan April yang lalu, iaitu lapan bulan lebih awal melalui percaturan yang membawa kepada perlantikan pengarah yang baru.

Seperti yang diketahui umum, peranan Prof. Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman amat instrumental dalam mengangkat UMCEDEL sebagai sebuah pusat kajian demokrasi dan pilihan raya yang berwibawa, sekaligus mengangkat nama Universiti Malaya ke tahap yang membanggakan sebagai sebuah universiti yang mendokong kebebasan akademik. Kajian-kajian yang dibuat secara professional berjaya meningkat dan mempertajamkan pemikiran masyarakat bahkan membantu para pembuat dasar dan juga ahli-ahli politik dalam memahami realiti sebenar di lapangan.

Seperti selalunya, sebahagian dari hasil kajian, terutama apabila melibatkan amalan demokrasi dan pilihan raya, akan menemukan hal-hal yang berlawanan dengan persepsi yang sedia ada. Sebahagiannya adalah hard truths yang menyakitkan. Tetapi itu semua harus diterima oleh semua pihak, termasuk pemerintah, dengan hati terbuka, rasional dan objektif demi merealisasi sebuah masyarakat sivil yang berasaskan prinsip demokrasi.

Amat mendukacitakan bila ada pihak yang tidak berpandangan jauh, yang barangkali didorong oleh kepentingan peribadi serta keinginan bagi menyenangkan hati pihak-pihak tertentu, terutama ‘tuan-tuan politik’ mereka, lalu membuat rencana yang membawa kepada ‘tersingkirnya’ Prof. Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman dari jawatannya. Kes beliau tidak banyak berbeza dari kes-kes ‘penganiyaan’ sebelum ini yang juga berakhir dengan ‘penyingkiran’ beberapa orang ahli akademik yang berani speak their minds bila sahaja pandangan mereka berbeza dengan pandangan pemerintah.

WADAH berpandangan Kementerian Pendidikan seharusnya membuat keputusan dan bertindak lebih profesional, objektif dan adil, sekiranya benar-benar ingin menjadikan universiti sebagai pusat kecermerlangan bertaraf dunia. Universiti mesti menjadi medan yang meraikan percambahan idea dan pemikiran sekalipun berbeza dengan idea dan pandangan the establishment.

Dari kepelbagaian ini, idea dan pemikiran yang baik dapat disaring dan diangkat untuk diaplikasi bagi kesejahteraan umat. Kementerian Pendidikan Malaysia perlu memikir semula, back to the drawing board, dan membuat soul-searching bagi menentukan apakah langkah-langkah yang diambil membantu membina masa depan bangsa atau hanya memundurkannya. Sometimes people don’t want to hear the truth because they don’t want their illusions destroyed.

ABDUL HALIM ISMAIL

Setiausaha Agung

Kenyataan Media : 1 Julai 2014

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR