Hanya satu klik, segala maklumat di Internet boleh diakses tanpa sempadan hingga tanpa kita sedari kemudahan teknologi itu mendedahkan kita semua termasuk anak-anak kecil kepada gejala negatif seperti pornografi. Melihat pornografi antara penyumbang berlakunya gejala sosial seperti zina, rogol dan sumbang mahram, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenali sebagai Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) giat menggerakkan kempen kesedaran Sekeluarga Tolak Pornografi (SToP) sejak awal 2017.
Ikuti ulasan lanjut Naib Presiden WADAH yang juga Pakar Keselamatan Maklumat, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Nur Izura Udzir yang membicarakan isu ini bersama wartawan MAHAIZURA ABD MALIK menerusi Kafe Ahad minggu ini.
Apa pandangan prof mengenai isu pornografi hari ini?
Secara global, gejala pornografi ini sangat besar meluas sebenarnya, mudah didapati dan bersepah di luar sana, malah pengeluar utama filem pornografi adalah Amerika Syarikat (AS). Kalau kita lihat pada 1997, cuma ada lebih kurang 1,000 saja laman sesawang lucah. Pada zaman itu kalau ada pun bahan bacaan majalah ianya seperti Playboy dan sebagainya, tetapi susah lah nak dapat…bukan senang.
Tetapi berdasarkan statistik laman web memuatkan kajian kesihatan sedunia, draxe.com wujud lebih 2.5 juta laman sesawang pornografi dalam tempoh 18 tahun ini. Kajian itu mendedahkan pendapatan industri pornografi secara global adalah sebanyak AS$97 bilion (RM394 bilion) dan ia mengatasi keuntungan industri teknologi maklumat seperti Yahoo, Google dan sebagainya.
Kalau kita lihat tempoh waktu diambil untuk menonton pornografi pula ialah sebanyak 4.6 bilion jam seluruh dunia sepanjang 2016 saja. Selain itu, setiap 30 minit sebuah filem lucah dihasilkan di AS dan daripada keseluruhan laman sesawang 12 peratus adalah laman pornografi bersamaan dengan 2.5 juta laman. Malah, purata umur kanak-kanak mula terdedah laman sesawang atau bahan pornografi seawal usia 11 tahun, malah ada kemungkinan lebih muda daripada itu.
Misal kata kes berlaku di Melaka tahun lalu, seorang kanak-kanak umur tujuh tahun didakwa merogol kanak-kanak lain. Kalau ikutkan dari segi biologinya kanak-kanak usia itu belum ada rangsangan seksual, tetapi kenapa dia melakukan itu? Mungkinkah kerana perasaan ingin tahu atau mencuba dari mana dia lihat itu kita tak tahu jadi ia sudah tentu ada kaitan dengan pornografi.
Saya kongsikan juga hasil kajian kita buat dengan rumah perlindungan wanita Baiyt al-Rahmah dikendalikan rakan NGO kami, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Kajian ke atas 40 penghuni bermula 2010 hingga 2016, sebanyak 95 peratus daripadanya pernah menonton video lucah ia ada kaitan dengan perlakuan seks luar nikah. Itu membimbangkan, penghuni paling muda berumur 11 tahun dan ada antara penghuni sudah melakukannya beberapa kali walaupun ada menjadi mangsa rogol dan sebagainya. Itu baru satu contoh dan saya yakin rumah perlindungan lain pun ada data masing-masing.
Kenapa seseorang itu suka tengok bahan lucah?
Adakah memang naluri semula jadi sampaikan kanak-kanak pun minat dan terjebak? Saya sebelum ini pun tak tahu bahawa pornografi itu boleh menyebabkan ketagihan, kita memang dengar dan tahu kewujudan pornografi itu, tetapi kita pun pelik bila orang tengok rasa nak tengok lagi. Rupa-rupanya ada kajian, malah saya sendiri pernah terbaca kajian Universiti Cambridge bahawa menonton pornografi akan mengubah kimia dalam satu bahagian otak kita yang menyebabkan berlakunya ketagihan dan dikatakan sama dengan ketagihan dadah.
Kenapa? Sebab dalam otak kita ada hormon seperti dopamine untuk memberi kepuasan bila ada kasih sayang hubungan suami isteri, dia akan memberikan perasaan kebahagiaan dan kepuasan. Pada situasi biasa (hubungan suami isteri), dopamine ini dirembeskan sebanyak lima kali saja, tetapi apabila menonton pornografi, otak kita akan merembeskan dopamine sebanyak 300 kali. Jadi, bila tengok banyak, satu ketika otak akan menjadi letih kerana banyak dopamine dikeluarkan.
Apabila rasa semakin tidak puas sampai tiada rasa langsung kepuasan mula mencari bahan lebih advance dan sampai satu tahap mungkin mahu mencuba kerana tengok saja tak puas dan ini yang membawa kepada gejala sosial. Orang mungkin fikir apa masalahnya kalau saya nak tengok pornografi, saya tengok dan syok sorang-sorang (sendirian) saja mungkin ada yang berfikiran begitu, tapi tidak menyedari akibat menonton pornografi boleh sebabkan ketagihan dan suatu ketika mendorong kita untuk melakukannya.
Satu kajian lain di Amerika Syarikat mengatakan, ia akan memberi kesan kepada perkahwinan kerana orang yang menonton pornografi mempunyai fantasi luar biasa yang mungkin tidak dapat dipenuhi pasangannya. Kesan seterusnya ialah masalah mati pucuk yang bukan kerana masalah fizikal, tetapi masalah mental. Daripada kajian, apa-apa saja jenis ketagihan dianggap penyakit mental. Malah, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini juga mengkelaskan ketagihan itu sebagai masalah mental.
Satu lagi perkara, selalunya bila kita sebut pornografi mungkin hanya terbayang lelaki saja, tetapi wanita juga melayari atau mengakses bahan pornografi. Sebuah laman sesawang yang membuat kajian khusus tentang pornografi pada 2017 mendedahkan daripada 43 peratus pengguna Internet melayari laman lucah ini satu pertiga pengguna adalah wanita. Kajian itu turut mendedahkan wanita di Malaysia menduduki tangga ketujuh tertinggi daripada 30 negara yang melayari bahan lucah di telefon bimbit.
Bagaimana idea menggerakkan kempen SToP ini tercetus?
Sebenarnya WADAH sudah membincangkan isu keluarga dan masalah sosial sejak 2015. Daripada siri perbincangan itu, kita kena mencari satu titik untuk memerangi, mengekang dan mengawal serta mengurangkan salah satu faktor
penyumbang kepada gejala sosial. Memang kalau kita tengok banyak faktor, tetapi salah satunya ialah pornografi.
Maka kita lancarkan kempen SToP pada September 2016 sempena Muktamar WADAH. Sejak menggerakkan kempen ini pada Januari 2017 WADAH sudah melaksanakan hampir 60 program seluruh negara berbentuk seminar dan ceramah kesedaran. Kita tidak fokus sangat kepada remaja itu sendiri bukan kerana kita anggap remaja itu tidak penting, tetapi kita ada program lain untuk remaja.
Umpamanya program dilaksanakan rakan NGO kami, ABIM yang dipanggil Dermaga (Diriku Permata Berharga) iaitu program kesedaran dan memupuk konsep sayangi diri dan menjaga kehormatan diri. Jadi program dalam kempen SToP lebih fokus kepada ibu bapa dan komuniti kerana ramai ibu bapa tidak tahu gajet atau teknologi diberikan kepada anak-anak mereka itu boleh membawa atau mendedahkan golongan itu kepada gejala tidak elok seperti pornografi ini.
Kadangkala, ibu bapa beri telefon kepada anak, nampak anak tengok kartun, tetapi tidak perasan kartun itu berunsurkan lucah…ada kartun elok, saya tak kata semua. Saya tak katakan yang original, tetapi ada pihak tidak bertanggungjawab yang memanipulasikan dan mengeksploitasi populariti kartun itu dengan buat video berunsurkan lucah. Biasanya di Youtube ada cadangan video di bahagian tepi, ada kemungkinan dipaparkan video berbentuk lucah ini terselit di celah video dicadangkan itu. Ini yang kita tidak perasan. Lumrah anak-anak jenis ingin tahu bila dia klik, secara tidak langsung dia menonton tanpa kita sedari.
Jadi sebagai ibu bapa kita kena kawal. Paling mudah jangan benarkan anak kita gunakan telefon pintar tiada keperluan pun. Telefon pintar bukan permainan anak-anak. Kalau kita tengok statistik yang pernah dikeluarkan di dada akhbar tempatan sebelum ini, 75 peratus kanak-kanak berumur 10 hingga 17 tahun pernah terdedah bahan lucah sama ada secara sengaja atau tidak. Majoriti sebenarnya terdedah tanpa sengaja kerana melayari Internet yang keluar pop-up (tetingkap) berunsur lucah. Dengan perkembangan pesat teknologi ini, sumber pornografi ini sangat banyak dan mudah dicapai di mana-mana dan bila-bila masa saja yang mendorong gejala sosial.
Melihat kepada situasi semasa, apa yang WADAH boleh lakukan melalui SToP?
Sasaran kempen SToP memberi kesedaran kepada ibu bapa kerana ramai yang tidak menyedari perkara ini. Kali ini kita tidak boleh beranggapan, tak apalah…saya jaga anak saya, anak orang lain biarlah pandailah dia jaga. Jadi di sini, kita kena ada tanggungjawab dalam komuniti secara kolektif sesama ibu bapa. Jadi melalui seminar dan ceramah yang dijalankan di surau, masjid, dewan, balai raya, sekolah dan tempat awam kita akan memberi gambaran senario semasa untuk membuka mata dan menyedarkan komuniti dengan sokongan fakta statistik dan bercerita tentang ketagihan dan kesan. Pada masa sama, kita tahu ada yang sudah terjebak dan ketagihan jadi bila ada yang menghubungi kita selepas ceramah itu, kita akan rujuk mereka ke pasukan kaunselor bertauliah untuk membantu mereka ini. Sekiranya perlu, mungkin dirujuk kepada pihak berautoriti yang boleh mengendalikan kes seperti ini.
Apa yang WADAH mahu pihak berwajib lakukan bagi mengekang penularan gejala negatif ini? Kita sudah ada undang-undang yang mana boleh mendakwa mereka yang memiliki bahan lucah sama ada dalam telefon bimbit atau di rumah. Penguatkuasaan pun ada, cuma sejauh mana dilaksanakan saya tidak berani bercakap panjang lebar tentang hal ini kerana bukan kepakaran saya.
Namun, bagi WADAH di samping melaksanakan ceramah, seminar kesedaran kita juga menyentuh isu kawalan gajet dan Internet selari dengan misi kempen kita supaya keluarga di Malaysia berhemah menggunakan kemudahan dan teknologi itu dengan menolak unsur negatif seperti pornografi. Jadi antara usaha lain kita ialah mengumpul sejuta tanda tangan petisyen yang masih dalam proses untuk mencapai sasaran. Petisyen ini dibuat supaya kita mahukan bahan-bahan pornografi ini disekat. Kalau ada negara lain boleh menyekatnya kenapa Malaysia tidak boleh buat? Contohnya, ada negara boleh sekat media sosial tertentu seperti China sekat Facebook kenapa kita tidak boleh sekat? Sebagai pakar dalam teknologi maklumat, saya juga faham kalau kita hendak sekat alamat laman web itu, esok keluar alamat URL baru, jadi benda itu seolah-olah tidak akan berhenti kerja kita. Tetapi macam mana pun perlu ada satu kaedah mengawal dan mekanisme menyekat.
Menghalang penggunaan gajet mungkin tidak dapat menyelesaikan masalah ini secara menyeluruh, apatah lagi ia sudah menjadi keperluan pada zaman ini. Jadi sebagai seorang pakar dalam dunia teknologi maklumat boleh prof kongsikan tips berguna untuk ibu bapa?
Kalau hendak benarkan anak-anak guna telefon pintar sekalipun, ada caranya kita perlu ada kaedah mengawalnya, malah syarikat telekomunikasi pun ada menyediakan alat tapisan untuk kita saring maklumat tidak sepatutnya. Ada perisian Parental Control yang boleh kita muat turun di aplikasi dalam telefon bimbit. Kalau di komputer ada juga perisian disediakan untuk bantu ibu bapa mengawal dan menyekat benda-benda tidak sepatutnya. Melalui kempen SToP juga, kita ada orang berpengalaman dalam pasukan WADAH untuk beri panduan dan tips, seperti memeriksa laman web yang dilawati anak-anak (browsing history), aktifkan mod kanak-kanak (kids mode) di telefon bimbit dan mematikan fungsi lokasi (geotagging) di kamera supaya lokasi tidak terdedah bila mengambil gambar seumpama ini. Salah satu sumber untuk menembusi pornografi adalah saluran Youtube jadi kita ajarkan juga bagaimana mengaktifkan restricted mode (mod terhad) dan pop-up blocker supaya kandungan tidak sesuai itu akan ditapis dan disekat. Selain itu, peranan masyarakat juga jika terjumpa bahan-bahan, video, gambar lucah, kita boleh adukan kepada Youtube mahupun pengendali laman sosial lain seperti Facebook. Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Julai 2018 @ 4:59 AM