Syeikh Ahmad Fahmi Zam Zam an-Nadwi al-Maliki, guru kecintaan kita telah kembali ke pangkuan Rabb nya

October 30, 2021
editor@abim

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merakamkan ucapan takziah di atas kepergian Almarhum Syeikh Ahmad Fahmi Zam Zam an-Nadwi al-Maliki, pada 23hb Rabiul Awwal 1443H bersamaan 30hb Oktober 2021M.

Bersama Almarhum Syeikh Ni’amat Yusoff (Yang Dipertua ABIM Kedah Pertama), sebahagian usianya dan ilmu dicurahkan di Maahad Tarbiyyah Islamiyyah Derang, Kedah, setelah tamat di Nadwat al-Ulama.

Beliau juga sempat berguru dengan Sayyid Muhammad bin Alwi Al-Maliki Al-Hasani, seorang ulama’ besar dari Makkah al-Mukarramah (wafat 1425 H/2004 M), hingga dianugerahi oleh gurunya gelaran “Al-Maliki” pada tahun 2002 atas pemahamannya yang mendalam dalam persoalan-persoalan agama.

Almarhum juga adalah orangnya membawa Prof. Dr. Syeikh Abu Hasan An-Nadwi ke Malaysia pada tahun 1987 (melalui ABIM) dan ditemukan dengan Dato’ Seri Ustaz Abdul Hadi Awang (ceramah di Masjid Rusila), Dato’ Seri Anwar Ibrahim (Presiden ABIM Kedua), Almarhum Prof. Dato’ Dr. Ustaz Sidiq Fadzil (Presiden ABIM Ketiga), Prof. Muhammad Abdul Rauf (Rektor UIAM ketika itu) dan lain-lain.

Syeikh Abu Hasan An-Nadwi memiliki akidah, dakwah dan risalah, sebagai seorang pengkritik terhadap peradaban Barat, sebagai seorang penyeru kepada kemuliaan Islam dan kepimpinan Muslim, sebagai seorang yang paling kuat menentang ideologi dan materialisme Barat, sebagai penyeru terbesar kepada kedamaian manusia dan universalisme Islam. Beliau merupakan tokoh yang membangkitkan dan menimbulkan maruah dan harga diri umat Islam daripada merasa naïf di hadapan Barat. Malah Syeikh an-Nadwi sering melaungkan bahawa Barat perlu belajar lebih banyak dari pada umat Islam.

Syeikh Ahmad Fahmi juga terlibat dalam Nadwah Persuratan Islam (NAFIS) dan menjayakan seminar Abu Hasan an-Nadwi anjuran ABIM pada tahun 2000 di UIAM, Petaling Jaya. Almarhum juga memberikan banyak sokongan serta koleksi buku rujukan kepada Prof. Madya Dr. Mohd Rumaizuddin Bin Ghazali (Mantan Timbalan Presiden ABIM) dalam penghasilan “Biografi Agung Abu Al-Hasan Ali Al-Nadwi” pada 2016.

Pada tahun 2001, beliau telah mendirikan sebuah pondok pesantren di Muara Teweh, Kalimantan Tengah, Indonesia yang seterusnya diikuti dengan sebuah pondok pesantren di Banjarbaru, Kalimantan Selatan, Indonesia pada tahun 2003. Dan yang ketiga, pada tahun 2009, beliau membangun lagi pondok pesantren di Balikpapan, Kalimantan Timur. Oleh kerana itulah sejak tahun 2001, beliau sentiasa berulang alik antara Malaysia dan Indonesia.

Semoga Allah Subhanahu wa-Ta’ala merahmati Almarhum, dan menempatkan beliau di sisi-Nya Yang Maha Pengasih. InnaliLlahi wainna ilayhi raajiuun.

#AlFatihah

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR