“Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah Ali Imran: Ayat 31).
Alhamdulillah, untuk kesekian kalinya, kita diberi kesempatan untuk menyambut Maulidur Rasul. Sejak lebih 1,400 tahun yang lalu, cinta dan kasih kepada Baginda ṣallAllāhu ‘alayhi wa sallam telah mengalir dalam denyut nadi serta sanubari setiap umat Islam yang beriman.
Tanggal 12 Rabiul Awal, tidak pernah gagal membangkitkan rasa kerinduan kita buat junjungan besar, Nabi Muhammad ṣallAllāhu ‘alayhi wa sallam.
Dengan tema “Menyantuni Umat Membawa Rahmat”, Sambutan Maulidur Rasul 1443H / 2021M kali ini tetap segar dengan usaha untuk meneladani kepimpinan dan akhlak Rasulullah ṣallAllāhu ‘alayhi wa sallam. Pastinya, budaya ilmu perlu dibugarkan sebagai bukti keazaman serta keiltizaman kita untuk mendidik jiwa agar dapat memahami sirah perjuangan Nabawi.
Kasihnya kita kepada Nabi Muhammad ṣallAllāhu ‘alayhi wa sallam seharusnya juga disertakan dengan keprihatinan sejati untuk membantu saudara kita yang diduga dengan kemiskinan, kebuluran, bencana alam mahupun konflik peperangan.
Seperti yang kita maklum, kelahiran Nabi Muhammad ṣallAllāhu ‘alayhi wa sallam adalah rahmat Allah Subhanahu wa-Ta’ala yang terbesar bukan sahaja kepada manusia, bahkan kepada alam keseluruhannya. Rahmat ini merangkumi semua aspek dalam kehidupan kita selaku makhluk-Nya. Kegigihan, pengorbanan serta disiplin yang dipamerkan oleh Rasulullah ṣallAllāhu ‘alayhi wa sallam wajar dimaknai untuk membentuk sebuah negara maju dengan masyarakat yang bertamadun.
Hal ini bersesuaian dengan penegasan Kitab Suci Al-Quran menerusi Surah Al-A’raf Ayat 157: “Maka orang-orang yang beriman kepadanya (Muhammad), dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya (Al-Quran), mereka itulah orang-orang yang berjaya.”
Justeru, tidak boleh tidak, kita mesti menzahirkan rasa cinta kita kepada kekasih Allah Allah Subhanahu wa-Ta’ala, ini bukan sahaja pada bulan kelahiran Baginda ṣallAllāhu ‘alayhi wa sallam, bahkan pada setiap saat dan detik waktu. Selaku umat yang komited, kita juga perlu mengikuti sunnah Baginda ṣallAllāhu ‘alayhi wa sallam dalam segenap aspek agar kehidupan kita akan diberkati dunia dan akhirat.
KOLEKSI E-BUKU PERCUMA BERSEMPENA MAWLID NABAWI
Bersempena hari Mawlid Nabawi yang diraikan di negara kita pada 12 Rabi’ul Awwal, bersamaan 19 Oktober 2021, Kami mengambil kesempatan ini untuk mengajak kita semua meraikannya dengan cara yang lebih bermakna, iaitu penghayatan melalui pembacaan yang bermanfaat, yang dapat memperbaharui dan mempertingkatkan kasih dan kecintaan serta ingatan kita kepada insan agung ini, iaitu Nabī Muhammad ṣallAllāhu ‘alayhi wa sallam.
Beberapa e-buku yang bermanfaat, boleh dimuatturun secara percuma seperti berikut:
1) Maqasid Selawat, Al-Ḥāfiẓ Shamsuddīn Muḥammad bin ‘Abd al-Raḥman al-Sakhāwī
https://drive.google.com/file/d/1q8Fw7mEHe8FenWBMDUfEG0f2XvOJj4hB/view?usp=sharing
2) Duhai Rasūlullāh, karangan Shaykh ‘Alī al-Ṭanṭāwī
https://drive.google.com/file/d/1zUFedflGlx_bmQ2eiSmGt4G-MSxEojo0/view?usp=sharing
3) Kembali Kepada Muḥammad, karangan Ibn Bādīs Raḥimahullāh
https://drive.google.com/file/d/1dtjZJdIyXiNuHvjBCtQOazaW5tlr6hn-/view?usp=sharing
4) Kerinduan untuk menatap wajah Nabi ṣallAllāhu ‘alayhi wa sallam, Shaykh ‘Abd Al-Razzāq Al-Badr
https://drive.google.com/file/d/19X8Jsg0xbwzI9ek58yvl_3TRSJZEfF7H/view?usp=sharing
Semua e-buku ini amat bermanfaat untuk diri kita, dalam memberikan suntikan semangat dan penghayatan yang lebih mendalam. Banyak cara menzahirkan kecintaan kita kepada baginda, dari seringan-ringan amalan, yakni berselawat kepada baginda, sehinggalah kepada mengenang kehidupan baginda, yang berjasa, yang diutuskan Allah untuk mengeluarkan kita dari kegelapan kepada cahaya, dan menjadikan kita sebaik-baik umat yang dikeluarkan buat manusia.
Bagindalah Rasul pembawa rahmat, dan rahmat itu tersebar ke seluruh alam. Seterusnya, karangan ini juga mengajak kita bersama-sama bermuhasabah akan keadaan diri kita dan umat ini selepas 1400 tahun kelahiran baginda.
Maka, sebagai persediaan kita menyambut Mawlid ini, kami berkongsi e-buku ini agar dapat kita mempertingkatkan penghayatan kita kepada baginda nabi, kehidupan baginda, serta perjuangan baginda.
E-buku ini dapat dikongsikan kepada sahabat-sahabat dan saudara mara, agar lebih ramai dapat manfaat daripadanya.
Selawat dan salam ke atasmu, duhai pemimpin agung kami, Rasūlullāh!
Selamat membaca dan menghayati! Sebarang pertanyaan rujuk di: https://linktr.ee/abimpressmy
Boleh juga beli buku-buku terbitan kami di Shopee ABIM Press: https://shopee.com.my/abim_press
Salam Maulidur Rasul 1443H buat sekalian umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia. Semoga kecintaan kita kepada Baginda ṣallAllāhu ‘alayhi wa sallam tidak luntur, malah bertambah mekar dengan kesedaran untuk menegakkan kebenaran dan keadilan yang tulen.
Selawat dan salam atas junjungan besar Rasul ṣallAllāhu ‘alayhi wa sallam. Sollu ‘alan Nabi!
#ABIMPress #ABIMdiHatiku #GerakanIlmuDanBakti