Salam Aidilfitri Dari ABIM!

July 24, 2014
editor-media

BULAN Ramadan bakal meninggalkan kita tidak berapa lama lagi. Sebagai hamba yang mendambakan keakraban dengan khaliqnya ia bermakna tinggal sudah satu lagi kesempatan merapatkan diri dengan-Nya. Belum pasti kita akan mendapat kesempatan sebegini lagi pada tahun yang akan datang. Berlalunya Ramadan juga bererti berlalunya rutin berpuasa selama sebulan.

Berpuasa adalah amalan yang menyihatkan dari sudut fizikalnya. Sebagaimana yang disabdakan Rasul “Berpuasalah nescaya kamu sihat”. Menerusi berpuasa kita meningkatkan disiplin penjagaan kesihatan menerusi waktu makan yang terhad. Perginya Ramadan bukanlah membawa bersamanya silaturahim yang dibina didalamnya. Pada Ramadan kita bersua muka di masjid mahupun di surau, bertemu di majlis khatam al-Quran, bertadarus bersama dan bersua menyampaikan derma. Mudah-mudahan silaturahim umat terus berkekalan dan bertambah teguh pada masa-masa yang akan datang.

Menjelmanya Aidifitri petanda kemenangan sudah kita capai. Kemenangan dalam perjuangan tidak mungkin dapat kita kecapi tanpa didahului dengan pengorbanan. Pengorbanan yang paling asas adalah pengorbanan mengekang hawa nafsu. Hawa nafsu perlu ditundukkan terlebih dulu barulah musuh akan mengaku kalah. Namun sebesar mana pun kemenangan dicapai, sehebat mana pun dugaan dikalahkan, ia tidak bererti jika nafsu terus menggila, riak bermaharaja lela dan mabuk bersama keangkuhan diri.

Menjelang Aidilfitri seharusnya menjadi petanda lembaran baru perhubungan sama ada dengan khaliq dan makhluq. Lembaran baru kepada sang pejuang yang memburu syahid bagi mendapat keredhaan Ilahi. Redhanya Ilahi lantaran bersihnya dosa, redhanya manusia lantaran noda yang dilupakan.

Salam Aidilfitri kepada semua pendukung dan penggerak dakwah.

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR