Retakan besar pada kepingan marmar Qubbat as-Sakhrah semakin kelihatan!

November 13, 2021
editor@abim

Retakan besar pada kepingan marmar Qubbat as-Sakhrah semakin kelihatan!

Masjid Qubbat as-Sakhrah atau Masjid Kubah Batu adalah sebuah bangunan yang terletak di tengah-tengah kompleks Al-Haram asy-Syarif, Masjid Al-Aqsa, di Kota Baitul Maqdis. Juga dikenali dengan Dome of the Rock atau Masjid Umar. Pembangunan masjid ini dimulakan ketika Baitul Maqdis diperintah oleh pemerintah Islam pada era Khalifah Umar bin Khattab.

Qubbat As-Sakhrah adalah seni bangunan agung Islam yang didirikan antara tahun 685M hingga 691M oleh Khalifah Abdul Malik bin Marwan, khalifah Kerajaan Ummaiyyah. Kubah ini dibangun setengah tahun setelah wafatnya Nabi Muhammad ṣallAllāhu ‘alayhi wa sallam. Inilah masjid pertama yang menggunakan kubah dalam sejarah seni bina Islam.

Bahagian dalam Masjid Kubah Batu dihiasi dengan arabesque – hiasan corak yang muncul pada Zaman Pertengahan di wilayah Timur Islam. Corak tenunan unik harmoni yang dikaitkan dengan kesucian, matematik dan seni.

Unsur hiasan ini sempat menjadi ciri khas senibina Islam sejak abad ke-7M. Hingga kini, kaligrafi masih menjadi hiasan yang menghiasi bahagian dalam bangunan sesebuah masjid.

Pembangunan masjid berkubah ini sepenuhnya diusahakan oleh dua orang tokoh Muslim dari Palestin, iaitu Raja’ bin Hayat dari Bitsan dan Yazid bin Salam dari Baitul Maqdis. Pembangunan kubah ini kemudian ditambahbaik oleh Khalifah Abdul bin Marwan yang membinanya atas tiga tingkatan.

Tingkat pertama dan kedua tingginya mencapai 35.3 meter. Secara keseluruhan, tinggi masjid itu mencapai 39.3 meter. Ruang di dalamnya terdiri daripada tiga koridor yang sejajar melingkari batu (sakhrah).

Dipenuhi ukiran-ukiran model Byzantine, di dalamnya terdapat mihrab-mihrab besar. Jumlahnya 13 buah dan masing-masing mihrab terdiri atas 104 mihrab kecil. Untuk memasukinya, ada empat pintu gerbang besar yang masing-masing dilengkapi atap. Di dalam masjid, terdapat batu atau sakhrah berukuran 56×42 kaki. Di bawah sakhrah, terdapat gua segi empat yang luasnya 4.5×4.5 meter dan tingginya 1.5 meter.

Sebagaimana ukiran-ukiran di dalam masjid, bentuk kubahnya juga banyak dipengaruhi senibina Byzantine. Sejarawan Al-Maqdisi menuturkan bahwa kos pembangunan masjid itu mencapai 100 ribu syiling emas dinar.

Pada atap gua, terdapat lubang seluas satu meter. Batu itu disebut ‘sakhrah muqadassah’ (batu suci). Di batu itulah, Nabi Muhammad ṣallAllāhu ‘alayhi wa sallam dipercayai melakukan Mi’raj. Sebagai saksi peristiwa tersebut, dibangunlah Kubah Sakhrah di atasnya.

Malangnya, akibat kerja carigali bawah tanah serta pengubahsuaian yang dilakukan oleh pihak rejim Zionis di sekitar Kompleks Al-Aqsa, ia menyebabkan rekahan tanah serta keretakan kepada Dome of the Rock dan Masjid al-Aqsa sendiri.

Getaran yang disebabkan oleh jentera berat serta penggalian terowong bawah tanah menyebabkan keretakan di sekitar kompleks tersebut.

Retakan besar pada kepingan marmar yang menghiasi Qubbat as-Sakhrah semakin kelihatan pada hari ini. Malahan, ia menyebabkan rekahan tanah di kawasan sekitar seperti Housh Baydoun di kejiranan Silwan sejak beberapa tahun lepas.

Semoga Allah Subhanahu wa-Ta’ala melindungi kemuliaan Kompleks Al-Aqsa, serta memberikan kebebasan hakiki buat rakyat Palestin yang telah sekian lama ditindas dan dizalimi.

#MyAqsaDefenders #PeduliPalestin

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR