Raih 3 pingat emas: Maryam Muzamir harumkan nama Malaysia, dapat pengiktirafan MOSTI 

October 4, 2021
editor@abim

Raih 3 pingat emas: Maryam Muzamir harumkan nama Malaysia, dapat pengiktirafan MOSTI 

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengucapkan syabas dan tahniah kepada adik Maryam Muzamir di atas kejayaan mengharumkan nama negara selepas meraih tiga pingat emas dalam Pertandingan Inovasi dan Reka Cipta Antarabangsa Kanada ke-6 (iCAN 2021), di Toronto, Kanada, pada Ogos 2021 lepas.

Pencapaian murid tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Perempuan Methodist, Kuantan, Pahang itu, mendapat perhatian daripada pelbagai pihak. Maryam, 11, beroleh kejayaan dalam pertandingan inovasi dan reka cipta terbesar di benua Amerika Utara itu selepas mencipta inovasi makanan haiwan daripada kulit udang dan siput sedut.

Beliau bukan sahaja mengenepikan 600 peserta lain dari 70 negara, tetapi beliau juga menjadi pemenang termuda dalam pertandingan itu. Bapanya, Profesor Madya Ts Dr Muzamir Hassan bertugas sebagai pensyarah di Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Kejayaan itu telah membuatkan beliau mengenepikan 600 peserta lain dari 70 negara dan menjadi pemenang termuda dalam pertandingan itu. Malah, beliau turut mencipta sensasi apabila mendapat perhatian dunia daripada rancangan TV terkenal iaitu The Late Late Show with James Corden melalui akaun Twitternya.

Pada peringkat awal, Maryam menyertai Pertandingan Reka Cipta, Kreatif dan Inovasi (CITREX) di UMP pada tahun 2020 dan 2021 dan berjaya memenangi pingat emas.  Adik Maryam turut meraih pingat emas di International Research Invention and Innovation Exhibition (IRIE) anjuran Universiti Teknologi MARA (UiTM). Bermula dari situ, beliau memberanikan diri untuk menyertai ke pertandingan pada peringkat antarabangsa, dan menang dalam iCAN 2021.

Dapat pengiktirafan MOSTI, KPDNHEP akan biaya kos paten reka cipta Maryam

Selain pujian daripada YAM Perdana Menteri, Maryam turut mendapat penghargaan daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). Menteri MOSTI, Datuk Sri Dr Adham Baba, turut mengadakan sesi pertemuan maya bersama Bakat-Bakat Inovasi Muda yang telah mengharumkan nama negara termasuk Maryam.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, turut menyatakan bahawa KPDNHEP akan membiayai kos pemfailan paten reka cipta Adik Maryam. Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) akan memulakan penilaian awal berkenaan inovasi itu, bagi meningkatkan kebarangkalian inovasi YAM 2.0 boleh didaftarkan di bawah Akta Paten 1983.

Pertemuan bersama Tengku Mahkota Pahang (TMP)

Kejayaan Adik Maryam juga menarik perhatian KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Tengku Hassanal menerima mengadap Adik Maryam, di mana Maryam membentangkan hasil Projek YAM 2.0 Sustainable Livestock Feed yang diciptanya kepada TMP dan juga Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah. Hadir sama selain bapa Maryam adalah ibunya yang berjasa, Puan Noor Nazihah Ma’amor, 35.

TMP turut berkenan mengurniakan sumbangan kerana mengharumkan nama Malaysia dan Pahang. Semoga Adik Maryam bertambah cemerlang dan semoga lebih ramai anak Malaysia berjaya sepertinya.

ABIM juga mengucapkan tahniah kepada seorang mahasiswa kejuruteraan komputer Universiti Teknologi Petronas (UTP), Muhammad Fathy Rashad melakar sejarah selepas beliau berjaya membentangkan kertas kerja pada Persidangan Teknikal Kejuruteraan Reka Bentuk Antarabangsa dan Komputer dan Maklumat dalam Persidangan Kejuruteraan (IDETC/CIE) Persatuan Jurutera Mekanikal Amerika (ASME) 2021. Pembentangan dibuat bersama Prof. Faez Ahmed dan Sdra. Amin Heyrani Nobari, dari Institut Teknologi Massachusetts (MIT).

Sekumpulan pelajar Malaysia dari Keningau, Sabah pula membanggakan negara apabila memenangi pertandingan animasi di Itali. Pasukan pelajar dari Kolej Vokasional (KV) Keningau itu, yang terdiri dari empat pelajar berumur 17 tahun, menyertai pertandingan seni “Sopravista Olympic Art Games” yang dilangsungkan di dalam talian yang berpusat di Itali pada 11 hingga 16 Ogos 2021.

Persembahan animasi cerita rakyat garapan mereka yang bertajuk “Borneo Animated Tales: Galap, Timbalan & Sumanga” dianugerahkan diploma kelas pertama oleh penganjur European Association of Folklore Festivals (EAFF). KV Keningau diwakili oleh Quezen Ansap, Nur Aini Binti Warni, Mohd Firdaus Kasiman dan Izzavell Lurinsius dan pengarah kreatif mereka merupakan alumni kolej tersebut iaitu Roziwell Rusilin.

Dron rekaan empat mahasiswa Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) pula berjaya memenangi pingat emas pada World Invention Creativity Olympics (WICO) 2021 yang berlangsung di Seoul, Korea Selatan baru-baru ini.

Mereka yang menghantar satu pasukan terdiri daripada empat pelajar Iqbal Hakimi Mohammad Feirdaus, Nurul Khalida Kasim, Aqil Haikal Jalalus Sayuti dan Muhammad Haziq Mohd Hamizat sambil turut diiringi tiga mentor, Dr Juffrizal Karjanto, Ir. Dr. Fudhail Abdul Munir dan Dr. Nidzamuddin Md. Yusof.

Syabas juga diucapkan kepada kumpulan penuntut Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang merangkul beberapa kemenangan di pertandingan akhir Innovate Malaysia Design Competition (IMDC) 2021, baru-baru ini.

UTeM menyerlah di IMDC 2021 dengan memenangi hadiah utama Sarawak Energy Design Challenge menerusi projek Distribution Line Fault Alert System (DLFAS). DLFAS adalah prototaip sistem amaran kerosakan talian pengagihan bagi meningkatkan kebolehpercayaan bekalan elektrik kepada pengguna di seluruh negeri Sarawak terutamanya di kawasan yang tiada rangkaian selular.

Kumpulan pelajar daripada Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) ini terdiri daripada Ng Chi Yuan dan Soon Wei Sheng yang juga pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Wong Chee Oon yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatronik. Mereka dibimbing oleh Prof. Madya Dr Hidayat Zainuddin dan Prof. Madya Dr Sharifah Sakinah Syed Ahmad dari Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK).

ABIM juga mengucapkan syabas dan tahniah kepada pasukan Inovasi ‘Trio Uniq’ daripada Sekolah Rendah Islam dan Sekolah Menengah Islam (SERI dan SEMI) ABIM Sungai Ramal, Kajang yang telah menempa kejayaan dengan mendapat Pingat Emas dalam pertandingan program Innovation and Invention Competition Through Exhibition 2021 (iCompEx’21) anjuran POLIMAS pada 7hb Jun 2021 yang telah disertai 350 buah kumpulan inovasi daripada IPTA/IPTS dari seluruh Malaysia.

3 pingat emas yang dimenangi adalah: Projek Portable Electric Box (Ketua: Puan Fatin Nazihah SEMI ABIM Sungai Ramal); Projek Papan Pintar Operasi Tolak (Ketua: Puan Rohaiza SERI ABIM Sungai Ramal); dan Projek T-Sidang (Ketua: En Mohd Syakir – ICT).

Dengan kemenangan serta pencapaian hebat mereka ini, Insya Allah dapat menjadi suntikan semangat kepada seluruh rakyat Malaysia untuk terus mengorak langkah mencapai kejayaan seterusnya mengharumkan nama Bangsa Malaysia dan tanah air tercinta.

#SebarkanSalam

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR