Krisis Kemerosotan Institusi Politik Dan Kepercayaan Sejagat

June 10, 2019
editor-media

 Oleh Mohamad Raimi Ab Rahim, Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

“Sistem politik moden berasaskan tiga paksi utama, iaitu sebuah negara yang moden, undang-undang yang berdaulat dan kebertanggungjawaban demokrasi. Negara berperanan untuk mengumpul dan menggunakan kuasa, manakala undang-undang dan kebertanggungjawaban bertujuan untuk mengawal dan menyalurkan kuasa. Jika paksinya tidak seimbang dan condong ke mana-mana arah, sesebuah negara akan terjerumus sama ada ke dalam pemerintahan diktator atau menjadi sebuah kerajaan yang lemah atau, paling teruk, kerajaan yang gagal. Sistem politik kerajaan patrimonial atau neopatrimonial yang pemerintahnya menganggap negara sebagai harta persendirian untuk mereka meraih keuntungan peribadi wujud di mana-mana di seluruh dunia yang sedang membangun ini. Malah, ia merupakan salah satu punca utama kemunduran dan kemiskinan” (Francis Fukuyama, 2014:550)

Seperti yang diamati oleh Francis Fukuyama dalam karyanya Political Order and Political Decay: From the Industrial Revolution to the Globalization of Democracy, dunia hari ini sedang mengalami kemerosotan politik (political decay) yang bercirikan dua elemen penting, iaitu ketegaran institusi (institutional rigidity) dan penguasaan kelompok elit dalam aspek kepimpinan (capture of the state by elites).

Akibat dari itu, tiga elemen tonggak yang mendukung dan menentukan kejayaan demokrasi dalam tatacara negara moden, iaitu kerajaan, kedaulatan undang-undang dan akauntabiliti menjadi semakin tegar di negara maju, manakala terus merosot integritinya di negara membangun. Institusi asasi yang sepatutnya mewakili suara dan kepentingan rakyat dalam sistem demokrasi sebaliknya lebih cenderung mewakili suara dan menjaga kepentingan sekelompok elit penguasa yang rakus memanipulasi institusi pseudo-demokratik untuk kepentingan sendiri.

Rumusan Fukuyama ini diperkukuhkan lagi oleh Larry Diamond melalui artikel beliau “Democracy in Decline” (Foreign Affairs, edisi Julai-Ogos 2016) dan dalam buku terbarunya In Search of Democracy (2016). Beliau menyimpulkan bahawa punca utama kepada kemerosotan tahap demokrasi dan kebebasan secara mendadak sejak 2006 disebabkan oleh “…weak rule of law and the abuse of power by ruling executives who originally came to office via competitive democratic elections”.

Natijah kepada kemerosotan politik (political decay) telah menyumbang kepada satu trend global yang utama, iaitu peningkatan krisis kepercayaan dalam kalangan rakyat. Laporan strategik Outlook on the Global Agenda (2015), telah menyenaraikan krisis kepimpinan (lack of leadership) sebagai salah satu trend utama dalam senarai 10 trend utama global. 86% peratus daripada responden kaji selidik laporan bersetuju bahawa dunia hari ini sedang mengalami krisis kepimpinan.

Kegagalan pemimpin negara menangani isu-isu domestik dan kebuntuan dalam menyelesaikan isu global seperti konflik Timur Tengah, ISIS, krisis pelarian Syria, pencemaran alam sekitar dan pemanasan global tambah mengesahkan krisis keyakinan ini. Tambah mengukuhkan, laporan Elderman Barometer Trust 2016 yang mengukur tahap kepercayaan di 28 buah negara merumuskan bahawa tahap kepercayaan umum rakyat kepada institusi kerajaan berada di tahap paling rendah berbanding dengan tiga institusi lain, iaitu badan bukan kerajaan (NGO), dunia perniagaan dan media.

 

Dalam konteks Malaysia sekitar tahun 2019, tahap kepercayaan rakyat kepada kerajaan hanyalah 39% dalam kalangan rakyat awam. Sebaliknya, badan bukan kerajaan (NGO) terus mencatatkan tahap kepercayaan tertinggi menurut konteks “melakukan apa yang betul” (to do what is right) dengan meraih 71% kepercayaan dalam kalangan rakyat awam. Krisis kepimpinan ini membawa kepada melemahnya konsep demokrasi berpewakilan. Laporan yang sama turut menyenaraikan demokrasi berpewakilan yang lemah (the weakening of representative democracy) di tangga kelima dalam senarai trend global.

Menurut Jorge Soto, pendedahan kepada potensi ledakan Internet telah memungkinkan rakyat awam mengenal pasti kelompok yang mempunyai nilai dan ketakutan yang sama dengan mereka, bertukar-tukar fikiran, menjambatani hubungan dan membina kepercayaan sesama mereka pada kadar yang jauh lebih cepat, iaitu sesuatu yang gagal dilaksanakan oleh birokrasi kerajaan.

Daripada perspektif generasi muda, Jorge Soto merumuskan “Our government are elected, dissolved and re-elected only to pursue short-term agendas, yet the cycles that innovate and build trust with voters require long-term investment. It’s little wonder that people see them as broken”. Kebangkitan Kuasa Baru Gejala merosotnya institusi politik dan kekuasaan di tangan kerajaan, yang disusuli dengan fenomena beralihnya kepercayaan rakyat kepada institusi lain yang mempunyai kredibiliti lebih meyakinkan disentuh lebih awal dan dengan lebih mendalam oleh Moises Naim dalam karyanya End of Power (2013).

Menurut beliau, bukan sahaja kuasa politik, bahkan “kuasa” itu sendiri sedang melalui proses perubahan yang dicetuskan oleh gelombang revolusi “More, Mobility, Mentatily” yang menyebabkan “kuasa” merentas pelbagai bidang sedang mengalami proses kemerosotan. Pemegang kekuasaan secara tradisi seperti pemerintah, birokrat dan konglomerat (yang diistilahkan sebagai pemain utama) tidak lagi memiliki konsentrasi kuasa dan limpahan pengaruh sepertimana abad-abad lalu.

Moises Naim menyimpulkan bahawa realiti dunia masa kini menyaksikan kebangkitan gelombang “kuasa” dalam bentuk baharu; “These are the micropowers: small, unknown, or once-negligible actors that have found ways to undermine, fence in, or thwart the megaplayer, the large bureaucratic organizations that previously control their fields.” Jika mengikut prinsip terdahulu, kuasa mikro (micropowers) adalah sesuatu yang tidak normal.

Oleh sebab mereka tidak mempunyai skala, sumber penyelarasan atau reputasi sedia ada, mereka tidak sepatutnya turut serta dalam permainan ini, atau sekurang-kurangnya, tidak berada terlalu lama sebelum dihapuskan atau diambil alih oleh pesaing dominan. Sebaliknya, kuasa-k
uasa mikro ini telah merebut banyak peluang yang selama ini dipandang ringan oleh pemain sedia ada. Dalam beberapa keadaan, kuasa mikro telah menguasai persaingan menentang pemain utama (megaplayers).

Barangkali penawanan Gulliver oleh gerombolan liliput kerdil dapat memberikan gambaran yang lebih jelas tentang fenomena ini. Dalam dinamika baharu inilah kita harus melihat bagaimana gerakan masyarakat sivil antarabangsa seperti Occupy Movement berjaya menghasilkan impak gerak kerja advokasinya pada skala global.

Ketika legasi WikiLeaks dianggap sudah terbenam bersama Julian Assange dalam Kedutaan Equador di London, potensi kuasa gerakan ini telah mendayai kemampuan jaringan komuniti media rentas sempadan seperti International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) membocorkan skandal kewangan pesisir pantai melalui isu Panama Papers. Kesannya antara lain menyaksikan Perdana Menteri Iceland, Sigmundur David Gunnlaugsson terpaksa meletak jawatan lantaran terpalit skandal.

Dinamika baharu “kuasa” ini turut menyaksikan tumbuh suburnya generasi baru inovator Startup dan empayar usahawan sosial ala Elon Musk, Seth Godin dan Jack Ma. Namun begitu, dinamika baharu “kuasa” ini juga mempunyai sisi gelapnya. Pengintipan data peribadi, pemindahan wang haram dan jenayah siber turut berkembang jauh lebih pantas dengan ruang lingkungan pengaruh yang jauh lebih luas. Penyebaran pengaruh dan propaganda gerakan pengganas ISIS-Daesh yang meracuni pemikiran segelintir generasi muda Islam turut dikaitkan dengan fenomena “kuasa mikro” ini.

Perubahan lewat kemodenan yang dicirikan oleh revolusi global yang lebih tangkas berserta trend semasa dalam bidang ekonomi, sosiobudaya dan politik yang disentuh secara sepintas lalu telah mencorakkan semangat zaman (zeitgeist) ini yang penuh dengan percanggahan, kesamaran dan ketidaktentuan.

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR