Naluri ingin bertudung pastinya lahir dari hikmah al Quran, nikmat rasa dekatnya dengan kalam Tuhan. Mana mungkin dari panggilan selainnya, ikut-ikutan tanpa fahaman. Jauh sekali sebagai objek obsesi tidak ketahuan. Itulah yang melatari generasi era 1970-an (zaman kebangkitan kesedaran Islam di negara ini) yang ingin mengetengahkan amalan bertudung di negara ini.
“Saya masih ingat kenangan ketika mula-mula mempelopori pemakaian tudung kepala bersama beberapa orang rakan. Hasrat ini timbul setelah membaca Al-Qur’an. Semasa itu hasrat untuk mengamalkannya begitu mendalam. Bagaimanapun pada peringkat awal, kami mendapat tentangan kuat daripada pelbagai pihak yang tidak menyenanginya. Kami banyak kali disindir dan digelar dengan bermacam-macam gelaran seperti “orang pakai dakwah”,”hantu bungkus” dan sebagainya.
Alhamdullilah, dalam hal ini kami mendapat sokongan daripada pelbagai pihak terutamanya Kementerian Pendidikan. Kini pemakaian tudung tidak lagi menjadi sesuatu yang pelik bagi kaum wanita di Malaysia, malah majoriti wanita Melayu dan Islam mula menyedari keperluan dan tuntutan memakai tudung ini,” Allahyarham Prof Dr Khalijah Salleh, Setiausaha Wanita ABIM (Ketua HELWA ABIM), 1973-1974 (Dipetik daripada buku, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), 1971-1996).
Allahyarham merupakan pakar serta ahli akademik terkemuka (wanita Islam) dalam bidang fizik serta banyak menerima pengiktirafan akademik dalam bidang fizik mahupun dakwah. Al-Fatihah untuk beliau.