Ramai yang selalu bercakap tentang bagaimana dekatnya Singapura, Indonesia dan Brunei dengan sejarah silam Malaysia, khususnya ketika era Kepulauan Melayu Nusantara belum dipisahkan seperti hari ini. Namun, kisah betapa dekatnya Selatan Thai dengan Semenanjung Tanah Melayu selalu orang terlepas pandang. Hakikatnya, bukan wilayah Pattani sahaja yang mempunyai akar sejarah dengan negara kita.
Kerajaan Setul Mambang Segara
Salah-satunya ialah sebuah wilayah yang kini dikenali sebagai Muang Satun. Nama ‘Kerajaan Setul Mambang Segara’ sendiri mungkin asing untuk kita. Sehingga 1813, Muang Satun asalnya merupakan sebuah mukim Negeri Kedah Darul Aman di kawasan Semenanjung Tanah Melayu, dan dikenali sebagai Mukim Setul/Satol/Setoi.
Setul berasal daripada nama buah Setul, manakala ‘Mambang Segara’ merujuk kepada Dewa Laut (dewa Pra Samut Thewaa), merujuk kepada kepercayaan Melayu silam berkenaan penjaga laut dan matahari (bersama 14 buah pulau) di Laut Andaman, yang terletak di sebelah barat wilayah tersebut.
Kerajaan Setul Mambang Segara merupakan kerajaan Melayu silam yang diasaskan pada 1808 apabila berlaku pemisahan antara pemerintah di Kesultanan Kedah. Sesetengah catatan menyatakan bahawa ia telah menjadi naungan Kedah sejak sebelum tahun 1136 lagi.
Pemerintahan secara rasmi di Setul bermula pada 1804 apabila Tunku Bisnu (putera Sultan Abdullah Mukarram Shah – Sultan Kedah ke-20) diamanahkan tanggungjawab sewaktu pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin II (Sultan Kedah ke-21). Pada 1821, berlaku perebutan kuasa antara Tunku Bisnu dan adiknya, Tunku Yaakub (Tunku Embun).
Setul Yang Perlahan-Lahan Meninggalkan Kedah
Selepas beberapa siri pertempuran melibatkan campurtangan Siam dan Ligor (Nakhon Si Thammarat), Setul kemudiannya diisytiharkan sebagai bukan lagi jajahan Kedah, namun masih diperintah oleh Tunku Bisnu. Kemudian, pemerintah bertukar tangan kepada Tunku Muhammad Akib (1843-1876); Tunku Ismail (1876 – 1888) dan Tunku Abdul Rahman (1888 – 1897). Pada 17 Mei 1897, Setul, Kedah dan Perlis digabungkan di bawah nama ‘Monthon Saiburi’, bermaksud wilayah kecil pentadbiran yang dilindungi awan.
Menjelang pertengahan kurun ke-19, Perlis dan Setul memperoleh kedaulatan daripada kerajaan Siam dan terpisah daripada Kedah. Siam kemudiannya menakluki Kedah pada 1821-1830, menjadikan Setul sebagai wilayah sendiri, meskipun sebenarnya masih lagi sebahagian dari Kedah. Sultan Abdul Hamid kemudiannya melantik Tunku Baharuddin (Ku Din) Ku Meh menjadi pentadbir Setul. Ku Din yang pro kepada Siam, kemudian dilantik oleh Raja Chulalongkon sebagai Raja Setul sehingga 1915.
Apabila perjanjian British dengan Siam dimeterai pada 1909, British telah menyerahkan Setul kepada Siam. Setelah kawasan persisir Semenanjung Tanah Melayu dan Sumatera dipisahkan pada tahun 1824 melalui perjanjian Inggeris-Belanda, kini wilayah utara Semenanjung pula dipisahkan oleh Inggeris dan Siam (pada 1909).
Perjanjian ini memberikan kesan kepada beberapa buah negeri selain Kedah dan Perlis iaitu Kelantan dan Perak, yang kemudiannya memberikan kesan kepada kerajaan asal Melayu di wilayah-wilayah berkenaan.
Asalnya Semenanjung Tanah Melayu Lebih Besar Daripada Yang Kita Nampak Hari Ini
Wilayah Setul yang seluas 120 batu persegi dengan beberapa pulau seperti Pulau Adang, Pulau Tarutau dan Pulau Panjang kemudiannya secara rasmi menjadi milik penuh Siam. Mukim ini bersempadan dengan Perlis dan Kedah pada hari ini, dan bahasa asalnya adalah bahasa Melayu. Kedaulatan Kerajaan Setul berakhir secara rasmi pada 1915, apabila Kerajaan Siam membubarkannya.
Raja terakhir Setul, Tunku Baharuddin telah dilucutkan kuasanya oleh Kerajaan Siam pada tahun 1915, dan jawatannya kemudian digantikan oleh Pensuruhjaya Tinggi berbangsa Siam yang dilantik dari Bangkok. Satun pada mulanya ditadbirkan bersama Phuket dan pada 1925 dan diletakkan di dalam wilayah Nakhon Si Thammarat. Kemudian, Satun mula ditadbir secara sendirian pada 1933.
Asalnya, Semenanjung Tanah Melayu meliputi wilayah Segenting Kra yang kini termasuk di dalam wilayah Thailand dan Myanmar. Penduduk pribumi di Negeri Patani bertutur dalam bahasa Melayu dialek Kelantan (Yawi/Jawi) sementara penduduk Melayu daripada wilayah Setul hinggalah ke Rundung dan Pulau Dua (Kawthoung) di dalam wilayah Myanmar pada hari ini bertutur dalam bahasa Melayu dialek Kedah.
Mereka adalah penduduk yang mempunyai susur galur sehingga ke Kerajaan Srivijaya dan Langkasuka. Bukan sahaja semakin ramai rakyat Selatan Thai yang tidak fasih berbahasa Melayu, malah kebanyakan nama kawasan di sana telah di’siam’kan.
Demikianlah kisah sebuah kerajaan Melayu yang pernah berdiri di Satun, namun sering dilupakan dalam lipatan sejarah. Sejarah ini mesti – tidak boleh tidak diangkat kembali, supaya kita dapat kembali ke akar dan belajar tentang erti sakitnya dijajah dan dikhianati.