27 Februari 2016, Kolej Dar Al-Hikmah:- Citra sejarah yang direkayasa tidak akan mampu menandingi kejujuran ilmiah! Begitulah antara kesimpulan penting yang diutarakan Dato’ Dr Siddiq Fadzil ketika memimpin Kuliah Tafsir Maudhuiyy Siri Ke-76 yang mengangkat tema “Memperingati Wira Dari Gua;Pemuda-Pemuda Al-Kahfi Dalam Pencitraan Al-Qur’an’.
“Citra manusia dalam sejarah boleh berubah kerana ini tertakluk kepada penafsiran semula dari masa ke masa berasaskan perspektif dan sudut pandang yang berbeza dan berubah. Pencitraan palsu oleh media propaganda politik tidak akan mampu bertahan lama kerana dasarnya bukan fakta dan kebenaran. Apa yang selalu dipromosikan sebagai “sejarah” seringkali berupa versi bikinan pemerintah yang didasari motif kepentingan. Sejarah yang direkayasa seperti itulah yang selalu dipenuhi distorsi sehingga menciptakan fenomena tragik ramainya pahlawan yang tidak didendang. Tetapi akan sampai masanya, sejarah bikinan seperti itu tidak mampu berhadapan dengan sejarah tandingan yang berasaskan kejujuran ilmiah!’
Seramai 500 orang telah memenuhi dewan besar Kolej Dar Al Hikmah yang menyaksikan kisah pemuda Al-Kahfi disoroti menerusi aspek sejarah. Ini termasuk fakta bahawa kisah pemuda Kahfi ini kisah anak muda bangsawan, anak-anak elit yang punya segala kemewahan dan kecukupan dunia, berasa bosan dan protes dengan negara yang penuh kebejatan dan kerosakan. “Kisah kehilangan pemuda-pemuda yang protes ini seterusnya menjadi inspirasi kepada seluruh masyarakat!
“…Pemuda-pemuda al-kahf itu menjadi buruan rejim kuku besi yang mulai merasa tergugat. Bagi kerajaan, mereka adalah “musuh” negara, “pengkhianat” bangsa, dan “perosak” agama. Jumlah mereka memang sangat kecil, hanya beberapa orang, tetapi keberanian mereka menolak agama dan budaya pihak berkuasa tetap menakutkan kerana mereka memiliki potensi besar membenihkan kesedaran rakyat. Justeru, mereka memiliki kekuatan iman, kekuatan fikrah, kekuatan daya tahan dan daya juang yang luar biasa.” tambah Dato’ Dr Siddiq Fadzil lagi sambil menegaskan “..Generasi yang hidup pada zaman pemerintahan baru inilah yang memiliki kesedaran sejarah tentang kehebatan pemuda-pemuda yang berani bersikap menolak tradisi bejat dan sesat untuk memilih iman dengan segala risikonya. Di mata generasi baru ini, pemuda-pemuda al-kahf bukan lagi orang-orang buruan, tetapi pahlawan yang sangat menginspirasikan. Demikianlah hakikatnya, citra manusia dalam sejarah boleh berubah.
Nota Kuliah Tafsir Maudhuiyy Siri Ke-76 by Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
LIVE: Kuliah Tafsir Maudhuiy Siri 76 : http://bit.ly/ktm76NOTA KTM76 : http://bit.ly/nota-ktm76
Posted by Abim Pusat on Saturday, 27 February 2016