Tanah Palestin yang asalnya merupakan sebahagian dari wilayah besar Syam, yang mana terletak Baitul Maqdis di dalamnya, digambarkan Allah Subhanahu wa-Ta’ala sebagai pusat keberkatan. Ia menjadikan tanah ini cukup indah dan istimewa.
Frasa kata ‘barakna fiha’ muncul dalam al-Quran sebanyak empat kali menggambarkan keberkatan tanah itu sendiri, manakala terminologi ‘barakna hawlahu’ muncul dalam al-Quran membawa gambaran keberkatan yang mengelilingi Baitul Maqdis.
834 tahun yang lalu, Salahuddin al-Ayyubi mula mengepung Baitul Maqdis. Kekalahan besar di Hattin pada 4 Julai menyebabkan kuasa Kristian ketandusan tentera untuk mempertahankan kota-kotanya sekitar Levant khususnya al-Quds.
Ini dimanfaatkan Sultan Ayyubiyah, Salahuddin untuk menakluk satu persatu kota terbabit.
Pada 2hb Oktober 1187 (Jumaat), Sultan Salahuddin al-Ayubi yang turut dikenali sebagai ‘Saladin’ di Barat, berjaya membebaskan Kota Baitul Maqdis, selepas melalui beberapa fasa penaklukan yang penuh cabaran.
Ditakdirkan bahawa tarikh perjanjian penyerahan diri tersebut adalah bertepatan dengan tarikh 27 Rajab, malam berlakunya peristiwa Isra’ Mikraj Nabi Muhammad ṣallAllāhu ‘alayhi wa sallam – dari Kota Mekah al-Mukarramah ke Baitul Maqdis.
Masuknya Sultan Salahuddin ke Kota Suci Baitul Maqdis disambut dan diiringi dengan linangan air mata kegembiraan dan gema laungan takbir.
Bersama kita mengenang perjuangan wira hebat umat Islam ini, yang diingati dan tersohor di seluruh dunia atas pemerintahannya yang adil dan saksama. Semoga satu hari nanti Al-Quds akan kembali bebas dan merdeka.
Al-Fatihah sekudusnya buat Sultan Salahuddin dan angkatan tenteranya yang setia dan berjasa.
#ABIMdiHatiku