Alhamdulillah, suasana sudah kembali normal di al-Haramain (Mekah dan Madinah). Pelekat dan penghadang penjarakan dialihkan, dan solat sudah boleh dilaksanakan seperti biasa. Atas bantuan Allah Subhanahu wa-Ta’ala, juga kepatuhan para jemaah kepada urusan vaksinasi dan SOP.
Selepas hampir 2 tahun, akhirnya Imam mengumumkan, “Luruskan barisan, rapatkan saf, isikan ruang-ruang kosong…” Bahu bertemu bahu, kaki dirapatkan, saf diluruskan dan ukhwah sesama Muslim bertaut kembali. Masya Allah, Alhamdulillah.
Masjidil Haram dibenarkan beroperasi mengikut kapasiti penuh sejak 17hb Oktober 2021 lalu, dengan jemaah menunaikan solat tanpa dibatasi penjarakan fizikal buat pertama kali sejak tercetusnya pandemik COVID-19.
Kumpulan pekerja menanggalkan penanda di lantai sebagai panduan untuk orang ramai melakukan penjarakan fizikal sebelum ini di dalam dan sekitar Masjidil Haram.
Walaupun kelonggaran penjarakan fizikal diberikan, pihak berkuasa berkata pelawat mestilah lengkap vaksinasi dan wajib memakai pelitup muka di kawasan sekitar Masjidil Haram. Pada masa sama, Kaabah masih dikepung dan tidak boleh dihampiri dalam jarak dekat.
Ogos lalu, Arab Saudi mengumumkan pembukaan semula ibadat umrah bagi warga asing yang sudah lengkap vaksinasi.
Untuk rekod, Julai lalu, Arab Saudi membenarkan sekitar 60,000 penduduknya yang lengkap divaksinasi untuk menunaikan ibadat haji yang dilaksanakan dalam skala kecil.
Pandemik COVID-19 memberi kesan besar kepada pelaksanaan ibadat haji dan umrah yang sebelum ini memberi pulangan utama kepada kerajaan Arab Saudi dengan pendapatan AS$12 bilion (RM49 bilion) setahun.
Setakat ini, Arab Saudi mengesahkan sebanyak 547,000 kes COVID-19 dengan 8,760 kematian. Sama-sama berdoa semoga kita semua dikurniakan rezeki ke al-Haramain. Amiin.
#SebarkanSalam