Patah sayap bertongkat paruh, patah paruh betongkat dagu, walau menyambar petir dan guruh, tekad tak luntur dakwah diseru! Begitulah perumpamaan semangat kira-kira 100 orang peserta Kembara Amal Abim Sarawak. Mengharungi perjalanan dari Kuching ke Miri dengan jarak lebih 800km. Menziarahi 6 buah kampung di Sri Aman, Sarikei, Dalat, Mukah, Bintulu dan Miri dengan hasrat merealisasi aspirasi kesejahteraan menerusi dakwah. Walau berbeza adat, budaya dan keturunan, ia bukan pemisah antara dai’e dan mad’u. Walau letih dan perit membeliti diri, ia bukan pemudar semangat sang dai’e menggapai redha Ilahi. Kagum melihat kesungguhan peserta. Hormat kepada penduduk kampung yang datang mera’i. Terharu melihat keakraban ukhuwah yang terpancar dari keikhlasan hati. Tersentuh dengan bantuan seorang penduduk di Kg. Muhibah, Kuala Baram, Miri. Walau bukan sama agama tetapi sudi untuk menunjukkan Masjid Nurul Ibadah tempat berlangsungnya majlis. Video Sepanjang Kembara Amal 3.0
Senyuman dan ketawa pada malam persembahan adalah penyuntik semangat betapa banyak perkara yang perlu dilakukan jika kita benar-benar ikhlas menggelarkan diri sebagai pendakwah. Alhamdulillah, tahniah, syabas dan terima kasih kepada semua. Sesungguhnya Kembara Amal 3.0 Sarawak 2014 adalah tarbiah bagi memahami erti sebenar dakwah. Sejahterakan Malaysia dengan Dakwah. Sejahterakan Sarawak dengan Dakwah. 30 Nov 2014.