Islam Dan Melayu; Menatap Wajah Citra Bangsa Dalam Sejarah

November 7, 2018
editor-media

Oleh: Dato’ Dr Siddiq Fadzil, Presiden Kolej Dar Al-Hikmah

Pengislaman telah mentransformasikan Melayu dari bangsa yang terkurung dalam kekarutan tahyul dan dongeng menjadi bangsa rasional yang responsif terhadap rangsangan al-Qur’an agar berfikir (tafakur) dan merenung (tadabur).

Ungkapan tradisi “alam terkembang dijadikan guru” adalah penjelmaan kesedaran Melayu tentang hakikat alam sebagai al-kitab al-maftuh (kitab terbuka) yang memuatkan pelbagai rahsia dan hikmah yang bermanfaat bagi manusia yang dapat memahaminya. Memang alam adalah ayatu’Llah (tanda yang mengisyaratkan keesaan, kebesaran dan kekuasaan Allah).

Justeru, berguru kepada alam dalam tradisi Melayu dapat diertikan sebagai usaha memaknai tanda-tanda pada alam ciptaan Tuhan (ayat al-kawn) dan mengambik iktibar untuk panduan hidup.

Peribahasa Melayu yang mengungkapkan wisdom pusaka bangsa banyak sekali mengangkat objek-objek kealaman: langit, tanah, gunung, bukit batu, air, angina, flora dan fauna.

Pada hakikatnya, bangsa ini mewarisi kekayaan nilai-nilai budaya yang dapat menjadi teras pembinaan watak yang ampuh dan tangguh. Bukankah pada zaman silam bangsa Melayu terkenal sebagai bangsa pelaut?

Justeru watak bangsa ini banyak terbentuk dalam budaya kelautan yang serba mencabar. Tradisi bahari atau budaya kelautan telah membentuk watak yang kuat, berdaya tahan dan berdaya juang.

Di darat banyak tempat selamat, banyak pilihan untuk berteduh dan berlindung, bersembunyi dan berdiam diri, mengelak dan menghindar. Tetapi di laut tidak banyak pilihan sama sekali.

Anak laut tidakdapat lari dari gelombang dan taufan, tidak dapat menghindar dari ribut dan badai. Tidak ada pilihan bagi anak laut selain menghadapi dan menaklukinya dengan sepenuh keberanian dan kekuatan.

Kehidupan dan budaya kelautan mendidik bangsa ini menjadi bangsa bijaksana yang mampu membaca tanda, menafsir isyarat dan menangkap pesan yang dibisikkan oleh angin dan ombak, burung dan ikan.

Demikianlah hakikatnya, tradisi bahari dan etos kelautan telah berperanan besar sebagai wahana pembinaan kekuatan watak yang dicirikan oleh sifat-sifat unggul kemandirian, keberanian, kecekalan, ketangkasan, kepekaan, ketelitian, keyakinan, dan semangat kebersamaan yang kental.

Dalam sebuah kapal di tengah gelora samudera, seluruh warganya dari nakhoda, juru mudi, kelasi hingga seluruh anak kapal dan penumpangnya terpadu dalam kebersamaan menghadapi nasib, timbul atau tenggelam, hidup atau mati. Ke mana menghilangnya watak bahari yang sedemikian itu?

Mungkin kita sudah tercabut dari tradisi besar tersebut. Kita bukan lagi bangsa pelaut yang jaya merajai Samudera, dan tamadun kita pun bukan lagi tamadun maritime yang berpaksikan negara kota perdagangan jalur laut. Memang kita semakin mengecil di laut, mengecil di darat, dan lebih kecil lagi di angkasa.

Tetapi Melayu belum hilang di dunia, dan kerana itu masih ada harapan untuk bangsa ini kembali unggul. Dalam kaitan inilah relevannya sejarah masa lalu sebagai inspiratory kebangkitan semula. Yang penting adalah usaha membina kekuatan dengan menggali nilai-nilai luhur dari tradisi kita sendiri, termasuk tradisi bahari dan budaya kelautan.

Kembali mengakar pada nilai-nilai luhur warisan tradisi adalah strategi kebangkitan yang telah terbukti kejayaannya dalam sejarah pelbagai bangsa.

Dalam masa singkat Jepun mampu bangkit dari kehancuran Perang Dunia Kedua dengan meminjam teknologi moden Barat tetapi tetap mengakar kuat pada nilai-nilai budaya BUsyido-Samurai. Mereka telah menterjemahkan nilai-nilai kepahlawanan tradisional itu menjadi etos keusahawanan dan displin kehidupan sehari-hari.

Demikian juga di sebalik kebangkitan China sebagai kuasa besar dunia hari ini sebenarna bukan faham komunisme yang baru mereka kenal beberapa dekad yang lalu, tetapi lebih dilatari oleh nilai-nilai tradisi seperti ajaran Konfusius, agama Buddha dan lain-lainnya yang jauh lebih lama mengakar sejak berabad-abad.

Nilai-nilai luhur warisan tradisi seperti semangat persaudaraan, kebersamaan, gotong-royong dan tolong menolong telah semakin lesu dalam ghairah semangat individualistik dan mementingkan diri. Pada zaman menggilanya nafsu kebendaan sekarang ini, kita menyaksikan semakin pupusnya amal sukarela, dan semakin mengurangnya sesuatu yang boleh diperolehi secara percuma.

Serba-serbinya harus dengan wang, there is no such thing as free lunch. Gejala seperti itulah yang disebut oleh Malik Bennabi sebagai al-fikr al mayyit, pemikiran dan nilai positif yang mati dilanda al-fikr al-mumit atau pemikiran dan nilai asing yang mengganas dan meluluh-lantakkan. Mungkin akan banyak lagi pemikiran dan nilai-nilai luhur warisan tradisi yang akan mati sebagai korban rempuhan globalisasi ketika ini.

Pembinaan watak dan citra bangsa harus meliputi usaha memlihara nilai-nilai luhur warisan bangsa, menggali yang telah lama tertimbus dalam peredaran zaman, dan menyegarkan yang telah layu dalam pertukaran musim.

Secara budaya, sebenarnya bangsa kita bukan tidak memilikki kesedaran tentang keperluan menghidupkan semula warisan yang telah ditinggalkan. Kesedaran seperti i
tu dapat dirasakan dalam ungkapan tradisional, “mambangkit batang tarandam”.

Ungkapan yang bererti menegakkan semula pohon yang telah tumbang dan ditenggelami air itu mengekspresikan semangat memugar warisan silam.

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR