ABIM Pusat

Published in ABIM Pusat

Krisis Perlembagaan Dan Demokrasi Berparlimen: Malaysia Menuju Negara Diktator? Featured

Jun 28, 2021 Hit: 278 Written by 
Krisis Perlembagaan Dan Demokrasi Berparlimen: Malaysia Menuju Negara Diktator?

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kenyataan yang dikeluarkan oleh Yang Berbahagia Peguam Negara Malaysia bertarikh 25 Jun 2021. 

Isi utama dari kenyataan pihak Peguam Negara adalah berkisar Perkara 39, 40 (1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan berhubung tindakan titah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah yang dibatasi menerusi nasihat yang diberikan oleh Perdana Menteri dan Jemaah Menteri. 
 
Umumnya ia adalah satu cerminan sistem Raja Berperlembagaan iaitu tata cara dan tindakan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) adalah didasari oleh peruntukan undangundang yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. 
Dalam masa sama, ia juga adalah manifestasi kepada Sumpah Jawatan bagi Yang di-Pertuan Agong seperti yang termaktub dalam Perkara 37 serta Bahagian I Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan yang antaranya menyatakan “maka dengan lafaz ini berikrarlah Kami dengan sesungguhnya dan dengan sebenarnya mengaku akan taat setia pada menjalankan dengan adilnya pemerintahan bagi Malaysia dengan mengikut sebagaimana undang-undang dan Perlembagaan yang telah disahkan dan dimasyurkan dan akan disah dan dimasyurkan di masa hadapan ini.” 
Selain itu, Yang Berbahagia Peguam Negara turut menjelaskan situasi ketika darurat tidak ubah sama seperti situasi di luar Darurat iaitu tindakan YDPA masih tertakluk di bawah nasihat Perdana Menteri dan Jemaah Menteri berdasarkan penghakiman dalam kes N Madhavan Nair v Government of Malaysia [1975] 2 MLJ 286. 
RAJA BERPERLEMBAGAAN SELARI DENGAN AMALAN DEMOKRASI BERPARLIMEN 
ABIM sesungguhnya meyakini kenyataan yang berdiri atas paksi Raja Berperlembagaan ini adalah demi mempertahankan hak rakyat, memelihara sistem semak dan imbang serta amalan demokrasi di Malaysia. Maka, difahami bahawa tindakan YDPA atas nasihat Perdana Menteri bermaksud atas nasihat yang datang   dari rakyat memandangkan YAB Perdana Menteri seharusnya memiliki sokongan majoriti ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat. 
Dalam Perlembagaan Persekutuan, selain konsep Raja Berperlembagaan, prinsip Demokrasi Berparlimen adalah penting yang menjadi dasar kepada sistem pengasingan kuasa seperti yang termaktub dalam Bab 4 Badan Perundangan Persekutuan, Perlembagaan Persekutuan. 
Dalam erti kata lain, sekiranya kuasa YDPA harus disemak menerusi konsep Raja Berperlembagaan seperti dijelaskan, kuasa-kuasa Perdana Menteri termasuk kuasa untuk menasihati YDPA turut tidak terkecuali kewajipannya untuk disemak serta dibatasi iaitu menerusi sistem Demokrasi Berparlimen. 
Walaupun terdapat tafsiran bahawa Perlembagaan Persekutuan kini digantung termasuk peruntukan yang mewajibkan sidang Parlimen diadakan susulan dari Seksyen 18 dan Seksyen 14 (1) (a) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021, namun Seksyen 14 (1) (b) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 menzahirkan Parlimen masih beroperasi dan tertakluk kepada budi bicara YDPA. 
Ia dinyatakan “Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog, dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong”.
Dalam erti kata lain, prinsip Demokrasi Berparlimen masih diiktiraf ketika Darurat dan ia terletak di tangan YDPA untuk memanggil sidang Parlimen. 
Dari sini kita boleh mengamati sistem semak dan imbang yang harus diangkat bagi memastikan hak rakyat dapat dipertahankan iaitu menerusi gabungan antara prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen walaupun ketika dalam situasi Darurat. 
Konsep Raja Berperlembagaan tidak boleh berdiri sendiri tanpa dukungan prinsip Demokrasi Berparlimen. 
Malah tindakan YDPA mengeluarkan titah untuk Parlimen segera bersidang adalah menepati konsep Raja Berperlembagaan iaitu tujuannya bagi memastikan hak rakyat didukung. 
Dalam masa sama, Perkara 44 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa YDPA adalah sebahagian dari komponen Parlimen Malaysia yang menyimpulkan peranan besar YDPA untuk mempertahankan Demokrasi Berparlimen. 
Perkara 44 menyatakan “Kuasa perundangan Persekutuan hendaklah terletak hak pada Parlimen yang hendaklah terdiri daripada Yang di-Pertuan Agong dan dua Majlis Parlimen yang dikenali sebagai Dewan Negara dan Dewan Rakyat.” 

PERANAN YANG DI-PERTUAN AGONG UNTUK SEMAK & IMBANG KUASA EKSEKUTIF 

Justeru, menerusi titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang  di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni AlMarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah bersama titah yang dikeluarkan.
 Majlis Raja-Raja Melayu bertarikh 16 Jun 2021 supaya sidang Parlimen diadakan secepat mungkin tanpa nasihat dari YAB Perdana Menteri atau Jemaah Menteri adalah satu tindakan yang menepati Perlembagaan Persekutuan, tidak bercanggah dengan konsep Raja Berperlembagaan serta mengangkat prinsip Demokrasi Berparlimen.  
Namun, sekiranya kuasa YDPA untuk memanggil sidang Parlimen ketika Darurat tertakluk kepada nasihat YAB Perdana Menteri atau Jemaah Menteri, maka seolah prinsip pengasingan kuasa antara Eksekutif dan Legislatif tidak berlaku, maka ia terbuka kepada penyalahgunaan kuasa oleh badan Eksekutif. Ini yang pernah ditekankan oleh Prof Owen Hood Phillips dalam buku Constitutional and Administrative Law (1973) yang menyatakan:   
 “Political liberty is to be found only when there is no abuse of power. But constant experience shows us that every man invested with power is liable to abuse it and to carry his authority as far as it will go ... To prevent this abuse, it is necessary from the nature of things that one power should be a check on another ... When the legislative and executive powers are united in the same person or body there can be no liberty. Again, there is no liberty if the judicial power is not separated from the legislative and the executive ... There would be an end of everything if the same person or body, whether of the nobles or of the people, were to exercise all three powers”
 Justeru, titah YDPA dan Majlis Raja-Raja Melayu untuk memanggil sidang Parlimen tidak harus dikesampingkan atas Batasan nasihat pihak Eksekutif memandangkan ia satu-satunya jalan untuk memastikan kuasa Eksekutif disemak dan diimbang ketika Darurat lebih-lebih lagi ketika kehidupan rakyat yang semakin tenat.
Muhammad Faisal Abdul Aziz 
Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) 
28 Jun 2021 / 18 Zulkaedah 1442 H  
--
Last modified on Thursday, 01 July 2021 23:48
Read 278 times
Rate this item
(0 votes)

Berita ABIM

GPM Salur Sumbangan
Oleh: Syahrir Azfar Bin Saleh, Ketua Pegawai Operasi, Global Peace Mission (GPM) Malaysia ...
Krisis Perlembagaan Dan
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kenyataan yang dikeluarkan oleh Yang Berbahagia Peguam ...
ABIM Rintis Waqaf Tenaga
  5 Mei 2021, Kajang : - ABIM tekankan fokus untuk isu Hijau bukan hanya menyentuh isu ...
Jangan Sampai SOP Raya
  Sumber : Sinar Harian SHAH ALAM - Kerajaan digesa memberi jaminan bahawa tiada amalan ...
Masyarakat Orang Asli
  22hb April 2021 (Khamis): Hari Bumi Sedunia disambut 22hb April setiap tahun. Hari Bumi ...
100 Komuniti OKU
  3hb April 2021 (Jumaat):  Saat hari ini kita menerima suatu pemberian, ada suatu ...
Kosmopolitan Islam Dan
Oleh:- Muhammad Faisal Abdul Aziz                ...

ABIM Negeri

GPM Salur Sumbangan
Oleh: Syahrir Azfar Bin Saleh, Ketua Pegawai Operasi, Global Peace Mission (GPM) Malaysia ...
Krisis Perlembagaan Dan
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kenyataan yang dikeluarkan oleh Yang Berbahagia Peguam ...
ABIM Rintis Waqaf Tenaga
  5 Mei 2021, Kajang : - ABIM tekankan fokus untuk isu Hijau bukan hanya menyentuh isu ...
Jangan Sampai SOP Raya
  Sumber : Sinar Harian SHAH ALAM - Kerajaan digesa memberi jaminan bahawa tiada amalan ...
Masyarakat Orang Asli
  22hb April 2021 (Khamis): Hari Bumi Sedunia disambut 22hb April setiap tahun. Hari Bumi ...
100 Komuniti OKU
  3hb April 2021 (Jumaat):  Saat hari ini kita menerima suatu pemberian, ada suatu ...
Kempen Seorang Sekampit
Kosmopolitan Islam Dan
Oleh:- Muhammad Faisal Abdul Aziz                ...
DMC Firewall is developed by Dean Marshall Consultancy Ltd