ICERD: Mencari Titik Tengah Bukan Titik Noktah

November 21, 2018
editor-media

Saya mengamati isu ratifikasi International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination (ICERD) dengan menekuni pandangan kedua-dua pihak sama ada yang menyokong atau membantah. Sebagai permulaan, boleh dirumuskan bahawa isu ini dapat diselesaikan dengan baik bergantung kepada sejauh mana kedua-dua pihak boleh dengan rasional mempertimbangkan pandangan masing-masing dan mencari titik tengah penyelesaian dan bukan titik noktah untuk sama ada ia diterima atau ditolak.

Sejarah ICERD

Umum mengetahui ICERD telah diluluskan menerusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bertarikh 21 Disember 1965 dan berkuatkuasa pada 4 Januari 1969. Pada saat tersebut, negara-negara Barat khususnya Amerika Syarikat telah dihujani barah diskriminasi bangsa kulit hitam yang amat tenat.

Kita dapat mengamati isu diskriminasi ini menerusi bacaan buku, kajian serta tontonan filem yang menyentuh latar masyarakat di negara Barat pada era tersebut apabila bangsa kulit hitam ditindas dari tidak dibenarkan bersekolah hingga tidak dibenarkan berkongsi tandas dengan bangsa kulit putih. Begitu juga di negara Afrika Selatan dan Australia apabila bangsa asal di negara tersebut dianaktirikan oleh bangsa kulit putih atas nama “white supremacy”.

Justeru dalam konteks Malaysia, sekiranya aspirasi yang ingin dibawa menerusi ICERD sama seperti yang dinukilkan dalam sejarahnya, maka sememangnya ia wajar untuk mewarnai latar sosio negara pada hari ini.

Keabsahan sisi menolak ICERD

Namun, dalam naratif sebahagian yang menyokong ICERD, ia dibaca oleh sekelompok lain yang menentang sebagai tidak konsisten dengan sejarah terdirinya ICERD. Menolak diskriminasi dibaca seolah merebak kepada usaha merubah lanskap, tradisi dan budaya negara. Keresahan ini dapat dihayati menerusi beberapa insiden antaranya apabila sebahagian yang menyokong sebelum ini mendakwa Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan sebagai satu bentuk diskriminasi sedangkan Perkara 153 bukan satu bentuk diskriminasi kaum sebaliknya satu mekanisme untuk membantu bumiputera yang ketinggalan untuk menghasilkan masyarakat yang secara relatifnya seimbang dan stabil khususnya dari segi pendapatan / ekonomi.

Penjelasan ini dapat dilihat dari intipati ucapan Tun Tan Siew Sin:-

“The principle of special position of the Malays has already been embodied in the Federation of Malaya Agreement. The Malays therefore cannot be expected to give up what they already have in the same way they do not expect the other communities to give up their existing rights. Far more important however is the indisputable fact that as a race, the Malays are economically backward and well behind the other races in this field. To put it in another way, the main object of this provision is to ensure that the Malays do not lose the little they already have, and if possible be given a reasonable handicap to enable them to catch up with other races. I cannot think of a more laudable objective nor a more necessary one” (Perbahasan Majlis Perundangan Persekutuan 10 Julai 1957).

Namun, dalam konteks hari ini pendiran mereka dilihat berlainan untuk mengabsahkan jaminan bahawa Perkara 153 tidak akan terjejas. Ketidaktentuan sikap berhubung Perakara 153 akan menjadi polemik kerana ia akan berterusan menjadi butang menarik sensitiviti rakyat memandangkan ia adalah satu simbol tradisi Malaysia sebagai satu terjemahan kepada kontrak sosial negara sebelum Merdeka.

Begitu juga dengan pendirian sebahagian yang menafikan bangsa Melayu sebagai kaum “definitive people” di rantau ini selain insiden pencabulan bahasa Kebangsaan sebagai bahasa rasmi negara termasuk menerusi kenyataan rasmi bertulis Menteri dan insiden papan tanda di beberapa kawasan bandar.

Memetik tulisan Francis Fukuyama dalam buku “Identity” yang telah meletekkan parameter perjuangan menolak diskriminasi di Barat yang jelas tidak ke tahap merubah tradisi, norma, budaya dan lanskap negara tersebut. Beliau menulis :

“The early civil rights movement of Dr. Martin Luther King, Jr., simply demanded that American society treat black people the way it treated white people. It didn’t attack the norms and values that governed the way white people dealt with one another or demand that the country’s basic democratic institutions change.” (Identity 2018)

Justeru, tanpa parameter yang jelas sudah pasti akan digunakan oleh pihak berkepentingan untuk mengapikan rasa takut kelompok majoriti dengan mengemukakan satu naratif “social inversion” seolah-olah majoriti hari ini menjadi mangsa ancaman minoriti.

Perkara sama turut berlaku di Barat hari ini apabila terdapat sebahagian kecil kelompok Muslim yang melaungkan perjuangan untuk mewujudkan sistem Khalifah dan Syariah supremacy di sana. Maka, sudah tentu ia akan melahirkan rasa ancaman dan tidak senang majoriti Barat terhadap kelompok minoriti kerana ditafsirkan sebagai melanggar norma masyarakat sekular yang mereka anuti.

Tetapi, Barat bingkas bangkit dengan membawa sentimen “Islamophobia” sebagai strategi untuk menutup tindakan mereka menekan kelompok minoroti serta sebagai justifikasi untuk mencabuli hak dan kebebasan asasi yang dijamin terhadap kaum minoriti khususnya Muslim.

Kedangkalan sisi menolak ICERD

Namun, tindakan menyamaratakan kesemua yang menyokong ICERD sabagai pembawa agenda untuk merubah dasar, norma dan tradisi Malaysia adalah merupakan satu kedangkalan apabila sentimen tersebut seolah diperalat untuk menjustifikasi sebarang bentuk diskriminasi dalam negara.

Menerusi pemerhatian di beberapa negara berbilang kaum, kita dapat
mengamati betapa besar pengaruh ketakutan apabila apinya berjaya dipercikkan. Maka, ini yang dipercayai oleh para populis politik, apabila mereka berjaya menggabungjalin kuasa dengan sentimen ketakutan agama kaum majoriti maka mereka akan menjadi amat berkuasa.

Ini yang berlaku di India sebagai contoh apabila parti pemerintah Bharatiya Janata Party (BJP) yang dipimpin Narendra Modi berjaya melaungkan agenda “religiopolitical” untuk mendapat sokongan majoriti. Maka tidak hairan mengapa agenda mengisytihar empat juta warga Muslim di wilayah Assam sebagai bukan warganegara telah mendapat sokongan kaum majoriti walaupun dibantah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Human Rights Watch.

Perkara sama berlaku di Myanmar apabila etnik minoriti Rohingya berterusan menjadi mangsa kezaliman atas nama membela puak majoriti dari ancaman. Tindakan ini akan terus berlaku apabila kaum majoriti berterusan memberi sokongan kepada penindasan yang dilakukan oleh kerajaan Myanmar.

Sebaliknya kaum majoriti perlu faham bahawa posisi majoriti tidak bermakna tanpa mengiktiraf minoriti sebagai sebahagian dari mereka. Mengambil contoh agama Islam dan bangsa Melayu sebagai kelompok majoriti ia bukan hanya membawa kepada terjemahan ketuanan kosong tetapi sebagai amanah dan tanggungjawab untuk mempertahankan agama dan bangsa minoriti. Ini yang ditekankan oleh Abdul Majid Najjar apabila mentafsirkan maksud mempertahankan agama (Hifz al-Din) dalam Maqasid Syariah adalah mempertahankan hak kebebasan beragama atau “huquq tadayyun”. Begitu juga konsep ketuanan yang difahami adalah bersyarat seperti yang dinyatakan dengan jelas dalam Al-Quran :

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah.” (Ali-Imran : 110)

Dalam satu teori yang diformulakan oleh Kuntowijoyo “Ilmu Sosial Profetik” beliau mentafsirkan bahawa ayat ini menjelaskan bahawa umat Islam tidak secara lahiriah menjadi umat terbaik yang dibezakan dengan konsep ‘the chosen people’ dari agama Yahudi sebuah mandat kosong yang menyebabkan tercetusnya sentimen perkauman sempit dan racism. Sebaliknya khaira ummah adalah berupa panduan untuk kita berkerja lebih keras menyempurnakan wawasan islah untuk menambah baik kemakmuran manusia di dunia ini.

Titik Tengah Menerusi Sikap Pertengahan

Dalam menyelesaikan kemelut ICERD ini, perkara yang lebih utama adalah sejauh mana kita sebagai rakyat Malaysia bersederhana dan matang dalam menilai kedua-dua pandangan dan membuat rumusan terbaik dengan mengambil kira kedua-dua pandangan.

Atas dasar itu, saya percaya ICERD bukan sesuatu yang bersifat hitam putih tetapi ia adalah proses pendidikan untuk mematangkan masyarakat berbilang kaum untuk menghormati hak kesamarataan kaum masing-masing sebagai warganegara.

Sebagai pandangan dalam mencari titik tengah dan proses awal kepada pendidikan menolak diskriminasi, tidak keterlaluan untuk dicadangkan agar Malaysia menggubal undang-undang menolak diskriminasi dengan mengambil intipati bersesuaian yang terkandung di dalam ICERD dan dalam masa yang sama memberikan hak kepada rakyat Malaysia sendiri menentukan naratif dan penguatkuasaannya tanpa perlu melibatkan pihak luar.

Ia konsisten dengan sikap kita dalam menolak alasan-alasan berhubung kebaikan Perjanjian Trans Pacific Partnership (TPP) yang dikatakan membawa bersama Instrumen Hak Asasi Antarabangsa, atas hujah bahawa pemeliharaan hak asasi boleh dilaksanakan oleh kita sendiri atas dasar “political will’ pemerintah dan bukan dari tekanan luar.

Memahami ia sebagai proses tanpa secara gelojoh meletak titik noktah dengan memaksa pelaksanaannya akan membantu untuk menyesuaikan semangat dan elemen baik di dalam ICERD untuk diterima sama ada dalam struktur pentadbiran mahupun lapisan masyarakat. Ini yang pernah ditekankan oleh Pengerusi Jawatankuasa Menghapuskan Diskriminasi Kaum PBB 1996-1998 Michael Banton dalam buku “Promoting Racial Harmony”:

“Many social policies are introduced late and, for one reason or another, are only partially effective. Factory inspectors are appointed, but there are still many industrial accidents. Health visitors call at homes, and parents are sometimes prosecuted for child neglect, but it remains a serious problem. People are sentenced for breaking other laws than those against racial discrimination but the number of recorded offences continues to rise. If policies for racial harmony yield only disappointing results, against what other sorts of policy are they being measured? This, in its turn, leads on to the sixth kind of answer: that progress has been slow because in a new field of social policy which does not fit easily into the existing administrative structure and cuts across departmental boundaries, it takes time to reach agreement upon objectives and to identify the best means for attaining them.”

Begitu juga sikap meletakkan titik noktah untuk memaksa rakyat menolak ICERD mentah-mentah tanpa mencari titik tengah penyelesaian akan menutup discourse perbincangan dan wacana sihat untuk menambah-baik kehidupan bermasyarakat di Malaysia.

Maka semua segmen dalam masyarakat perlu terbuka dan berjiwa besar mengakui dilemma kaum-kaum lain. Menerusi keterbukan dan jiwa besar tersebut maka kita dapat bersama atas isu kemasyarakatan bersama secara substantif dan bukan hanya bermain di lidah retorika politik semata-mata.

Muhammad Faisal Abdul Aziz,

Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR