Dato’ Dr Siddiq bin Fadzil Dilantik Sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah USIM.

October 31, 2018
editor-media

Alhamdulillah, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengucapkan tahniah di atas perlantikan YBhg. Prof. Dato’ Dr Siddiq bin Fadzil sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bermula 1hb Oktober 2018. Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1440H/2018M ini pernah melaksanakan amanah selaku Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang ketiga.

Beliau mula berkhidmat sebagai Presiden ABIM semenjak 1983 sehingga 1991. Terdahulu beliau memimpin ABIM mulai 1982 sebagai pemangku Presiden. Sebelum ini Dato’ Dr Siddiq Fadzil juga pernah diiktiraf sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Perak pada tahun 2006. Beliau juga merupakan Presiden Kolej Dar al-Hikmah (KDH).

Kupasan beliau mengenai Maqasid As-Syar’iah, Al-Islam Rahmatan Lil Alamin, Manhaj Maliziy serta Pembinaan Bangsa Malaysia berasaskan konsep kepelbagaian dalam bingkai kesatuan, telah dijadikan rujukan kontemporari umat Islam untuk mencorakkan gagasan Malaysia Baharu. Memetik Pidato Penegasan oleh Dato’ Dr. Siddiq ketika ‘Seminar Kebangsaan: Visi Islam Dalam Aspirasi Malaysia Baharu’ anjuran ABIM di USIM, Nilai pada 20hb Oktober lalu:

“Sistem pendidikan harus direformasikan dengan mengembalikan pendidikan watak bangsa agar tidak lagi terlalu berorientasi peperikasaan. Harus ada anjakan ke arah membina watak bangsa.

” Semoga pengiktirafan ini menginspirasikan seluruh warga ABIM dan seluruh umat Islam untuk terus kehadapan menyumbang dalam apa jua lapangan dakwah di tanah air sehingga ke peringkat global.

Mohamad Raimi Ab Rahim, Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR