Balu Ustaz Fadzil Noor, Datin Khatijah Ibrahim meninggal dunia

October 22, 2021
editor@abim

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merakamkan ucapan takziah di atas kepergian balu kepada bekas Presiden PAS dan Pemangku Presiden ABIM, Ustaz Datuk Haji Fadzil @ Ali bin Mohd Noor, Almarhumah Datin Hajjah Khatijah Ibrahim, 77, yang meninggal dunia petang semalam.

Almarhumah meninggal dunia pada kira-kira pukul 4:43 petang di Hospital Kuala Lumpur kerana kegagalan buah pinggang.

Jenazah Almarhumah disolatkan di Masjid Bilal bin Rabah di Taman Koperasi Polis sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudah Sakinah, Kuala Lumpur-Karak.

Datin Khatijah Ibrahim pergi dengan tenang bersama hati yang ingat kepada Allah Subhanahu wa-Ta’ala. Lidahnya basah dengan al-Quran dan hafazan al-Quran. Hati dan hidupnya untuk al-Quran dan Islam. Bersusah payah bersama dengan Almarhum Ustaz Fadzil dalam hidup berjuang sebagai pendukung kebenaran dan keadilan.

Pada 23hb Jun 2002, Ustaz Fadzil yang ketika itu berusia 65 tahun meninggal dunia pada pukul 10:30 pagi. 

Ustaz Fadzil Noor pernah memangku jawatan Presiden ABIM apabila Presiden ketika itu, Sdra. Anwar Ibrahim ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana memoerjuangkan hak golongan fakir miskin yang tertindas.

Teks Ucapan Dasar pertama Sdra. Anwar Ibrahim selaku Presiden ABIM Kedua yang ditulis dalam Kem Tahanan Kamunting, Perak pada tahun 1975; dibacakan oleh Almarhum Ustaz Fadzil selaku Pemangku Presiden ABIM ketika itu.

Anak jati Kampung Seberang Pumpung, Alor Setar, Kedah ini juga pernah memegang jawatan Setiausaha Penerangan ABIM pada 1973 dan 1974.

Beliau turut terlibat dalam demontrasi menentang isu kemiskinan di Baling, Kedah tahun 1974, dan terkenal sebagai penggiat tarbiah dalaman ABIM.

Bersama Almarhum Syeikh Niamat Yusuf (Yang Dipertua ABIM Kedah yang pertama), beliau banyak bergerak mengisi program usrah, tamrin dan seminar perkaderan ABIM di seluruh negara.

Atas nama kemanusiaan, pada 8hb Mei 2002, Ustaz Fadzil berkongsi pentas bersama Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamed (kini Tun) dalam Syarahan Perdana Palestin anjuran ABIM dan DBP.

Almarhum terkenal sebagai pemidato tersohor serta terlibat aktif dalam perbahasan di Parlimen.

Sebagaimana visi murni Almarhum Tuan Guru Ustaz Nik Aziz Nik Mat, Ustaz Fadzil juga menekankan keperluan menyuburkan pemikiran wasatiyyah (moderat) serta menjaga keharmonian hubungan antara kaum di Malaysia.

Ketika pengebumiannya, kesesakan berlaku sejauh 20km menuju ke di Muassasah Darul Ulum, Pokok Sena, Kedah.

Dilaporkan lebih 200,000 orang berpusu-pusu untuk memberikan penghormatan terakhir kepada murabbi umat ini.

Semoga Allah Subhanahu wa-Ta’ala merahmati Almarhumah Datin Hajjah Khatijah, dan menempatkan beliau di sisi-Nya Yang Maha Pengasih.

InnaliLlahi wainna ilayhi raajiuun.

#AlFatihah

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR