14hb Oktober 2018 – 14hb Oktober 2021
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memperingati kepergian Almarhum A.M Saleem Abdul Majeed yang lebih dikenali sebagai Saleem Iklim, pada 14hb Oktober 2018 lalu ketika berusia 57 tahun.
Penyanyi ‘Suci Dalam Debu’ ini begitu sinonim dengan deretan lagu malar segar yang begitu mengesankan.
Dengan melodi yang menarik dan lirik yang kuat, lagu-lagu nukilan S. Amin Shahab, Almarhum J.S Kevin, Wan Zul dan lain-lain; yang pada zahirnya dilihat sekadar berkisar kisah cinta sesama manusia, sebenarnya punya pengertian yang lebih mendalam, sarat disaluti dengan mesej nasihat, keTuhanan serta kerohanian.
Unsur kerohanian serta kesedaran yang diselitkan dalam lagu-lagu ini menjadikan ia lebih bermakna jika dihayati. Sebagai rekod, Saleem juga pernah bermain bola sepak untuk Kampung Buloh, Setiu, Terengganu.
Malahan, lagu ‘Blues Terengganu Kite’ nyanyian beliau bersama Iklim dijadikan lagu promosi untuk pasukan Terengganu FA, dalam satu perlawanan Final Piala Malaysia, ketika berdepan cabaran Perak FA.
Ketika itu, TV1 menggunakan lagu ‘Kejor Yob Kejor’ nyanyian Almarhum M. Shariff sebagai lagu skuad Seladang.
Suara Almarhum yang unik serta sukar dicari ganti, menjadikannya segar dalam ingatan para peminat setia beliau, yang turut mencakupi negara-negara jiran, khususnya Brunei, Indonesia dan Singapura.
Semoga Allah Subhanahu wa-Ta’ala merahmati Almarhum, dan menempatkan beliau di sisi-Nya Yang Maha Pengasih.
InnaliLlahi wainna ilayhi raajiuun.
#AlFatihah