Almarhum Dato’ Dr. Hailani Muji Tahir, tokoh bidang muamalat kini dalam kenangan

September 29, 2021
editor@abim

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengenang pemergian Almarhum Profesor Madya Dato’ Dr. Haji Hailani Bin Haji Muji Tahir, yang kembali kepada penciptanya, pada jam 3:55 pagi, 22hb September 2021.

Semasa hayatnya, Almarhum merupakan mantan pensyarah Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam di UKM, mantan Ahli Lembaga Pemegang Amanah di Lembaga Zakat Selangor dan Ahli Lembaga Pengarah, Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS).

Lulusan Ph.D pada akhir tahun 1984 dari Aberdeen University, Scotland yang banyak terlibat dalam pembangunan kewangan Islam ini pernah dinobatkan sebagai Tokoh Zakat Negeri Selangor (1996) dan Tokoh Maal Hijrah Negeri Selangor (2005).

Sewaktu bergelar mahasiswa, beliau seorang yang aktif dalam kegiatan pelajar. Meskipun sebagai mahasiswa Fakulti Pengajian Islam beliau lebih banyak berada di kampus UKM di Petaling Jaya (bekas kampus Kolej Islam).

Dari zaman mahasiswa memang telah tampak minatnya yang besar dalam bidang muamalat atau sistem ekonomi Islam dan ternyata beliau kemudian muncul sebagai pakar dalam bidang itu, bukan sahaja sebagai ahli akademik di Fakulti Pengajian Islam UKM bahkan melalui penyertaan aktifnya dalam pelbagai institusi pelaksana sistem mualamat.

Beliau dianggap antara tokoh dalam bidang muamalat di Malaysia. Ketokohan beliau terbukti melalui sumbangan besar beliau dalam bidang ini sama ada dalam bentuk penulisan mahupun keterlibatan beliau secara langsung dalam organisasi-organisasi MAIS, Zakat, Takaful, Kewangan dan Perbankan.

Ini ditambah dengan kerjaya akademik beliau selama 35 tahun bermula tahun 1977 hingga 2012 mengajar subjek yang mempunyai kaitan dengan bidang muamalat di Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau banyak mengkaji, menganalisis dan menulis tentang zakat, wakaf dan baitulmal serta hubungannya dengan belanjawan dan pembangunan negara.

Jiran dan sahabat karib kepada Almarhum Prof. Dato’ Dr. Ustaz Siddiq Fadzil (USF) ini pernah menjadi Pakar Rujuk Lujnah Syariah Koperasi Belia Islam (KBI) Malaysia dan Naib Pengerusi KBI.

Beliau yang berusia 76 tahun pernah berkhidmat sebagai Yang Dipertua, Persatuan  Mahasiswa  Fakulti  Pengajian  Islam  (PMFPI), UKM (1973); Pengerusi   Biro Pelajaran, Persatuan Mahasiswa   UKM (PMUKM) dan Penolong  Setiausaha  Agung,  Persatuan  Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia  (PKPIM).

Beliau juga pernah menjadi tenaga pengajar sambilan di Institut Pengajian Ilmu-Ilmu Islam (IPI) ABIM (kini dikenali sebagai Kolej dar Al-Hikmah) yang beroperasi di Jalan ABIM, Kampung Sungai Ramal Dalam.

Jenazah Almarhum dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Ramal Dalam, Kajang. Seluruh warga ABIM mengucapkan salam takziah kepada ahli keluarga atas kehilangan Almarhum. Semoga Allah Subhanahu wa-Ta’ala merahmati Almarhum, dan menempatkan beliau di sisi-Nya Yang Maha Pengasih. InnaliLlahi wainna ilayhi raajiuun.

#AlFatihah

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR