ABIM Anjur Malam Gala Filem IMAM Di Istana Budaya

March 6, 2023
Admin Abim

ABIM Anjur Malam Gala Filem IMAM Di Istana Budaya

28hb Februari 2023: Alhamdulillah, sekitar Majlis Malam Gala dan Sidang Media filem ‘IMAM’ yang diadakan di Panggung Sari, Istana Budaya anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan AlKahfi Pictures. Ini merupakan kali pertama filem ditayangkan di IB, memandangkan infrastruktur premis tersebut adalah untuk pementasan, dan bukannya tayangan filem. Lebih 900 orang hadir menonton karya hebat ini.

Filem yang diadaptasi daripada novel berjudul IMAM karya Sasterawan Negara, Almarhum Datuk Abdullah Hussain. Penggambaran filem ini dilakukan sekitar Januari 2022 di beberapa buah lokasi seperti Lenggong dan Malim Nawar, Perak serta Kuala Tahan, Jerantut Pahang.

Karya yang mendapat pembiayaan Dana Kandungan Digital (DKD) ini menampilkan Dato’ M. Nasir, Faizal Hussein, Vanidah Imran, Datin Natasha Charmaine, Dato’ Jalaluddin Hassan, Dato’ Rahim Razali, Sani Sudin serta ramai lagi pelakon hebat.

Antara yang hadir dalam program penuh bermakna ini adalah Sdra. Muhammad Faisal Abdul Aziz (Presiden ABIM); YB Puan Fadhlina Binti Sidek (Menteri Pendidikan); YB Tuan Mustapha @ Mohd Yunus Bin Sakmud (Timbalan Menteri Sumber Manusia); YB Ustaz Mohd Zawawi Bin Ahmad Mughni (ADUN Sungai Kandis dan Exco Kerajaan Negeri Selangor); YB Tuan Halimey Abu Bakar (ADUN Seri Setia); YB Tuan Mohd Najwan Bin Halimi (ADUN Kota Anggerik); Dato’ SN Siti Zainon; Datuk SN Zurinah Hassan; Datuk Seri Dr. SN A. Samad Said; Datuk Dr. SN Anwar Ridhwan; Datin Siti Saroja Basri (balu Almarhum Datuk SN Abdullah Hussein); dan Prof Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan (Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka – DBP).

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Prof. Madya Dr Mohamed Azam Mohamed Adil (Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia – IKIM); Ustaz Hj. Zamri Zainal Abidin (Pegawai Tugas Tugas Khas kepada Perdana Menteri dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia – YADIM); Ustaz Hj. Mohammad Zamri Zakaria (mantan Pengarah Kanan, Pembangunan Sosioekonomi & Komunikasi korporat, Yayasan Pembangunan Ekonomi islam Malaysia – YaPEIM); dan Mat Luthfi (ML Studios).

Turut tampil dalam majlis ini adalah para tonggak serta teraju IMAM seperti Sutradara Mior Hashim Manap dan Puan Izzaidah Khairan (Penerbit & Pengarah Filem IMAM) serta para pelakon seperti Datuk M. Nasir; Dato’ Rahim Razali; Rahim Jailani; Datin Natasha Charmaine; Sani Sudin; Dato’ Jalaluddin Hasan; Vanidah Imran; Dewa Sapri dan ramai lagi.

Para seniman juga hadir seperti Nasir Jani; U-Wei Hj Shaari; Mansor Puteh; Dato’ Yusof Haslam; Aziz M. Osman; Zulkifli M. Osman; Rashid Sibir; Z. Lokman; dan Mat London (Ahmad Ibrahim).

IMAM merupakan sebuah filem adaptasi novel Sasterawan Negara, Almarhum Abdullah Hussain yang diterbitkan pada tahun 1995. ABIM merupakan rakan strategik utama naskah hebat ini, yang akan ditayangkan di 45 buah pawagam bermula 2hb Mac 2023. Filem wajib tonton 2023!

Bersempena filem Imam yang bakal ditayangkan di pawagam pada 2hb Mac 2023, pelakon utamanya, Datuk M. Nasir turut menyanyikan lagu runut bunyinya (OST) berjudul Munajat. Munajat juga adalah single terbaharu M Nasir selepas sekian lama sejak album terakhirnya, Sang Pencinta pada 2006. Lagu dan lirik ciptaannya itu pasti dinantikan ramai.

Nilai estetika karya yang dihasilkan penyanyi legenda ini tidak dinafikan cukup mengagumkan. Sentuhannya kerap menampilkan kedalaman mesej yang sangat tinggi nilainya. Demikian juga Munajat yang menurut M Nasir secara umum membawa maksud doa atau rintihan hati.

Beliau menggalas kepercayaan menghasilkan lagu itu dan diterbitkan syarikatnya, Luncai Emas Sdn Bhd. Ia bagi menyemarakkan lagi impak Imam karya Mior Hashim Manap yang juga adalah penerbit filem itu.

Bergelar seniman serba boleh, M. Nasir sering mencabar dirinya dalam pelbagai disiplin seni seperti lukisan, pembikinan arca dan lainnya termasuk bidang lakonan. Beliau juga terkenal dengan watak ikonik seperti Bujang dalam filem Kembara Seniman Jalanan, Desa dalam filem Balada dan yang paling diingati ramai, Hang Tuah dalam Puteri Gunung Ledang. Kali ini beliau memegang watak seorang imam.

Filem Imam terbitan Al-Kahfi Pictures Sdn Bhd adalah sebuah adaptasi karya agung Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain yang turut dibintangi Vanida Imran dan Faizal Hussein. Filem itu mengisahkan kepulangan Imam Haji Mihad (lakonan M. Nasir) ke kampungnya, Kampung Anggrik Desa, selepas lama menghilangkan diri.

Dia kemudian dilantik penduduk kampung untuk menjadi imam baharu menggantikan imam tua, Haji Abdul Rahman. Dia berusaha untuk membawa pambaharuan kepada masjid terbabit. Bagaimanapun, usahanya berdepan tentangan daripada penduduk perkampungan itu yang ternyata masih ‘jumud’.

•••

Menyumbanglah seikhlas hati anda, walaupun RM1. Klik: https://www.billplz.com/infaqramadhanabim

Dan sertai ABIM di sini: https://www.abim.org.my/daftar-keahlian-online/

#ABIMdiHatiku#GerakanIlmuDanBakti

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR