ABIM Kunjungi Pejabat UNIW

October 20, 2014
editor-media

Selasa – 15 Oktober 2014 – ABIM dan PKPIM telah mengadakan kunjungan hormat ke Ibu Pejabat Union of NGOs of the Islamic World (Uniw Idsb) di Istanbul,Turki. Delegasi Abim Pusat diketuai oleh Penolong Setiausaha Agung Sdr Ahmad Fahmi Mohd Samsudin dan Sdr Syahrir Azfar Al-Halabi, Ketua Misi Kemanusiaan ke Syria manakala PKPIM pula diwakili oleh Sdr Muhamad Zikri, Naib Presiden PKPIM (Antarabangsa). Rombongan kami turut disertai oleh pelajar Malaysia yang kini menuntut di universiti Turki, Sdri Nuramirah Bt Shahrin dan Sdri Munawarrah dari negara Brunei. Kami disambut oleh Sdr Aliemran Norasid yang merupakan Mantan Presiden PKPIM sesi (2013-2014) yang kini berkhidmat di UNIW sebagai eksekutif dalam Hal Ehwal (Desk) Asia Pasifik. Kunjungan delegasi diraikan oleh Sdr Yusuf Kara Timbalan Koordinator UNIW. Beliau berperanan sebagai Ketua Staff yang menyelia gerak kerja UNIW di seluruh dunia. PKPIM dan ABIM selain daripada beberapa NGO lain di Malaysia seperti Wadah Pencerdasan Umat, Jaringan Masadepan, Global Peace Mission Malaysia (GPM), Yayasan Takmir, Yayasan Pembangunan Ummah merupakan badan gabungan terawal yang berperanan menubuhkan UNIW hasil daripada resolusi yang dicapai dalam persidangan bertema “The International Conference of Non-governmental Organizations of the Islamic World : Searching for a New Vision in a Changing World “ pada 1 Mei 2005 di Istanbul, Turki. Persidangan tersebut disertai oleh lebih 300 NGO daripada 40 buah negara. Ketika ini UNIW mempunyai lebih 400 NGO daripada lebih 50 buah negara manakala wakil Malaysia Tn Hj Ahmad Azam Ab Rahman ketika ini berperanan sebagai Timbalan Setiausaha Agung UNIW. Dalam pertemuan selama hampir sejam ini, pelbagai topik yang dibincangkan antaranya berkenaan perkembangan terkini gerak kerja UNIW yang bakal meraikan ulangtahun penubuhan yang ke 10 pada tahun 2015. Malaysia juga akan berperanan sebagai tuan rumah dalam penganjuran International Youth Gathering (IYG kali ke 12) pada awal tahun hadapan. Selain daripada itu, kerjasama yang lebih erat antara badan gabungan juga merupakan hasrat utama yang disampaikan oleh delegasi Malaysia selain memperkuatkan jaringan kerjasama antara agensi kemanusiaan khususnya melibatkan krisis di Syria. Semoga dengan kunjungan hormat ini akan memperkuatkan lagi usaha penyatuan melalui gerakan NGO seluruh dunia oleh kerana pendekatan kerja NGO tidak mempunyai banyak kerenah birokrasi dan gerakan sivil (sivil society) merupakan platform terbaik dalam menggerakan agenda yang melangkaui batas sempadan geografi.

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR