Serangan operasi “Pillar of Defense” selama 8 hari rejim Zionis ke atas Gaza penghujung 2012 berakhir dengan gencatan senjata yang ditaja oleh Presiden Mesir Dr. Morsi. Ini merupakan kemenangan moral kepada rakyat Palestin khususnya Gaza kerana Israel tidak akan bersetuju untuk melakukan gencatan senjata melainkan secara tidak langsung mengakui pihak Hamas mempunyai kekuatan tersendiri.
Penganalis politik antarabangsa seperti Ahmad Azam Abdul Rahman, Pesuruhjaya Union of Ngos in the Islamic World (UNIW) turut menyifatkan peristiwa Mesir menaja gencatan senjata menunjukkan satu lanskap potitik baru telah muncul di Asia Barat khususnya selepas peristiwa thaurah sya’ab atau kebangkitan rakyat.
Serangan biadap ini berlaku ketika munculnya fajar Muharram seolah-olah rejim Zionis ingin menguji keimanan dan kesabaran umat Islam dan pecinta keamanan di seluruh dunia. Serangan Israel mempunyai beberapa sebab selain menguji kesabaran umat Islam; menguji senjata kimia baru; dan pilihanraya Israel yang semakin hampir, ia bertujuan memerangkap Obama yang baru sahaja memenangi kerusi Presiden Amerika untuk penggal kedua (2012) supaya terus-menerus memberikan perhatian utama dan dokongan kepada rejim Zionis itu.
Walaupun semua Presiden Amerika pro Israel namun darjah kekuatan sokongan berbeza khususnya di antara Obama dan Romney. Romney merupakan kawan lama Netanyahu, Perdana Menteri Israel. Sudah tentu Israel khususnya Netanyahu amat berharap rakannya yang amat pro Israel itu menang dalam Pilihanraya Presiden Amerika baru-baru ini sekaligus mengukuhkan cengkaman sokongan Amerika terhadap agenda Zionis di Asia Barat.
Obama sebaliknya menang khususnya undi Yahudi Amerika walaupun dilaporkan menyebut membenci Netanyahu sebagai si pembohong. Generasi muda Yahudi Amerika menurut Dr. Kevin Barret, pengkritik polisi ‘War on Terror’ Amerika, “…no longer fashionable among young American Jews to care about Israel”.
Generasi muda Amerika khususnya generasi muda Yahudi sudah menghantar mesej yang jelas kepada dunia dengan menjadi faktor utama kepada kemenangan Obama di samping pengundi wanita, golongan middle class dan etnik Hispanic. Menurut Ahmad Azam Abdul Rahman lagi, lebih merungsingkan rejim Zionis, apabila kebanyakkan calon yang pro Zionis di Amerika dalam pilihanraya Kongres Amerika bersempena Pilihanraya Presiden Amerika baru-baru ini tewas.
Ini juga merupakan satu mesej yang jelas daripada keseluruhan rakyat Amerika bahawa mereka sudah muak dengan agenda Zionis yang banyak memporakperandakan dunia khususnya di Asia Barat. Tambah memeritkan Zionis lagi, masyarakat dunia sudah meluat dengan mereka dengan pelbagai usaha agresif unjuk rasa seperti Freedom Flotila, Viva Palestine, March to Jerusalem, Deir Yassin Remembered dan terbaru sokongan pengiktirafan 138 negara ke atas Palestin sebagai negara pemerhati bukan anggota di PBB.
Satu perkembangan menarik pada 2012 yang lalu melalui analisis orang ternama Yahudi seperti Henry Kissinger dan 16 agensi intelijen Amerika dalam laporan “Preparing for a Post-Israel Middle East” bersetuju bahawa masa depan dunia adalah tanpa kewujudan Israel atau lebih tepat menurut Kissinger yang dipetik The New York Post secara verbatim, “In 10 years, there will be no more Israel”.
Analisis perisikan Amerika itu antara lain menyebut bahawa Parti Pemerintah Likud Israel yang ekstrem itu semakin menjadi jadi menyokong pembiakan petempatan haram Yahudi di atas tanah yang dicuri pada tahun 1967. Dunia tidak boleh menerima kerja haram ini. Selain itu, Israel tidak mampu lagi membendung kebangkitan pejuang pro Palestin pasca Arab Spring dan kebangkitan Islam.
Dengan kejatuhan para diktator di Asia Barat pada ketika itu, menyebabkan kebangkitan kerajaan Arab yang lebih Islamik, demokratik, dan kurang mesra Israel. Analisis tersebut menambah bahawa Kerajaan Amerika tidak lagi mempunyai sumber untuk berterusan mendokong Israel bahkan mengesyorkan supaya Amerika harus fokus kepada agenda nasional mereka dan memutuskan talian hayat dengan Israel.
Analisis yang sudah tidak lagi menyebelahi Israel ini adalah kerana 3 sebab menurut Dr Kevin Barret. Pertama adalah kerana rakyat Amerika yang prihatin hubungan luar negara Amerika termasuk Kissinger dan perisikan Amerika ini sendiri sudah semakin muak dengan sikap berterusan keras kepala dan degil khususnya dalam hubungan isu Israel-Palestin.
Kedua, Lobi Israel yang banyak mendominasi ‘public discourse’ di Amerika khsususnya dalam melindungi kepentingan Israel. Profesor John L. Esposito, pemuka Ilmu daripada Georgetown University ketika menyampaikan syarahan di Malaysia pada Ogos 2008 menyebut..”…a strong lobby group for example AIPAC (American Israeli Public Affairs Committee), will not to see other lobbies step out in front and be strong”.
Mungkin dominasi sebegini meningkatkan lagi kebencian dan kemuakan di samping lobi-lobi mereka yang mengheret Amerika ke kancah perang Afghanistan, Iraq dan terbaru cuba mengheret Amerika untuk menyerang Iran bagi memastikan sekuriti Israel terjamin. Ketiga, seperti yang disebut penulis di atas adalah faktor generasi muda Yahudi yang sudah tidak lagi melihat entiti dan survival Israel sebagai isu yang penting dan mendasari kehidupan mereka.
Faktor tambahan lain adalah pendedahan tragedi 911 bahawa ianya diorkestrakan oleh Israel dan bukan seperti tuduhan ke atas al-Qaeda. Ini didedahkan sendiri oleh pemerhati tertinggi individu half jewish seperti Alan Sabrosky, Pengarah Pengajian Strategik di US Army War College yang yakin seratus peratus bahawa Israel dan pendokongnya yang melakukan operasi 911.
Sudah terang lagi bersuluh, dunia sudah jelas menunjukkan protes terhadap bencana yang dibawa oleh Israel, sudah tepat masanya wacana World without Israel atau lebih tepat World without Zionist dibincang, disebar, dimobilisasi dan direalisasikan agar punca utama permasalahan kepada ketidakamanan dunia bakal ditamatkan segera.
Disediakan Oleh Jufitri Joha (Naib Presiden ABIM). Sumber: Majalah Al-Islam Januari 2013.