Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga seluruh warga Penerbangan Malaysia, MH 17. Semoga tabah dalam menghadapi tragedi ini yang turut dikongsi kesedihannya oleh seluruh warga Malaysia. Sesungguhnya peristiwa ini amat mengejutkan seluruh rakyat Malaysia yang masih belum reda dengan peristiwa kehilangan MH 370.
Mewakili seluruh warga Malaysia yang prihatin, ABIM mengharapkan pihak berkuasa dapat memberikan perhatian sepenuhnya ke arah menjaga kebajikan serta cakna terhadap keperluan waris keluarga mangsa yang terlibat. ABIM juga mengharapkan pihak berkuasa agar sentiasa berkongsi maklumat serta perkembangan terkini berhubung dengan MH 17, dengan mengambil kira perkembangan pesat dalam perkongsian maklumat menerusi media sosial khususnya. Akhir sekali, didoakan semoga Malaysia terus diberikan kekuatan untuk menempuhi ujian dan dugaan yang besar ini. Amin.
b/p Angkatan Belia Islam Malaysia
Muhammad Faisal Abdul Aziz, Setiausaha Agung, ABIM.