Mendukung Integriti Dan Kebebasan Badan Kehakiman

January 23, 2019
editor-media

Wadah Pencerdasan Umat Malaysia WADAH memandang berat isu Ketua Hakim, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Peguam Negara, Menteri Undang-Undang dan peguam persendirian menari sepentas pada majlis makan malam Opening of Legal Year 2019 (OLY) peringkat Sabah dan Sarawak di Kota Kinabalu Sabah.

Menurut Tertib Tatakelakuan Hakim, badan kehakiman mesti mengelakkan ketidaksopanan dan gambaran ketidaksopanan dalam semua aktiviti kehakiman. Di antaranya:- Seorang hakim tidak boleh-

a.membenarkan apa-apa hubungan mempengaruhi kelakuan kehakiman atau penghakimannya;

b.menggunakan prestij jawatan kehakimannya untuk memajukan kepentingan peribadinya atau orang lain;

dan

c.memberikan atau membenarkan orang lain memberikan gambaran kepada mana-mana orang bahawa mereka berada dalam kedudukan yang istimewa untuk mempengaruhinya.

Selain itu juga,

•Seseorang hakim hendaklah mengelakkan hubungan rapat dengan anggota profesion perundangan secara individu, khususnya mereka yang menjalankan amalan di dalam mahkamah hakim itu, jika hubungan demikian mungkin menimbulkan syak atau tanggapan pilih kasih yang munasabah.

WADAH menolak dalih bahawa kejadian pada acara tersebut hanyalah aktivti sosial lazim atau percubaan membawa konotasi terdapat perbedaan faham resam serta keagamaan. Isu ini adalah sesuatu yang serius tentang pelanggaran prinsip profesional dan etika universal.

WADAH kesal dengan alasan-alasan remeh dan hambar yang berikan oleh wakil-wakil kerajaan kerana kedaulatan undang-undang (rule of law), integriti dan ketelusan serta kewibaaan penjawat-penjawat tinggi undang-undang merupakan harapan dan janji serta sebab berlakunya (raison d’Ăªtre) Malaysia Baharu.

WADAH menggesa tindakan tegas dan segera dilakukan oleh kerajaan bagi menegur, membetulkan dan memulihkan keadaan agar mengembalikan keyakinan rakyat kepada integriti badan kehakiman dan penjawat-penjawat tinggi undang-undang negara. Suatu keadilan bukan hanya perlu dilakukan tetapi mesti juga dilihat dilakukan.

AHMAD AZAM ABD RAHMAN

Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)

20 Januari 2019

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR