Kenyataan Media ABIM – 6 April 2023 / 15 Ramadan 1444H
ABIM KECAM SERANGAN ISRAEL KE ATAS MASJID AL-AQSA
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam sekeras-kerasnya kekejaman terkini yang dilakukan Israel di Masjidil Aqsa.
ABIM merujuk kepada laporan pencerobohan oleh rejim Zionis pada 5hb April 2023 (Rabu) yang mengakibatkan kecederaan parah kepada 7 orang, selain ratusan yang lain cedera ringan ketika sedang beriktikaf di masjid tersebut.
Dilaporkan bahawa 400 umat Islam Palestin ditangkap dalam insiden kali ini yang menyebabkan kerosakan teruk kepada beberapa fasiliti utama masjid itu.
ABIM mengecam tindakan rejim Zionis yang turut bertindak kejam memukul para jemaah menggunakan belantan dan senapang hingga menyebabkan kecederaan dan sesak nafas.
Saksi turut menyatakan bahawa polis Zionis Israel menggunakan kekerasan yang berlebihan apabila mereka melempar bom tangan dan gas pemedih mata ke arah para jemaah yang sedang menunaikan solat dan bertadarus al-Quran.
ABIM menegaskan tindakan ini sebagai perbuatan biadab kerana ia dilakukan ke atas umat Islam sedang beribadah sempena dengan bulan Ramadan yang mulia ini, yang terang-terangan tidak menghadirkan sebarang ancaman keselamatan.
Justeru kekejaman ini merupakan jenayah terhadap kemanusiaan kerana membabitkan masyarakat awam termasuk wanita serta kanak-kanak sepertimana dilaporkan media antarabangsa.
Atas nama kebenaran dan keadilan, ABIM menggesa masyarakat antarabangsa untuk membuka mata serta menyatakan solidariti mereka bersama rakyat Palestin yang secara berterusan menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis yang melangkaui norma kemanusiaan sejagat.
ABIM juga menuntut pemimpin-pemimpin dunia khususnya dalam kalangan negara Islam termasuk Malaysia membuktikan solidariti dengan mengenakan tekanan politik sehingga kekejaman seperti ini dihentikan sama sekali.
Muhammad Faisal Abdul Aziz, Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).