“Sesat di Kuala Lumpur, Dosa dan pahala bercampur… Tapi kita perlu hidup, Kita perlu terus hidup…”
– Sesat di Kuala Lumpur (Kembara)
Mengaku peminat tegar filem tanpa menonton Kembara Seniman Jalanan (KSJ) adalah satu falasi. Ini bukanlah satu dogma, memandangkan naskah yang diarahkan oleh Nasir Jani pada 1986 dan skrip oleh M. Nasir ini adalah filem ‘cult’ yang mempunyai kesan yang tinggi. Ditayangkan di seluruh negara pada 22hb Februari 1986, KSJ menerima respon yang pelbagai – baik daripada kalangan umum, wartawan mahupun sang politikus.
Tidak lain kerana mesejnya yang sarat dengan kritikan pedas dan tajam, khususnya berkenaan hal cetak rompak, yang masih membarah – dari zaman P. Ramlee hingga ke hari ini. Oleh sebab tu KSJ jadi relevan sepanjang zaman.
Dianggap ‘filem generasi baru’ ketika diterbitkan, KSJ dibintangi oleh nama-nama besar dalam industri seni tanah air. Pastinya yang paling dikenang adalah watak Bujang/Jebat (Datuk M. Nasir) dan Osman Tikus (Pyanhabib). Penampilan Imuda, Ito dan Blues Gang, Siso Kopratasa, Ramli Sarip, Amy dan Search, M. Rajoli (Allahyarham), Majid Salleh, Shah Reza (Datuk) serta dR. Sam sekadar melengkap lagi rencah kegemilangan filem ini.
KSJ juga menampilkan sisi kritikan terhadap pemerintah ketika itu yang dilihat seolah-olah sangat memusuhi para penggiat muzik rock – mereka dimomokkan di dalam media cetak, radio dan kaca TV sebagai golongan yang jahat dan membawa pengaruh negatif kepada masyarakat terbanyak.
Survival – perjuangan untuk terus hidup dengan prinsip dan integriti turut diangkat dalam filem hebat ini. Hebatnya pukulan naskah ini sehingga dianggap sangat kontroversial dan menerima pelbagai bentuk kritikan yang tajam. Dah sah-sah sebab jalan ceritanya seolah-olah menyindir orang-orang besar yang terlibat dalam kegiatan cetak rompak.
Era gemilang rock negara menyaksikan nama-nama besar seperti SYJ, Bloodshed, Sweet Charity, Search, Wings, Ella & The Boys, Lefthanded, Rahim Maarof & Whitesteel (sekadar menyebut beberapa nama) menjadi kegilaan anak-anak muda ketika itu.
Dari rambut yang gondrong sehingga seluar ketat yang menyeksakan, dari seluar koyak di lutut hingga kasut ‘Aliphs’ – semua gaya penyanyi tersohor kegemaran mereka diikuti. KSJ mengangkat suara penggiat seni ketika itu yang hidup melarat akibat kegiatan cetak rompak, meskipun nama dan karya mereka laku bak pisang goreng panas di pasaran. Nama popular, tapi hasil jualan sedikit, kerana peminat memilih untuk membeli yang bukan versi asli.
Filem yang cukup dekat dengan masyarakat ini adalah filem ‘wajib tonton’ buat mereka yang mahukan kelainan dalam filem Melayu. Naskah ini akan terus dikenang kerana mengangkat isu cetak rompak dan penindasan ke atas artis, yang terus menjadi polemik – sejak dahulu – sehingga hari ini.
Apa yang paling menarik tentang filem ini berlaku di luar set penggambaran, apabila Pyanhabib dicalonkan sebagai penerima anugerah “Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik” menerusi filem KSJ pada 14hb Disember 1986, dalam Festival Filem Malaysia kali ke-6.
Di PWTC, satu Malaysia menjadi saksi bagaimana Pyanhabib menolak untuk menerima trofi yang dimenanginya, sebaliknya, hanya berposing dengan anugerah tersebut untuk bergambar selama beberapa saat sahaja. Tindakan itu bukan saja menyebabkan Jins Shamsuddin (Tan Sri – Allahyarham) yang berada di sebelah Pyanhabib terkejut, malah satu negara terpinga-pinga.
Sebabnya? Pyan yang asalnya dicalonkan menerusi filem KSJ, secara tiba-tiba diberikan anugerah untuk filem ‘Tsu Feh-Sofiah’. KSJ dikatakan terpaksa ditolak pada saat-saat akhir, atas alasan M. Nasir ketika itu masih memegang kerakyatan Singapura. Hal ini agak paradoks dengan pencalonan filem ‘Suara Kekasih’ arahan warga Indonesia, Ida Farida, yang diterima tanpa bahas.
Tindakan spontan Pyanhabib itu menjadikan KSJ sebagai bukan sahaja naskah yang mengangkat soal mempertahankan prinsip di dalam filem, tetapi juga menerusi tindakan berani para pelakonnya yang saling mempunyai jiwa serta ikatan integriti yang teguh.
Paling utama, KSJ mengajar kita bahawa;
Selain babi dan anjing, ada banyak lagi perkara yang perlu kita hadamkan sebagai haram dan keji. Rasuah dan cetak rompak adalah antara perkara jijik dan kotor yang sangat perlu kita jauhi. Hak penulisan, hak cipta dan kreativiti adalah terpelihara dan dilindungi serta diiktiraf – tidak hanya oleh undang-undang sivil; malahan oleh syariat.
Hak-hak itu adalah kepunyaan pemilik-pemiliknya dan tidak harus dicerobohi. Menjual atau membeli barangan curi, melainkan darurat, adalah jelas keharamannya. Mencuri daripada hasil susah-payah dan jerit-perih orang lain, sehingga menzalimi pemilik asal karya tersbeut. Jadi, setiap kali kita memuat turun produk cetak rompak, ingatlah bait-bait ringkas dalam lagu ‘Cetak Rompak’ dendangan Kembara: “Andai terjadi pada diri anda, apakah agaknya yang dirasa?”