22 Januari 2015:-Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) telah melancarkan program Perkampungan Menara Gading (PMG) seluruh negara mulai 22 Januari 2015. Untuk permulaan PMG 2015 digerakkan di Perak, Johor, serta Pahang. Penyertaannya terbuka kepada para pelajar lepasan SPM bertujuan sebagai persediaan untuk menghadapi kehidupan di alam kampus.
Di samping pengisian berupa ceramah, motivasi, serta perkongsian pengalaman, para peserta berpeluang menyerlahkan potensi kepimpinan yang tersembunyi di dalam diri mereka. Sebagai contoh, PMG 2013 di Universiti Malaya para peserta telah terlibat dalam perbincangan ala mini parlimen. Potensi kepimpinan para pelajar ini diserlahkan dengan bimbingan trainer PKPIM, Badan Gabungan Negeri (BGN) PKPIM serta penceramah luar yang berketerampilan.
Latarbelakang PMG PMG adalah satu program yang mula dilaksanakan di sekitar tahun 1997. Ia pada mulanya dihasratkan untuk membantu para pelajar sekolah menengah agama atau lebih tepat lagi calon-calon SPM dan STPM dari sekolah tersebut memilih kursus di peringkat IPT. Kenapa demikian? Ini kerana kebanyakan sekolah agama tidak mempunyai guru kaunseling untuk menyalurkan maklumat mengenai kursus-kursus di IPT. Perjalanan program ini dibaiki dengan turut melibatkan pelajar dari sekolah bukan beraliran agama.
Perlu diakui, PMG diinspirasikan dari Latihan Dedikasi Kepimpinan (LDK) yang dianjurkan oleh Khaesatuan Pelajar Islam Perak (KPIP). Melihat dari keberkesanan program ini, beberapa persatuan pelajar Islam negeri mula mengikut jejak langkah KPIP ini. Antaranya Persatuan Pembimbing Pelajar Islam Kelantan (PPIK) dan Kesatuan Pelajar Islam Johor (KPIJ).