editor-media

editor-media

Seluhur Budi

May 24, 2018

Kuala Lumpur: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Wilayah Persekutuan dan Pertubuhan Institut Perbankan Islam Malaysia (AlBIM) menganjurkan Kempen Seorang Sekampit Beras (KSSB) untuk tahun kedua dengan mengagihkan beras dan keperluan asas lain kepada 400 keluarga daripada Program Perumahan Rakyat (PPR) di Lembah Klang.

Pengagihan itu dilakukan di Masjid Al-Bukhary, Jalan Hang Tuah semalam, membabitkan PPR Seri Sarawak, PPR Seri Selangor, PPR Loke Yew, PPR Tun Razak dan PPR Cochrane. Presiden ABIM Muhammad Raimi Abd Rahim berkata, agihan itu ditumpukan kepada penduduk di kawasan bandar kerana statistik mencatatkan 52 peratus kemiskinan adalah di bandar dan 48 peratus lagi kemiskinan di luar bandar.

“Mereka yang tinggal di bandar terpaksa menampung kos sara hidup yang tinggi, jadi ABIM dan AIBIM mengambil peluang pada Ramadan ini untuk memberi sumbangan beras dan keperluan asas lain seperti tepung, gula dan susu agar dapat meringankan beban mereka. “Senarai penerima tahun ini meningkat lebih 100 peratus berbanding tahun lalu hanya 930 keluarga asnaf.

“Kerjasama ini juga memperlihatkan keprihatinan Institut Perbankan Islam menyumbang kepada masyarakat bandar yang memerlukan bantuan. Kempen tahun ini menyasarkan 2,000 keluarga asnaf di Lembah Klang,” katanya. Harian Metro.

20hb April 2018 (Jumaat): Alhamdulillah, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) meneruskan Siri Jelajah Kesedaran Isu Ekonomi Rakyat bersama Dr Muhammed Abdul Khalid, untuk edisi Utara pada malam ini. Menampilkan Sdr. Khairul Anuar Musa (Ketua Biro Undang-undang ABIM Perak) selaku moderator, “Forum Ekonomi Rakyat, Tertekan Atau Terbela?” telah dianjurkan di Sekretariat ABIM Perak (Taman Meru Perdana 2, Ipoh). Turut hadir, Setiausaha Agung ABIM, Sdr. Muhammad Faisal Abdul Aziz serta pimpinan ABIM Pusat dan ABIM Perak. Terdahulu, forum seumpamanya telah dilangsungkan di Kompleks Al-Hikmah (Sekolah ABIM), Alor Setar dan juga Menara Zakat, Alor Setar, Kedah. Para hadirin juga berpeluang mendengar perkongsian ilmu dan soal jawab berkenaan ekonomi daripada Dr Muhammed Abdul Khalid, yang juga merupakan Pengarah Urusan dan Ahli Ekonomi kepada DM Analytics. Beliau juga merupakan bekas Pengarah Penyelidikan Khazanah Research Institute.

19hb April 2018 (Khamis): Alhamdulillah, bertempat di Dewan ABIM, Taman Cemerlang, Kuala Lumpur, telah dianjurkan Sidang Media Bantah Manifesto Dual Language Program (DLP) dan Pengembalian Sekolah Aliran Inggeris. Program DLP ini dilihat seperti menghidupkan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Dato’ Dr. Awang Sariyan, mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), menyebut bahawa kita tidak boleh terus terbelenggu dalam minda tertawan (captive mind) serta penjajahan bahasa (linguistic imperialism). Sementelah, Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan, Presiden Persatuan Penterjemah Malaysia menegaskan bahawa kita tidak boleh menyamakan program DLP di Malaysia dengan yang dilaksanakan di Amerika, kerana di sana, ia dijalankan dengan andaian pelajar sekolah itu belum lagi dapat memahami penjelasan ilmu sains dan matematiknya dalam bahasa bukan bahasa ibundanya.

Beliau juga menyatakan bahawa program DLP boleh menyekat perkembangan kreativiti asli (indigenous creativity) dalam kalangan para pelajar yang terlibat dalam program tersebut. Para pejuang bahasa dan pakar pendidikan kebangsaan telah berkali-kali mengemukakan saran bahawa peningkatan penguasaan bahasa Inggeris perlu digerakkan dalam kerangka dan kaedah yang strategis, bukan melalui penginggerisan sistem pendidikan negara.

Page 9 of 232