Displaying items by tag: taski

Oleh: Zairudin Hashim (Penolong Setiausaha Agung ABIM)

Aisyah R.A ketika ditanya bagaimana akhlak Rasulullah? Beliau menjawab: “Akhlaknya adalah al-Quran.” (HR. Muslim)

Hadith ini memberikan kita gambaran betapa kita semua perlu meningkatkan iltizam, untuk berakhlak dengan akhlak al-Quran, sesuai dengan keagungan peribadi Rasulullah S.A.W. Ketika permulaan dakwah Islam, Nabi Muhammad S.A.W sendiri tidak hanya membina sisi tauhid, tetapi juga membina sendi dan tiang akhlak mulia. Lemahnya aspek amalan akhlak merupakan antara sebab utama yang diakui melebarkan jurang moral di antara keindahan ajaran Islam dan kebobrokan peribadi para penganutnya.

Atas iltizam, keinsafan serta kesedaran yang jelas berkenaan kepentingan soal akhlak di samping pembudayaan ilmu dalam masyarakat, Taman Asuhan Kanak-Kanak Islam (TASKI) telah ditubuhkan di Kedah pada tahun 1978, oleh para pimpinan serta aktivis Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Kedah.

Sesungguhnya, sifat-sifat mahmudah menjadi batu asas kepada terbentuknya sebuah masyarakat yang bertamadun. Menginsafi bahawa masyarakat perlu diperkasakan untuk membudayakan sifat-sifat mahmudah tersebut, Kurikulum TASKI telah dilancarkan sempena Muktamar Sanawi ABIM Pusat, menjelang tahun 1982 di Kuala Lumpur. Hakikatnya, TASKI ABIM memfokuskan kepada pembangunan tingkat perkembangan murid-murid (child development), keperluan (needs) dan minat semula jadi (fitrah), berasaskan al-Quran dan as-Sunnah. Selepas TASKI, timbul pula idea sedari tahun 1983 untuk menubuhkan Sekolah Rendah Islam (SERI) dan Sekolah Menengah Islam (SEMI), di samping Kelas Tahfiz Pengajian al-Quran (TAHFIZ ABIM). Kolej Dar al-Hikmah (KDH) yang asalnya dikenali sebagai Institut Pengajian Ilmu-ilmu Islam (IPI) pula beroperasi sejak 1989, dan merupakan kolej Islam swasta terawal ditubuhkan di Malaysia.

Jauh sebelum pengasasan TASKI, ABIM telah merintis pengasasan sekolah swasta bernuansa Islam, Yayasan Anda Akademik (YAA) yang dipelopori pada 1971. Sekolah yang diwujudkan berpusat di Kampung Baru, Kuala Lumpur ini, kemudiannya menjadi model kepada banyak sekolah swasta lain di seluruh negara, yang memberi peluang kepada para pelajar miskin atau luar bandar yang mendapat keputusan tidak cemerlang ketika di bangku sekolah. Hasilnya, ramai lulusan YAA dan sekolah swasta ABIM yang lain, yang cenderung kepada Islam, dan berjaya dengan cemerlang di kampus universiti yang mereka sertai.