Displaying items by tag: international convention on the elimination of all forms of racial discrimination

Saya mengamati isu ratifikasi International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination (ICERD) dengan menekuni pandangan kedua-dua pihak sama ada yang menyokong atau membantah. Sebagai permulaan, boleh dirumuskan bahawa isu ini dapat diselesaikan dengan baik bergantung kepada sejauh mana kedua-dua pihak boleh dengan rasional mempertimbangkan pandangan masing-masing dan mencari titik tengah penyelesaian dan bukan titik noktah untuk sama ada ia diterima atau ditolak.

Sejarah ICERD

Umum mengetahui ICERD telah diluluskan menerusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bertarikh 21 Disember 1965 dan berkuatkuasa pada 4 Januari 1969. Pada saat tersebut, negara-negara Barat khususnya Amerika Syarikat telah dihujani barah diskriminasi bangsa kulit hitam yang amat tenat.

Kita dapat mengamati isu diskriminasi ini menerusi bacaan buku, kajian serta tontonan filem yang menyentuh latar masyarakat di negara Barat pada era tersebut apabila bangsa kulit hitam ditindas dari tidak dibenarkan bersekolah hingga tidak dibenarkan berkongsi tandas dengan bangsa kulit putih. Begitu juga di negara Afrika Selatan dan Australia apabila bangsa asal di negara tersebut dianaktirikan oleh bangsa kulit putih atas nama “white supremacy”.

Justeru dalam konteks Malaysia, sekiranya aspirasi yang ingin dibawa menerusi ICERD sama seperti yang dinukilkan dalam sejarahnya, maka sememangnya ia wajar untuk mewarnai latar sosio negara pada hari ini.

Keabsahan sisi menolak ICERD

Namun, dalam naratif sebahagian yang menyokong ICERD, ia dibaca oleh sekelompok lain yang menentang sebagai tidak konsisten dengan sejarah terdirinya ICERD. Menolak diskriminasi dibaca seolah merebak kepada usaha merubah lanskap, tradisi dan budaya negara. Keresahan ini dapat dihayati menerusi beberapa insiden antaranya apabila sebahagian yang menyokong sebelum ini mendakwa Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan sebagai satu bentuk diskriminasi sedangkan Perkara 153 bukan satu bentuk diskriminasi kaum sebaliknya satu mekanisme untuk membantu bumiputera yang ketinggalan untuk menghasilkan masyarakat yang secara relatifnya seimbang dan stabil khususnya dari segi pendapatan / ekonomi.

Penjelasan ini dapat dilihat dari intipati ucapan Tun Tan Siew Sin:-