Sinar Ramadhan 1438H

Karnival Cinta Ilmu ABIM Perak Tampilkan Kelainan Featured

Apr 17, 2019
Hit: 46
Written by
Karnival Cinta Ilmu ABIM Perak Tampilkan Kelainan

14hb April 2019 Ahad : KARNIVAL CINTA ILMU 2019 di Mydin Meru Ipoh Perak . .

Alhamdulillah. Angkatan Belia Islam Perak (ABIM Perak) terus mensejahterakan bumi Perak dengan Karnival Cinta Ilmu (KCI) kali ke-4 yang berlangsung di MYDIN Meru Mall, Perak. . .

Karnival Cinta Ilmu 2019 dipimpin oleh Saudara Muhammad Saifuddin selaku Pengarah Program KCI merangkap Timbalan YDP ABIM Perak. . . KCI kali ini membawa matlamat mengangkat kesedaran akan kepentingan kewujudan wanita serta memelihara wanita dalam kalangan masyarakat dan mewujudkan rasa penghargaan terhadap lelaki juga wanita. . .

Telah dianjurkan sepanjang satu hari melibatkan kerjasama bersama pihak MYDIN, Majlis Agama Islam Perak (MAIPk), Wadah Pencerdasan Umat (WADAH), Kesatuan Pelajar Islam Perak (KPIP), Kuasa Minda Consultancy and Training dan Butik Inspirasihana. Sekalung budi juga kepada pihak AiA Ipoh atas penajaan sebuah basikal sebagai hadiah pertandingan mewarna. . .

Juga telah berlangsung Dialog: "Men vs Women" yang disampaikan oleh Brother Firdaus Wong dan Puan Nor Bazilah Abu Bakar. Dialog berkonsepkan santai dapat dilihat berjaya menarik perhatian para penonton sekeliling pentas. 

Aktiviti sebelah petang diikuti dengan pertandingan mewarna serta pengisian tutorial tudung dan shawl bersama peserta muslimah dan non muslimah oleh founder Butik Inspirasihana, Puan Nurul Hana Khairi. Slot selingan daripada beliau mewujudkan suasana syahdu apabila seorang penonton wanita berbangsa cina sudi untuk mencuba memakai tudung.

Forum: "Wanita Bidadari Syurga" oleh Ustazah Fatimah Syarha dan Ustaz Mohammad Hafez Bin Ardhi@Ardzi. Forum ini mengupas tentang perilaku wanita yang terbaik serta bagaimana keperluan penyatuan lelaki dan wanita dalam membangun masyarakat. 

Sedari awal penubuhan ABIM, kita konsisten memupuk kepentingan ilmu dalam kalangan masyarakat. Pembawaan mesej melalui Karnival Cinta Ilmu adalah lebih santai dan membina hubungan baik antara setiap lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama. . . Semoga bertemu lagi di Karnival Cinta Ilmu akan datang! . .

Read 46 times
Rate this item
(0 votes)

P.E.R.U.B.A.H.A.N Featured

Apr 17, 2019
Hit: 36
Written by
P.E.R.U.B.A.H.A.N

ramailah yang membincangkan tentang P.E.R.U.B.A.H.A.N.

Saya belajar dari Dr Zainab Alwani, untuk menjadi kritis dan kreatif, kita perlu sering bertanya soalan dan bertanyakan soalan yang betul. Jadi, ini adalah koleksi soalan berkaitan perubahan, bersama jawapan yang difikirkan oleh diri saya sendiri :) (Orang lain mungkin pnya jawapan yang berbeza)

Kenapa perlu perubahan? Pada pendapat saya, perubahan adalah perkara fitrah yang akan terus berlaku sepanjang kehidupan makhluk. Kehidupan perlukan adaptasi, sebagai contoh dari kita kecil sehingga dewasa pelbagai adaptasi berlaku secara fitrah (yang mungkin kita tidak sedar) yang membolehkan kita terus hidup, bertumbuh, membesar dan membiak. Oleh itu, mereka yang menolak perubahan, atau tidak mahu kepada perubahan adalah menolak fitrah. Perubahan sangat perlu dalam kehidupan bagi menjamin kelangsungan hidup sebagai manusia dalam menjalankan tugas sebagai hamba dan khalifah. Masa dan persekitaran sangat mempengaruhi adaptasi dan perubahan dalam kehidupan manusia.

Proses perubahan? Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, perubahan adalah fitrah, atau proses semulajadi. Contohnya proses pertumbuhan manusia, pertumbuhan haiwan dan pertumbuhan manusia. Justeru, proses melibatkan masa dan pergerakan/tindakan. Ia tidak mungkin dapat dilakukan sekelip mata atau menjadi sempurna dalam masa yang pendek. Walaupun perubahan memerlukan masa, namun untuk melakukan perubahan atau memulakan sesuatu perubahan tidaklah terkait masa, hanya mungkin kita mensasarkan pada suatu masa yang paling sesuai atau dirasaikan terbaik untuk diri kita. Ia boleh dilakukan sekarang saat kita terfikir, atau nanti suatu masa yang kita fikir sesuai. Namun, setiap masa kita berubah yang kadang kita tidak sedari.

Ke mana arah perubahan? Jika melihat dari aspek fitrah, perubahan pastinya membawa kepada natijah yang positif. Perubahan dari larva dan kepompon kepada rama-rama adalah untuk terus hidup dan membesar. Perubahan dari biji benih kepada sebatang pokok buah-buahn atau sayuran pastinya untuk terus hidup dan memberi manfaat kepada hidupan yang lain. Jadi, perubahan dalam kehidupan manusia juga harus kepada bersifat positif. Dari hidup serba kekurangan kepada kehidupan yang lebih baik, atau dari seorang yang jahil kepada seorang yang berilmu. Pilihan begini sangat terkait dengan kelebihan yang telah dikurniakan Allah kepada manusia iaitu akal. Malah, Allah juga telah memberi begitu banyak panduan dalam menentukan arah perubahan dalam kitab panduan paling mulia iaitu al-Qur'an. Pelbagai ciri dalam kehidupan telah dibentangkan, tinggal kita manusia untuk mengenalpasti, menilai dan memilih.

Bagaimana melakukan perubahan? Tindakan adalah sangat penting, kerana menurut hukum alam, tiada tindakan tiada hasil yang diperolehi. Contoh mudah, jika lapar, perlu bergerak mencari makan, paling kecil pergerakan ialah menggerakkan tangan mengambil makanan untuk dimasukkan ke mulut. Oleh itu, apakah tindakan yang wajar kita lakukan untuk mencapai perubahan? Sekali lagi saya mengambil pesan Dr Zainab Alwani dalam perkara ini.

(i) Kenal pasti punca atau keperluan - kenapa dan apakah perubahan yang ingin kita lakukan? organisasi? diri sendiri? dan apakah yang perlu atau ingin diubah? sistem? individu? hala tuju? dan ia sangat terkait dengan apa yang berlaku pada masa dan persekitaran tersebut?

(ii) Rancang strategi - hal ini adalah sangat penting kerana ia akan terkait dengan kejayaan atau kesan perubahan yang kita inginkan. contohnya perubahan dalam organisasi yang melibatkan sistem, jadi langkah-langkah yang berkaitan harus dikenalpasti dan disasarkan.

(iii) Penilaian - Hal ini juga penting untuk kita menilai semula sekiranya kita gagal, atau jika berjaya bagaimana untuk terus memastikan kejayaan kerana perubahan adalah berkadar langsung dengan masa. Ya, ia sentiasa terus perlu kepada perubahan dan adaptasi.

Mungkin kita boleh mengaplikasikan perkara ini dengan contoh-contoh perubahan yang kita inginkan dalam kehidupan.

Justeru, saya fikir dua asas utama dalam perubahan adalah; (i) mengetahui asas perubahan (kenapa ia perlu dilakukan, apakah perubahan yang perlu dilakukan) (ii) memahami nilai perubahan (kehidupan yang lebih baik, adil, sejahtera dll)

Read 36 times
Rate this item
(0 votes)

Menangani Gelombang Politik Identiti Sejagat Featured

Apr 15, 2019
Hit: 65
Written by
Menangani Gelombang Politik Identiti Sejagat

Oleh:- Mohamad Raimi Ab Rahim, Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

“We cannot get away from identity or identity politics. Identity is the powerful moral idea that has come down to us…The moral idea tells us that we have authentic inner selves that are nor being recognized and suggest that the whole of external society may be false and repressive. It focuses our natural demand for recognition of our dignity and gives us a language for expressing resentments that arise when such recognition is not forthcoming…Identity politics thus engenders its own dynamic, by which societies devide themselves into smaller and smaller groups by virtue of their particular “lived experience” of victimization” Fukuyama,F.(2018) 163-164.

Dunia hari ini dicorakkan oleh politik identiti. Dalam buku terbarunya Identity : The Demand for Dignity and the Politics for Resentment , Francis Fukuyama menghujahkan bahawa dalam era dunia moden yang selama ini dijana oleh aliran politik-ekonomi ‘demokrasi liberal’ , ganjaran materialistik yang semata-mata bersifat ekonomi utilitarian tidak lagi menjadi ukuran kejayaan sebuah ekonomi atau demokrasi.

Kebangkitan rakyat yang berlaku dalam rentetan revolusi Arab Spring menurut Fukuyama adalah sebenarnya didorong oleh perkongsian rasa kecewa - resentment akibat dimalukan dan diabaikan oleh pemerintah mereka – “What was shared among all of these protestors was resentment that they had been humiliated and disregard by their governments.”

Politik identiti didasari oleh sifat dan tuntutan dalaman setiap insan yang inginkan pengiktirafan dalam masyarakat. Kegagalan mendapatkan pengiktirafan identiti, atau penafian terhadap hak berasaskan identiti yang menurut kacamata mereka selayaknya diterima seringkali mengkibatkan keresahan dan tindak balas yang ekstrim dan radikal.

Dasawarsa ini, sindrom dan ikon politik berasaskan identiti semakin ketara dan mewabak merentas benua hasil kebangkitan aliran ‘nasionalisme-populis’: Donald Trump di AS, Brexit di United Kingdom, ledakan anti imigran di Eropah, Viktor Orban di Hungary, Vladmir Putin di Russia dan Xi Jinping di China.

Politik berasaskan identiti jelas semakin ketara dan sedang berleluasa, termasuk di Malaysia. Bagi meraih sokongan dan dukungan pengundi, politik barasaskan perkauman dan agama telah dimainkan dengan begitu hebat sekali. Seperti juga di negara-negara lain, naratif politik identiti di Malaysia memberikan gambaran bahawa wujudnya ancaman-ancaman yang mencemaskan terhadap hak dan kedaulatan kaum majoriti umat Melayu Islam.

Di sisi yang lain, politik identiti juga telah menampilkan naratif ‘warga kelas kedua’ dari sekian banyak pecahan kelompok minoriti yang merasakan hak dan identiti mereka dinafikan.

Pengalaman politik identiti merentas negara mengisyaratkan bahawa senandainya persaingan politik yang berbahaya ini tidak dibendung, jurang perbedaan antara pelbagai kelompok akan semakin melebar dari titik temu permuafakatan. Ketegangan yang wujud ini pula berpotensi diperparahkan oleh faktor ketangkasan penyebaran berita melalui media sosial di alam maya.

Penawar kepada sindrom politik identiti yang semakin membahaya ini menurut Fukuyama, haruslah kembali kepada pengiktirafan identiti berasaskan penghormatan terhadap dignity - maruah kemanusiaan. “While we will never get away from identity politics in the modern world, we can steer it back to broader forms of mutual respect for dignity that will make democracy more functional.” Prinsip asasnya, tidak ada insan yang harus dinafikan hak asasinya sebagai manusia.

Persoalannya rumit dan tidak mudah dirungkaikan. Tiada satu formula baku yang terpakai untuk menyelesaikan semua percanggahan tuntutan dalam masyarakat. Dalam hubungan ini, kita yakin dan percaya bahawa konsep karamah insaniyyah yang dijelaskan dalam Al Quran dan model Sahifah al Madinah merupakan sandaran yang kukuh dalam mencari formula terbaik menangani ancaman politik identiti menelusuri era Malaysia Baharu.

Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) karena Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Al-Maidah: 8)

Read 65 times
Rate this item
(0 votes)

Feminisme Talbiah : Sebuah Lontaran Featured

Apr 15, 2019
Hit: 57
Written by
Feminisme Talbiah : Sebuah Lontaran

Disediakan oleh Raja Nurul Balqis Raja Mohd Ariff

Wanita Dalam Karya.

Pernah dengar teori ginokritikan? Teori feminis yang digunapakai oleh segelintir pengkaji yang ingin mengkaji penulisan wanita dalam karya wanita. Teori ini diperkenalkan oleh Elain Showalter yang merupakan seorang feminis barat.

Mengapa teori ini digunapakai oleh pengkaji di Malaysia?

Hujahnya kerana kebanyakkan penulis wanita bersetuju bahawa peranan menyuarakan isi hati wanita dan hak wanita menerusi karya terletak pada pundak mereka. Hanya wanita yang mengetahui secara tepat isu yang melingkari sekeliling mereka dan mereka jugalah menggariskan panduan dalam usaha menangani isu tersebut.

Sejarah generasi pengkritik wanita dalam bidang sastera wujud pada tahun 1970an.

Salah satu kritikan yang paling berpengaruh dan memberi impak kebangkitan feminisme adalah melalui teori ginokritikan ini. Beliau membahagi sejarah perkembangan penulisan dan kritikan sastera yang dihasilkan wanita melalui 3 tahap yang terkait dengan istilah feminine, feminist, female dan beliau menggunakan 4 model utama bagi melihat keberkesanan ginokritikan yang diaplikasi dalam karya sastera iaitu;

1) Penulis wanita dan biologi wanita

2) Penulis wanita dan Bahasa Wanita

3) Penulis wanita dan Psikologi wanita

4) Penulis. wanita dan Budaya wanita.

Ginokritikan ini merupakan kritikan feminis yang multibidang, lebih menjurus kepada dalaman wanita itu sendiri dan tidak perlu merujuk kepada pengaruh luar. Hakikatnya, ciri-ciri ginokritikan ini merupakan cubaan untuk membebaskan diri dari ikatan sistem patriaki/ penandaan lelaki. Selain itu, ginokritikan juga lebih membicarakan takrif kewanitaan dan karya yang dihasilkan. Oleh itu, sesebuah karya yang ditulis oleh penulis wanita haruslah dikritik oleh wanita juga.

Hakikatnya, ginokritikan ini merupakan satu usaha untuk memartabatkan penulis wanita yang melahirkan karya feminis dan pengkritik yang bersifat feminis. Teori barat ini ternyata berlawanan dengan syariat Islam. Terdapat kelompongan dalam keempat-empat model yang diketengahkan.

Bagi mengisi kelompongan tersebut 6 elemen tentang kedudukan wanita dalam Islam oleh Yusuf Al-Qaradhawi boleh dicantumkan dan melahirkan satu konsep yang dinamakan Konsep Feminisme Talbiah.

Teori Feminism Talbiah.

Mengapa perlu di Islamisasikan teori ginokritikan ini? Sudah pasti teori ini masih boleh diguna pakai oleh pengkaji di Malaysia terutama apabila mengkaji teori feminism dalam konteks Malaysia. Kerana kelompongan yang ada pada teori tersebut, maka perlu ditambahbaik supaya ianya relevan dalam waqi’ Malaysia. 

Menurut Mufti wilayah persekutuan, Dr Zulkifli Al-Bakri( 2010) konsep talbiah merupakan penyerahan mutlak kepada Allah swt. Konsep ini diterima oleh para sahabat daripada Rasulullah s.a.w dan diakui oleh ulama. Konsep talbiah ini bertujuan untuk membentuk peribadi wanita melayu Islam berpandukan Al-Quran, sunnah dan pandangan ulama. Perjuangan feminisme di Barat yang memperjuangkan hak wanita, status dan taraf yang sama dengan lelaki dengan menganggap bahawa mereka diletakkan di bawah kekuasaan lelaki sangat berlawanan dengan keadaan wanita di Malaysia.

Siti Hajar Che Man (2007) dalam buku beliau, esei-esei kritikan feminis dan sastera melayu menyatakan definisi feminisme di rantau Asia lebih fokus soal keprihatinan terhadap penindasan wanita, eksploitasi tindak balas dan kerjasama antara lelaki dan wanita untuk mengubah persepsi yang sedia ada. Agama memainkan peranan penting bagi menghalang segala bentuk radikalisme yang menjadi ciri gerakan di Barat.

Di Malaysia, perjuangan ini bertentangan dengan agama, nilai, adat, dan budaya kerana wanita di sini tidak ditindas sepenuhnya oleh lelaki. Aspek penindasan ini disangkal oleh Abd Rahim Abd Rashid( 2011) seperti yang tercatat dalam buku beliau: ketrampilan wanita Alaf Baru. Menurut beliau, kedudukan wanita di malaysia dari segi sosial, ekonomi, politik dan kerjaya jauh lebih baik dan selesa jika dibandingkan dengan negara Asia yang lain.

Pada awal penubuhan gerakan feminisme di Malaysia, penubuhnnya begitu kuat dipengaruhi barat, lebih bermotifkan reformasi sosial dan politik wanita. Ternyata masyarakat tidak boleh menerima tindakan dan tingkah laku wanita barat yang menyebabkan mereka terpesong dari landasan agama, budaya dan etika.

Tuntasnya, perjuangan feminisme di Malaysia lebih kepada mahu mengangkat status, imej dan moral.

Konsep femisime talbiah dibina utk menganalisis keperibadian wanita islam yang bertunjangkan Al- Quran, sunah dan pendapat ulama iaitu Yusuf Al Qaradhawi. Yusuf Al-Qaradhawi membincangkan tentang wanita dalam 6 pandangan, iaitu;

1)Wanita sebagai insan,

2)wanita sebagai perempuan,

3)wanita sebagai ibu,

4)wanita sebagai isteri,

5)wanita sebagai anak,

6) wanita sebagai anggota masyarakat.

Keenam-enam elemen ini merupakan pegangan utama ke arah melahirkan wanita yang menepati syariat Islam. Pencantuman ginokritikan dan pandangan yusuf Al Qaradhawi telah membentuk aspek luaran dan dalaman konsep Feminisme Talbiah. Aspek yang terkandung dlm konsep ini menepati nilai dan budaya Melayu yang murni dan universal Islam.

Aspek tersebut membina nilai rohaniah manusia yang terdiri dari nilai agama, sosial, nasionalisme, patriotisme, hormat ibu bapa, berdaya positif. Menerusi konsep Feminisme Talbiah, perwatakan wanita melayu Islam diterjemahkan dengan memberikan gambaran iltizamnya mereka dengan tauhid yang ikhlas kerana Allah swt. Maka, ini wajar dijadikan panduan buat pejuang feminisme di Malaysia agar mereka sentiasa berada dalam landasan yang benar mengikut syariat Islam dalam norma, nilai masyarakat melayu.

Read 57 times
Rate this item
(0 votes)
Pelancaran Buku "Anwar Ibrahim: Semangat Darah Muda"

Alhamdulillah, buku "Anwar Ibrahim: Semangat Darah Muda" selamat diluncurkan oleh dua orang puteri Dato' Seri Anwar Ibrahim, iaitu Nurul Izzah dan Nurul Ilham. Dato' Seri Anwar Ibrahim lebih dikenali sebagai seorang pemimpin politik, tetapi tidak ramai mengenali beliau sebagai pemimpin gerakan dakwah. Beliau adalah mantan presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan mantan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Beliau juga pernah mengemudi Majlis Belia Malaysia (MBM) sebagai Presiden.

Ini adalah sejarah zaman muda beliau dalam arena dakwah dan kepemudaan. Beliau juga adalah tokoh membaca yang sejak memimpin ABIM telah mengemudi gerakan dakwah terbesar ini dengan asas intelektual, yang menjadi tradisi ABIM sehingga ke hari ini. Buku ini adalah dedikasi kepada perjuangan beliau, untuk melihat beliau selain daripada naratif politik. Terima kasih kepada semua yang hadir pada majlis peluncuran pagi tadi. Sambutan luar biasa.

Kami memohon ribuan kemaafan atas segala kekurangan. Ada yang menunggu seawal pagi dari Kuantan Pahang, Melaka, Johor, Kedah dan seluruh pelusuk negara.

Read 93 times
Rate this item
(0 votes)
Hentikan Normalisasi Yang Meremehkan Penderitaan Umat Islam Uyghur!

Bersama hentikan normalisasi serta usaha meremehkan penderitaan umat Islam Uyghur! Mereka saudara kita, dan kini mereka dizalimi. Prihatin, peka dan caknalah, jika kita mempunyai sifat kemanusiaan!

وَلَا تَرۡكَنُوٓاْ إِلَى ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ فَتَمَسَّكُمُ ٱلنَّارُ وَمَا لَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ مِنۡ أَوۡلِيَآءَ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ ١١٣

"Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang penolongpun selain daripada Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan." - - (Hud: 113)

Read 71 times
Rate this item
(0 votes)

Buku ABIM Press Raih Anugerah Buku Negara 2019 Featured

Apr 12, 2019
Hit: 62
Written by
Buku ABIM Press Raih Anugerah Buku Negara 2019

Alhamdulillah.. Tarikh hari ini, Isnin, 1 April 2019, salah satu buku terbitan ABIM PRESS, iaitu buku yang berjudul “Nafahat al-Ridwan: Riwayat Hidup Shaykh Uthman Sarawak”, telah memenangi ANUGERAH BUKU NEGARA 2019, sebagai Buku Umum Terbaik (Kategori Terjemahan). Buku ini adalah bergenre manaqib (iaitu riwayat hidup) seorang tokoh ulama besar yang lahir di negeri sarawak, yang menjadi guru di Masjidil Haram.

Beliau wafat di Makkah al-Mukarramah. Keilmuwan beliau diangkat oleh ulama besar yang lain sepertimana yang pernah dirakamkan oleh Hamka sendiri di dalam bukunya sebagai seorang yang lebih alim berbanding Hamka, dan beliau pernah menjadi guru kepada bapa Hamka di Makkah. Beliau seharusnya menjadi tokoh yang patut diangkat namanya sebagai seorang alim besar, dalam dunia keilmuwan Islam, yang berasal dari bumi Sarawak, Malaysia.

Tokoh ini dan buku ini boleh dianggap asing bagi kebanyakan orang di Malaysia, akan tetapi kami dengan penuh iltizam mengusahakan juga penerbitannya. Kami yakin, banyak manfaat yang dapat diperoleh melalui peribadi tokoh ini buat rakyat Malaysia amnya. Anugerah ini sesungguhnya menggembirakan kami dan ia merupakan suatu pengiktirafan kepada kualiti yang ada pada penerbitan buku ini, Alhamdulillah.

Kami mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada semua yang terlibat menjayakan penerbitan ini, terutama kepada penterjemah dan penyuntingnya iaitu Fazril Saleh, tim penerbitan ABIM Press, dan juga buat semua yang terus menerus menyokong dan mempercayai penerbitan kami sehingga ke hari ini Anugerah ini akan terus membakar semangat kami untuk menerbitkan buku-buku ilmiah yang berkualiti pada masa hadapan.

Buat tuan-tuan dan puan-puan yang ingin mendapatkan buku ini boleh perolehinya melalui laman sesawang kami: http://www.abimpress.my/product/nafahat-al-ridwan/

Read 62 times
Rate this item
(0 votes)
Bahasa Jiwa Bangsa! Para Pejuang Bahasa Tegaskan Pendirian Kepada Presiden BERSATU

3 hb April 2019: Allhamdulillah, Setiausaha Agung ABIM, Sdr. Muhammad Faisal Abdul Aziz telah menyertai sesi muzakarah dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Menteri Dalam Negeri, tentang isu-isu pancang kenegaraan. Pertemuan ini disertai oleh para pejuang bahasa kebangsaan serta tokoh budayawan.

Perbincangan seputar masa depan Agama Islam, bahasa kebangsaan serta institusi Melayu-Islam di Malaysia. Semoga negara ditadbirkan dengan berdasarkan pancang-pancang kenegaraan yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. TS Muhyiddin menegaskan bahawa Kerajaan hari ini jelas dengan dasar Islam dan Melayu sebagai teras utama negara ini.

Beliau terkenal selaku pemimpin yang mengangkat martabat bahasa Melayu, malah Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan sewaktu beliau menjadi Menteri Pelajaran.

PPSMI dimansuhkan sepenuhnya pada 2012, selepas diluluskan pada Julai 2002. 10 tahun berlalu, namun perjuangan membantah perlaksanaan PPSMI, Dual Language Program (DLP) mahupun apa jua usaha memperlekeh bahasa Melayu, takkan pernah padam. ABIM dan PKPIM akan tetap konsisten dalam perjuangan ini, apa juga halangan yang menanti.

Belajar dan fasihlah dengan apa jua bahasa yang kita mahu dan minati. Perkasakanlah pengajaran dan pembelajaran subjek bahasa Inggeris. Tapi bukan dengan menidakkan hak para pelajar untuk lebih faham matapelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda mereka. Bahasa Jiwa Bangsa!

Read 64 times
Rate this item
(0 votes)

Kisah Subra & ABIM Featured

Apr 12, 2019
Hit: 69
Written by
Kisah Subra & ABIM

Tersenyum kami sejak Subra datang ke ABIM. Saja nak kongsikan kisah Subra dan macam mana Subra boleh sampai ke ABIM. Subra duduk berdekatan dengan SAP (Sekretariat ABIM Pusat). Sedang belajar secara tidak sepenuh masa dalam jurusan General Management di salah sebuah kolej swasta di KL.

Sambil tersenyum Subra kongsikan, keputusan SPM nya tidak seberapa namun jiwa Subra kental menyambung pengajian di peringkat ijazah. Katanya, kerana dia 'skip' dari proses penyediaan belajar dan terus mengambil subjek degree, banyak kemahiran persediaan yang dia tidak mahir. Kisahnya, ini merupakan semester terakhirnya. Dan Subra perlu membuat pembentangan kerja kursusnya.

Malangnya Subra tidak mempunyai kemahiran tersebut. Tidak tidur beberapa malam kerisauan, akhirnya Subra tekad bertanyakan siapa boleh membantu. Lalu Subra berjalan dari satu pejabat ke satu pejabat, dari satu kedai ke satu kedai bagi memohon bantuan. Sehinggalah tiba di SAP, seperti biasa, staf SAP menyambut Subra sebagai tetamu lainnya. Dan di sinilah Subra akhirnya, untuk kali dan hari ke-2?

Bersungguh-sungguh melihat dia belajar cara menyediakan bahan pembentangan menggunakan 'power point'. Sesi 1 hari pertama Subra datang dibantu penuh oleh pakar IT ABIM Ainaa Azizan. Sesi 2 hari ini dibantu penuh pakar projek Mohd Nor Farhan berselang seli dengan Aina. Akui Subra, senang dibantu oleh keduanya.

Akuinya lagi. Dahulu dia bekerja tetapi sekarang tidak lagi, jadi dia harus menghabiskan segera pengajian dan mencari kerja baru. Untungnya, kongsi dia, pensyarahnya menawarkan dia bekerja bersama sejurus tamat pengajian. Murah rezeki Subra, lurus dan jujur nampaknya. Mudah-mudahan lulus dengan cemerlang, dan mudah perjalanan hidupnya kelak.

Oh ya! Saya pun tak sangka SAP mampu membantu sejauh ini atas dasar keprihatinan dan kemanusiaan.

Didikan sesama staf SAP, dan saya 'bangga dalam rendah hati' dengan performance staf SAP yang mendokong bersama misi rahmatan lil 'Alamin dalam kehidupan seharian ❤. Alhamdulillah. .

Read 69 times
Rate this item
(0 votes)
Tamrin Qiyadiy Kebangsaan 2019 Dekatkan Pimpinan ABIM Dengan Masyarakat

Syukur alhamdulillah, telah berlangsung Tamrin Qiyadi (Latihan Kepimpinan) Kebangsaan ABIM (TQK) pada 22-24hb Mac 2019, yang dijalankan di Ipoh, Perak. Di platform ini, para pimpinan ABIM dilatih untuk mencintai budaya ilmu, berfikir kritis, ikhlas, menguatkan kerohanian, tidak cinta dunia dan jawatan dan berkhidmat untuk masyarakat. Turut dijalankan, Forum Perdana yang mendapat sambutan yang baik daripada penduduk setempat. Selan itu, turut digerakkan program masakan bubur lambuk dan sumbangan barangan dapur kepada asnaf yang dianjur oleh ABIM dan kerjasama dengan pengurusan Masjid Muhammadiah (Masjid Cina) di Ipoh. Terima kasih kepada semua yang terlibat. 

Read 150 times
Rate this item
(0 votes)
Page 1 of 90