Siaran Media (116)

GST Jejas Kehidupan Generasi Muda

Menjelang pelaksanaan GST pada 1 April ini, ABIM melahirkan rasa cemas dan bimbang terhadap kesan kepada generasi muda. Salah satu golongan yang bakal menerima kesan yang besar adalah kelompok mahasiswa.

Dari tinjauan yang dibuat secara rambang, ada mahasiswa hari ini yang menjamah nasi sekali sehari. Kebanyakan dari mereka tidak bersarapan pagi. Mereka makan dengan agak berat pada waktu tengahari.

Bagi menahan kelaparan di waktu malam, biasanya mahasiswa akan memakan mee segera atau makan makanan yang ringan seperti roti, roti canai dan seumpamanya.

Bebanan mahasiswa semakin bertambah berat apabila jumlah pinjaman PTPTN bagi kemasukan Januari 2015 dikurangkan. Kelompok mahasiswa tidak mempunyai banyak pilihan, tambahan pula peralatan memasak seperti periuk nasi elektrik dan cerek elektrik merupakan barang terlarang bagi dibawa ke asrama.

ABIM melahirkan rasa bimbang dengan keadaan ini. Pemakanan yang berzat dan mencukupi untuk seorang pelajar amat penting. ABIM menuntut agar jumlah pinjaman PTPTN, MARA, JPA dan lain-lain tabung pembiayaan pelajaran ditambah atau GST dihapuskan.

Sebagai golongan yang tidak mempunyai pendapatan, mahasiswa sepatutnya tidak dibebankan dengan cukai. Keadaan mencolok mata dengan kemewahan dan pembaziran pendapatan negara bakal menimbulkan rasa jelek terhadap pihak wewenang.

Amidi Abdul Manan, Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Read 629 times
Rate this item
(0 votes)
Anwar Ibrahim Dan Kehakiman Malaysia: Prof. Dr. Taha Jabir al-`Elwaniy

ANWAR IBRAHIM DAN KEHAKIMAN MALAYSIA

Sebuah Penyataan Oleh: Prof. Dr. Taha Jabir al-`Elwaniy (Urus terjemah Angkatan Belia Islam Malaysia)

Prof. Dr. Taha Jabir al-`Elwaniy Saya telah mengenali Anwar Ibrahim hampir empat puluh tahun, sejak beliau memimpin ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia), gerakan belia terpenting di Asia Tenggara. Anwar yang saya kenal ketika itu adalah seorang anak muda yang cerdas, lulusan bidang sosiologi, datang dari keluarga Melayu berdarah India.

Beliau dan organisasi pimpinannya itu banyak mendirikan sekolah-sekolah rendah dan menengah. Memang beliau telah dibesarkan dan didewasakan dalam dunia pendidikan, dan seterusnya menyertai arus gerakan Islam di rantau Melayu. Kerana aktivismenya yang cukup menyerlah beliau menjadi tokoh harapan masa depan arus Islam di dalam dan luar Malaysia.

Reputasinya sebagai pemimpin muda meluas hingga ke luar daerah persekitarannya. Ketika itulah beliau ditangkap dan seterusnya disumbatkan ke khemah tahanan politik oleh pemerintah Malaysia. Setelah pembebasannya, Isma`il al-Faruqi rahimahu ‘Llah tampil memainkan peranannya sebagai orang tengah antara Anwar dan Mahathir Muhamad, Perdana Menteri Malaysia ketika itu.

Al-Faruqiy menyarankan agar Mahathir memanfaatkan pemikiran dan aktivisme Anwar sebagai seorang yang memiliki segala potensi kepimpinan dan sebagai tokoh berkarisma terutama dalam kalangan anak-anak muda. Masa itu adalah era menyemaraknya fenomena keislaman yang disebut Islamic resurgence atau kebangkitan Islam.

Dengan kepekaan politiknya, Mahathir melihat bahawa membawa masuk tokoh muda seperti Anwar Ibrahim - simbol golongan Islamis di Dunia Melayu dan Asia Tenggara - mungkin akan dapat menyelamatkan Malaysia daripada konflik yang tajam di antara golongan nasionalis Melayu (yang berorientasi sekular) dengan golongan Islamis. Di Malaysia ketika itu telahpun wujud parti Islam yang memperjuangkan pelaksanaan syari`at dan menjadikan seluruh wilayah Malaysia sebagai wilayah Islam, di samping telah juga wujud simbol-simbol Islam dalam negara yang memungkinkan Malaysia terdedah kepada konflik seperti yang berlaku di dunia Arab, iaitu konflik di antara golongan Islamis dengan golongan nasionalis.

Di Malaysia pada asasnya tidak wujud perpecahan dalam kalangan kaum bumiputera yang rata-rata adalah Muslim-Sunni yang menganut mazhab Syafi`i. Itulah yang menjadi asas perpaduan mereka selain asas kesatuan kebangsaan. Mahathir telah membuat keputusan untuk meyakinkan Anwar agar menyertai parti pemerintah (UMNO) dan seterusnya berkhidmat dalam kerajaan dengan jaminan bahawa ruang yang seluas-luasnya akan sentiasa terbuka untuk beliau memanfaatkan kemampuan politiknya semaksimanya. Sementara itu pihak parti Islam (parti yang didominasi para ulama) pula menawarkan agar Anwar memimpin parti tersebut.

Bagaimanapun al-Faruqiy (yarhamuhu ‘Llah) berpandangan lebih baik Anwar memainkan peranan kepimpinan dalam parti pemerintah daripada menjadi pemimpin parti pembangkang Islami. Kedua-dua tokoh tersebut akhirnya telah mencapai kesepakatan. Berikutan dengan keputusan tersebut ramai para ulama (Islamis) yang mengecam tokoh muda Islam tersebut yang lebih mengutamakan kerjasama dengan golongan sekularis dan menyertai parti mereka daripada menjadi pemimpin parti Islam.

Tentu sahaja Anwar perlu mempertahankan dirinya. Ketika itulah Dr. Al-Faruqi dan teman-teman dari Himpunan Belia Islam Sedunia (WAMY) di Riyadh meminta saya pergi ke Malaysia untuk mencari semacam penyelesaian di antara Anwar dan rakan-rakannya dengan para penentangnya dari kalangan Islamis, yang sebahagiannya telah bertindak terlalu jauh dan melampau dengan menuduhnya cenderung dan memihak kepada orang-orang zalim, seterusnya mengubah kesetiaannya kepada mereka serta pelbagai tuduhan lainnya lagi.

Saya telah pergi ke Malaysia menemui semua pihak: pimpinan ulama dan parti Islam mereka, juga belia Islam Malaysia dan pimpinannya. Selama kira-kira dua minggu saya berada di sana untuk menenangkan keadaan, cuba memelihara perpaduan kaum Muslimin Malaysia dan berusaha mencegah konflik dalam kalangan mereka.

Sementara itu Anwar segera memulakan gerakan politiknya dalam kerangka parti pemerintah UMNO dan dalam konteks peranannya sebagai Timbalan Menteri (di Jabatan Perdana Menteri). Dengan demikian daerah ini telah melintasi era kebangkitan Islam tanpa terjerumus ke dalam konflik antara pendukung kebangkitan dan arus yang bersamanya dengan arus nasionalis-sekularis.

Anwar tampaknya sangat menghargai usaha yang telah saya lakukan ketika itu, beliau menyambut kunjungan saya di rumahnya dan di pejabatnya beberapa kali. Selain itu saya juga telah menyampaikan siri ceramah di pelbagai tempat hingga keadaan kembali tenang dan setelah itu saya pun kembali ke Riyadh meneruskan tugas-tugas saya sebagai profesor di Universiti al-Imam. Hubungan akrab saya dengan Anwar berterusan hingga sekarang. Beliau menghubungi saya setiap kali menghadapi persoalan besar atau ketika menghadapi sebarang pertembungan. Dari masa ke masa Anwar terus mara dan jaya dalam kerjaya politiknya.

Tidak lama kemudian beliau menjadi menteri penuh (Menteri Pertanian), setelah itu menjadi Menteri Pendidikan dan seterusnya menjadi Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri. Sejak itu semua orang tahu beliaulah (Anwar Ibrahim) yang akan menggantikan Mahathir nanti. Anwar telah meraih pelbagai penghargaan dan pengiktirafan, termasuk gelar kebesaran “Dato’ Seri” dari beberapa orang Sultan yang merupakan gelar tertinggi bagi mereka yang di luar keluarga diraja.

Bintangnya terus menyinar dan tampak di mata umum bahawa beliau adalah tokoh di belakang pelbagai kejayaan kerajaan UMNO waktu itu. Tetapi rupa-rupanya prestasi cemerlang Anwar itulah pula yang mendorong orang-orang di keliling Mahathir berusaha mempengaruhinya dan menimbulkan rasa tidak senang di hatinya terhadap orang yang selama ini dianggap anak didiknya.

Mereka berjaya meyakinkan Mahathir bahawa kononnya Anwar tidak lagi menganggapnya sebagai bapak yang berjasa memberikannya segala kesempatan mendapatkan kekuasaan. Usaha-usaha jahat itu pun mula membuahkan hasilnya. Dalam konteks sedemikian itulah terbitnya buku “Lima Puluh Dalil” mengapa Anwar tidak wajar dan tidak layak menggantikan Mahathir.

Mereka memberitahu Anwar bahawa buku tersebut tidak mungkin terbit tanpa dukungan Mahathir sendiri. Akibatnya hubungan antara kedua tokoh tersebut menjadi tegang dan dari hari ke hari semakin memburuk dan terbuka hingga diketahui umum, pemimpin dan anggota parti. Anwar sendiri tidak menduga bahawa krisis tersebut akan sampai ke tahap penyingkirannya dari jawatannya. Maksudnya, beliau tidak menyangka bahawa Mahathir akan bertindak sejauh itu.

Tetapi suasana politik dunia ketika itu telah berubah. Tahun-tahun 90’an adalah era timbulnya keinginan untuk menekan para Islamis dan menghadang kebangkitan Islam. Demikianlah, tiba-tiba kita dikejutkan dengan peristiwa September 1998 apabila Mahathir membuat keputusan bagaikan kudeta ketenteraan, iaitu dengan memecat Anwar dari semua jawatannya dalam parti dan kerajaan.

Ketika itulah juga polis masuk ke rumah yang didiami Anwar, iaitu rumah rasmi kerajaan untuk kediaman Timbalan Perdana Menteri. Mereka memintanya dan keluarganya meninggalkan rumah tersebut serta-merta kerana beliau tidak lagi menyandang sebarang jawaran rasmi. Ia adalah kejadian yang mendadak dan keterlaluan. Anwar terpaksa membawa keluarganya keluar dari rumah tersebut dan berpindah ke rumah miliknya sendiri.

Setelah itu kerajaan melakukan pelbagai tindakan provokatif dan kejam secara bertubi-tubi sehingga membangkitkan protes massa rakyat Malaysia, termasuk ramai dari kalangan ahli-ahli parti pemerintah sendiri. Mereka keluar berdemonstrasi di jalan-jalan raya dan seringkali berakhir di rumah kediaman Anwar. Di sanalah Anwar, isterinya dan penyokong-penyokongnya menyambut para demonstran dan berpidato kepada mereka. Untuk menghadapi protes rakyat tersebut, kerajaan telah mengambil pelbagai langkah dan tindakan.

Yang paling menyedihkan adalah tindakan mahkamah yang tanpa henti berusaha mengkriminalisasikan Anwar dengan bukti-bukti rekaan. Dari masa ke masa ada sahaja kes mahkamah yang bermotif politik untuk menjerat Anwar yang semuanya direkayasa dengan satu tujuan, iatu mensabitkan bahawa Anwar adalah seorang pelaku seks luar tabii, dan kerananya tidak layak menggantikan Mahathir dan tidak layak memimpin sebarang parti parti politik. Itulah yang terjadi sejak 1998.

Sekarang kita sudah berada pada tahun 2015, namun kita masih lagi tak habis-habis dengan proses mahkamah yang ada ketikanya menghukum dan pada ketika yang lain menyokong. Sayang sekali, tahun-tahun yang memberikan kesempatan kepada rakyat Malaysia memanfaatkan kebolehan dan pengalaman Anwar, khususnya untuk menangani pelbagai masalah di rantau Asia Tenggara, telah disia-siakan dengan menyebokkan Anwar dan menyebokkan diri mereka sendiri dengan kes-kes dan dakwaan-dakwaan karut dengan segala pembuktian dan kesaksian yang aneh, lucu dan berubah-ubah.

Yang harus membayar harga segala karut-marut itu adalah Anwar dan rakyat Malaysia serta pemimpin-pemimpin politik dari pelbagai parti. Sesungguhnya saya - sebagai seorang yang sangat mencintai Malaysia dan rakyat Malaysia - terpegun dengan isu ini, lalu saya bertanya kepada beberapa orang Malaysia, “Tidakkah anda malu dengan tindakan dan perilaku buruk yang telah dilakukan ke atas seorang tokoh yang seharusnya ketika ini sudah menjadi pemimpin paling berjaya di Asia Tenggara dan pemimpin Melayu paling cemerlang?”.

Ada seseorang yang menjawab, “Semua pemimpin-pemimpin kami pernah masuk penjara. Anwar juga tidak terkecuali. Beliau harus melalui masa-masa di penjara.”. Anwar telahpun dipenjara selama enam tahun atas tuduhan dan tohmah yang serba karut. Kita menyangka segalanya telah berakhir dengan pembebasannya.

Tetapi rupa-rupanya para penguasa hari ini telah membuka kembali isu lapuk tersebut dan menyebarkan semula fitnah kotor dan jahat itu kerana sebab-sebab yang Allah sahaja yang tahu. Sesungguhnya Malaysia pernah dianggap sebagai negara contoh dan model kejayaan, iaitu ketika negara ini di bawah kepimpinan Mahathir-Anwar. Kedua-duanya memiliki kekuatan dan keistimewaan sendiri-sendiri, yang seorang dengan pengalamannya, sementara yang seorang lagi dengan dinamika kemudaannya.

Tetapi kini, gandingan itu telah dipecahkan oleh syaitan-syaitan manusia dan jin. Orang-orang Malaysia yang banyak berbicara tentang sihir, ramai yang apabila berbicara tentang konflik Mahathir-Anwar mengatakan bahawa mereka berdua terkena sihir hitam sehingga mereka saling membenci. Sebenarnya mereka (rakyat Malaysia) tidak mempunyai jawapan atau tafsiran yang meyakinkan tentang apa yang telah terjadi, selain kekarutan khurafat tersebut.

Tidak malukah Malaysia dengan keadaan terus-menerus dalam dongeng sihir hitam dan putih, dengan cerita tududan palsu dan bukti rekaan, dan segala kekarutan lainnya itu? Andainya saya seorang hakim di Malaysia, pasti saya sudah berhenti dari perkhidmatan kehakiman, dan pasti saya merasa terhina dan malu besar apabila disebut bahawa saya seorang hakim atau pernah menjadi hakim.

Memang demikianlah, kerana saya menyaksikan keadaan aib dan memalukan itu berlanjutan selama tujuh belas tahun, orang-orang politik dan hakim-hakim mahkamah sewenang-wenang memperlakukan isu ini sedemikian rupa. Saya ingin berpesan kepada Anwar, mohonlah pertolongan Tuhan dengan memperbanyakkan sabar dan sembahyang, sesungguhnya Allah bersama mereka yang sabar. Dan saya ingin berkata kepada Mahathir, takutlah kepada Allah, sesungguhnya jarak antara kamu dengan liang kubur sudah tidak jauh. Umur kamu sudah melewati lapan puluhan.

Ketahuilah bahawa perbuatan mencemarkan maruah dan tuduhan-tuduhan yang berkaitan dengannya, atas alasan apa pun, tidak akan dibiarkan oleh Allah menyentuh orang yang bersih. Bahkan akibat dan balasannya adalah sengsara kehinaan di dunia dan derita penyiksaan di akhirat. Marilah kita bertaqwa kepada Allah, dan sama-sama mengangkat perjuangan kita ke aras yang lebih tinggi dan lebih mulia daripada tahap sekarang yang serba cemar, rendah dan murah. Prof. Dr. Taha Jabir al-`Elwaniy [Nota: Teks terjemahan ini di urus selaras oleh ABIM]

Read 1889 times
Rate this item
(14 votes)
PENAHANAN YB PUAN NURUL IZZAH PENCABULAN KETERLALUAN TERHADAP RUANG DEMOKRASI

Merujuk kepada penahanan YB Puan Nurul Izzah Anwar di bawah Akta Hasutan 1948. ABIM mengecam penahanan tersebut yang tersasar dari landasan keadilan dan adalah pencabulan keterlaluan terhadap proses demokrasi di Malaysia. Penahanan sedemikian menggambarkan bahawa beliau adalah seorang penjenayah yang berbahaya, berkemungkinan untuk melarikan diri dan tidak bertanggungjawab.

Langkah beliau yang secara berani menyahut notis panggilan ke Balai Polis Dang Wangi berkaitan himpunan Kita Lawan langsung tidak dihargai pihak polis. Ia sekaligus menggambarkan kerakusan dan sikap angkuh pihak berkuasa terhadap seorang yang secara jelas memberikan kerjasama bagi membantu siasatan.

Persoalan layanan yang berbeza-beza di bawah akta yang sama juga amat memalukan. Kenapa langkah yang serupa tidak dibuat kepada YB Datuk Ismail Sabri dan Datuk Dr Mashitah Ibrahim?

Kenyataan mereka yang dibuat di luar parlimen, tanpa sebarang rakaman tidak perlu direman berbanding dengan kenyataan YB Puan Nurul Izzah Anwar yang dibuat di dalam Parlimen dan dirakam melalui hansard Parlimen. Adakah ia terlalu rumit sehingga memerlukan tempoh reman ditambah?

Ruang bersuara di Parlimen harus dihormati dan dibezakan dengan ucapan awam atau kenyataan di luar Parlimen. Parlimen adalah medan seorang wakil rakyat menyatakan sikap dan pendirian berprinsip mewakili rakyat yang memilihnya.

Jika perkara-perkara berkaitan institusi dalam negara tidak boleh disentuh walaupun di dalam Dewan Rakyat atau Dewan Negara, maka timbul persoalan, di manakah perkara ini boleh diutarakan?, sedangkan Dewan Rakyat adalah satu korum yang sah dan mempunyai legitimasi tersendiri, dipelihara oleh Perlembagaan Persekutuan.

ABIM menggesa agar pihak polis melepaskan beliau dari tahanan reman berpilih yang amat memalukan. Tindakan 'pendek akal' ini adalah satu provokatif yang boleh membuatkan rakyat semakin muak dan sekaligus serik untuk memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa. Elemen-elemen provokatif seumpama ini harus dielakkan bagi memastikan keamanan Malaysia terpelihara.

Amidi Abd Manan, PRESIDEN Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Read 500 times
Rate this item
(0 votes)
Qazaf: Rujuk Pandangan Ulama' & Elak Buat Kenyataan Yang Mengelirukan

Laporan berkaitan Enakmen Jenayah Syariah (Qazaf) yang tidak meliputi kesalahan liwat seperti yang dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Datuk Jamil Khir dan tindakan pendedahan terbuka Tan Sri Dato’ Sri Muhammad Safee adalah dirujuk.

ABIM berpandangan bahawa kenyataan ini amat mengelirukan masyarakat dan memerlukan penjelasan lanjut tetapi ia juga berlawanan dengan pandangan fuqaha’ khususnya ulama muktabar bermazhab Shafi’i. Pandangan Syarak:

Dalam menakrifkan qazaf Imam Nawawi daripada Mazhab Shafi’i menyatakan bahawa qazaf ialah tuduhan zina (ke atas seseorang) untuk menghinanya.

Manakala Ibn Humam seorang ulama’ dari mazhab Hanafi pula menyatakan bahawa qazaf ialah tuduhan melakukan zina (ke atas seseorang).

Ibn Arafah pula berpandangan bahwa qazaf ialah seseorang mukallaf menuduh orang merdeka, berakhlak baik, Muslim yang baligh atau kanak-kanak melakukan zina atau menafikan keturunannya yang sah. Dari pandangan-pandangan ini dapat kita simpulkan qazaf ialah tuduhan ke atas seseorang yang baik akhlaknya dengan berzina, atau menafikan keturunannya yang sah.

Para ulama’ menyamakan liwat dengan zina antaranya dalam Mazhab Shafi’i. yang menyatakan liwat dikenakan hukuman had (hudud).

Ibn Quddamah daripada Mazhab Hambali pula berpendapat bahawa pesetubuhan dubur adalah sama dengan persetubuhan di faraj iaitu zina. Mazhab Maliki mengikut pendapat al-Dasuqi menyatakan bahawa liwat jenayah zina mengikut syarak dan dikenakan hukuman had ke atasnya.

Hanya Abu Hanifah yang berpandangan bahwa liwat tidak diwajibkan hukuman had ke atas kedua-dua pelaku liwat dan penerimanya, lelaki atau perempuan, sekali pun hukumnya adalah haram. Ini disandarkan kepada hujah bahawa zina haram hukumnya kerana persetubuhan di faraj, tetapi bagi peliwat, yang berlaku bukan zina, ia adalah liwat.

Berdasarkan penjelasan tersebut, majoriti fuqaha’ daripada 4 mazhab berpendapat bahawa liwat adalah sama sahaja dengan zina, kerana perbuatan liwat berlakunya kemasukan kemaluan dan berlakunya kepuasan seperti zina, maka ia sama dengan hukum zina. Tuduhan liwat ke atas seseorang mengikut Imam Malik, Imam Shafi’I dan Imam Ahmad sama dengan tuduhan zina (Qazaf) kerana mereka berpendapat bahawa liwat adalah zina dan peliwat adalah penzina sama ada ia sebagai pelaku atau penerima perlakuan itu, sama ada ia lelaki atau perempuan jika sabit penuduh berniat dalam tuduhannya itu bermaksud yang dituduh melakukan perbuatan Kaum Lut, maka penuduh wajib dikenakan hukuman had, manakala Abu Hanifah berpendapat bahawa tuduhan liwat termasuk dalam hukuman ta’zir kerana beliau berpendapat bahawa liwat bukannya zina, justeru tuduhan liwat tidak dikira sebagai tuduhan zina.

Untuk penerangan lanjut, ABIM telah pun menerbitkan buku bertajuk: “Bahaya Qazaf” sebagai panduan untuk masyarakat memahami isu ini. Selain itu ‘Resolusi Klinik Hukum Syarak Dan Guaman Syarie, Universiti Kebangsaan Malaysia, Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam UKM yang dikeluarkan pada 18 Ogos 2008’ boleh juga di rujuk yang membawa maksud sama seperti dinyatakan di atas. Oleh itu sebarang pernyataan di luar mahkamah yang bermaksud bukan untuk perbicaraan maka ia adalah qazaf, jika tidak disertakan dengan 4 orang saksi.

Tambahan pula ia dilakukan oleh sebelah pihak sahaja maka ia dengan jelas bermatlamatkan mengaibkan seseorang dan ini merupakan perbuatan yang dicela oleh agama Islam. Pindaan Enakmen Jenayah Syariah Oleh itu, ABIM berpandangan Enakmen Jenayah Syariah yang hanya menyatakan perbuatan zina boleh diintepretasikan bahawa ianya termasuk jenayah liwat berdasarkan pandangan fuqaha di atas walaupun tidak secara jelas dimasukkan dalam peruntukan undang-undang berkenaan. Hal ini perlu ditentukan oleh Mahkamah Syariah dan bukannya pertikaian pelbagai pihak di media. Justeru sebagai tindakan proaktif mengukuhkan peruntukan tersebut, ABIM menyarankan agar definisi zina di bawah Enakmen Jenayah Syariah dan Akta Jenayah Syariah mesti dipinda bagi memenuhi dan menepati maksud hukum syarak.

Oleh yang demikian ABIM mencacadangkan: “Bahagian TAFSIRAN untuk maksud “ZINA” dimasukkan peruntukan termasuk liwat.” Peruntukan undang-undang jenayah tersebut harus dipinda agar ia benar-benar menepati pandangan para fuqaha’ bagi mendaulatkan hukum Islam ke martabat yang selayaknya dengan memasukkan tuduhan liwat sebagai sebahagian daripada qazaf. Tambahan pula dengan semangat yang berkobar-kobar yang ditunjukkan oleh kerajaan terhadap pelaksanaan Hukum Hudud maka sudah tiba masanya untuk pindaan bagi setiap peruntukan dalam perundangan syariah di Malaysia bagi menepati hakikat kewujudannya.

Perbuatan Mengaibkan Moral dan Penceritaan Perilaku Seks Secara Terbuka Berdasarkan kepada rujukan dalam Al-Quran dan pandangan ulama muktabar Islam bahkan termasuk semua agama lain, perbuatan mededahkan perilaku seks, sumbang di khalayak terbuka adalah suatu perbuatan yang tidak bermoral bercanggah dengan nilai Islam dan moral masyarakat. ABIM berpandangan wujud falsafah besar dalam definasi ayat Qazaf dan ayat-ayat lain dalam al-Quran yang mencegah kita berbuat demikian kerana mengaibkan individu dan keluarga. Justeru ABIM berpandangan majlis penerangan Tan Sri Dato’ Sri Muhammad Safee yang menceritakan perilaku seks kes DSAI secara terperinci adalah amat tidak beretika dari sudut profesional guaman dan wujud elemen qazaf atas tindakannya itu.

Oleh itu laporan qazaf yang telah dibuat ke atasnya harus disiasat dengan teliti dan diambil tindakan oleh pihak berwajib. Malah bagi menjaga kesucian Islam pihak berkuasa agama di negeri-negeri sewajarnya tidak membenarkan perbuatan jenayah qazaf sedemikian berleluasa. Seruan ABIM ini tidak terhad kepada sekitar kes DSAI sahaja malah untuk mana-mana pihak sekalipun merentas parti politik; perbuatan mendedahan seksual mana-mana tokoh-tokoh politik atau individu lain yang berlaku sebelum ini juga adalah tidak bermoral dan boleh membawa kepada jenayah qazaf. ‪

AMIDI ABDUL MANAN Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Read 1373 times
Rate this item
(1 Vote)
Road Show Fitnah 2: Elakkan Perbicaraan Di Luar Mahkamah

Laporan berkaitan hasrat Pemuda UMNO untuk membuat 'road show' fitnah 2 adalah dirujuk. Hasrat ini dilaporkan dalam laporan beberapa media arus perdana dan portal berita. Ia disebut dalam ucapan ketika majlis penerangan dan taklimat kes yang disampaikan oleh Tan Sri Shafee Abdullah seorang peguam kanan.

ABIM amat menghormati YB En. Khairy Jamaludin sebagai seorang pemimpin muda UMNO yang bijak, berkaliber dan berfikiran terbuka. Beliau juga tegas dalam mengemukakan pandangan dan sentiasa cuba untuk mengelak kenyataan yang bersifat peribadi. Dalam hal ini, hasrat beliau selaku Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia amat sempit dan membahayakan masa depan negara. Langkah ini adalah langkah 'perbicaraan di luar mahkamah'.

Perbicaraan di luar mahkamah mengundang ulasan-ulasan di luar konteks. Jika Pergerakan Pemuda UMNO memulakannya, sudah tentu nanti ada pihak lain yang akan bangkit menjawab dan melakukan majlis yang serupa. Perkara ini secara jelas berupaya menjejaskan kredibiliti sistem kehakiman negara. Perbicaraan di luar mahkamah akan berlangsung secara liar, tanpa etika dan keterlaluan. Mungkin akan berlaku tambahan-tambahan fakta secara semberono dan mengelirukan masyarakat.

Selain dari itu, beliau juga seharusnya peka dengan perkembangan kelompok yang mula muak dan hilang kepercayaan kepada sistem perundangan negara. Ini terbukti apabila satu rakaman video dimuatnaik baru-baru ini dengan ugutan mahu memusnahkan mahkamah. Seharusnya sebagai seorang pemimpin muda beliau perlu lebih berhati-hati, berpandangan jauh dan bertanggungjawab.

Tindakan ini sekaligus membuktikan bahawa jawapan balas pihak pendakwa yang menolak teori konspirasi politik, dan mahkamah telah pun menerima hujah pihak pendakwa dalam penghakimannya tidak mencukupi.

Tindakan bersabar selama 6 tahun oleh pihak UMNO adalah tindakan yang tepat. Ini kerana, tindakan itulah yang mengekalkan BN terus memerintah negara.

Kita semua bertanggungjawab untuk memelihara sistem perundangan negara seperti yang terpateri dalam ikrar Rukunegara kita iaitu 'Kedaulatan Undang-undang'.

Amidi Abdul Manan, Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Read 552 times
Rate this item
(0 votes)
Kenyataan Tan Sri Shafee Abdullah Memalukan

Kesanggupan bersumpah hatta ke Mekah oleh peguam kanan TS Shafie Abdullah seperti yang dilaporkan oleh media tertentu dan sekiranya benar laporan tersebut adalah amat memalukan. Kenyataan sedemikian seperti yang dilaporkan media adalah satu penghinaan terhadap mahkamah.

Ia membawa maksud bahawa keputusan hakim itu adalah amat lemah dan tidak mempunyai kredibiliti moral sehingga perlu disokong dengan perbuatan sumpah hingga ke Mekah. Kesanggupan seperti ini adalah satu perbuatan yang tidak wajar dari seorang peguam kanan seperti beliau. Seluruh rakyat mengetahui bahawa beliau mewakili institusi Peguam Negara dan ulasan seperti ini adalah melampaui batasan fungsi tersebut.

Keadaan ini jauh berbeza daripada sikap Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, ketika mengendalikan kes pembunuhan warga Mongolia, mendiang Altantuya Shaaribu. Mengapa tiada sebarang komen ataupun kenyataan dikeluarkan oleh Peguam Negara apabila Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan hukuman bunuh kepada kedua-dua bekas anggota polis yang terbabit dalam kes pembunuhan mendiang Altantunya? Walhal kes ini berprofil tinggi serta melibatkan imej dan maruah negara di peringkat antarabangsa. Inilah sikap yang sewajarnya diambil oleh seorang Peguam Negara atau sesiapa sahaja yang mewakili beliau.

Selain itu perlakuan ini bertentangan dengan peraturan dengan peraturan 13 Etika Guaman yang jelas melarang seorang peguam mendapatkan laporan atau publisiti daripada apa-apa perkara di mana seorang peguam terdapat secara profesional. Perlakuan mengulas, adalah satu perbuatan 'over kill' yang biasanya menjurus kepada gerak kerja politik.

Kini timbul persoalan samada Tan Sri Shafee Abdullah mahu menjadi ahli politik atau sebahagian dari pemain dalam strategi politik pihak-pihak tertentu? Langkah memanggil beliau untuk mengulas keputusan mahkamah menunjukkan terdapat masalah keyakinan rakyat terhadap keputusan tersebut. Tidak cukupkah dengan laporan media maka satu program ala 'road show' dianjurkan. Benarkah demikian?

Langkah mengaitkan institusi masjid dan Mekah (mungkin Masjidil Haram yang merupakan masjid utama dalam Islam) adalah satu perbuatan yang tidak dapat diterima oleh umat Islam. Mekah adalah kota suci dalam Islam. Perbuatan ini hanya memperlihatkan kejahilan beliau dalam perihal agama Islam. Sayidatina A'isyah ketika berhadapan dengan peristiwa 'hadith al-ifk' (fitnah zina terhadap beliau oleh kaum munafiqin) tidak mengambil langkah sedemikian dan juga tiada arahan dari Baginda Rasul s.a.w. Jelas perbuatan sumpah bukan dari ajaran Islam dalam hal-hal yang sebegini. Beliau harus memahami dengan jelas konsep, kaedah dan peranan sumpah dalam Islam. Sayidatina A'isyah adalah individu yang terlibat secara langsung sebagai individu yang difitnah tidak mengambil langkah sedemikian, apatah lagi pihak ketiga yang hanya mendengar dan membaca laporan dan keterangan bukti.

Oleh yang demikian pihak ABIM menyarankan agar beliau belajar dengan lebih mendalam berkaitan perundangan Islam sebelum cuba mengaitkan satu-satu perlakuan dengan agama yang suci ini. Inilah bentuk kejahilan yang boleh mencemarkan imej Islam. Adakah Tan Sri Shafee Abdullah mengetahui kenyataan sedemikian boleh menyebabkan beliau terjerumus dalam kesalahan qazf? Jika terjadi hal yang sedemikian beliau boleh dihukum sebat sebanyak 80 kali sebatan, kesaksian beliau tidak boleh diterima selama-lamanya dan tergolong dalam kelompok orang-orang yang fasiq.

ABIM menyeru seluruh umat agar berhati-hati apabila berhadapan dengan kes yang sebegini dan mengambil sikap seperti yang dianjurkan oleh Islam dalam menjaga maruah dan kehormatan sesama muslimin.

Amidi Abd Manan, Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Read 653 times
Rate this item
(0 votes)
Al-Fatihah Buat Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

Seluruh warga Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ingin merakamkan ucapan takziah buat seluruh warga Parti Islam Se-Malaysia (PAS) serta seluruh ahli keluarga Allahyarham Dato’ Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang baru sahaja kembali ke rahmatullah sebentar tadi. Pemergian beliau telah meninggalkan legasi yang sangat bermakna kepada perjuangan Islam di negara ini.

Komitmen beliau ke arah memartabatkan Islam menerusi mekanisme politik demokrasi jelas dizahirkan ketika menjabat jawatan selaku Menteri Besar Kerajaan Negeri Kelantan Darul Naim. Dalam bidang politik Islami, Allahyarham juga telah menampilkan keterbukaan dalam memahami serta menguruskan kepelbagaian politik negara ini yang rencam.

Semoga legasi politik Allahyarham Dato’ Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dapat dihargai serta dimanfaatkan sebagai rujukan untuk seluruh generasi muda. Al-Fatihah.

Amidi Abdul Manan, Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Read 457 times
Rate this item
(0 votes)
ABIM Condems Chapel Hill Murders of Three Muslim Students

Muslim Youth Movement of Malaysia (ABIM) condemns the shocking tragedy that had occurred with the heinous crime of brutal murder upon three muslims citizens at Chapel Hill, North Carolina, USA. Even more regrettable and lamentable is that, the death of Deah Shaddy Barakat, 23, his wife, Yusor Mohammad, 21, and Razan Mohammad Abu-Salha, 19 (Yusor's sister), has not gotten its due recognition and proper denunciation from the international community that seems to practice double standards.

Within the contextual framework of the international media's typically established methods of operations specifically, ABIM is deeply appalled by the media's intentionally lack of coverage and selective journalism in contrast to the incidents of Kayla Mueller, Charlie Hebdo, Khalid Mousabekh (Jordanian pilot), as well as many other incidents that were all purposely sensationalized and propagated simplistically with Islam extremism.

Islamic scholar Prof Dr Tariq Ramadhan commented on this tragedy by highlighting the issue of a general perception attempted to be built by irresponsible media practitioners to the general public (regarding this incident) to satisfy political agendas. This situation is far from the responds shown by Muslims across the world, for example during the Charlie Hebdo incident and the hostage killings in Sydney, that saw the active participation and strong opinions from many leading Muslim figures and groups including Tariq Ramadhan himself.

For ABIM, it is a huge concern as it is feared that a wrongful portrayal and unfortunate gap in terms of perceptions may be created between the Muslim communities with the non-muslim communities, not only confined to the United States but ultimately also at the global scale. The tragedy of Chapel Hill will not only heighten the 'fever' of Islamophobia (among the non-muslim communities), but also increase the appeal of radical extremism among the Muslim communities that have generally been deprived of opportunity and often misrepresented by the coverage of media.

The media is a powerful instrument in shaping the perception of the masses. In the context of the Chapel Hill tragedy, ABIM strongly believes that the media plays a crucial role to set an example as a medium to ensure stability as well as preserving the harmonious relationships established between muslim and non muslim communities around the globe.

The media must never intimidate the Muslims into becoming apologetic (towards the threat of Islamophobia) as if it was solely the entire Muslim community's fault without giving ample space and credible platform to represent itself.

 

MOHAMAD RAIMI AB RAHIM, Vice President, Muslim Youth Movement of Malaysia (ABIM)

Read 456 times
Rate this item
(0 votes)
Isu Pasangan: ABIM Gesa Rujuk Pakar

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kepada cadangan Kerajaan Negeri Sembilan untuk mewajibkan pasangan yang ingin memeluk agama Islam untuk menyelesaikan pembubaran perkahwinan di Mahkamah Sivil dahulu sebelum boleh didaftarkan sebagai Muallaf yang akan dikuatkuasakan dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003.

ABIM membantah cadangan tersebut sebaliknya Abim mengulangi pendirian untuk Mahkamah Syariah membuka pintu kepada pasangan bukan Islam untuk mendapatkan hak untuk didengari dan dibicarakan. Keperluan "kedua-dua pihak hendaklah Islam" dalam peruntukan Enakmen Negeri perlu dipinda terlebih dahulu supaya Mahkamah Syariah khususnya di Negeri Sembilan dapat membuka pintunya kepada orang bukan Islam, dalam keadaan haknya bertindan dengan hak pasangan Islam, supaya Hukum Islam yang mengambilkira prinsip keadilan dan hak pasangan bukan Islam dapat digunakan untuk mengadili pertikaian sebegini di Mahkamah Syariah.

Abim berpandangan, sekiranya pihak yang berhasrat memeluk Islam perlu menyelesaikan urusan perceraian di Mahkamh Sivil terlebih dahulu, maka ia akan menjadi satu halangan buat pihak tersebut untuk memeluk agama Islam serta merta. Ini memandangkan, di peringkat Mahkamah Sivil, petisyen penceraian akan turut melibatkan tuntutan nafkah, penjagaan anak serta beberapa permohonan ansilari lain.dan terdapat kes penceraian yang dipertikaikan yang boleh berlanjutan hingga bertahun.

Maka, si bakal muallaf secara tidak langsung akan "dipaksa" untuk membekukan hasratnya untuk bertahun- tahun demi menyelesaikan fail penceraian terlebih dahulu. Dalam pada itu Abim juga menyatakan bahawa ia akan menjadi suatu yang lebih sulit apabila semasa pendengaran petisyen perceraian di Mahkamah Sivil, pasangan yang tidak berhasrat untuk memeluk Islam membantah penceraian di atas alasan pihaknya tidak inginkan perceraian walupun pasangannya ingin memeluk Islam.

ABIM khuatir perkara ini akan dipertimbangkan oleh Hakim Mahkamah Sivil di atas prinsip penceraian sivil, yang berkemungkinan menimbulkan prinsip penukaran agama tidak semestinya menjadi asas penceraian. Sekiranya persoalan ini berlaku adakah pihak yang ingin memeluk Islam itu terus terlarang dari segi undang-undang negeri daripada menjadi Islam yang mana ia secara jelas bercanggah dengan prinsip kebebasan beragama yang dijamin Perlembagaan Persekutuan. Sementara itu, cadangan ini juga dilihat sebagai suatu yang bersifat sub judis memandangkan kes konflik antara pasangan yang melibatkan muallaf di Negeri Sembilan iaitu Deepa A/P Subramaniam v Izwan Abdullah kini masih dalam pendengaran diperingkat Mahkamah Persekutuan.

Dalam perkembangan berkaitan, ABIM menyambut baik usaha semua pihak yang berhasrat untuk membawa jalan penyelesaian dalam perkara ini sekaligus menjernihkan kekusutan antara agama yang berlaku dalam masyarakat. Walaubagaimana pun sebarang usaha dan cadangan yang dibuat harus dilaksanakan berlandaskan rujukan pakar yang meliputi semua bidang khususnya bidang agama dan perundangan sendiri.

Muhammad Faisal Abdul Aziz Setiausaha Agung ABIM & Penyelaras Grup Peguam ABIM (GPA)

Read 425 times
Rate this item
(0 votes)
ABIM TUNTUT RAKAMAN PERBUALAN TELEFON ANTARA WARTAWAN DAN PRESIDEN ISMA SERTA PRESIDEN MUAFAKAT DIDEDAHKAN DALAM TEMPOH 48 JAM

Merujuk kepada berita yang disiarkan di portal berita Malaysia Kini, Angkatan Belia Islam Malaysia amat memandang berat berita tersebut. Namun ABIM mengambil sikap berhati-hati tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak. Prof Tariq Ramadhan dalam ceramahnya di Persidangan Antarabangsa, Islam Rahmatan lil 'alamin, menegaskan bahawa, akur kepada sebarang fatwa secara membuta tuli adalah bahaya dan boleh menimbulkan sikap taksub.

 

Beliau menyentuh perkara ini apabila berbicara berkaitan kekeliruan umat Islam akibat kejahilan mereka terhadap agama mereka sendiri yakni Islam. Kemalasan umat Islam untuk menuntut ilmu sekaligus berfikir lantas memegang fatwa atau pandangan ulama' secara membuta tuli adalah amat berbahaya. Maka dengan ini, ABIM menuntut agar rakaman perbualan telefon antara Saudari Zulaikha Zulkifli (wartawan Malaysiakini), Tn Hj Abdullah Zaik dan Tn Hj Ismail Minha didedahkan bagi memberi keadilan kepada semua pihak termasuk Prof Tariq Ramadhan.

ABIM khuatir salah faham pihak pemberita, dalam memahami konteks, begitu juga salah faham dari soalan yang diajukan oleh pemberita terhadap Presiden ISMA dan Muafakat, berpotensi mengheret umat ke dalam perkelahian yang merosakkan. Namun ABIM juga masih belum mengambil apa-apa pendirian kerana perkara ini masih belum benar-benar jelas lagi. Sebagai sebuah portal berita yang berpengaruh, ABIM berpandangan Malaysiakini sentiasa menjunjung tinggi ketelusan laporan, sekaligus menjamin ketepatan laporan dan kebenaran berita yang disiarkan.

Maka, besarlah harapan ABIM kepada Malaysiakini bagi memenuhi permintaan ini dengan segera dalam masa kurang 48 jam bagi kebaikan semua pihak dan segala ikhtiar diucapkan terima kasih.

(Nota: Di atasdisertakan pautan petikan video berkaitan yang merujuk kepada salah satu soalan daripada para peserta)

Amidi Abd Manan, Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Read 501 times
Rate this item
(1 Vote)
Pasca Banjir: ABIM Tubuh Rangkaian NGO Bantu Mangsa Banjir

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah menubuhkan rangkaian kerjasama bersama badan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi amal khusus untuk menyelaras dan memperkemas usaha membantu mangsa banjir. Susulan dari beberapa masalah termasuk pertindanan gerak kerja serta maklumat, satu mesyuarat penyelarasan bersama telah diadakan pada 9 Januari 2015 bersamaan 18 Jamadilawal 1436H dan mesyuarat sebulat suara bersetuju untuk menubuhkan satu rangkaian kerjasama bagi menjayakan misi bantuan banjir di seluruh Negara.

Bagi gerak kerja terdekat, rangkaian kerjasama telah memberi fokus untuk bergerak bersama-sama dalam misi pasca banjiir khususnya di negeri-negeri pantai timur. Sebanyak 17 NGO dan Organisasi Amal telah bersama dalam rangkaian kerjasama yang ditubuhkan dan badan tersebut adalah:

1) Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

2) INSAF Malaysia Technical Relief

3) Global Peace Mission (GPM) Malaysia

4) Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)

5) Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

6) Malaysia Life Line for Syria (MLL4S)

7) Koperasi Belia Islam (KBI) Berhad

8) Grup Alam Sekitar (GRASS)

9) Al-Hikmah Care

10) Jingga 13

11) Dewan Perdagangan Islam Malaysia / DPIM Selangor

12) Kelab Anak Muda Prihatin Selangor

13) Pemuda Masjid Rinching Hilir

14) Yayasan Maza Attaqwa

15) PAHLAWAN

16) Malaysian Relief Agency (MRA)

17) Persatuan Pelajar Islam Selangor (PEPIAS)

Mesyuarat tersebut turut disertakan dengan sesi taklimat perkembangan terkini banjir di Malaysia yang disampaikan oleh pegawai kanan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Supt. Shahrin Ahmad. Selain itu, penubuhan rangkaian kerjasama ini diharapkan dapat memperkemas gerak kerja dan maklumat dalam misi bantuan mangsa banjir bukan hanya kali ini tetapi juga bagi tujuan jangka panjang sebagai persediaan ABIM dan badan anggota untuk menggerakkan bantuan.

Sebarang makluman berkaitan OPS Banjir dan rangkaian penyelarasan NGO boleh berhubung dengan sdra Mohd Zikri Jinal di talian 013-311 7560 atau Sekretariat Banjir 03-4108 2400, atau saudara Abdullah Nawi, Setiausaha ABIM Negeri Kelantan (019-924 2519) Muhammad Faisal Bin Abdul Aziz Setiausaha Agung, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Read 1791 times
Rate this item
(1 Vote)
Pembangunan Semula Kelantan: ABIM Gesa Hentikan Politicking Sempit Antara Parti Politik

Saranan agar PAS dan UMNO bersatu membentuk kerajaan campuran di Kelantan bagi membangunkan semula prasarana awam adalah dirujuk. Angkatan Belia Islam Malaysia ingin menyatakan kebimbangan atas obsesi umat Melayu terhadap politik kepartian. Rakyat di negeri Kelantan amat memerlukan bantuan dari segala segi.

Jumlah rumah yang musnah dan ranap akibat banjir menjangkau ribuan jumlahnya. Kerosakan fasiliti awam juga tidak terbayang. Kemusnahan yang besar ini mengakibatkan kesan psikologi dan emosi terhadap warga Kelantan. Ia sekaligus memberi kesan yang buruk terhadap ekonomi. ABIM amat prihatin agar proses pembangunan semula Kelantan perlu dilaksanakan dengan pantas dan berkesan.

Kaedah pengurusan bantuan perlu dipertingkatkan agar tiada yang ketinggalan dalam proses ini. Bancian perlu dilaksanakan segera agar data dapat dikumpulkan bagi tindakan seterusnya. Pengurusan bantuan adalah perkara yang diperlukan oleh rakyat Kelantan sekarang ini. Seharusnya pemimpin politik mampu mencari ikhtiar bagi menyalurkan pertolongan tanpa terikat dengan politik kepartian yang sempit.

Rakyat Kelantan telah melaksanakan tugas mereka sebagai warganegara dengan membayar cukai, malah hasil bumi Kelantan juga turut menyumbang kepada kemakmuran negara, oleh itu tiada sebab hak mereka untuk mendapat bantuan tanpa sebarang syarat dinafikan.

ABIM khuatir jika perbincangan perpolitikan parti politik Melayu mendominasi suasana muram hari ini, ia akan melambatkan proses bantuan secara teratur, sistematik dan efisyen kepada rakyat Kelantan. Seharusnya kita insaf apabila melihat deretan kenderaan tersangkut dalam kesesakan jalanraya antara Kota Bharu dan Kuala Krai dalam usaha menghantar bantuan kerana polemik antara parti yang tiada kesudahan.

Seharusnya kedua-dua pihak PAS dan UMNO berasa terpukul dengan kerjasama rakyat yang tulus membantu sesama warga tanpa mengira bendera politik, keturunan, bangsa dan agama. Ini adalah soal kemanusiaan yang merentasi batas kekuasaan politik yang bertolak atas keinsafan yang mendalam.

AMIDI BIN ABDUL MANAN PRESIDEN ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA

Read 438 times
Rate this item
(0 votes)
Page 5 of 10

Siaran Media

Isu Kelulusan Bahasa Melayu Untuk Doktor :
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kenyataan terbaharu yang dikeluarkan Timbalan Perdana ...
Syarat Lulus Bahasa Melayu :- Kementerian
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kenyataan terbaharu yang dikeluarkan Kementerian ...
Memberdaya Manusia Dengan Puasa dan Hukum
Seluruh alam menzahirkan rasa syukur dan gembira atas kedatangan bulan Ramadhan sebagai hadiah dari ...
Qatar-Gulf Crisis: Can We Rely on OIC 'Oh I See'?
By: Ahmad Shahir Abdul Aziz 1) Some may choose to see Qatar as an impediment of Gulf states' ...
Pertubuhan Pelbagai Agama Rasai Pengalaman Buka
Putrajaya: Pelbagai pertubuhan mewakili agama di negara ini berpeluang merasai pengalaman berbuka ...

#Akhbar #TV

Isu Kelulusan Bahasa Melayu Untuk Doktor :
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kenyataan terbaharu yang dikeluarkan Timbalan Perdana ...
Syarat Lulus Bahasa Melayu :- Kementerian
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kenyataan terbaharu yang dikeluarkan Kementerian ...
Memberdaya Manusia Dengan Puasa dan Hukum
Seluruh alam menzahirkan rasa syukur dan gembira atas kedatangan bulan Ramadhan sebagai hadiah dari ...
Qatar-Gulf Crisis: Can We Rely on OIC 'Oh I See'?
By: Ahmad Shahir Abdul Aziz 1) Some may choose to see Qatar as an impediment of Gulf states' ...
Pertubuhan Pelbagai Agama Rasai Pengalaman Buka
Putrajaya: Pelbagai pertubuhan mewakili agama di negara ini berpeluang merasai pengalaman berbuka ...