Siaran Media (135)

ABIM Gesa Kaji Potongan Gaji PTPTN

[Kenyataan Media ABIM]

6hb November 2018 Bersamaan 28 Safar 1440 H

ISU PTPTN: ABIM GESA KERAJAAN BUAT KAJIAN MENDALAM, SEBELUM LAKSANA DASAR

Merujuk kepada Ucapan Belanjawan 2019 yang dibentangkan oleh YB Menteri Kewangan Malaysia di Parlimen pada 2hb November 2018 yang lalu, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dikejutkan dengan pengumuman sistem potongan gaji secara automatik, bagi peminjam PTPTN yang mempunyai gaji lebih daripada RM1000.00, sebanyak 2% hingga ke 15%.

ABIM menyeru pihak kerajaan agar lebih sensitif dalam menangani isu peminjaman PTPTN ini secara lebih cermat dan berhikmah, selaras dengan dasar mereformasikan institusi dalam era Malaysia Baharu.

ABIM berpandangan bahawa polisi ini adalah membebankan anak muda yang mahu memulakan kehidupan mereka pasca bergelar graduan.

Justeru, ABIM menyarankan agar kajian secara mendalam serta holistik dibuat bagi memahami punca sebenar kenapa masih ramai peminjam yang belum membuat bayaran kepada PTPTN.

Isu Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) juga seharusnya diambil kira. Kerajaan seharusnya memikirkan berkenaan penambahan dana untuk PTPK, selain menawarkan insentif kepada peminjam PTPK mahupun syarikat yang mahu membayar pinjaman tersebut, sebagaimana yang ditawarkan kepada para peminjam PTPTN.

Read 60 times
Rate this item
(0 votes)
Penjenayah Perang Israel Perlu Dibicarakan Di ICC

[Kenyataan Media]

ABIM DESAK MASYARAKAT ANTARABANGSA KECAM SERANGAN ISRAEL KE ATAS PESERTA HIMPUNAN AMAN “THE GREAT RETURN MARCH”.

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengutuk dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan zalim terkini Israel ke atas orang awam Palestin yang terlibat dalam himpunan “The Great Return March” pada 26 Oktober yang lalu. Media antarabangsa melaporkan tindakan tersebut telah mengorbankan seramai 5 orang awam Palestin di samping mengakibatkan 232 orang mengalami kecederaan.

Himpunan aman “The Great Return March” yang telah diadakan beberapa kali antara lain menggesa Israel mengehentikan serangan terhadap rakyat Palestin di Gaza. Serangan kejam terhadap peserta himpunan tersebut telah menyebabkan 5 orang terkorban dan 232 yang lain cedera parah akibat dari tembakan peluruh hidup yang disasarkan pada kepala mangsa selain tembakan gas pemedih mata secara rambang dilepaskan.

ABIM berpandangan serangan ini secara jelas merupakan pencabulan prinsip hak asasi manusia sejagat yang mendokong kebebasan bersuara menerusi penganjuran himpunan aman. Atas dasar ini secara tindakan Israel ini wajib dikutuk masyarakat antarabangsa.

Justeru, berasaskan lunas-lunas tersebut ABIM menggesa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) untuk mengheret pihak Israel ke muka pengadilan demi menegakkan hak rakyat serta mengelakkan tindakan kejam seperti ini berulang. ABIM juga mengharapkan kerajaan Malaysia tetap berperanan aktif memimpin tekanan masyarakat antarabangsa agar ke atas Israel lantaran kekejaman yang dilakukan secara semberono.

Komitmen kerajaan dalam isu ini sangat penting apatah lagi dalam keadaan masyarakat dunia mengharapkan pendirian dan pandangan Malaysia di bawah kepimpinan YAB Tun Dr Mahathir Mohamed dalam arena politik antarabangsa.

Mohamad Raimi Ab Rahim, Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Read 77 times
Rate this item
(0 votes)
Dato' Dr Siddiq bin Fadzil Dilantik Sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah USIM.

Alhamdulillah, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengucapkan tahniah di atas perlantikan YBhg. Prof. Dato' Dr Siddiq bin Fadzil sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bermula 1hb Oktober 2018. Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1440H/2018M ini pernah melaksanakan amanah selaku Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang ketiga.

Beliau mula berkhidmat sebagai Presiden ABIM semenjak 1983 sehingga 1991. Terdahulu beliau memimpin ABIM mulai 1982 sebagai pemangku Presiden. Sebelum ini Dato’ Dr Siddiq Fadzil juga pernah diiktiraf sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Perak pada tahun 2006. Beliau juga merupakan Presiden Kolej Dar al-Hikmah (KDH).

Kupasan beliau mengenai Maqasid As-Syar’iah, Al-Islam Rahmatan Lil Alamin, Manhaj Maliziy serta Pembinaan Bangsa Malaysia berasaskan konsep kepelbagaian dalam bingkai kesatuan, telah dijadikan rujukan kontemporari umat Islam untuk mencorakkan gagasan Malaysia Baharu. Memetik Pidato Penegasan oleh Dato’ Dr. Siddiq ketika ‘Seminar Kebangsaan: Visi Islam Dalam Aspirasi Malaysia Baharu’ anjuran ABIM di USIM, Nilai pada 20hb Oktober lalu:

“Sistem pendidikan harus direformasikan dengan mengembalikan pendidikan watak bangsa agar tidak lagi terlalu berorientasi peperikasaan. Harus ada anjakan ke arah membina watak bangsa.

” Semoga pengiktirafan ini menginspirasikan seluruh warga ABIM dan seluruh umat Islam untuk terus kehadapan menyumbang dalam apa jua lapangan dakwah di tanah air sehingga ke peringkat global.

Mohamad Raimi Ab Rahim, Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Read 100 times
Rate this item
(0 votes)
Video: Seminar Fiqh Kewarganegaraan (Fiqh Al-Muwatanah) Dalam Naratif Malaysia Baharu

Tonton video Seminar Fiqh Kewarganegaraan (Fiqh Al-Muwatanah) Dalam Naratif Malaysia Baharu Di Bawah:-

Read 192 times
Rate this item
(0 votes)
Fiqh al-Muwatanah Dalam Naratif Malaysia Baharu

Sesungguhnya dunia pada hari ini berada dalam era perubahan yang penuh dengan cabaran. Di era post-secularism, abad ke-21 bakal menyaksikan dunia akan lebih beragama dan sekularism akan mula luntur. Di era post-modernity kita akan melihat bentuk masyarakat post-modern yang obsessed dengan kesamarataan sebagai hak asasi manusia.

Di era post-capitalism, modal dan buruh bukan lagi asas utama penciptaan kekayaan tetapi ilmu pengetahuan adalah ‘basis of wealth’. Di era post-industry, sektor perkhidmatan dan teknologi maklumat mencipta lebih kekayaan berbanding sektor pembuatan. Di era post-Islamism, kita melihat perkembangan generasi baru kebangkitan Islam mendepani realiti dalam kerangka sistem demokrasi.

Dalam konteks politik hari ini, kita sebenarnya berada di dalam era dinamakan sebagai post-truth yang melihat kebenaran itu sesuatu yang bersifat relatif. Dalam erti kata lain, dunia hari ini boleh juga dikatakan berada dalam era post-normal di mana banyak perkara luar jangkaan dan kadangkala sukar untuk dirasionalkan berlaku dalam masyarakat.

Oleh itu, dalam era ‘post’ atau pasca ini yang menyaksikan dunia berubah dengan begitu pantas, kita perlu bersedia dengan ilmu pengetahuan dan hikmah agar boleh terus relevan dan dapat mendepani cabaran hari ini dan masa depan. Dalam konteks dunia masakini menerusi kerangka konsep negara bangsa seiring dengan perubahan lanskap politik tanahair, konsep Fiqh al-Muwatanah atau Fiqh Kewarganegaraan ini seharusnya difahami dengan makna yang lebih luas dan terbuka.

Dalam ruang demokrasi dibawah ruang lingkup Islam, dasar dan tasawwur mengenai hubungan sesama warganegara dan bukan Islam sama ada di negara majoriti Muslim dan juga di mana Muslim adalah minoriti perlu diberikan perhatian. Konsep al-Ukhuwah al-Islamiyah, al-Ukhuwat al-Wataniyah dan al-Ukhuwat al-Insaniyyah atau al-Ukhuwah al-Basyariah perlu dijadikan tema perbincangan dan diberikan ruang yang sewajarnya untuk dijadikan satu pendekatan yang lebih segar dan berkesan khususnya dalam mengolah semula konsep ukhuwah dan hubungan semasa Muslim dan bukan Muslim.

Asas Fiqh al-Muwatanah ini sebenarnya sudah pun terukir kukuh dalam Sahifah Madinah atau Piagam Madinah yang dimeterikan pada Tahun Pertama Hijrah bersamaan 622M dengan 43 Fasal di mana 23 fasal membicarakan tentang hubungan antara umat Islam sesama umat Islam iaitu antara Ansar dan Muhajirin dan 24 fasal selebihnya membicarakan tentang hubungan umat Islam dengan umat bukan Islam.

Mungkin seiring dengan ruh Piagam Madinah yang lalu, kami ingin mencadangkan kepada pihak Kementerian dan Kerajaan Negeri untuk menganjurkan Sambutan Khas 1440 Tahun Sahifah Madinah di Peringkat Negeri dan Kebangsaan dengan mengangkat tema Rahmatan Lil’alamin. Ini juga boleh dijadikan asas dan kerangka utama model pendekatan Pakatan Harapan dalam membina Malaysia baharu yang lebih gemilang.

Jika di Barat mereka telah membuat Sambutan Magna Carta 1215 secara besar-besaran yang kini berumur 803 tahun, umat Islam sepatutnya lebih berbangga dengan Sambutan Sahifah Madinah 1440 tahun yang mendahului zaman.

Read 227 times
Rate this item
(0 votes)
Video: Book Launching Parent - Child Relation : A Guide To Raising Children

Video : Book Launching Parent - Child Relation : A Guide To Raising Children Launched by YAB Dato' Dr . Wan Azizah Wan Ismail Deputy Prime Minister Of Malaysia.

Read 190 times
Rate this item
(0 votes)
Video: Memegang Kunci Kezuhudan : Tadabbur ayat 131 Surah Taha

Tonton Video Memegang Kunci Kezuhudan : Tadabbur ayat 131 Surah Taha Oleh Al-Ustaz Syafiq At-Tauhidi

Read 202 times
Rate this item
(0 votes)
Seminar Kebangsaan Visi Islam Dalam Aspirasi Malaysia Baharu

 

1.0 PENGENALAN

• Visi mengikut Kamus Dewan Bahasa sebagai tanggapan dan pandangan yang jauh dan mendalam terutama berkaitan dengan perkembangan masa hadapan. Kamus Lengkap Bahasa Indonesia mendefinisikan visi ialah kemampuan untuk melihat pada isi inti persoalan, pandangan dan wawasan. Ini bermakna visi ialah pandangan jauh yang ingin dicapai oleh seseorang, keluarga, organisasi atau negara berdasarkan kemampuan dan keupayaan individu atau organisasi tersebut.

• Visi tercetus dengan adanya peluang dan ruang masa yang mengizinkan. Visi adalah diperlukan agar pembangunan yang dikecapi tidak merosakkan diri sendiri dan tidak mencemarkan persekitaran seperti yang ditegaskan oleh salah-satu matlamat kepimpinan Islam yang menuntut untuk memakmurkan bumi Allah. Pada era Revolusi Perindustrian 4.0 dewasa ini – khususnya pasca Pilihan raya Umum (PRU) ke-14 baru-baru ini; antara isu yang ditekankan adalah visi Islam dalam aspirasi ‘Malaysia Baharu’. Tambahan pula, polemik terhadap kedudukan institusi-institusi Islam semakin hebat dibincangkan secara terbuka.

• Kritikan-kritikan yang ditimbulkan ke atas institusi-institusi Islam kadangkala membawa kepada sikap yang radikal dan sebahagiannya adalah berpunca daripada pandangan sebelah pihak sedangkan tatakelola kehidupan bermasyarakat dalam persoalan yang ditimbulkan bukanlah perkara pokok. Ianya berkisar kepada aturan budaya dan sudut pandangan lazim yang eksklusif. Kadangkala nilai yang dipercayai itu cuba dipaksakan kepada bukan Islam. Perbezaan pendapat dilihat sebagai ‘ancaman’ sedangkan ia adalah nilai sejagat yang diiktiraf oleh Islam selagi ia tidak bercanggah dengan prinsip Islam. Islam adalah kerangka utama pembentukan Malaysia dan sebab itulah dalam Perlembagaan Persekutuan dinyatakan dengan jelas. Islam tidak menyekat kehidupan masyarakat bukan Islam, sebaliknya, Islam memberikan persekitaran yang lebih baik kepada bukan Islam, kecualilah ada usaha untuk mencabar atau meruntuhkan institusi Islam.

• Justeru itulah, seminar Visi Islam dalam Aspirasi Malaysia Baharu dicadangkan dianjurkan bersempena Muktamar Sanawi Kali ke-47 tahun ABIM.

• Bersempena itu jugalah, satu majlis makan malam bertemakan Perpaduan peserta yang hadir.

Read 245 times
Rate this item
(0 votes)
Tahniah Dato' Dr Siddiq Fadzil, Tokoh Maal Hijrah 1440H

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Yang Berbahagia Dato’ Dr Siddiq Fadzil, kerana telah dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah peringkat kebangsaan 1440H. Dato’ Dr Siddiq Fadzil, mula berkhidmat sebagai Presiden ABIM semenjak 1983 sehingga 1991. Terdahulu beliau memimpin ABIM mulai 1982 sebagai pemangku Presiden.

Anugerah ini adalah satu pengiktirafan untuk segala sumbangan beliau dalam pemikiran Islam dan kelangsungan agenda Islamisasi di tanahair. Sebelum ini Dato’ Dr Siddiq Fadzil juga pernah diiktiraf sebagai tokoh maal hijrah peringkat negeri Perak pada tahun 2006.

Kupasan beliau mengenai Maqasid As-Syar’iah, Al-Islam Rahmatan Lil Alamin, Manhaj Maliziy serta Pembinaan Bangsa Malaysia berasaskan konsep kepelbagaian dalam bingkai kesatuan, telah dijadikan rujukan kontemporari umat Islam untuk mencorakkan gagasan Malaysia Baharu.

Semoga pengiktirafan ini menginspirasikan seluruh warga ABIM dan seluruh umat Islam untuk terus kehadapan menyumbang dalam apa jua lapangan dakwah di tanah air sehingga ke peringkat global.

Mohamad Raimi Ab Rahim, Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Read 278 times
Rate this item
(0 votes)
ABIM Gesa Hentikan Projek Kewarganegaraan Di Wilayah Assam, India

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kepada projek National Register of Citizens (NRC) yang dilaporkan sedang berlaku di wilayah Assam, India, yang bertujuan untuk menyisihkan kelompok tertentu daripada status sebagai warganegara yang sah kerana mereka kononnya dikategori kan sebagai “undocumented immigrant”.

ABIM melihat operasi besar-besaran ini yang digerakkan kerajaan wilayah Assam yang dikuasai parti Bharatiya Janata Party (BJP), sebagai usaha terancang untuk menyingkirkan sebilangan penduduk beragama Islam yang mendiami wilayah tersebut walaupun sememangnya mereka adalah warganegara India. ABIM merujuk kepada laporan oleh empat anggota Special Rapporteurs Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu PBB, yang antara lain turut mempersoalkan kriteria yang digunakan dalam proses tersebut.

ABIM khuatir proses ini akan mengeluarkan penduduk Muslim yang sememangnya berasal dari wilayah tersebut dari India atas alasan mereka bukan warganegara India yang sah. Ini termasuklah proses yang sengaja menyusahkan penduduk Islam serta kelompok etnik Benggali untuk mengesahkan kewarganegaraan mereka. Pelbagai pertubuhan hak asasi manusia antarabangsa seperti Amnesty International dan Human Rights Watch telah menyuarakan kebimbangan berkenaan projek NRC tersebut.

Bahkan badan-badan tersebut turut menjangkakan lebih empat juta warga Muslim di wilayah berkenaan akan menjadi “stateless”. Ini sekaligus akan mencetuskan satu lagi krisis kemanusiaan yang akan mengakibatkan lambakan pelarian secara besar-besaran membanjiri negara sekitar Bangladesh sehingga ke Asia Tenggara termasuk Malaysia kelak.

Justeru, ABIM menggesa masyarakat antarabangsa dan secara khusus kerajaan Malaysia membantah usaha tersebut dengan mendesak kerajaan India untuk mengarahkan kerajaan wilayah Assam menghentikan samasekali projek NRC ini kerana ia bakal mencetuskan krisis kemanusiaan pada peringkat global.

*Mohamad Raimi Ab. Rahim,* *Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).*

Read 207 times
Rate this item
(0 votes)
Beri Peluang Pramugari Untuk Bertudung & Menutup Aurat

HELWA ABIM ingin menggesa pihak pengurusan Malaysian Airlines Berhad (MAB) yang merupakan syarikat penerbangan Malaysia yang utama agar memberi opsyen kepada pramugari untuk memilih berpakaian menutup aurat dan bertudung sewaktu bertugas sebagai staf kabin. Hal ini bukanlah sesuatu yang janggal mahupun ketinggalan zaman bagi sebuah negara Islam memandangkan syarikat penerbangan gergasi di peringkat antarabangsa seperti British Airways telahpun mempunyai polisi yang membenarkan pekerja kabin bertudung.

Maka dengan ini HELWA ABIM ingin mencadangkan agar MAB memperkenalkan polisi pemakaian mesra wanita Islam yang jelas. Pihak MAB perlu memberi ruang kepada staf kabin, selain staf pejabat (ground staff) untuk bertudung malah mempunyai hak dan pilihan untuk memakai pakaian seragam yang selesa dan sesuai dengan imej wanita Islam ketika bertugas. Sebarang bentuk diskriminasi terhadap pekerja wanita beragama Islam di tempat kerja adalah tidak boleh diterima sama sekali. HELWA ABIM menyifatkan isu pemakaian tudung ketika bertugas ini telah lama berterusan dan perlu diselesaikan dengan segera. Ia bukan hanya isu agama dan maslahah di tempat kerja malah HELWA ABIM berpandangan hak-hak pekerja wanita Muslim wajar diambil berat dan tidak dipandang enteng. Antara faktor kejayaan syarikat penerbangan terkemuka dunia adalah kerana pengalaman yang mantap dalam diversiti jaringan penerbangan serta jaminan kualiti dan tahap keselamatan kapal terbang pada tahap yang paling baik. Maka MAB seharusnya boleh melaksanakan polisi pemakaian yang mengangkat martabat pekerja wanita Islam yang tidak memberi kesan kepada untung rugi industri penerbangan.

NOR AZURA BINTI KAMARUDIN SOHAMI, NAIB PRESIDEN ABIM (HELWA).

Read 230 times
Rate this item
(0 votes)
Peruntukan Sekolah Swasta : ABIM Gesa Kerajaan Beri Perhatian Kepada Institusi Pendidikan Agama

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kepada kenyataan YB Menteri Pendidikan berkaitan hasrat untuk memberikan peruntukan kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) sebagai sebahagian daripada bajet pembangunan kerajaan persekutuan. ABIM menggesa Kerajaan Pakatan Harapan membuat pertimbangan serius dalam membuat peruntukan tahunan dan layanan yang sama kepada sekolah swasta lain dalam pelan holistik kewangan negara, terutama dalam perbelanjaan pembangunan, yang mana banyak sekolah rendah/menengah agama/akademik yang lebih memerlukan. Mengikut data KPM, terdapat 300 buah sekolah swasta (selain Sekolah Antarabangsa dan Sekolah Ekspatriat) dan lebih 600 buah insitusi pendidikan tahfiz berdaftar yang memerlukan perhatian sewajarnya. Kerajaan tidak seharusnya menidakkan bantuan kewangan kepada sekolah swasta termasuk Institusi Tahfiz dan sekolah agama rakyat, terutama yang menggunakan Kurikulum Kebangsaan, dan menggunakan Bahasa Melayu sebagai Bahasa perantara serta silibus yang selaras dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Sekolah-sekolah swasta dan persendirian sebegini juga banyak menghantar pelajar menyambung pelajaran ke banyak institusi di peringkat antarabangsa, termasuk dalam jurusan berkaitan sains dan teknologi. ABIM juga mendesak agar HANYA sekolah yang menepati ciri seiring Dasar Pendidikan Kebangsaan dan dasar Kerajaan sedia ada yang wajar diberi keutamaan untuk pengiktirafan dan peruntukan tahunan. Ini sekali gus dapat mengangkat martabat pendidikan kebangsaan, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, dan seterusnya mengiktiraf institusi pendidikan yang turut sama membangunkan negara dalam sektor pendidikan pelbagai bidang (keagamaan, akademik, pendidikan khas, pendidikan karakter dan sebagainya). Atas kesempatan ini, kerajaan juga boleh menyelaraskan semula insitusi yang patuh kepada sistem dan dasar pendidikan kebangsaan, dan dapat meningkatkan pendaftaran kepada institusi yang masih belum berdaftar. Mohamad Raimi Ab Rahim Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Read 283 times
Rate this item
(0 votes)
Page 1 of 12

Siaran Media

ICERD: Mencari Titik Tengah Bukan Titik Noktah
Saya mengamati isu ratifikasi International Convention on the Elimination of All Forms of Racial ...
Tunas Dermaga Didik Kanak-Kanak Melindungi Diri
Alhamdulillah, pada 9hb November 2018, para jurulatih program Tunas Dermaga (Diriku Permata ...
[Video] Hak LGBT, Antara Mimpi Dan Realiti
Lee Ta'arafu : HAK LGBT, ANTARA MIMPI DAN REALITI Panelis: Mohd Khairul Anwar Ismail Peguam Bela ...
Sokongan Masyarakat Penting Untuk Atasi Ancaman
Naib Presiden Helwa, Puan Nur Azura Komarudin Sohami, telah mengisi slot Mental Sihat, Emosi Kuat ...
Tahniah Ahmad Farid Sainuri!
3hb November 2018, Sandakan - Alhamdulillah, Timbalan Yang Dipertua ABIM Negeri Sabah, Sdr. Ahmad ...
GPM Lancar Misi Kemanusiaan Ke Yaman
Rakyat Malaysia diseru beri sumbangan kepada Yaman SHAH ALAM: Kementerian Luar Negeri menyeru ...
Falsafah Pendidikan Negara Perlu Dimaknai Dalam
21hb Oktober 2018 (Ahad): Alhamdulillah, ABIM yang diwakili Naib Presiden, Sdr. Radin Muhd ...
Bengkel Psychological First Aid (PFA) Persiap
28hb Oktober 2018: Alhamdulillah, bagi menyediakan kemahiran kepada pada aktivis ABIM, Biro ...

#Akhbar #TV

ICERD: Mencari Titik Tengah Bukan Titik Noktah
Saya mengamati isu ratifikasi International Convention on the Elimination of All Forms of Racial ...
Tunas Dermaga Didik Kanak-Kanak Melindungi Diri
Alhamdulillah, pada 9hb November 2018, para jurulatih program Tunas Dermaga (Diriku Permata ...
[Video] Hak LGBT, Antara Mimpi Dan Realiti
Lee Ta'arafu : HAK LGBT, ANTARA MIMPI DAN REALITI Panelis: Mohd Khairul Anwar Ismail Peguam Bela ...
Sokongan Masyarakat Penting Untuk Atasi Ancaman
Naib Presiden Helwa, Puan Nur Azura Komarudin Sohami, telah mengisi slot Mental Sihat, Emosi Kuat ...
Tahniah Ahmad Farid Sainuri!
3hb November 2018, Sandakan - Alhamdulillah, Timbalan Yang Dipertua ABIM Negeri Sabah, Sdr. Ahmad ...
GPM Lancar Misi Kemanusiaan Ke Yaman
Rakyat Malaysia diseru beri sumbangan kepada Yaman SHAH ALAM: Kementerian Luar Negeri menyeru ...
Falsafah Pendidikan Negara Perlu Dimaknai Dalam
21hb Oktober 2018 (Ahad): Alhamdulillah, ABIM yang diwakili Naib Presiden, Sdr. Radin Muhd ...
Bengkel Psychological First Aid (PFA) Persiap
28hb Oktober 2018: Alhamdulillah, bagi menyediakan kemahiran kepada pada aktivis ABIM, Biro ...