Siaran Media

Published in Siaran Media

Menjawab Falasi UEC

Dec 03, 2019 Hit: 59
Menjawab Falasi UEC

Menjawab Lontaran Artikel “Dubious Criteria In UEC Recognition”  Oleh Kua Kia Soong Yang Disiarkan 27 November 2019 Menerusi Laman Web Portal Malaysia Kini

Oleh:-

Radin Muhd Imaduddin Radin Abdul Halim, Naib Presiden (Pendidikan, Kebudayaan, & Kenegaraan)

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Pada 1957, suatu tawaran perjanjian telah dibuka melalui Ordinan Pelajaran 1957 yang mana antara lain memberikan pilihan kepada 134 buah Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) pada ketika itu. SMPC boleh memilih sama ada untuk bersama-sama dalam sekolah yang diiktiraf oleh kerajaan atau sebaliknya.

Akhirnya, 74 buah sekolah memilih untuk selarikan pergerakan mereka dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan, iaitu menggunakan bahasa rasmi persekutuan sebagai bahasa pengantar, menggunakan kurikulum kebangsaan, dan menjalani peperiksaan yang sama seperti lain-lain sekolah kebangsaan, iaitu peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (STPM).

Lantas, kita kenali sekolah tersebut sebagai conforming school yang mana dipanggil Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK). Kumpulan SMJK ini diiktiraf oleh kerajaan dan dianggap sebagai aliran arus perdana, layak memasuki Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan layak juga memasuki sektor pekerjaan awam sejak daripada itu.

Perjanjian tersebut, jelasnya memberikan pilihan yang adil lantas sewajarnya tidak timbul lagi isu sama ada perlu mengiktiraf peperiksaan yang terhasil daripada SMPC yang berada di luar sistem pendidikan kebangsaan, dan dalam konteks ini adalah Sijil Peperiksaan Bersepadu, atau lebih dikenali dengan Unified Exam Certificate (UEC) yang hanya bermula pada 1975. Dan inilah kisah tuntutan baki 60 buah SMPC yang tidak memilih untuk bersama dalam sistem pendidikan kebangsaan sehingga hari ini.

Uniknya sistem pendidikan di Malaysia, semua pihak dibenarkan menjalankan sistem persekolahan mengikut acuan dan pilihan masing-masing. Ini selaras dengan amalan pendemokrasian pendidikan yang sememangnya ditulis dalam Akta Pendidikan.

Namun, dalam kalangan rakyat Malaysia, untuk memasuki IPTA dan pekerjaan sektor awam, syarat yang paling minimum diletakkan kerajaan adalah mempunyai sijil SPM, iaitu minimumnya lulus mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah.

Justeru, semua sistem pendidikan di luar kerangka sistem pendidikan kebangsaan seperti UEC, Tahfiz-pondok, Azhariy, International Baccalaureate (IB), International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) dan sebagainya perlu memenuhi syarat tersebut tanpa kecuali. Untuk memasuki IPTS atau mana-mana IPT antarabangsa (di dalam atau di luar negara) itu terpulang kepada IPT berkenaan.

Namun, yang menjadi isu dan sering kali menjadi duri dalam daging, hanya penganjur peperiksaan UEC yang bersungguh-sungguh meminta agar peperiksaan ini diiktiraf kerajaan.Ya, hanya UEC! Bagaimana pula yang lain? Sama ada mereka akur dengan turut mengambil peperiksaan SPM sebagai syarat kemasukan ke IPTA, ataupun mereka bersedia dan rela untuk meneruskan pengajian di luar negara atau di IPTS berbekalkan sijil berkenaan.

Sekonyong-konyongnya, begitu hebat arus pengaruh politik, maka pada pilihan raya umum (PRU-14) lepas, kedua-dua gabungan parti politik terbesar negara, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) menjanjikan akan memberikan pengiktirafan kepada UEC dalam sistem pendidikan kebangsaan sekiranya memenangi pilihanraya.

Pasca 9 Mei 2018, kerajaan PH yang memenangi PRU-14 lepas rupanya juga amat berhati-hati dalam melaksanakan manifestonya itu. Maka, kerajaan seterusnya telah menubuhkan sebuah jawatankuasa Pasukan Petugas Dasar bagi mendapatkan maklumat dan kajian berkaitan UEC (PPD-UEC) daripada pelbagai aspek.

Seramai 17 tokoh dalam pelbagai bidang, 27 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), 5 parti politik, 12 agensi kerajaan, 14 IPT Awam dan IPT Swasta, serta 2 siri townhall melibatkan belia dan pelajar. Tidak cukup itu, diadakan juga sesi libat urus kepada ahli parlimen merentasi parti. Keseluruhannya, 406 orang terlibat dalam sesi pengumpulan data yang amat penting ini.

Ini sebenarnya dapat difahami memandangkan kesan pengiktirafan ini amat besar, dan menyentuh aspek Perlembagaan Persekutuan, Akta Pendidikan, Dasar Bahasa Kebangsaan, selain isu hala tuju sistem pendidikan kebangsaan yang sudah tentunya melibatkan kesemua IPTA, kesemua jenis persekolahan, dan kesemua agensi kerajaan.

Skala isu ini amat besar. Justeru, jika ada pihak yang mempersoalkan kenapa PPD UEC berjumpa dengan pelbagai pihak untuk isu UEC ini, jelasnya pihak tersebut tidak mengerti asas dalam bernegara. Isu ini bukan sekadar isu pinggiran, bukan juga sekadar ingin memenuhi manifesto, malah bukan isu anti atau bermusuh dengan SMPC, apa lagi isu kualiti murid atau standard tahap kesukaran peperiksaan UEC.

Sudah tentu juga tidak timbul isu menyalahgunakan duit pembayar cukai dalam mendapatkan data authentic yang legitimate dan komprehensif suara akar umbi mewakili rakyat Malaysia. Malah, rakyat Malaysia harus bersyukur atas keberanian kerajaan mengadakan sesi libat urus bersemuka dengan rakyat kembali sebelum membuat keputusan yang akan memberikan kesan dalam asas pembinaan negara ini sejak 1957!

Akhirnya, tugas JK PPD UEC ini hanyalah mengumpulkan data dan maklumat. Keputusan akhir masih terletak di tangan kabinet dan kerajaan yang memerintah. Sebagai rakyat Malaysia, saya akan berpuas hati apabila kerajaan membuat keputusan polisi berdasarkan data (data driven policy), berbanding berdasarkan sandaran politik populis atau sentimen politik identiti yang merosakkan negara.

Sebagai penutup artikel ini, untuk Malaysia mencapai matlamat sebenar perpaduan bangsa Malaysia, kita perlu berjiwa besar dan pada masa sama realistik dalam menentukan dasar pendidikan yang terbaik untuk negara.

Penulis lontarkan persoalan untuk difikirkan bersama-sama.

Bagaimana dan bila agaknya murid Malaysia yang pelbagai etnik budaya bangsa ini dapat berinteraksi apabila dalam satu negara yang sama, kita seolah-olah menggunakan falsafah pendidikan yang berbeza, aspirasi pendidikan yang berbeza, hala tuju persekolahan yang berbeza, sistem pendidikan dan bahasa pengantar yang berbeza, kurikulum dan buku teks yang berbeza, latihan keguruan yang berbeza, dan sistem peperiksaan yang berbeza? Model negara maju mana yang kita contohi?

Read 59 times
Rate this item
(0 votes)

Siaran Media

Malaysia Baharu Menjelang 2020: Sejauh Manakah
Sudah lebih setahun berlalu semenjak tercetusnya detik keramat 9 Mei 2018 yang merobah tampuk ...
Apresiasi Naib Presiden Helwa Buat Guru-Guru
Tekad Hijau : Asas Polisi Hijau Dan Program Mesra
Hormati Sensitiviti : Hentikan Provokasi; Tangani
Solidariti Rakyat Malaysia Untuk Palestin :
ABIM Kecam Keganasan Israel Ke Atas Pengamal Media
Masyarakat Antarabangsa Perlu Contohi Keberanian
 *Meneladani Nabi Muhammad Ṣ.A.W Sebagai Asas
   *MENELADANI NABI MUHAMMAD ṢALLALLĀHU ‘ALAYHI WA SALLAM SEBAGAI TERAS MEREALISASIKAN ...

#Akhbar #TV

Malaysia Baharu Menjelang 2020: Sejauh Manakah
Sudah lebih setahun berlalu semenjak tercetusnya detik keramat 9 Mei 2018 yang merobah tampuk ...
Apresiasi Naib Presiden Helwa Buat Guru-Guru
Tekad Hijau : Asas Polisi Hijau Dan Program Mesra
Hormati Sensitiviti : Hentikan Provokasi; Tangani
Solidariti Rakyat Malaysia Untuk Palestin :
ABIM Kecam Keganasan Israel Ke Atas Pengamal Media
Masyarakat Antarabangsa Perlu Contohi Keberanian
 *Meneladani Nabi Muhammad Ṣ.A.W Sebagai Asas
   *MENELADANI NABI MUHAMMAD ṢALLALLĀHU ‘ALAYHI WA SALLAM SEBAGAI TERAS MEREALISASIKAN ...
DMC Firewall is developed by Dean Marshall Consultancy Ltd