ABIM @ #Akhbar

Published in ABIM @ #Akhbar

“4 TAHUN REVOLUSI” - MASIHKAH ADA SINAR HARAPAN? Oleh: AHMAD FAHMI BIN MOHD SAMSUDIN

Mar 19, 2015 Hit: 750
“4 TAHUN REVOLUSI” - MASIHKAH ADA SINAR HARAPAN? Oleh: AHMAD FAHMI BIN MOHD SAMSUDIN

Hari ini, 15 Mac 2015 menandakan genap empat tahun sejak revolusi rakyat di Syria tercetus. Permulaan revolusi ini terjadi apabila 10 orang anak muda yang sedar akan permasalahan semasa yang berlaku dalam Negara melakukan ‘vandalisme’ dengan menconteng mesej “Rakyat Mahukan Sistem Dijatuhkan” di dinding sekolah mereka.

Memandangkan fenomena Arab Spring begitu hangat ketika itu dan kerajaan dilihat takut sekiranya idea kritikan terbuka seperti ini dibeli seterusnya menjadi trend kepada rakyat untuk menyuarakan bantahan menyebabkan rejim Bashar al-Assad terus memenjara dan menghukum anak-anak muda ini sehingga jari kuku dan tangan mereka dicabut.

Peristiwa ini menyebabkan amarah kaum keluarga sebelum memuncak sehingga berlakunya pertempuran antara rakyat dan penguasa yang dilaporkan bermula di wilayah Dar’a dalam daerah Hauran. Sehingga kini, laporan UNHCR menyebutkan hampir 7.5 juta rakyat Syria hilang tempat tinggal manakala lebih dari 6 juta telah menjadi pelarian akibat konflik di Negara tersebut. Lebih menyedihkan hati terdapat lebih 2 juta kanak-kanak Syria telah terkesan akibat krisis dahsyat yang telah berlanjutan sejak 2011 ini.

Sesungguhnya, sudah tidak terkira jumlah keluarga yang terpisah sehingga mengakibatkan ramai anak-anak kecil menjadi yatim piatu. Statistik ini belum lagi mengambilkira soal ekonomi dengan penurunan nilai matawang, kadar inflasi yang menekan, kemusnahan total infrastrukur, bangunan, masjid dan juga rumah kediaman rakyat Syria apatah lagi mengambilkira khazanah dan tinggalan sejarah para anbiya bumi Syam yang disebutkan dalam Al-Quran ini.

Secara tidak langsung, majoriti rakyat Syria kini menjadi mangsa pelarian di seluruh dunia dan ada yang kebuluran di Negara mereka sendiri akibat implikasi peperangan yang masih belum kelihatan akan selesai. Tidakkah kepimpinan Bashar al-Assad yang secara jelas melanggar etika dan moral kepimpinan merasai penderitaan dan keperitan rakyatnya ini?

Penulis sendiri berkesempatan menyertai Misi Kemanusiaan ke Syria sempena Eid Adha 2.0 lalu. Misi ini membawa bantuan rakyat Malaysia yang digerakkan oleh Malaysian Life Line For Syria (MLL4S) yang berterusan saban tahun mengambil kira waktu perayaan utama Aidilfitri - Aidiladha, Misi Musim Sejuk, Ramadhan dan bantuan bergantung kepada situasi terkini di Syria.

Sejak dari penubuhan MLL4S, sebanyak RM3.4 juta bantuan telah disampaikan kepada umat yang memerlukan di Syria. MLL4S turut terlibat dalam memberikan kemudahan kesihatan-bantuan ubat-ubatan dan membina 3 buah hospital di Syria. NGO kemanusiaan ini turut memberi penumpuan kepada soal pendidikan dan masa depan anak muda Syria termasuk membina 11 buah sekolah, menyediakan kemudahanperalatan pembelajaran dan pengajaran, pemberian gaji kepada guru dan bantuan kewangan untuk anak-anak Syria. MLL4S juga terlibat dalam usaha memberdaya umat dalam projek ekonomi seperti mikro-kredit, pembinaan kilang roti dan bakeri, dan projek ternakan ayam kepada rakyat Syria. Pengalaman hampir seminggu di Alleppo dan beberapa tempat di Syria membuka mata penulis akan realiti dan suasana berada dalam zon peperangan. Perjalanan panjang dari Turki sebelum masuk ke Syria amat mencabar dan tidak akan dilupakan oleh penulis termasuklah pengalaman berlari dalam keadaan tunduk untuk mengelakkan sniper rejim yang telah mengorbankan ramai mangsa yang tidak berwaspada. Melihat kesan tembakan di dinding dan kesan kemusnahan di depan mata amat menginsafkan. Sesungguhnya rakyat Syria telah melalui kiamat dunia. Sebelum menjejakkan kaki di bumi Syam ini, penulis hanya mendapatkan info dan berita berkenaan Syria di akhbar dan portal termasuk mendengar perkongsian dari rakan-rakan yang terlibat dalam misi bantuan sahaja. Bunyi tembakan dan jatuhan barrel bom kerap kedengaran dan terasa begitu dekat tatkala melihat kepulan asap akibat bom yang diledakkan. Jatuhan barel pula boleh meranapkan sama sekali struktur bangunan. Serangan rejim terhadap rakyat tidak mengira masa dan pada masa tersebut, penulis hanya berserah kepada Allah SWT dan redha jika bom barel yang dijatuhkan atau ada serangan dari tentera memungkinkan seribu satu musibah terhadap kumpulan kami. Lebih tragis, saban hari, manusia di Syria dibunuh dan diseksa dengan kejam! Penulis juga dimaklumkan bahawa tanah-tanah perkuburan juga turut menjadi sasaran tentera rejim sehingga mayat bergelimpangan terkeluar dari liang lahad. Namun demikian, disebalik kemusnahan dan peperangan yang berlaku, penulis begitu kagum, bangga dan terharu dengan semangat anak muda Syria yang tidak berganjak untuk meninggalkan bumi tempat tumpah darah mereka walaupun kematian, kesengsaraan itu kelihatan amat pasti oleh kerana perlu berhadapan dengan serangan tanpa henti. Kelihatan mereka cukup tenang menghadapi hari-hari mendatang dengan bertawwakal, melazimi zikir dan bacaan al-Quran yang menjadi teman seharian. Anak-anak muda ini semestinya mengambil alih peranan orang tua mereka. Rata-rata dari mereka adalah berusia 17 hingga 25 tahun. Kebanyakkan mereka masih belum berkahwin dan terdapat juga beberapa individu yang sudah bekeluarga dan ada yang sedang menantikan kelahiran cahaya mata. Jika dibandingkan, anak muda pada usia seperti di Malaysia sudah pasti masih menuntut di univerisiti, bekerja sendiri atau terpenjara di pusat sehenti. Menariknya, mereka menggerakkan operasi harian sekolah, menjadi pentadbir dan tenaga pengajar. Mereka turut menjadi sukarelawan membantu para doktor merawat mangsa serangan dan ada yang menyelia projek ekonomi dan menyalurkan bantuan mengagihkan air bersih menggunakan lori tangki dan makanan kepada rakyat Syria yang memerlukan. Lebih mengejutkan, majoriti anak-anak muda Syria ini bersedia untuk syahid dengan menjadi perisai di front-line dalam menangkis kemaraan dan serangan pihak rejim yang menggunakan kelengkapan tentera yang jauh lebih baik dari mereka. Penulis berkesempatan berkenalan dengan Abu Nasr di Alleppo. Beliau mengetuai satu pasukan yang menjaga kawasan check-point di pinggir bandar Aleppo. Beliau menceritakan bahawa sebelum revolusi rakyat berlaku, beliau merupakan seorang guru yang mengajar Al-Quran. Ternyata beliau merupakan seorang hafiz dan begitu bergembira berkongsi kisah bahawa beliau kini menantikan kelahiran anak pertama tidak lama lagi. Isterinya ketika itu berada di luar Syria. Beliau juga berkongsi harapan bahawa masa depan yang lebih baik untuk Syria akan memungkinkan bebasnya Palestin dari rejim Israel. Namun, Allah swt lebih menyayangi beliau. Seminggu selepas penulis pulang ke Malaysia, kami mendapat berita sedih bahawa check-point beliau telah diserang hendap oleh tentera rejim. Melihat gambar wajah arwah yang tersenyum menggambarkan bahawa Allah SWT telah mengangkat darjat beliau dengan kurniaan syahid dan pahala kesabaran yang tinggi walaupun tidak dapat bersua dengan putera piatu yang lahir seusai beberapa hari selepas kematian beliau. Dalam krisis kemanusiaan ini, ternyata tekanan dunia tidak mencukupi. Majlis Keselamatan PBB masih dilihat gagal mengambil sebarang tindakan bagi menghentikan konflik melainkan hanya menantikan laporan Suruhanjaya Siasatan PBB yang diketuai oleh diplomat Brazil, Paulo Pinheiro yang akan dibentangkan dalam Majlis Hak Asasi Manusia pada Selasa ini. Realitinya, empat tahun telah berlalu, lebih 220,000 orang telah menjadi mangsa kezaliman dan terbunuh akibat konflik berdarah ini. Tidak mustahil, atas rasa simpati dan keprihatinan yang tinggi, kelihatan kedatangan ramai orang luar dari pelbagai negara termasuk dari Malaysia dengan pelbagai cara samada melalui platform umrah, pelajar Malaysia yang menuntut di luar Negara, percutian di Negara jiran dan sebagainya. Mereka ini menganggap bahawa diri mereka sebahagian dari para pejuang yang berjihad menjatuhkan rejim yang zalim ini. Namun, sebahagian besar dari mereka tertipu, disalahguna oleh kelompok tertentu yang mengambil kesempatan menangguk di air keruh khususnya melibatkan kumpulan Islaimc State (IS) yang membawa agenda yang merosakkan imej Islam secara keseluruhannya. Justeru, dunia perlu menyedari bahawa konflik di Syria ini adalah isu penindasan, penjajahan kemanusiaan dan bukan pertembungan antara mazhab agama dan perang saudara semata-mata. Penulis juga berkesempatan bertemu dengan kelompok masyarakat Krisitian Ortodoks dan penganut agama lain yang turut menjadi mangsa krisis kemanusiaan ini. Dalam perbincangan, kata sepakat turut tercapai apabila masing-masing menawarkan bantuan dan kerjasama dalam soal pendidikan, kesihatan, kebajikan dan keselamatan. Tidak dinafikan, terdapat juga suara-suara yang mengatakan bahawa apa yang berlaku di Syria adalah isu dalaman negara yang perlu diselesaikan secara dalaman. Namun demikian, kita harus bijak menilai antara melihat hak-hak manusia yang tertindas dengan mencampuri urusan dalaman sesebuah Negara yang mana pemimpin zalim menggunakan justifikasi menghalalkan pembunuhan atas sebab mahu mengembalikan keamanan dan memerangi pemberontak yang melawan ulil amri. Persoalan penting yang wajar diperhalusi oleh semua pihak. Setelah 4 tahun berlalu, masihkah ada harapan untuk Syria? Barangkali ya dan boleh jadi tidak! Apakah kesudahan episod sedih di Syria ini? Adakah kita hanya hanya perlu berpeluk tubuh dan berdiam diri? Adakah dunia akan menyambut ulangtahun kelima pada 2016 tanda revolusi rakyat masih belum berakhir? Adakah pemimpin yang sama masih memegang tampuk kekuasaan ini? Ayuh, semua pihak harus memainkan peranan dalam posisi dan pengarh yang ada. Malaysia sebagai sebuah Negara yang memegang kerusi tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pengerusi ASEAN wajar menyatakan pendirian yang tegas dalam hal ini tanpa takut dengan tekanan dan implikasi diplomasi. Paling tidak, mengambilkira perjalanan dalam Parlimen ketika ini kerajaan boleh mengusulkan satu usul khas untuk dibahaskan dalam Parlimen Malaysia bagi menyatakan solidariti Malaysia dalam isu kemanusiaan ini. Pada masa yang sama, gerakan sivil (sivil society) harus berperanserta mencerahkan lagi rakyat berkenaan isu ini. Mahu tidak mahu jaringan ini harus bersolidariti dan diluaskan proses advokasi dan tekanan ke peringkat Asean, Asia Pasifik dan dunia. Langkah ini secara tidak langsung dapat melengkapkan kempen kesedaran melalui dunia maya ketika ini dengan tagline #StandWithSyria #NoLossGeneration #SaveTheChildrenOfSyria #4YearsOfRevolution dan sebagainya. Sudah pasti kita mahukan dunia yang lebih aman. Konflik, krisis dan peperangan bukan lagi perkara yang asing ketika ini. Persoalannya adakah kita cakna dan ambil tahu? Apa yang telah diusahakan oleh kita sebagai individu? Kita boleh sahaja memanfaatkan teknologi di hujung jari untuk menyalurkan bantuan kepada NGO Kemanusiaan seperti MLL4S ini. Kalau bukan kita siapa lagi? Kalau bukan sekarang bila lagi? Adakah jika terjadi peristiwa seperti ini kepada Negara kita barulah kita tersedar dan mahu hak kita didengari dan disuarakan oleh orang lain pula? Fikir-fikirkanlah. -- AHMAD FAHMI BIN MOHD SAMSUDIN Penolong Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) "Hidup Biar Berjasa"

Read 750 times
Rate this item
(0 votes)

Siaran Media

Pembentangan RUU 355: ABIM Tuntut Penjelasan
Angkatan BeIia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kenyataan Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Razak ...
Peserta Young ABIM Camp Rasai Pengalaman Hidup Di
Alhamdulillah, Young ABIM Camp (YAC) kembali, dengan konsep santai. Bertemakan ‘Ibrah Seorang ...
Mengapa Pencerahan Maqasid Dinafikan?
Saya merujuk kepada kritikan sesetengah pihak yang mempertikai usaha baik golongan yang membawa ...
Wanita: Permaisuri Dunia, Bidadari Syurga
Menjadi wanita pada hari ini adalah lebih bertuah berbanding wanita pada zaman jahiliyah. Pada ...
Membugar Al-Fikr al Maqasidiy, Mencorak Nahdah
Oleh Mohamad Raimi Ab Rahim, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Antara premis penting ...
Setengah Abad Dewan Dakwah Islamiah (DDI)
26hb Februari 2017 (Ahad): Alhamdulilah, bertempat di Kompleks Haji Pondok Gede, Jakarta, Rakernas ...
ABIM Sedia Bantu Atasi Ketagihan Pornografi
PETALING JAYA: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) berkata peningkatan jumlah orang yang datang ...
Exco Penerangan ABIM Berdebat Dengan Duta Sweden
18hb Disember 2016 (Ahad): Alhamdulillah, bersesuaian dengan agenda Kebangkitan Islam Jilid 2 yang ...

#Akhbar #TV

Pembentangan RUU 355: ABIM Tuntut Penjelasan
Angkatan BeIia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kenyataan Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Razak ...
Peserta Young ABIM Camp Rasai Pengalaman Hidup Di
Alhamdulillah, Young ABIM Camp (YAC) kembali, dengan konsep santai. Bertemakan ‘Ibrah Seorang ...
Mengapa Pencerahan Maqasid Dinafikan?
Saya merujuk kepada kritikan sesetengah pihak yang mempertikai usaha baik golongan yang membawa ...
Wanita: Permaisuri Dunia, Bidadari Syurga
Menjadi wanita pada hari ini adalah lebih bertuah berbanding wanita pada zaman jahiliyah. Pada ...
Membugar Al-Fikr al Maqasidiy, Mencorak Nahdah
Oleh Mohamad Raimi Ab Rahim, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Antara premis penting ...
Setengah Abad Dewan Dakwah Islamiah (DDI)
26hb Februari 2017 (Ahad): Alhamdulilah, bertempat di Kompleks Haji Pondok Gede, Jakarta, Rakernas ...
ABIM Sedia Bantu Atasi Ketagihan Pornografi
PETALING JAYA: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) berkata peningkatan jumlah orang yang datang ...
Exco Penerangan ABIM Berdebat Dengan Duta Sweden
18hb Disember 2016 (Ahad): Alhamdulillah, bersesuaian dengan agenda Kebangkitan Islam Jilid 2 yang ...