ABIM @ #Akhbar

Published in ABIM @ #Akhbar

Pendakwah Bahagia Hidup Dalam Kalangan Orang Asli

Jul 16, 2019 Hit: 543
Pendakwah Bahagia Hidup Dalam Kalangan Orang Asli

Berita Asal:- Diulit bahagia kahwini (Sumber: Berita Harian)

Orang Asli GUA MUSANG: Tidak ramai sanggup tinggal dan bergelumang dengan kehidupan di perkampungan Orang Asli, makan sayuran hutan, apatah lagi mengahwini suku kaum itu kerana menganggap komuniti berkenaan kolot dan masih bercawat.

Namun, bagi Sukarelawan, Amalina Ismail, 27, membuktikan kehidupannya diulit bahagia selepas berkahwin dengan jejaka dari suku Temiar, Mohd Fardhu Angah, 29, sejak lima tahun lalu, selain dapat mencurah bakti di Kampung Orang Asli Pos Tuel, dekat sini.

Bercerita lanjut, beliau pada awalnya mendapat tentangan hebat daripada keluarganya apabila mengemukakan hasrat berkahwin dengan Mohd Fardhu kerana memikirkan masih bercawat. Anak bongsu daripada 10 beradik ini, tenang berhadapan dengan situasi itu dan Tekad membawa pilihan hatinya, berjumpa keluarganya yang tinggal di Kota Bharu.

“Apabila saya membawa berjumpa keluarga mereka terkejut dan tidak menyangka bakal suami adalah seorang ustaz. Malah dia juga akan menunaikan haji selepas menerima tawaran berkenaan daripada Tabung Haji, pada tahun itu.

“Selepas melihat keperibadian pilihan hati keluarga merestui saya mendirikan rumah tangga selepas Mohd Fardhu pulang daripada mengerjakan haji, pada 2014.

“Setahun kemudian, saya mengambil keputusan untuk berpindah ke tempat kelahiran suami di Kampung Orang Asli Pos Tuel. Saya tidak kesal berkahwin dengannya,” katanya sambil menjelaskan suaminya adalah anak tunggal.

Ibu kepada Nur Ain Farhana, 5; Mohammad Amsyar, 3, dan kini sedang mengandung enam bulan berkata, ketika berkenalan dengan Mohd Fardhu beliau ketika itu bertugas sebagai Sukarelawan Islamic Outreach Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) di Kok Lanas, Kelantan.

Selepas berkahwin mereka ditawarkan menjadi Penggerak Masyarakat Orang Asli, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk mendidik masyarakat suku Temiar di Kampung Orang Asli Pos Tuel.

Pengorbanan Amalina meninggalkan kehidupan dengan kemudahan serba sempurna di Kota Bharu tidak dikesali, sebaliknya beliau dengan terbuka hati untuk menabur bakti memperjuangkan dan mengembangkan ajaran Islam. Katanya, beliau perlu tabah berdepan cara hidup yang sememangnya sangat berbeza dengan kehidupannya sebelum ini.

Paling sukar apabila terpaksa memasak dan minum menggunakan air sungai, selain perlu menyesuaikan diri makan makanan yang terdapat di sekitar hutan seperti pucuk ubi, putik buah durian dan pucuk betik.

“Mula-mula sampai di perkampungan ini, lima tahun lalu, keadaan di sini masih banyak yang ketinggalan, terutama dari segi infrastruktur seperti jalan raya, elektrik dan air.

“Jalan masuk ke kampung ini masih belum berturap, sebaliknya hanya jalan tanah merah yang becak dengan permukaan tidak rata. “Jika ingin memasuki perkampungan ini mengambil masa lebih sejam untuk sampai ke kawasan itu,” katanya ketika ditemui pada Program Ziarah dan Dakwah yang dianjurkan Masjid Saidina Abu Bakar As Siddiq (MSABA), Bangsar, baru-baru ini.

Amalina berkata, beliau tidak kisah dengan keadaan di kampung itu, sebaliknya menguatkan semangatnya untuk membawa perubahan, terutama dalam bidang keagamaan yang dilakukan bersama suaminya.

Beliau berasakan menjadi tanggungjawabnya untuk mendidik dan menerapkan nilai-nilai Islam dalam kalangan penduduk di situ meskipun banyak cabaran perlu dilalui.

“Antara cabarannya ketika meminta mereka menunaikan kewajipan solat lima waktu dan menutup aurat. Saya juga perlu memberi penerangan dengan menjelaskan perbezaan adat dan agama Islam dengan anutan mereka sebelum ini.

“Saya bersyukur generasi muda suku Temiar ini lebih mudah menerima perubahan. Mereka sudah meninggalkan amalan bertentangan Islam seperti sewang kematian, iaitu berkaitan upacara memanggil roh.

“Cuma saya masih melihat Orang Asli di sini masih mengamalkan cara perubatan tradisi mereka iaitu sewang sakit sebagai kaedah penawar sakit,” katanya.

Bagi memudahkan penerimaan dan kefahaman mengenai cara hidup dan keperluan mematuhi tuntutan dalam Islam, beliau menggunakan pemikiran logik.

“Contohnya, mengapa umat Islam wajib menutup aurat adalah menerangkan kepada mereka rambut akan terbakar ketika dibangkitkan pada Hari Kiamat dan sudah tentu tidak cantik lagi.

“Secara jujur, saya mengakui rasa putus asa apabila usaha murni untuk membawa perubahan dalam pelbagai segi tidak dihargai. Jadi saya cepat menangkis kekecewaan itu dengan bertawakal kepada Yang Maha Esa,” katanya.

Beliau berkata, kelas fardu ain, pada setiap Jumaat bermula 8 pagi dianjurkan oleh Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) dan diadakan kelas mengaji al-Quran, pada setiap Sabtu, minggu kedua. Katanya, seramai enam guru disediakan untuk mengajar kira-kira 150 penduduk di situ,

“Setiap kali datang mereka diberikan RM30 seorang, manakala kanak-kanak pula RM5 sebagai elaun menggantikan gaji harian mereka kerana terpaksa bercuti pada hari berkenaan.

“Di sini, wanita juga bekerja di kebun getah atau menanam sayur-sayuran bagi menambah pendapatan suami yang kebanyakannya mereka bekerja mencari rotan dan menoreh getah,” katanya.

Beliau berharap masyarakat di situ dapat mengamalkan cara hidup Islam sepenuhnya, selain generasi muda mahir dilengkapi dengan ilmu fardu ain dan al-Quran. Amalina berkata, dari segi ekonomi, penduduk di situ bekerja keras untuk mencari pendapatan bagi menampung kehidupan keluarga masing-masing.

Read 543 times
Rate this item
(0 votes)

Siaran Media

ABIM Agih Kelengkapan Untuk Petugas Perubatan
  26hb Mac 2020: Alhamdulillah, para petugas Sekretariat ABIM Pusat (SAP) dan Global ...
Usaha Adalah Syarat Tawakal: Muhasabah Kewajiban
COVID-19: ABIM Seru Umat Islam Berdoa & Jaga
SERUAN MENJAGA KESELAMATAN DAN KESIHATAN Assalamu'alaikum warahmatullah wabarakātuh. Di saat ...
Manusia, Kekayaan dan Kebenaran: Nota Ringkas
Oleh:-  Fatin Nur Majdina Nordin, Naib Presiden (Agenda Pembangunan Wanita, Keluarga, ...
Jadilah Wanita Istimewa Yang Sederhana, Bijaksana
   Oleh: Fatin Nur Majdina Nordin, Naib Presiden (Agenda Pembangunan Wanita, Keluarga, ...
ABIM Terima Tiga Anugerah ACCIN
Year 2020: Charting the transition in Islamic
ABIM Gesa Dasar Lebih Ketat Buat Pemandu Mabuk
                            ...

#Akhbar #TV

ABIM Agih Kelengkapan Untuk Petugas Perubatan
  26hb Mac 2020: Alhamdulillah, para petugas Sekretariat ABIM Pusat (SAP) dan Global ...
Usaha Adalah Syarat Tawakal: Muhasabah Kewajiban
COVID-19: ABIM Seru Umat Islam Berdoa & Jaga
SERUAN MENJAGA KESELAMATAN DAN KESIHATAN Assalamu'alaikum warahmatullah wabarakātuh. Di saat ...
Manusia, Kekayaan dan Kebenaran: Nota Ringkas
Oleh:-  Fatin Nur Majdina Nordin, Naib Presiden (Agenda Pembangunan Wanita, Keluarga, ...
Jadilah Wanita Istimewa Yang Sederhana, Bijaksana
   Oleh: Fatin Nur Majdina Nordin, Naib Presiden (Agenda Pembangunan Wanita, Keluarga, ...
ABIM Terima Tiga Anugerah ACCIN
Year 2020: Charting the transition in Islamic
ABIM Gesa Dasar Lebih Ketat Buat Pemandu Mabuk
                            ...
DMC Firewall is a Joomla Security extension!