ABIM @ #Akhbar

Published in ABIM @ #Akhbar

Misi Darul Wardah Bukan Sekadar Touch N Go

Oct 31, 2018 Hit: 73
Misi Darul Wardah Bukan Sekadar Touch N Go

Oleh AZIMAH GHAZALI

“KALAUPUN kita tak mampu betulkan semua, sekurang-kurangnya kita dapat selamatkan satu jiwa. Itu prinsip saya.” Itu kata pengasas dan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Darul Wardah Selangor (Darul Wardah), Hazlina Abd Razak yang mewujudkan rumah amal untuk wanita terlanjur dan memerlukan sejak 10 tahun lalu.

Biarpun timbul pelbagai persepsi, namun bekas pensyarah ini mengambil keputusan membuka rumah kebajikan berkenaan apabila sebelumnya seringkali terpaksa menghadapi situasi kes memerlukan perhatian, namun kebanyakan masyarakat cuba menutupinya.

“Dulu selalu bila saya berceramah di sekolah dan universiti, ada remaja jumpa di belakang beritahu ‘saya dah mengandung’. Masa tu kita rasa kita hanya bercakap (bagi ceramah), tapi tak boleh nak ubah sesuatu.

“Ada kes bila mengandung berlindung di gereja, buang anak sebab rasa tak ada siapa nak terima, dihalau keluarga. Tapi benda tu dah jadi tabu dalam masyarakat. Kita jadi sorak-sorai dan buat spekulasi.

Sebab itu, saya tak mahu cakap seorang, sebenarnya semua mesti main peranan,” katanya kepada Cakna Sinar ketika mengimbas sejarahnya mewujudkan Darul Wardah.

Serius mahu mengambil peranan, pernah Hazlina pergi ke kementerian berkaitan mengutarakan modul termasuk menekankan kepentingan pendekatan spiritual, tapi ditolak. Terfikir tidak boleh melakukan perubahan terhadap isu gejala sosial ini melainkan dengan menjalankan kerja-kerja pemulihan dengan modul ada, hasilnya hingga kini beliau membuktikannya.

“Kita tahu puncanya, sebab tu kalau tanya wajar atau tak buat pusat jagaan wanita ini, jawapannya tak wajar kalau tak ikut SOP (prosedur operasi standard).

Pada 2008 saya putuskan buka Darul Wardah. “Itulah bermula rumah ini, asalnya dari kes akidah, kes rumah tangga, hingga kini pelbagai kes. Kini lepas 10 tahun, kita keluar sebab kita dah ada data,” katanya.

Rantaian faktor

Kesal kebiasaan masyarakat menyangka peranan mendidik hanya perlu dimainkan ibu, sebaliknya Hazlina berkata sepatutnya lelaki menguasainya.

Disebabkan itu menurutnya, pendekatan Model Luqman iaitu golongan bapa perlu memainkan peranan lebih aktif, antara diketengahkan dalam NGOnya.

“Patut mereka (bapa) jadi role model anak, bukan aniaya mereka. Tengok saja dalam ceramah dan seminar berapa ramai lelaki dan wanita? Yang hantar anak misalnya di tempat kami hanya golongan ibu, bapa tak hantar pun.

“Yang nangis-nangis depan kami, ibu-ibu ni... bapa relaks hisap rokok depan rumah. Saya panggil dua-dua kena masuk. Kami kaunseling mak bapak dulu sebelum kaunseling anak. Sebab dah baik nanti anak-anak ini akan pulang semula ke rumah ibu bapa mereka,” katanya.

Kini selama 10 tahun seramai 393 sudah bergelar penghuni Darul Wardah, termasuk wanita terlanjur dan berdepan kes keganasan rumah tangga. Hanya mampu menempatkan paling maksimum 30 orang pada satu-satu masa, malah dibenarkan untuk bersama dengan bayi masing-masing, buat masa ini penghuni terbabit tinggal di rumah perlindungan ini antara setahun ke dua tahun berdasarkan sistem merit.

“Kalau boleh saya elak menyebut punca utama gejala ini berlaku sebaliknya kaitkannya dengan rantaian. Boleh jadi sebab mereka jadi begini kerana keluarga, ekonomi, tahap pendidikan, ia rantaian faktor. Kejahatan tak jadi dalam satu masa.

“Yang penting penghayatan nilai sistem pendidikan kita misalnya, sebab ia kini hanya berasaskan peperiksaan. Pendidikan kita hanya tengok luaran, cantik diutamakan, yang kurang rasa tertinggal. Anak tak dapat 5A misalnya dikesampingkan. Hakikatnya saya berani sebut tak ada wakil IPTA tak dihantar ke rumah kami,” katanya.Hazlina.

 Bukan sekadar ‘touch n go

Serba salah dirasakannya... jika ditambah cawangan rumah pemulihan akhlak seperti diusahakan sekarang, ia umpamanya menunjukkan masyarakat kita sedang bermasalah. Hazlina memaklumkan sebenarnya cawangan Darul Wardah sudah pun ada di Johor Bahru, malah teman-temannya di negeri-negeri lain turut meminta supaya membuka rumah sama di negeri masing-masing.

“Kami pun hanya boleh jaga untuk 30 penghuni. Kita ada kawan, untuk bantu jaga wanita memerlukan, tapi itu pun tak mampu tampung. “Ada juga kita dengar beberapa rumah lain menggunakan modul sama, sebab kita tak mahu mereka hanya datang sekadar touch n go.

Sebab pernah kita buat kajian, tiga ke enam bulan lepas keluar, mereka kembali pada kegiatan lama, ada hanya datang untuk bersalin dan keluar,” katanya.

Tidak semudah disangka, wanita berasal dari Kg Sg Derhaka, Kuala Terengganu ini mengakui pernah ada ketika, tiga kali pada masa tertentu dia berasa hampir putus asa dan mahu menutup saja Darul Wardah.

Isteri kepada Adun Sg Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni yang baru memenangi pilihan raya kecil baru-baru ini, berkongsi beliau pernah hingga terpaksa masuk lokap dek hendak membantu orang lain disebabkan terlibat dalam kes penghuni Darul Wardah.

“Pernah juga budak-budak ni nak lari beramai-ramai, sebab ‘taiko’ tunggu nak mereka join balik. Saya sampai tersandar dan minta ibu bapa ambil anak-anak mereka tu. Saya tak nak tengok mereka masa tu. Kita penat, dengan anak kecil lagi masa tu.

“Dengan lima tahun pertama keluar duit sendiri. Apa pun suami banyak beri dorongan, sabar suami memang tinggi. Alhamdulillah sekarang dah tak rasa macam tu. Sebab kita pun dah belajar daripada kesilapan lampau. Dulu pun banyak tak cukup, sekarang lima staf, tak termasuk staf-staf dibayar majlis agama,” katanya.

Menurutnya, biarpun biasa menjadi motivator dan membuat kerja-kerja kemanusiaan, namun apa dihadapi sebelumnya dirasakan cabaran tidak sekuat yang perlu dihadapi di Darul Wardah.

Selain mewujudkan rumah perlindungan fokus wanita, sosial dan kanak-kanak, pihaknya juga bantu tangani kes krisis akidah dan membantu mengislamkan 70 penghuni Darul Wardah setakat ini.

Gemar membaca

Melihat latar belakangnya, padanlah apa diusahakan wanita berusia 48 tahun aktif dengan kegiatan NGO sejak zaman bergelar pelajar lagi ini. Bersekolah menengah dalam bidang ilmu Sanawi dan bahasa Arab, dalam usia belasan tahun beliau suka membaca buku-buku tebal karya tokoh sastera tersohor dari negara seberang, Abdul Malik Karim Amrullah (Hamka) dan Pramoedya Ananta Toer.

Apa tidaknya, dibela datuknya yang juga seorang pengajar kitab, Awang Othman yang mengajar ramai anak murid dan dikenali sebagai orang sangat bermurah hati, ia membentuk dirinya hari ini.

“Apa tokki saya tekankan, selalu pentingkan orang lain memerlukan seperti diajar dalam Islam, itulah dipraktikkan sampai sekarang, hingga macam mana rumah pemulihan itu diwujudkan.

“Bila membaca ia membentuk pandangan kita tentang kehidupan. Bagi biasa membaca, macam saya banyak baca karya-karya besar Indonesia masa itu, sebab jadi pustakawan dari sekolah rendah dan menengah, sebelum sambung belajar di Al Azhar.

Suami antara generasi pertama wujudkan Abim, di Mesir. Kami generasi pertama, jiwa membela mereka yang tertindas,” katanya. Tokoh Belia Wanita Selangor 2008 yang juga Pengerusi Amani iaitu NGO untuk kerja kebajikan, pendidikan dan kebudayaan ini juga merupakan bekas Ketua Helwa Abim Selangor, yang banyak menjalankan kerja-kerja kemanusiaan dalam dan luar negara.

Ibu kepada lima cahaya mata lelaki berusia 7 hingga 23 tahun ini bersyukur walaupun sibuk dengan tugasan harian, malah kini bertambah sibuk dengan tugas baharu suaminya sebagai Adun, tekadnya masa akan diatur sebaiknya.

“Dari dulu saya dan suami seiring dan sejalan. Tapi sekarang anak-anak pun dah besar. Saya berharap dapat teruskan usaha ini, kita bangun membina, lakukan perubahan dan kebaikan mengikut posisi kita masing-masing.

“Kalau boleh suara kita bukan hanya di peringkat tempatan tetapi antarabangsa. Apalagi sekarang terlalu banyak isu antarabangsa wanita dijadikan senjata perang, dirogol dan dibunuh,” katanya. Pautan Artikel Penuh: Misi selamatkan gadis terlanjur

Read 73 times
Rate this item
(0 votes)

Siaran Media

ICERD: Mencari Titik Tengah Bukan Titik Noktah
Saya mengamati isu ratifikasi International Convention on the Elimination of All Forms of Racial ...
Tunas Dermaga Didik Kanak-Kanak Melindungi Diri
Alhamdulillah, pada 9hb November 2018, para jurulatih program Tunas Dermaga (Diriku Permata ...
[Video] Hak LGBT, Antara Mimpi Dan Realiti
Lee Ta'arafu : HAK LGBT, ANTARA MIMPI DAN REALITI Panelis: Mohd Khairul Anwar Ismail Peguam Bela ...
Sokongan Masyarakat Penting Untuk Atasi Ancaman
Naib Presiden Helwa, Puan Nur Azura Komarudin Sohami, telah mengisi slot Mental Sihat, Emosi Kuat ...
Tahniah Ahmad Farid Sainuri!
3hb November 2018, Sandakan - Alhamdulillah, Timbalan Yang Dipertua ABIM Negeri Sabah, Sdr. Ahmad ...
GPM Lancar Misi Kemanusiaan Ke Yaman
Rakyat Malaysia diseru beri sumbangan kepada Yaman SHAH ALAM: Kementerian Luar Negeri menyeru ...
Falsafah Pendidikan Negara Perlu Dimaknai Dalam
21hb Oktober 2018 (Ahad): Alhamdulillah, ABIM yang diwakili Naib Presiden, Sdr. Radin Muhd ...
Bengkel Psychological First Aid (PFA) Persiap
28hb Oktober 2018: Alhamdulillah, bagi menyediakan kemahiran kepada pada aktivis ABIM, Biro ...

#Akhbar #TV

ICERD: Mencari Titik Tengah Bukan Titik Noktah
Saya mengamati isu ratifikasi International Convention on the Elimination of All Forms of Racial ...
Tunas Dermaga Didik Kanak-Kanak Melindungi Diri
Alhamdulillah, pada 9hb November 2018, para jurulatih program Tunas Dermaga (Diriku Permata ...
[Video] Hak LGBT, Antara Mimpi Dan Realiti
Lee Ta'arafu : HAK LGBT, ANTARA MIMPI DAN REALITI Panelis: Mohd Khairul Anwar Ismail Peguam Bela ...
Sokongan Masyarakat Penting Untuk Atasi Ancaman
Naib Presiden Helwa, Puan Nur Azura Komarudin Sohami, telah mengisi slot Mental Sihat, Emosi Kuat ...
Tahniah Ahmad Farid Sainuri!
3hb November 2018, Sandakan - Alhamdulillah, Timbalan Yang Dipertua ABIM Negeri Sabah, Sdr. Ahmad ...
GPM Lancar Misi Kemanusiaan Ke Yaman
Rakyat Malaysia diseru beri sumbangan kepada Yaman SHAH ALAM: Kementerian Luar Negeri menyeru ...
Falsafah Pendidikan Negara Perlu Dimaknai Dalam
21hb Oktober 2018 (Ahad): Alhamdulillah, ABIM yang diwakili Naib Presiden, Sdr. Radin Muhd ...
Bengkel Psychological First Aid (PFA) Persiap
28hb Oktober 2018: Alhamdulillah, bagi menyediakan kemahiran kepada pada aktivis ABIM, Biro ...