Siaran Media (136)

Hari Pelarian Sedunia 2015: Krisis Pelarian Sejagat Semakin Membimbangkan, ABIM Gesa Kerajaan Malaysia Tandatangan Konvensyen Berkaitan Pelarian 1951

Bersempena dengan ketibaan Hari Pelarian Sedunia 2015 pada 20 Jun ini, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memandang berat kenyataan yang dikemukakan oleh Pesuruhjaya Tinggi (Hal Ehwal Pelarian) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Antonio Guterres; bahawa krisis pelarian sedunia kini berada pada tahap yang membimbangkan.

Kenyataan beliau merujuk pada statistik yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) yang mencatatkan seramai 59.5 juta orang menjadi pelarian di seluruh dunia. Daripada jumlah tersebut, seramai 2 juta daripada jumlah tersebut terdiri daripada pelarian Syria yang mendapat perlindungan di Turki. Kenyataan ini menunjukkan krisis pelarian pada detik dan ketika ini telah memuncak ke tahap yang membimbangkan.

Krisis kemanusiaan ini telah melangkaui tahap serta kemampuan maksima pertubuhan-pertubuhan bantuan kemanusiaan sejagat sepertimana yang dinyatakan sendiri oleh Guterres yang berbunyi:

“To those that think that it doesn't matter because humanitarian organizations will be there and able to clean up the mess, I think it's important to say that we are no longer able to clean up the mess. UN agencies, NGOs, the Red Cross -- we no longer have the capacities and the resources to respond to such a dramatic increase in humanitarian needs."

Berasaskan kepada kenyataan ini, ABIM ingin menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan menjunjung tinggi kemuliaan insani (karamah insaniah) agar terus menzahirkan keprihatinan mereka terhadap nasib golongan pelarian sejagat. Dukungan ini berasaskan kepada nilai kemanusian dan kasih sayang sesama insan - seperti yang dianjurkan oleh seluruh agama-agama besar dunia - merentas batas sempadan kenegaraan, warna kulit, ras dan agama.

Sokongan dan dukungan daripada seluruh warga Malaysia yang prihatin secara simboliknya merupakan penolakan terhadap sebarang unsur keganasan serta kezaliman sejagat. Krisis pelarian adalah manifestasi sejagat terhadap keamanan dunia yang kita diami hari ini. Dalam situasi dunia yang diwarnai oleh konflik berpanjangan merentas benua, hampir setiap negara akan merasai dampak krisis pelarian, khususnya negara-negara yang berjiran dengan zon dilanda konflik. Malaysia tidak terkecuali.

Tragedi penemuan kubur serta kem pemerdagangan manusia di Wang Kelian seharusnya membangkitkan kesedaran warga Malaysia yang prihatin terhadap polemik pelarian di negara ini. US State Department's Trafficking In Person (TiP) report 2014, telah meletakkan Malaysia pada kedudukan tier ke-3, termasuk di bawah kategori sebuah negara yang gagal untuk memenuhi kewajipan antarabangsa yang asasi untuk menghalang aktiviti pemerdagangan manusia dan menyelamatkan mangsa-mangsa aktiviti haram ini.

Atas dasar ini, ABIM dengan tegasnya menggesa pihak kerajaan serta masyarakat untuk menolak sama sekali sindiket penyeludupan manusia serta korupsi pihak-pihak yang bersubahat bagi mengaut keuntungan lumayan dengan menindas para pelarian. Tindakan tegas pihak kerajaan terutama sekali amat penting kerana ia menggambarkan tahap sebenar komitmen negara kita terhadap kemelut kemanusiaan sejagat.

Oleh itu ABIM menggesa kerajaan Malaysia untuk menandatangani Konvensyen Berkaitan Pelarian 1951 sebagai legitimasi politik dan perundangan untuk membela nasib golongan pelarian sejagat. Akhir sekali, ABIM menyeru agar warga Malaysia membantu pelarian yang berada di negara ini melalui kempen kesedaran terhadap kemelaratan mereka, mendaftarkan diri sebagai sukarelawan dan melalui bantuan kewangan khususnya dalam memenuhi keperluan kesihatan dan pendidikan kanak-kanak dan wanita.

Mereka amat memerlukan sumbangan dan perhatian untuk “berdiri di atas kaki mereka sendiri” untuk mencorak masa depan yang lebih baik. Semoga sumbangan kecil dari individu, organisasi dan pertubuhan ini akan menjanjikan masa depan yang lebih cerah dan dunia yang lebih aman buat pelarian dan umat manusia seluruhnya. Selamat Memperingati Hari Pelarian Sedunia 2015!

MOHAMMAD RAIMI AB RAHIM, Naib Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

 

 

 

Posted by Rohingya Education Centre - REC Kuantan on Monday, 25 May 2015
Read 1043 times
Rate this item
(2 votes)
Kem Dan Kubur Pendatang Di Perlis; ABIM Gesa Siasatan Terperinci & Telus Diadakan

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk penemuan 139 kubur dan 28 kem yang digunakan sebagai aktiviti pemerdagangan manusia dipercayai etnik Rohingya di Wang Kelian di sempadan Malaysia-Thailand.

Berdasarkan maklumat terkini, kem-kem tersebut yang telah wujud semenjak tahun 2013 iaitu kira-kira dua tahun lalu. Dalam keadaan di mana keprihatinan serta kemarahan rakyat Malaysia terhadap tragedi kemanusiaan ke atas umat Islam Rohingya yang masih belum reda, ABIM melahirkan keraguan sejauh mana keseriusan kerajaan Malaysia yang juga sebagai Pengerusi ASEAN bertindak untuk menyelesaikan masalah ini secara tuntas.

Sementara itu, penemuan terbaru itu juga telah menguatkan lagi dakwaan masyarakat antarabangsa bahawa Malaysia adalah antara tempat panas yang menjadi salah satu negara tertinggi dalam rekod aktiviti pemerdagangan manusia.

Sebelum ini menurut US State Department's Trafficking In Person (TiP) report 2014, Malaysia telah jatuh ke tangga tier ke-3 iaitu di bawah kategori sebuah negara yang gagal untuk memenuhi kewajipan antarabangsa yang asasi untuk menghalang aktiviti pemerdagangan manusia dan menyelamatkan mangsa-mangsa aktiviti haram ini.

Justeru, Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat perlu bertanggungjawab untuk membanteras gejala (pemerdagangan) yang keji ini. Penemuan kem-kem serta kubur ini merupakan satu tragedi kemanusiaan yang melangkaui kepentingan keselamatan serta geo-strategik di negara ini.

Atas dasar kemanusiaan, ABIM serta seluruh rakyat Malaysia menggesa satu siasatan terperinci dan telus diadakan untuk kes ini. Pihak berkuasa yang berkenaan perlu menjawab persoalan; bagaimana sebuah kem lengkap yang dipenuhi pendatang asing (dibawa oleh pihak sindiket) boleh wujud di Malaysia? Berapa ramaikah pendatang (atau pelarian) yang telah kehilangan nyawa di hadapan mata kita?

Sekiranya siasatan mendalam serta telus diadakan,tidak mustahil kemungkinan besar banyak kem-kem serupa di sempadan Malaysia-Thailand yang wujud di luar pengetahuan kita. Bukanlah suatu perkara yang mengejutkan seandainya lebih ramai nyawa yang telah terkorban.

Mengambil kesempatan ini, ABIM akan mengadakan Flash Mob “Silent Protest For Rohingya” yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada 30 Mei. Program ini merupakan himpunan aman yang diadakan sebagai tanda protes terhadap kekejaman yang berlaku ke atas umat Islam Rohingya yang dinafikan hak mereka sebagai warganegara yang bermaruah di tanah kelahiran mereka, Burma.

Atas dasar itu, kempen #citizenships4rohingya akan digerakkan secara agresif ke seluruh negara sebagai usaha advokasi mendesak kerajaan Myanmar mengiktiraf kewarganegaraan etnik Rohingya. Semoga seluruh pihak khususnya warga kepimpinan anggota ASEAN mendukung kempen ini.

AMIDI ABD MANAN, Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Read 633 times
Rate this item
(2 votes)
ABIM Pandang Berat Pembelian Sukuk 1 MDB Oleh Takaful Malaysia

Pengakuan anak syarikat TH, Takaful Malaysia Bhd membeli sukuk 1 MDB bernilai RM 985 juta adalah dirujuk. Pengakuan tersebut sekali lagi membimbangkan para pendeposit TH.

Ia merupakan satu pembelian yang penuh tanda tanya kerana masalah yang membelenggui 1MDB. Mampukah 1MDB mengotakan janjinya memberikan pulangan berserta keuntungan kepada pembeli sukuk tersebut?

Sedangkan riuh di pelbagai media, 1MDB sedang bergelut mencari penyelesaian terhadap aliran tunai bagi menjelaskan 'hutang mega' miliknya. Selain itu, pengakuan ini juga menimbulkan tanda tanya terhadap penglibatan 4 orang peneraju pengurusan TH dan peranan mereka di kedua-dua institusi ini? Apakah peranan mereka?

Sekali lagi penjelasan TH khususnya daripada Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TH, Tan Sri Ismee Ismail dituntut. Beliau perlu sedar bahawa umat Islam di Malaysia ternanti-nanti penjelasan daripada beliau. Persoalan selanjutnya adalah, adakah Pengerusi TH memejamkan mata dan menutup telinga terhadap penglibatan para pengurusan tertinggi TH di 1MDB serta urusniaga yang melibatkan keduanya?

Datuk Seri Abdul Azeez, perlu sedar bahawa hubungan yang sebegini antara TH dan 1MDB boleh meragut keyakinan para pendeposit. Ia memusnahkan reputasi TH sebagai pemegang amanah dana rakyat/ umat Islam yang mahu menunaikan rukun Islam kelima. J

ika Datuk Abdul Azeez sudah keliru dengan fungsi TH, maka itu tandanya beliau perlu mengundurkan diri sebagai Pengerusi TH. Umat Islam tidak mahu Pengerusi TH yang tidak peka dengan perkara yang boleh menimbulkan keraguan dan salah sangka.

Amidi Abd Manan, Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia

Read 693 times
Rate this item
(0 votes)
Tabung Haji Beli Hartanah 1MDB; ABIM Tuntut Siasatan & Penjelasan

Merujuk kepada berita yang disebarkan di media sosial berkaitan pembelian hartanah oleh Tabung Haji daripada 1MDB. ABIM memandang serius perkara ini. Ia boleh menjejaskan simpanan umat Islam di Malaysia yang berhajat untuk menunaikan rukun Islam kelima.

ABIM menuntut satu siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa seperti polis atau SPRM. Siasatan ini bagi memastikan kebenaran laporan yang tersebar ini.

Jika benar dakwaan ini, maka ia merupakan ulangan kepada skandal PKFZ. Tapi ia lebih buruk lagi kerana menggunakan duit tabungan bakal-bakal jamaah haji Malaysia.

Amidi Abd Manan, Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia

Read 596 times
Rate this item
(0 votes)
ABIM Pandang Berat Insiden Salib Taman Medan

Merujuk kepada insiden desakan segelintir penduduk Taman Medan, Petaling Jaya agar sebuah gereja menurunkan lambang salib. ABIM memandang berat perkara tersebut. Pada 6 Febuari lalu di Sabah, polis menerima aduan dari ibu bapa yang mendakwa anak mereka ditukar agama kepada agama Islam tanpa kebenaran mereka.

Pada 27 Mac pula Setiausaha Agung SUPP merakamkan rasa gembira atas tindakan yang dikenakan terhadap guru yang menukar agama pelajar mereka kepada agama Islam. Insiden-insiden seperti ini lahir dari pergelutan politik yang semakin sengit. Di mana ada pertelingkahan kaum atau agama, maka akan hadirlah pemimpin politik yang cuba menangguk di air keruh.

Ada yang mahu menjadi hero kononnya merekalah wira dalam membela agama. Kenyataan-kenyataan yang berbaur hasutan dan kebencian dihamburkan demi mensensasikan penglibatan kelompok yang berkepentingan ini. Orang awam terus dijadikan mangsa perebutan kuasa antara kelompok politik ini. Akhirnya wujud satu keresahan yang membantutkan penyuburan keharmonian masyarakat Malaysia yang terdiri dari pelbagai bangsa dan agama.

Adakah insiden terbaru ini merupakan babak-babak dalam plot cerita PRK bagi Parlimen Permatang Pauh dan Rompin? Atau sebagai taktik melarikan perhatian rakyat terhadap isu seperti GST dan sebagainya? ABIM menuntut agar pihak kerajaan khususnya Perdana Menteri bertindak segera meredakan keadaan. Ia selari dengan tuntutan al-Quran yang meletakkan tanggungjawab menjaga keselamatan dan keharmonian negara ke atas pemerintah.

ABIM tidak mahu perkara yang sama berlaku berulang kali iaitu, Perdana Menteri antara individu terlambat memberikan respon sehingga mencetuskan pertelingkahan dalam pelbagai bentuk di pelbagai media komunikasi. ABIM menyarankan agar masyarakat muslim menghayati fitrah kerencaman kewujudan makhluk seperti yang terkandung dalam al-Quran (49:13) yang mengkehendaki kita saling berta’aruf dan begitu juga dalam surah Saba’ (34:24-26) yang memperjelas sikap yang sewajarnya diambil oleh muslim ketika bermuamalah dengan bukan muslim.

Begitu juga dengan Surah al-Kafirun yang menjelaskan pengiktirafan Islam terhadapan kewujudan kepelbagaian agama. Jangan kita mengambil sikap yang melampaui batas kerana ia boleh merosakkan citra Islam sendiri yang dikenali sebagai agama rahmat. Tindakan yang kurang cermat ini memberikan kesan yang negatif terhadap dakwah islamiah di Malaysia. Ia menyukarkan sekali gus menyempitkan ruang dakwah hasil dari tindakan yang tidak berhemah ini. Ia juga boleh menimbulkan kekeliruan terhadap mesej islam itu sendiri.

AMIDI BIN ABDUL MANAN, Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Read 657 times
Rate this item
(0 votes)
ABIM Alu-Alukan Arahan Kabinet Siasat Insiden Salib Taman Medan

Arahan Kabinet agar PDRM menjalankan siasatan terhadap sekumpulan penduduk Taman Medan yang mendesak agar salib diturunkan adalah dirujuk. Reaksi segera pimpinan negara terhadap isu ini dialu-alukan. ABIM menyambut baik arahan tersebut kerana ia memberikan impak positif kepada kerukunan masyarakat berbilang agama dan bangsa di Malaysia.

Namun bagi menjamin profesionalisme pihak polis ABIM mendesak agar Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid bin Abu Bakar tidak terlibat dan bersikap berkecuali. Penglibatan beliau dalam kes ini boleh menimbulkan prasangka kerana abang kandung beliau Dato Abdullah Abu Bakar turut bersama dengan kelompok tersebut.

Selain itu kenyataan 'bias' beliau berkaitan insiden ini amat menggusarkan masyarakat. ABIM menggesa agar Timbalan Ketua Polis Negara Dato Sri Noor Rashid Ibrahim bertindak mengendalikan kes ini. ABIM kesal demgan kenyataan melulu Ketua Polis Negara baru-baru ini berkaitan takrifan hasutan yang diperuntukkan undang-undang boleh mengundang padah kepada keselamatan negara.

Amidi Abdul Manan, Presiden, ABIM

Read 660 times
Rate this item
(0 votes)
ABIM Kecam Serangan IS Ke Atas Kem Palestin Di Yarmouk Syria

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam serangan terkini IS ke atas Kem Pelarian Palestin di Yarmuk Syria. Menurut laporan agensi berita Al-Jazeera, seramai 2,000 orang pelarian Palestin telah pun dipindahkan dari kem tersebut yang didiami seramai 18,000 orang.

Sesungguhnya siri terkini kekejaman ini melangkaui batas pertimbangan manusiawi. Tambahan pula serangan tersebut membabitkan pelarian Palestin sebagai mangsanya. ABIM menilai peristiwa ini akan hanya memburukkan situasi geo-politik di Timur Tengah yang dibayangi pelbagai kemelut pasca-Arab Spring.

Serangan IS ke atas pelarian Palestine seharusnya menjadi “wake up call” kepada generasi muda untuk tidak terjebak ke dalam kelompok ekstremisme seperti IS. Justeru; ABIM mengharapkan kerjasama daripada warga serta organisasi media agar mengetengahkan siri kekejaman terbaru IS ini selari dengan pendirian tegas rakyat serta kerajaan Malaysia menolak IS.

Atas keadaan yang berlaku ini, ABIM menyeru seluruh warga Malaysia yang prihatin agar dapat menyalurkan sokongan serta bantuan kemanusiaan kepada warga Syria serta Palestin (di Syria) yang memerlukan.

Segala bentuk sokongan ini boleh disalurkan menerusi jaringan NGO-NGO kemanusiaan Syria seperti Gabungan Selamatkan Syria.

MOHAMAD RAIMI AB RAHIM Naib Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Read 756 times
Rate this item
(0 votes)
ABIM Gesa Tindakan Provokatif Polis dihentikan Serta Merta.

Merujuk kepada beberapa kes penahanan di bawah Akta Perhimpunan Aman dan Akta Hasutan. ABIM mengecam kaedah penahanan secara provokatif yang digunakan oleh polis. Kaedah penahanan yang dilihat melampau boleh menimbulkan rasa benci masyarakat terhadap pasukan polis.

Ia sekaligus menghilangkan rasa hormat, memandangkan mereka yang ditahan rata-ratanya adalah ahli politik dan aktivis masyarakat bukannya penjenayah berbahaya.

Tambahan pula ada kalangan mereka tanpa gagal memberikan kerjasama kepada polis bagi melakukan siasatan atau merakam perbualan. Apakah keperluan untuk mereka ditahan ditempat-tempat awam diwaktu dinihari? Apatah lagi dengan aksi ala penculik upahan profesional? Sedangkan mereka akan ke balai polis cukup dengan satu notis panggilan.

Ini membuat imej polis kelihatan bodoh, ganas dan tidak bertimbangrasa. Persepsi ini bertambah negatif apabila tindakan sebegini dilakukan secara berpilih atau secara lebih jelas hanya terhadap parti politik tertentu.

ABIM khuatir jika imej polis kembali ketika Tan Sri Abdul Rahim Noor menjadi Ketua Polis Negara yang terbabit dengan insiden mata lebam Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Usaha membaiki imej polis yang telah terjejas teruk diikhtiarkan oleh beberapa KPN selepas itu telah mula membuahkan hasil. ABIM menuntut agar Menteri Dalam Negeri campur tangan sebelum imej polis rosak secara keseluruhan.

Amidi Abd Manan, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Read 2676 times
Rate this item
(0 votes)
GST Jejas Kehidupan Generasi Muda

Menjelang pelaksanaan GST pada 1 April ini, ABIM melahirkan rasa cemas dan bimbang terhadap kesan kepada generasi muda. Salah satu golongan yang bakal menerima kesan yang besar adalah kelompok mahasiswa.

Dari tinjauan yang dibuat secara rambang, ada mahasiswa hari ini yang menjamah nasi sekali sehari. Kebanyakan dari mereka tidak bersarapan pagi. Mereka makan dengan agak berat pada waktu tengahari.

Bagi menahan kelaparan di waktu malam, biasanya mahasiswa akan memakan mee segera atau makan makanan yang ringan seperti roti, roti canai dan seumpamanya.

Bebanan mahasiswa semakin bertambah berat apabila jumlah pinjaman PTPTN bagi kemasukan Januari 2015 dikurangkan. Kelompok mahasiswa tidak mempunyai banyak pilihan, tambahan pula peralatan memasak seperti periuk nasi elektrik dan cerek elektrik merupakan barang terlarang bagi dibawa ke asrama.

ABIM melahirkan rasa bimbang dengan keadaan ini. Pemakanan yang berzat dan mencukupi untuk seorang pelajar amat penting. ABIM menuntut agar jumlah pinjaman PTPTN, MARA, JPA dan lain-lain tabung pembiayaan pelajaran ditambah atau GST dihapuskan.

Sebagai golongan yang tidak mempunyai pendapatan, mahasiswa sepatutnya tidak dibebankan dengan cukai. Keadaan mencolok mata dengan kemewahan dan pembaziran pendapatan negara bakal menimbulkan rasa jelek terhadap pihak wewenang.

Amidi Abdul Manan, Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Read 814 times
Rate this item
(0 votes)
Anwar Ibrahim Dan Kehakiman Malaysia: Prof. Dr. Taha Jabir al-`Elwaniy

ANWAR IBRAHIM DAN KEHAKIMAN MALAYSIA

Sebuah Penyataan Oleh: Prof. Dr. Taha Jabir al-`Elwaniy (Urus terjemah Angkatan Belia Islam Malaysia)

Prof. Dr. Taha Jabir al-`Elwaniy Saya telah mengenali Anwar Ibrahim hampir empat puluh tahun, sejak beliau memimpin ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia), gerakan belia terpenting di Asia Tenggara. Anwar yang saya kenal ketika itu adalah seorang anak muda yang cerdas, lulusan bidang sosiologi, datang dari keluarga Melayu berdarah India.

Beliau dan organisasi pimpinannya itu banyak mendirikan sekolah-sekolah rendah dan menengah. Memang beliau telah dibesarkan dan didewasakan dalam dunia pendidikan, dan seterusnya menyertai arus gerakan Islam di rantau Melayu. Kerana aktivismenya yang cukup menyerlah beliau menjadi tokoh harapan masa depan arus Islam di dalam dan luar Malaysia.

Reputasinya sebagai pemimpin muda meluas hingga ke luar daerah persekitarannya. Ketika itulah beliau ditangkap dan seterusnya disumbatkan ke khemah tahanan politik oleh pemerintah Malaysia. Setelah pembebasannya, Isma`il al-Faruqi rahimahu ‘Llah tampil memainkan peranannya sebagai orang tengah antara Anwar dan Mahathir Muhamad, Perdana Menteri Malaysia ketika itu.

Al-Faruqiy menyarankan agar Mahathir memanfaatkan pemikiran dan aktivisme Anwar sebagai seorang yang memiliki segala potensi kepimpinan dan sebagai tokoh berkarisma terutama dalam kalangan anak-anak muda. Masa itu adalah era menyemaraknya fenomena keislaman yang disebut Islamic resurgence atau kebangkitan Islam.

Dengan kepekaan politiknya, Mahathir melihat bahawa membawa masuk tokoh muda seperti Anwar Ibrahim - simbol golongan Islamis di Dunia Melayu dan Asia Tenggara - mungkin akan dapat menyelamatkan Malaysia daripada konflik yang tajam di antara golongan nasionalis Melayu (yang berorientasi sekular) dengan golongan Islamis. Di Malaysia ketika itu telahpun wujud parti Islam yang memperjuangkan pelaksanaan syari`at dan menjadikan seluruh wilayah Malaysia sebagai wilayah Islam, di samping telah juga wujud simbol-simbol Islam dalam negara yang memungkinkan Malaysia terdedah kepada konflik seperti yang berlaku di dunia Arab, iaitu konflik di antara golongan Islamis dengan golongan nasionalis.

Di Malaysia pada asasnya tidak wujud perpecahan dalam kalangan kaum bumiputera yang rata-rata adalah Muslim-Sunni yang menganut mazhab Syafi`i. Itulah yang menjadi asas perpaduan mereka selain asas kesatuan kebangsaan. Mahathir telah membuat keputusan untuk meyakinkan Anwar agar menyertai parti pemerintah (UMNO) dan seterusnya berkhidmat dalam kerajaan dengan jaminan bahawa ruang yang seluas-luasnya akan sentiasa terbuka untuk beliau memanfaatkan kemampuan politiknya semaksimanya. Sementara itu pihak parti Islam (parti yang didominasi para ulama) pula menawarkan agar Anwar memimpin parti tersebut.

Bagaimanapun al-Faruqiy (yarhamuhu ‘Llah) berpandangan lebih baik Anwar memainkan peranan kepimpinan dalam parti pemerintah daripada menjadi pemimpin parti pembangkang Islami. Kedua-dua tokoh tersebut akhirnya telah mencapai kesepakatan. Berikutan dengan keputusan tersebut ramai para ulama (Islamis) yang mengecam tokoh muda Islam tersebut yang lebih mengutamakan kerjasama dengan golongan sekularis dan menyertai parti mereka daripada menjadi pemimpin parti Islam.

Tentu sahaja Anwar perlu mempertahankan dirinya. Ketika itulah Dr. Al-Faruqi dan teman-teman dari Himpunan Belia Islam Sedunia (WAMY) di Riyadh meminta saya pergi ke Malaysia untuk mencari semacam penyelesaian di antara Anwar dan rakan-rakannya dengan para penentangnya dari kalangan Islamis, yang sebahagiannya telah bertindak terlalu jauh dan melampau dengan menuduhnya cenderung dan memihak kepada orang-orang zalim, seterusnya mengubah kesetiaannya kepada mereka serta pelbagai tuduhan lainnya lagi.

Saya telah pergi ke Malaysia menemui semua pihak: pimpinan ulama dan parti Islam mereka, juga belia Islam Malaysia dan pimpinannya. Selama kira-kira dua minggu saya berada di sana untuk menenangkan keadaan, cuba memelihara perpaduan kaum Muslimin Malaysia dan berusaha mencegah konflik dalam kalangan mereka.

Sementara itu Anwar segera memulakan gerakan politiknya dalam kerangka parti pemerintah UMNO dan dalam konteks peranannya sebagai Timbalan Menteri (di Jabatan Perdana Menteri). Dengan demikian daerah ini telah melintasi era kebangkitan Islam tanpa terjerumus ke dalam konflik antara pendukung kebangkitan dan arus yang bersamanya dengan arus nasionalis-sekularis.

Anwar tampaknya sangat menghargai usaha yang telah saya lakukan ketika itu, beliau menyambut kunjungan saya di rumahnya dan di pejabatnya beberapa kali. Selain itu saya juga telah menyampaikan siri ceramah di pelbagai tempat hingga keadaan kembali tenang dan setelah itu saya pun kembali ke Riyadh meneruskan tugas-tugas saya sebagai profesor di Universiti al-Imam. Hubungan akrab saya dengan Anwar berterusan hingga sekarang. Beliau menghubungi saya setiap kali menghadapi persoalan besar atau ketika menghadapi sebarang pertembungan. Dari masa ke masa Anwar terus mara dan jaya dalam kerjaya politiknya.

Tidak lama kemudian beliau menjadi menteri penuh (Menteri Pertanian), setelah itu menjadi Menteri Pendidikan dan seterusnya menjadi Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri. Sejak itu semua orang tahu beliaulah (Anwar Ibrahim) yang akan menggantikan Mahathir nanti. Anwar telah meraih pelbagai penghargaan dan pengiktirafan, termasuk gelar kebesaran “Dato’ Seri” dari beberapa orang Sultan yang merupakan gelar tertinggi bagi mereka yang di luar keluarga diraja.

Bintangnya terus menyinar dan tampak di mata umum bahawa beliau adalah tokoh di belakang pelbagai kejayaan kerajaan UMNO waktu itu. Tetapi rupa-rupanya prestasi cemerlang Anwar itulah pula yang mendorong orang-orang di keliling Mahathir berusaha mempengaruhinya dan menimbulkan rasa tidak senang di hatinya terhadap orang yang selama ini dianggap anak didiknya.

Mereka berjaya meyakinkan Mahathir bahawa kononnya Anwar tidak lagi menganggapnya sebagai bapak yang berjasa memberikannya segala kesempatan mendapatkan kekuasaan. Usaha-usaha jahat itu pun mula membuahkan hasilnya. Dalam konteks sedemikian itulah terbitnya buku “Lima Puluh Dalil” mengapa Anwar tidak wajar dan tidak layak menggantikan Mahathir.

Mereka memberitahu Anwar bahawa buku tersebut tidak mungkin terbit tanpa dukungan Mahathir sendiri. Akibatnya hubungan antara kedua tokoh tersebut menjadi tegang dan dari hari ke hari semakin memburuk dan terbuka hingga diketahui umum, pemimpin dan anggota parti. Anwar sendiri tidak menduga bahawa krisis tersebut akan sampai ke tahap penyingkirannya dari jawatannya. Maksudnya, beliau tidak menyangka bahawa Mahathir akan bertindak sejauh itu.

Tetapi suasana politik dunia ketika itu telah berubah. Tahun-tahun 90’an adalah era timbulnya keinginan untuk menekan para Islamis dan menghadang kebangkitan Islam. Demikianlah, tiba-tiba kita dikejutkan dengan peristiwa September 1998 apabila Mahathir membuat keputusan bagaikan kudeta ketenteraan, iaitu dengan memecat Anwar dari semua jawatannya dalam parti dan kerajaan.

Ketika itulah juga polis masuk ke rumah yang didiami Anwar, iaitu rumah rasmi kerajaan untuk kediaman Timbalan Perdana Menteri. Mereka memintanya dan keluarganya meninggalkan rumah tersebut serta-merta kerana beliau tidak lagi menyandang sebarang jawaran rasmi. Ia adalah kejadian yang mendadak dan keterlaluan. Anwar terpaksa membawa keluarganya keluar dari rumah tersebut dan berpindah ke rumah miliknya sendiri.

Setelah itu kerajaan melakukan pelbagai tindakan provokatif dan kejam secara bertubi-tubi sehingga membangkitkan protes massa rakyat Malaysia, termasuk ramai dari kalangan ahli-ahli parti pemerintah sendiri. Mereka keluar berdemonstrasi di jalan-jalan raya dan seringkali berakhir di rumah kediaman Anwar. Di sanalah Anwar, isterinya dan penyokong-penyokongnya menyambut para demonstran dan berpidato kepada mereka. Untuk menghadapi protes rakyat tersebut, kerajaan telah mengambil pelbagai langkah dan tindakan.

Yang paling menyedihkan adalah tindakan mahkamah yang tanpa henti berusaha mengkriminalisasikan Anwar dengan bukti-bukti rekaan. Dari masa ke masa ada sahaja kes mahkamah yang bermotif politik untuk menjerat Anwar yang semuanya direkayasa dengan satu tujuan, iatu mensabitkan bahawa Anwar adalah seorang pelaku seks luar tabii, dan kerananya tidak layak menggantikan Mahathir dan tidak layak memimpin sebarang parti parti politik. Itulah yang terjadi sejak 1998.

Sekarang kita sudah berada pada tahun 2015, namun kita masih lagi tak habis-habis dengan proses mahkamah yang ada ketikanya menghukum dan pada ketika yang lain menyokong. Sayang sekali, tahun-tahun yang memberikan kesempatan kepada rakyat Malaysia memanfaatkan kebolehan dan pengalaman Anwar, khususnya untuk menangani pelbagai masalah di rantau Asia Tenggara, telah disia-siakan dengan menyebokkan Anwar dan menyebokkan diri mereka sendiri dengan kes-kes dan dakwaan-dakwaan karut dengan segala pembuktian dan kesaksian yang aneh, lucu dan berubah-ubah.

Yang harus membayar harga segala karut-marut itu adalah Anwar dan rakyat Malaysia serta pemimpin-pemimpin politik dari pelbagai parti. Sesungguhnya saya - sebagai seorang yang sangat mencintai Malaysia dan rakyat Malaysia - terpegun dengan isu ini, lalu saya bertanya kepada beberapa orang Malaysia, “Tidakkah anda malu dengan tindakan dan perilaku buruk yang telah dilakukan ke atas seorang tokoh yang seharusnya ketika ini sudah menjadi pemimpin paling berjaya di Asia Tenggara dan pemimpin Melayu paling cemerlang?”.

Ada seseorang yang menjawab, “Semua pemimpin-pemimpin kami pernah masuk penjara. Anwar juga tidak terkecuali. Beliau harus melalui masa-masa di penjara.”. Anwar telahpun dipenjara selama enam tahun atas tuduhan dan tohmah yang serba karut. Kita menyangka segalanya telah berakhir dengan pembebasannya.

Tetapi rupa-rupanya para penguasa hari ini telah membuka kembali isu lapuk tersebut dan menyebarkan semula fitnah kotor dan jahat itu kerana sebab-sebab yang Allah sahaja yang tahu. Sesungguhnya Malaysia pernah dianggap sebagai negara contoh dan model kejayaan, iaitu ketika negara ini di bawah kepimpinan Mahathir-Anwar. Kedua-duanya memiliki kekuatan dan keistimewaan sendiri-sendiri, yang seorang dengan pengalamannya, sementara yang seorang lagi dengan dinamika kemudaannya.

Tetapi kini, gandingan itu telah dipecahkan oleh syaitan-syaitan manusia dan jin. Orang-orang Malaysia yang banyak berbicara tentang sihir, ramai yang apabila berbicara tentang konflik Mahathir-Anwar mengatakan bahawa mereka berdua terkena sihir hitam sehingga mereka saling membenci. Sebenarnya mereka (rakyat Malaysia) tidak mempunyai jawapan atau tafsiran yang meyakinkan tentang apa yang telah terjadi, selain kekarutan khurafat tersebut.

Tidak malukah Malaysia dengan keadaan terus-menerus dalam dongeng sihir hitam dan putih, dengan cerita tududan palsu dan bukti rekaan, dan segala kekarutan lainnya itu? Andainya saya seorang hakim di Malaysia, pasti saya sudah berhenti dari perkhidmatan kehakiman, dan pasti saya merasa terhina dan malu besar apabila disebut bahawa saya seorang hakim atau pernah menjadi hakim.

Memang demikianlah, kerana saya menyaksikan keadaan aib dan memalukan itu berlanjutan selama tujuh belas tahun, orang-orang politik dan hakim-hakim mahkamah sewenang-wenang memperlakukan isu ini sedemikian rupa. Saya ingin berpesan kepada Anwar, mohonlah pertolongan Tuhan dengan memperbanyakkan sabar dan sembahyang, sesungguhnya Allah bersama mereka yang sabar. Dan saya ingin berkata kepada Mahathir, takutlah kepada Allah, sesungguhnya jarak antara kamu dengan liang kubur sudah tidak jauh. Umur kamu sudah melewati lapan puluhan.

Ketahuilah bahawa perbuatan mencemarkan maruah dan tuduhan-tuduhan yang berkaitan dengannya, atas alasan apa pun, tidak akan dibiarkan oleh Allah menyentuh orang yang bersih. Bahkan akibat dan balasannya adalah sengsara kehinaan di dunia dan derita penyiksaan di akhirat. Marilah kita bertaqwa kepada Allah, dan sama-sama mengangkat perjuangan kita ke aras yang lebih tinggi dan lebih mulia daripada tahap sekarang yang serba cemar, rendah dan murah. Prof. Dr. Taha Jabir al-`Elwaniy [Nota: Teks terjemahan ini di urus selaras oleh ABIM]

Read 2369 times
Rate this item
(14 votes)
PENAHANAN YB PUAN NURUL IZZAH PENCABULAN KETERLALUAN TERHADAP RUANG DEMOKRASI

Merujuk kepada penahanan YB Puan Nurul Izzah Anwar di bawah Akta Hasutan 1948. ABIM mengecam penahanan tersebut yang tersasar dari landasan keadilan dan adalah pencabulan keterlaluan terhadap proses demokrasi di Malaysia. Penahanan sedemikian menggambarkan bahawa beliau adalah seorang penjenayah yang berbahaya, berkemungkinan untuk melarikan diri dan tidak bertanggungjawab.

Langkah beliau yang secara berani menyahut notis panggilan ke Balai Polis Dang Wangi berkaitan himpunan Kita Lawan langsung tidak dihargai pihak polis. Ia sekaligus menggambarkan kerakusan dan sikap angkuh pihak berkuasa terhadap seorang yang secara jelas memberikan kerjasama bagi membantu siasatan.

Persoalan layanan yang berbeza-beza di bawah akta yang sama juga amat memalukan. Kenapa langkah yang serupa tidak dibuat kepada YB Datuk Ismail Sabri dan Datuk Dr Mashitah Ibrahim?

Kenyataan mereka yang dibuat di luar parlimen, tanpa sebarang rakaman tidak perlu direman berbanding dengan kenyataan YB Puan Nurul Izzah Anwar yang dibuat di dalam Parlimen dan dirakam melalui hansard Parlimen. Adakah ia terlalu rumit sehingga memerlukan tempoh reman ditambah?

Ruang bersuara di Parlimen harus dihormati dan dibezakan dengan ucapan awam atau kenyataan di luar Parlimen. Parlimen adalah medan seorang wakil rakyat menyatakan sikap dan pendirian berprinsip mewakili rakyat yang memilihnya.

Jika perkara-perkara berkaitan institusi dalam negara tidak boleh disentuh walaupun di dalam Dewan Rakyat atau Dewan Negara, maka timbul persoalan, di manakah perkara ini boleh diutarakan?, sedangkan Dewan Rakyat adalah satu korum yang sah dan mempunyai legitimasi tersendiri, dipelihara oleh Perlembagaan Persekutuan.

ABIM menggesa agar pihak polis melepaskan beliau dari tahanan reman berpilih yang amat memalukan. Tindakan 'pendek akal' ini adalah satu provokatif yang boleh membuatkan rakyat semakin muak dan sekaligus serik untuk memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa. Elemen-elemen provokatif seumpama ini harus dielakkan bagi memastikan keamanan Malaysia terpelihara.

Amidi Abd Manan, PRESIDEN Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Read 673 times
Rate this item
(0 votes)
Qazaf: Rujuk Pandangan Ulama' & Elak Buat Kenyataan Yang Mengelirukan

Laporan berkaitan Enakmen Jenayah Syariah (Qazaf) yang tidak meliputi kesalahan liwat seperti yang dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Datuk Jamil Khir dan tindakan pendedahan terbuka Tan Sri Dato’ Sri Muhammad Safee adalah dirujuk.

ABIM berpandangan bahawa kenyataan ini amat mengelirukan masyarakat dan memerlukan penjelasan lanjut tetapi ia juga berlawanan dengan pandangan fuqaha’ khususnya ulama muktabar bermazhab Shafi’i. Pandangan Syarak:

Dalam menakrifkan qazaf Imam Nawawi daripada Mazhab Shafi’i menyatakan bahawa qazaf ialah tuduhan zina (ke atas seseorang) untuk menghinanya.

Manakala Ibn Humam seorang ulama’ dari mazhab Hanafi pula menyatakan bahawa qazaf ialah tuduhan melakukan zina (ke atas seseorang).

Ibn Arafah pula berpandangan bahwa qazaf ialah seseorang mukallaf menuduh orang merdeka, berakhlak baik, Muslim yang baligh atau kanak-kanak melakukan zina atau menafikan keturunannya yang sah. Dari pandangan-pandangan ini dapat kita simpulkan qazaf ialah tuduhan ke atas seseorang yang baik akhlaknya dengan berzina, atau menafikan keturunannya yang sah.

Para ulama’ menyamakan liwat dengan zina antaranya dalam Mazhab Shafi’i. yang menyatakan liwat dikenakan hukuman had (hudud).

Ibn Quddamah daripada Mazhab Hambali pula berpendapat bahawa pesetubuhan dubur adalah sama dengan persetubuhan di faraj iaitu zina. Mazhab Maliki mengikut pendapat al-Dasuqi menyatakan bahawa liwat jenayah zina mengikut syarak dan dikenakan hukuman had ke atasnya.

Hanya Abu Hanifah yang berpandangan bahwa liwat tidak diwajibkan hukuman had ke atas kedua-dua pelaku liwat dan penerimanya, lelaki atau perempuan, sekali pun hukumnya adalah haram. Ini disandarkan kepada hujah bahawa zina haram hukumnya kerana persetubuhan di faraj, tetapi bagi peliwat, yang berlaku bukan zina, ia adalah liwat.

Berdasarkan penjelasan tersebut, majoriti fuqaha’ daripada 4 mazhab berpendapat bahawa liwat adalah sama sahaja dengan zina, kerana perbuatan liwat berlakunya kemasukan kemaluan dan berlakunya kepuasan seperti zina, maka ia sama dengan hukum zina. Tuduhan liwat ke atas seseorang mengikut Imam Malik, Imam Shafi’I dan Imam Ahmad sama dengan tuduhan zina (Qazaf) kerana mereka berpendapat bahawa liwat adalah zina dan peliwat adalah penzina sama ada ia sebagai pelaku atau penerima perlakuan itu, sama ada ia lelaki atau perempuan jika sabit penuduh berniat dalam tuduhannya itu bermaksud yang dituduh melakukan perbuatan Kaum Lut, maka penuduh wajib dikenakan hukuman had, manakala Abu Hanifah berpendapat bahawa tuduhan liwat termasuk dalam hukuman ta’zir kerana beliau berpendapat bahawa liwat bukannya zina, justeru tuduhan liwat tidak dikira sebagai tuduhan zina.

Untuk penerangan lanjut, ABIM telah pun menerbitkan buku bertajuk: “Bahaya Qazaf” sebagai panduan untuk masyarakat memahami isu ini. Selain itu ‘Resolusi Klinik Hukum Syarak Dan Guaman Syarie, Universiti Kebangsaan Malaysia, Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam UKM yang dikeluarkan pada 18 Ogos 2008’ boleh juga di rujuk yang membawa maksud sama seperti dinyatakan di atas. Oleh itu sebarang pernyataan di luar mahkamah yang bermaksud bukan untuk perbicaraan maka ia adalah qazaf, jika tidak disertakan dengan 4 orang saksi.

Tambahan pula ia dilakukan oleh sebelah pihak sahaja maka ia dengan jelas bermatlamatkan mengaibkan seseorang dan ini merupakan perbuatan yang dicela oleh agama Islam. Pindaan Enakmen Jenayah Syariah Oleh itu, ABIM berpandangan Enakmen Jenayah Syariah yang hanya menyatakan perbuatan zina boleh diintepretasikan bahawa ianya termasuk jenayah liwat berdasarkan pandangan fuqaha di atas walaupun tidak secara jelas dimasukkan dalam peruntukan undang-undang berkenaan. Hal ini perlu ditentukan oleh Mahkamah Syariah dan bukannya pertikaian pelbagai pihak di media. Justeru sebagai tindakan proaktif mengukuhkan peruntukan tersebut, ABIM menyarankan agar definisi zina di bawah Enakmen Jenayah Syariah dan Akta Jenayah Syariah mesti dipinda bagi memenuhi dan menepati maksud hukum syarak.

Oleh yang demikian ABIM mencacadangkan: “Bahagian TAFSIRAN untuk maksud “ZINA” dimasukkan peruntukan termasuk liwat.” Peruntukan undang-undang jenayah tersebut harus dipinda agar ia benar-benar menepati pandangan para fuqaha’ bagi mendaulatkan hukum Islam ke martabat yang selayaknya dengan memasukkan tuduhan liwat sebagai sebahagian daripada qazaf. Tambahan pula dengan semangat yang berkobar-kobar yang ditunjukkan oleh kerajaan terhadap pelaksanaan Hukum Hudud maka sudah tiba masanya untuk pindaan bagi setiap peruntukan dalam perundangan syariah di Malaysia bagi menepati hakikat kewujudannya.

Perbuatan Mengaibkan Moral dan Penceritaan Perilaku Seks Secara Terbuka Berdasarkan kepada rujukan dalam Al-Quran dan pandangan ulama muktabar Islam bahkan termasuk semua agama lain, perbuatan mededahkan perilaku seks, sumbang di khalayak terbuka adalah suatu perbuatan yang tidak bermoral bercanggah dengan nilai Islam dan moral masyarakat. ABIM berpandangan wujud falsafah besar dalam definasi ayat Qazaf dan ayat-ayat lain dalam al-Quran yang mencegah kita berbuat demikian kerana mengaibkan individu dan keluarga. Justeru ABIM berpandangan majlis penerangan Tan Sri Dato’ Sri Muhammad Safee yang menceritakan perilaku seks kes DSAI secara terperinci adalah amat tidak beretika dari sudut profesional guaman dan wujud elemen qazaf atas tindakannya itu.

Oleh itu laporan qazaf yang telah dibuat ke atasnya harus disiasat dengan teliti dan diambil tindakan oleh pihak berwajib. Malah bagi menjaga kesucian Islam pihak berkuasa agama di negeri-negeri sewajarnya tidak membenarkan perbuatan jenayah qazaf sedemikian berleluasa. Seruan ABIM ini tidak terhad kepada sekitar kes DSAI sahaja malah untuk mana-mana pihak sekalipun merentas parti politik; perbuatan mendedahan seksual mana-mana tokoh-tokoh politik atau individu lain yang berlaku sebelum ini juga adalah tidak bermoral dan boleh membawa kepada jenayah qazaf. ‪

AMIDI ABDUL MANAN Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Read 1778 times
Rate this item
(1 Vote)
Page 6 of 12

Siaran Media

Video: Pengenalan Kepada Tadabbur Al-Qur'an
Kuliah bersiri ini berdasarkan kepada kitab Tadabbur al-Quran. Video ini adalah siri pertama ...
Sukarelawan Masa Hadapan Memimpin Umat, Mengemudi
Sempena Hari Sukarelawan Antarabangsa 2018 (International Volunteers Day) pada tanggal 5 Disember ...
ABIM Terima Anugerah Maulidur Rasul
27hb November 2018 (Selasa) : Alhamdulillah, Presiden ABIM, Sdr. Mohamad Raimi Ab Rahim telah ...
Sheikh Yusuf Al-Makassari Sumber Inspirasi Nelson
Terdapat pandangan yang mengatakan saranan Abim Pusat ini seolah ingin membawa agenda ICERD melalui ...
ICERD: Mencari Titik Tengah Bukan Titik Noktah
Saya mengamati isu ratifikasi International Convention on the Elimination of All Forms of Racial ...
Tunas Dermaga Didik Kanak-Kanak Melindungi Diri
Alhamdulillah, pada 9hb November 2018, para jurulatih program Tunas Dermaga (Diriku Permata ...
[Video] Hak LGBT, Antara Mimpi Dan Realiti
Lee Ta'arafu : HAK LGBT, ANTARA MIMPI DAN REALITI Panelis: Mohd Khairul Anwar Ismail Peguam Bela ...
Sokongan Masyarakat Penting Untuk Atasi Ancaman
Naib Presiden Helwa, Puan Nur Azura Komarudin Sohami, telah mengisi slot Mental Sihat, Emosi Kuat ...

#Akhbar #TV

Video: Pengenalan Kepada Tadabbur Al-Qur'an
Kuliah bersiri ini berdasarkan kepada kitab Tadabbur al-Quran. Video ini adalah siri pertama ...
Sukarelawan Masa Hadapan Memimpin Umat, Mengemudi
Sempena Hari Sukarelawan Antarabangsa 2018 (International Volunteers Day) pada tanggal 5 Disember ...
ABIM Terima Anugerah Maulidur Rasul
27hb November 2018 (Selasa) : Alhamdulillah, Presiden ABIM, Sdr. Mohamad Raimi Ab Rahim telah ...
Sheikh Yusuf Al-Makassari Sumber Inspirasi Nelson
Terdapat pandangan yang mengatakan saranan Abim Pusat ini seolah ingin membawa agenda ICERD melalui ...
ICERD: Mencari Titik Tengah Bukan Titik Noktah
Saya mengamati isu ratifikasi International Convention on the Elimination of All Forms of Racial ...
Tunas Dermaga Didik Kanak-Kanak Melindungi Diri
Alhamdulillah, pada 9hb November 2018, para jurulatih program Tunas Dermaga (Diriku Permata ...
[Video] Hak LGBT, Antara Mimpi Dan Realiti
Lee Ta'arafu : HAK LGBT, ANTARA MIMPI DAN REALITI Panelis: Mohd Khairul Anwar Ismail Peguam Bela ...
Sokongan Masyarakat Penting Untuk Atasi Ancaman
Naib Presiden Helwa, Puan Nur Azura Komarudin Sohami, telah mengisi slot Mental Sihat, Emosi Kuat ...