Siaran Media (136)

Selamat Hari Malaysia 2015

Sep 16, 2015
Hit: 597
Selamat Hari Malaysia 2015

Pembentukan Malaysia pada 16 September merupakan sesuatu yang unik. Penggabungan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak merupakan satu kesanggupan meredah ombak dan badai kerencaman budaya, kepercayaan, keturunan dan sejarah bagi membina sebuah negara yang bermaruah.

Kita tidak dapat membina sebuah negara yang berjaya jika kita saling menyalahkan antara satu sama lain. Menyalahkan bangsa lain bagi menutup kelemahan sendiri tidak dapat akan mampu membina kekuatan bangsa.

Inilah mesej al-Quran apabila menyebut perubahan kaum mesti bermula dari perubahan diri sendiri. Jika ada perlakuan yang disifatkan sebagai zalim, maka penentangan terhadap kezaliman mestilah tanpa memilih 'bulu' atau kelompok. Inilah formula Ilahi dalam pembinaan masyarakat. Setiap warga itu dipersaudarakan samada dari sudut agama, keturunan mahupun tanah air.

Dalam hal ini al-Raysuni menggunakan istilah al-akh almuwatanah (saudara setanahair). Moga dengan kedatangan hari yang cukup bersejarah ini, marilah kita hayati persaudaraan setanahair ini. Selamat Hari Malaysia.

Sejahterakan Malaysia dengan Dakwah.

AMIDI BIN ABDUL MANAN, Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia.

Read 597 times
Rate this item
(0 votes)
Seminar Ilmuwan Muslim & Misi Pencerahan Umat Ketengah Ilmuwan Muda Muslim

Perkembangan serta kebangkitan Islam di negara ini tidak dapat dipisahkan budaya ilmu. Bersandarkan latar keilmuwan yang kukuh serta substantial ini kebangkitan Islam telah menjadi peristiwa yang sangat fenomenal sifatnya sehingga ke hari ini. Keadaan telah diperakui menerusi pelbagai kajian akademik baik di khalayak pemikir Islam mahupun bukan Islam.

Atas dasar ini, rangkaian Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), amat prihatin terhadap perkembangan terkini yang membabitkan politik, sosio-ekonomi dan pendidikan umat Islam di negara ini. Rangkaian WADAH-ABIM-PKPIM merasakan peri pentingnya untuk ilmuwan Muslim memainkan peranan ke arah mengaktualisasikan misi pencerahan umat berasaskan esensi Tahririy (Kebebasan), Tanwiriy (Pencerahan), dan Taghiriy (Perubahan).

Atas dasar ini maka Seminar Ilmuwan Muslim & Misi Pencerahan Umat akan dianjurkan pada 19 September 2015 bersamaan hari Sabtu. Seminar Ilmuwan Muslim & Misi Pencerahan Umat turut akan mengetengahkan rangkaian ilmuwan-ilmuwan muda Muslim yang sedang mengembangkan potensi mereka dalam pelbagai lapangan bidang akademik seperti berikut; Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil (gambar), Dr Zulkifli Hassan serta Dr. Nor Salimah Abu Mansor, dan Saudara Norazlan Hadi. 

[Jemput Hadir!] Seminar ILMUWAN MUSLIM dan MISI PENCERAHAN UMAT bersempena Ijtima' Harakiy Kali ke-4"Gerakan Islam...

Posted by Angkatan Belia Islam Malaysia / Muslim Youth Movement of Malaysia (ABIM) on Saturday, 12 September 2015
Read 721 times
Rate this item
(0 votes)
Al-Fatihah Buat Jemaah Haji Yang Meninggal Dunia Akibat Tragedi Kren Tumbang Di Mekah

إنا لله وإنا إليه راجعون الهم اغفر لهم وارحمهم وعافهم واعف عنهم

Al-Fatihah. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ingin merakamkan takziah serta kesedihan yang mendalam kepada keluarga 5 orang jemaah Haji Malaysia yang disahkan meninggal dunia akibat kemalangan kren di Masjid il-Haram, Mekah, pada jumaat lalu. Semoga Allah merahmati dan memberi perlindungan kepada semua pihak dan menempatkan para ruh dalam rahmat dan kasih sayang Nya.Amin.

Berikut adalah senarai jemaah haji Malaysia yang telah disahkan meninggal dunia:-

Siti Nuroshlizan Zulkifli, 37, dari Tanah Merah, Kelantan

Rohana Ismail, 54, dari Kuala Krai, Kelantan;

Munah Jusoh, 73, dari Cherang Ruku, Kelantan.

Zainun Taha, 69, Ampang, Selangor

Rusiah Suar, 56, dari Sungkai, Perak.

 

'Lahirmu Jumaat, pergimu jua Jumaat' - luahan sayu adik mangsa #KrenRuntuhMekahhttp://www.astroawani.com/berita-malaysia/lahirmu-jumaat-pergimu-jua-jumaat-luahan-sayu-adik-mangsa-73245

Posted by Astro AWANI on Monday, 14 September 2015

 

 

 

[KRONOLOGI] Apa yang kita tahu tentang #KrenRuntuhMekah setakat inihttp://www.astroawani.com/berita-malaysia/terkini-tragedi-kren-runtuh-di-masjidilharam-lima-warga-malaysia-disahkan-maut-73042

Posted by Astro AWANI on Monday, 14 September 2015

 

Amidi​ Abd Manan, Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Read 1387 times
Rate this item
(0 votes)
Hentikan Isu Bai'ah & Takliq Talaq Tiga:- Fadhlina Siddiq

HELWA ABIM memandang serius isu bai’ah serta takliq talak tiga yang menjadi pertaruhan politik semasa. Kebimbangan ini bersifat "vital" kerana ia melibatkan isu status perkahwinan dan beberapa hukum yang terkait dengan kesahihan baiah tersebut termasuk isu kaffarah sumpah dan implikasi lafaz takliq.

Oleh yang demikian, HELWA ABIM berpandangan bahawa perbalahan serta polemik perdebatan tentang isu ini mesti segera dihentikan bagi memberi peluang kepada pihak-pihak yang terlibat merujuk kepada pihak yang lebih berautoriti termasuk rujukan ke Mahkamah Syariah dan Jabatan Mufti.

Dalam masa yang sama, HELWA ABIM mengutuk sekeras-kerasnya tindakan meletakkan lafaz takliq bagi maksud menceraikan isteri dengan talak tiga sebagai pertaruhan dalam politik.

Sewajarnya perkara berkaitan lafaz takliq perceraian ini tidak seharusnya menjadi pertaruhan dalam politik kerana ia melibatkan maruah isteri yang seolah-olah dipermainkan akibat kerakusan politik kuasa.

Tindakan ini sangat mengaibkan dan boleh menjatuhkan maruah wanita yang bergelar isteri serta memberi kesan terhadap keharmonian rumahtangga keseluruhannya apatah lagi jika lafaz tersebut disabitkan oleh Mahkamah Syariah sebagai sah dan jatuh talak.

Helwa ABIM juga menyeru agar semua pihak berhenti membuat kenyataan balas berkaitan hukum kesahihan lafaz tersebut bagi mengelakkan kemudharatan dan kekeliruan kefahaman masyarakat awam .

Pihak HELWA ABIM juga menawarkan sesi pencerahan isu hukum-hakam dan perundangan kepada orang awam yang mahukan penjelasan tentang isu ini dengan lebih lanjut dan bantuan guaman syariah untuk mewakili pihak-pihak yang terlibat untuk menyelesaikan isu tersebut ke Mahkamah Syariah.

Fadhlina Binti Dato' Siddiq Naib Presiden ABIM (HELWA)

Baca juga:- 

 

[Semasa] Talak Taklik: Pandangan Sahibus Samahah Muffi Pulau Pinang; Dato' Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.Baca kenyataan...

Posted by Angkatan Belia Islam Malaysia / Muslim Youth Movement of Malaysia (ABIM) on Thursday, 3 September 2015
Read 1077 times
Rate this item
(0 votes)
Hapuskan Kebangsatan Bangsa Dengan Dakwah! :- Presiden

Dalam Surah Ali i'mran, Allah menyebut mengenai umat yang terbaik. Umat yang terbaik didirikan dengan keberanian melaksanakan dakwah. Dakwah bermaksud menganjurkan kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Dakwah adalah komitmen yang ditunjukkan oleh para sahabat Rasulullah s.a.w yang mengakhiri kebangsatan bangsa Arab terhina dibelenggu kemungkaran dan jauh dari kebaikan. Memang benar kebangsatan dan kesialan satu ummah atau bangsa adalah disebabkan kemungkaran yang bersarang dan berleluasa serta direstui oleh segenap kalangan.

Read 490 times
Rate this item
(0 votes)
RM 2.6 Billion Untuk Memerangi I.S? ABIM Desak Datuk Seri Mohd Najib Beri Penjelasan Rasmi

Merujuk kepada laporan media berkaitan derma yang diterima oleh Perdana Menteri (PM) sebagai penghargaan kepada usaha memerangi Islamic State (IS) dan pelaksanaan aliran Ahlus Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

ABIM mendesak agar satu kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak PM sendiri. Jika benar seperti yang didakwa oleh Datuk Seri Wan Adnan Wan Mamat, Ketua UMNO Bahagian Kuantan maka ia adalah satu perkara yang amat tidak wajar.

Bantuan tersebut seharusnya diserahkan kepada kerajaan yang mewakili rakyat bukan kepada individu bernama Datuk Seri Mohd Najib bin Abdul Razak secara peribadi.

Ini kerana setiap rakyat yang memerangi radikalisme IS berhak untuk menikmati sumbangan tersebut. Apatah lagi jika ia bertujuan sebagai menghargai usaha Malaysia memperteguhkan aliran Sunni bukanlah ikhtiar Mohd Najib seorang semata-mata, tetapi ia dipelopori oleh rantaian ulama dan pendakwah dari zaman kesultanan Melayu Melaka lagi.

Oleh itu sewajarnyalah ia dipulangkan kepada rakyat khususnya yang beraliran Ahlus Sunnah wal Jamaah kerana terus komited mempertahankan rantau ini khususnya Malaysia sebagai rantau Sunni.

Cubaan penjelasan seperti ini adalah satu cubaan yang mengelirukan dan tidak langsung mampu memberikan kesan yang positif kepada imej PM yang kian buruk.

ABIM menegaskan jika benar seperti yang didakwa dan dilaporkan oleh media maka UMNO apatah lagi Datuk Seri Mohd Najib Razak tidak layak ke atas sumbangan tersebut.

Ini kerana segala usaha memerangi pengaruh IS dan mempertahankan ajaran Sunni adalah usaha bersama secara kolektif semua pihak yang terlibat.

AMIDI BIN ABDUL MANAN Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Read 904 times
Rate this item
(1 Vote)
Hukuman UIAM Ke Atas Pemimpin Mahasiswa Cemar Gagasan Taman Ilmu & Budi

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merakamkan rasa kesal terhadap hukuman yang dijatuhkan kepada dua orang pemimpin mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Hanif Mahpa dan Afiqah Zulkifli atas kesalahan menjemput Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, ke forum perbincangan mengenai GST Mei lalu. Hukuman ini adalah tindakan berpotensi mencermakan imej dan nama baik UIAM.

Ia bukan sekadar hukuman terhadap kesalahan perlanggaran peraturan university tetapi ia juga adalah satu hukuman terhadap kewarasan cara berfikir generasi muda terpelajar dan dalam konteks ini mahasiswa. UIAM yang seharusnya mendukung asas kesepaduan ilmu dan pembangunan merentas fakulti, pembangunan diri manusia, akhirnya tunduk mengkhianati asas yang menjadi mercu kewujudannya.

Seharusnya mahasiswa diberikan satu latihan keintelektualan yang mampu mentuntaskan dari segi saringan segala maklumat dan pendirian yang dibawa oleh mana-mana pihak. Hukuman yang sebegini adalah hukuman yang menghina daya intelektual golongan mahasiswa. Penghinan sebegini tidak sewajarnya berlaku bagi sebuah institusi pendidikan yang mengangkat gagasan Taman Ilmu & Budi.

Sewajarnya UIA menjadi contoh dalam meraikan kepelbagaian pandangan dan pendirian. Ia merupakan asset dan tradisi yang menjadi teras kepada pembinaan Tamadun Khayra Ummah.

Amidi Abd Manan, Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Read 639 times
Rate this item
(1 Vote)
Surat Sahibus Samahah As-Shaykh Yusuf Al-Qaradawi Kepada Anwar Ibrahim Dan Kerajaan Malaysia .

(Diurus selia terjemahan oleh Angkatan Belia Islam Malysia – ABIM)

Segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan sesiapa yang mengikuti petunjukNya. Sesungguhnya Malaysia sebuah negara yang dicintai kami, besar untuk kami dan ada tempat di sisi kami.

Malaysia ada kenangan indah pada diri kami, kecintaan yang benar di hati kami dan kedudukan yang tinggi di akal kami. Hubungan yang erat dan ziarah yang kerap menghimpunkan kami dengan rakyat Malaysia. Sesungguhnya jiwa kami menjadi gembira setiap kali kami melihat Malaysia menuju ketinggian dan kemajuan dalam berbagai-bagai lapangan. Kami berdoa kepada Allah untuk Malaysia, rakyat, kerajaan dan Rajanya; semoga Allah mengekalkan kepada mereka jalan pembangunan dan kemurahan, ikatan dan persaudaraan.

 

[SIARAN MEDIA]SURAT SAMAHAH AL-SHAYKH YUSUF AL-QARADAWI KEPADA ANWAR IBRAHIM DAN KERAJAAN MALAYSIA .(Diurus selia...

Posted by Angkatan Belia Islam Malaysia / Muslim Youth Movement of Malaysia (ABIM) on Monday, 10 August 2015

Namun begitu, kami bercita-cita supaya ufuk yang melewati keterbukaan pendidikan dan ekonomi, sosial dan keilmuan, turut merangkumi keterbukaan politik. Begitu juga, agar Kerajaan Malaysia tidak memandang kepada pihak yang membangkangnya sebagaimana pandangan negara-negara Dunia Ketiga. Pembangkang merupakan satu bahagian utama dari komponen negara dalam sistem demokrasi. Ia merupakan teras keamanan demi memelihara kesatuan negara dan kestabilannya, selain supaya para pemuda tidak pergi kepada pemikiran yang melampau dan aliran ekstremisme.

Saya berkata demikian, berdasarkan apa yang sedang dilalui saudara dan sahabat kami, yang dimuliakan Anwar Ibrahim. Beliau telah berdiri dengan peranan yang hebat, hasil yang besar dan usaha yang baik, yang mana negara Malaysia dan seluruh rakyatnya telah memperoleh manfaat dari usaha itu. Sebagaimana manusia lain, saya mengikuti tuduhan yang aneh terhadap Anwar. Tuduhan itu tidak selari dengan usianya, akhlak, kehidupan beragama, sejarah dan kedudukannya. Demikian juga situasi dan kepelikan di sekelilingnya. Beliau telah dibuktikan tidak bersalah dalam satu penghakiman, kemudian dihukum bersalah dalam satu penghakiman terakhir, hal tersebut berlaku setelah tiada bukti dan telah berlalu satu tempoh yang tidak mungkin boleh dibuktikan lagi.

 

 

Sesungguhnya saya mengenali Anwar Ibrahim sewaktu beliau pada awal usia mudanya, bangun menentang pemerintahan yang lalu dan kemudian memimpin belia Malaysia (Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)). Kemudian kami mengenalinya ketika beliau dipenjara angkara penentangannya (terhadap kerajaan) dan kami mengenalinya selepas beliau dibebaskan dari penjara dan menyertai UMNO.

Beliau memimpin beberapa Kementerian, sehingga menjadi orang nombor dua di dalam parti dan kerajaan. Anwar Ibrahim banyak kali menjemput saya dalam merapatkan (hubungan) antara Parti Islam dan UMNO, saya menyambutnya, kerana saya menyeru kepada kekuatan, kesatuan dan jalan yang lurus buat Malaysia.

Saya bersama-sama Anwar Ibrahim saling bekerjasama dalam membangunkan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), yang mana tertegak atas dasar integrasi ilmu wahyu, sains dan kemanusiaan. Saya mengenalinya semasa beliau sedang bersinar di Malaysia, dunia Arab dan di Barat, ketika itu beliau merupakan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia. Beliau merupakan salah seorang pemimpin terhebat Malaysia di era ini, salah seorang yang menyumbang kepada kebangkitan negara.

Dunia pada masa itu menantinya untuk menjadi Perdana Menteri, pemimpin Malaysia bagi era baru, (namun ia tidak berlaku) angkara kerosakan politik yang menimpa kita. Saya menganggapnya sebagai seorang Muslim yang benar, mukmin yang istiqamah, menunaikan kewajipan, menjauhi dosa-dosa besar dan perbuatan yang haram.

Beliau beramal untuk kemuliaan agamanya, ketinggian negara dan khidmat kepada rakyatnya. Allah lah yang layak menilainya, saya tidak layak menilainya di hadapan Allah. Hari ini, Anwar Ibrahim merupakan satu-satunya orang politik yang telah dan sedang ditimpa dengan kes-kes yang meragukan, dan beliau dipenjara satu demi satu.

Kalau saya meragui akan perbuatannya pada apa yang dituduh, pasti saya tidak menulis seperti apa yang ditulis sekarang. Sebenarnya, saya boleh untuk berdiam dari apa yang sedang dideritai Anwar Ibrahim di penjara. Namun pengiktirafan kepada beliau, pengetahuan akannya dan kejujurannya, selain kerana nasihat ikhlas daripada saya kepada rakyat dan kerajaan Malaysia; (semua itu) menghalang saya untuk tidak berpihak dari topik ini.

Bahkan itu mewajibkan saya untuk menyampaikan seruan kepada Duli Yang Maha Mulia, Yang Dipertuan Agong, Sultan Abdul Halim. Demikian juga kepada Yang Amat Berhormat Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak; Perdana Menteri Malaysia, supaya memberikan pengampunan kepada Anwar Ibrahim. Lebih-lebih lagi isu ini tidak berlaku pada zaman Perdana Menteri sekarang; (PM sekarang) seorang yang saya telah temui dan berutus surat dengannya, saya membantunya dan saya telah menjaga hubungan dengannya.

Saya mengiranya dengan izin Allah akan menyambut seruan ini. Saya menyeru agar kita menutup episod lalu yang mana ia menyakitkan negara Malaysia dan para pimpinannya. Demi Allah, sesungguhnya saya sangat ingin menyatukan rakyat negara Malaysia, bahkan menyatukan seluruh umat Islam. Dan sesungguhnya agama Islam ini ialah agama kamu, agama yang satu asas pokoknya, dan Akulah Tuhan kamu; maka bertaqwalah kamu kepadaKu. (Al-Mukminun: 52) "Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai..." (Al-i-’Imran: 103) "... dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar." (Al-Anfal: 46) Ya Allah, satukanlah suara kami di dalam hidayahMu, hati-hati kami atas ketakwaan padaMu, jiwa-jiwa kami atas kasih sayangMu, dan (satukan) azam-azam kami untuk meneruskan kebaikan dan sebaik-baik amal. Amin.

Yusuf al-Qaradawi Pengerusi, Kesatuan Ulama Sedunia

Read 1957 times
Rate this item
(1 Vote)
ABIM Gesa Ikuti Seruan Shaykh Yusuf Al-Qaradhawi; Bebaskan DSAI, Amalkan Budaya Terbuka, Ke Arah Masa Depan Negara Yang Lebih Baik

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kepada surat terkini oleh ulama’ tersohor dunia Islam, Sahibus Samahah As-Syaikh Yusuf Al-Qaradhawi kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Sesungguhnya surat hadir tepat pada saat dan ketika meruncingnya pelbagai krisis di negara ini.

ABIM menyokong penuh seruan Syaikh Yusuf Al-Qaradhawi kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia, Seri Paduka Yang Di Pertuan Agong, untuk membebaskan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dari hukuman penjara yang sedang beliau jalani pada ketika ini. ABIM menggesa agar seruan ini turut diikuti oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak, selaras sepertimana yang diinginkan oleh Tokoh Maal Hijrah 2009 itu.

 

 

[SIARAN MEDIA]SURAT SAMAHAH AL-SHAYKH YUSUF AL-QARADAWI KEPADA ANWAR IBRAHIM DAN KERAJAAN MALAYSIA .(Diurus selia...

Posted by Angkatan Belia Islam Malaysia / Muslim Youth Movement of Malaysia (ABIM) on Monday, 10 August 2015

 

ABIM menilai gesaan ini mampu merungkai kekusutan politik yang dihadapi rakyat negara ini semenjak 1998. Dato’ Seri Anwar Ibrahim merupakan insan yang banyak berjasa kepada umat Islam di negara ini serta peringkat antarabangsa. Kesaksian Shaykh Yusuf Al-Qaradhawi hanya merupakan sebahagian daripada pengiktirafan para ulama’ serta ilmuwan dunia Islam terhadap jasa serta peranan beliau.

Pembebasan Dato’ Seri Anwar Ibrahim daripada pelbagai tuduhan liar serta kotor (yang meragukan) ini juga merupakan pintu yang dapat mengundang rahmat dan keberkatan ke atas negara ini.

Merujuk kepada surat beliau, ABIM menggesa agar amalan keterbukaan politik dapat dibudayakan di negara ini secara serius. Ini kerana menurut Shaykh Yusuf Al-Qaradhawi peranan pihak pembangkang adalah satu komponen penting dalam amalan demokrasi kerana ia merupakan teras keamanan yang mampu memelihara keutuhan serta kestabilan sesebuah negara.

Keterbukaan ini juga menurut beliau mampu mengelakkan generasi muda daripada terjebak ke aliran pemikiran yang melampau dan ekstrem. Sesungguhnya seruan ulama’ tersohor (pembebasan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan penerapan amalan politik) terbuka ini sangat tepat pada saat dan ketikanya.

Seruan Shaykh Yusuf Al-Qaradhawi ini merangkumi pelbagai hikmah berupa kebaikan dan kebaikan untuk negara ini sekiranya ia terjemahkan serta dipatuhi menjadi sebuah kenyataan.

AMIDI ABD MANAN, Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Read 648 times
Rate this item
(0 votes)
Al-Fatihah Buat Syeikh Wahbah Az-Zuhaily

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Almarhum Al-Sheikh Prof Dr Wahbah Zuhaily atas berpulangnya ruh beliau ke rahmatullah. Kehilangan beliau adalah satu kehilangan yang besar kepada umat Islam sedunia atas sumbangan beliau kepada umat dalam pelbagai bidang ilmu. Beliau terkenal sebagai seorang faqih yang peka dan bijak dalam menialai suasana semasa. Beliau juga dekat dengan umat menerusi usaha beliau memberikan panduan kepada persoalan umat masa kini. Kehadiran beliau buat kali terakhir ke Malaysia beberapa tahun lalu berkaitan fitnah Liwat 2 juga berkaitan sumpah menunjukkan beliau amat prihatin terhadap gejala politik keji yang menyelubungi dunia Islam. Umat telah kehilangan kandil yang indah dan cerah. Umat telah kehilangan seorang ulamak yang tegas, bermaruah dan berkebolehan. Semoga Allah mengurniakan pengganti bagi mencerahkan kita menuju hidayah Ilahi.Ya Allah! Kau tempatkanlah hambaMu ini ditempat yang Engkau kasihi. Amidi bin Abdul Manan Presiden ABIM

Read 582 times
Rate this item
(0 votes)
ABIM Kesal Dengan Skandal RM 2.6 Billion; Gesa Dato' Seri Najib Mengambil Cuti

Kenyataan Rasmi SPRM bertarikh 3 Ogos 2015 berkaitan siasatan kemasukan wang berjumlah RM 2.6 bilLion ke akaun milik Perdana Menteri adalah dirujuk. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) selaku antara pertubuhan yang mewakili umat Islam di Malaysia berasa terhina dengan kenyataan tersebut.

Ia jelas sebagai usaha memperbodoh rakyat secara terang-terangan. Kenyataan seperti ini adalah satu kenyataan yang mengkhianati rakyat Malaysia. Khianat terhadap kepercayaan rakyat yang mengamanahkan tugas untuk terus menjaga integriti dan kredibiliti institusi kerajaan.

Semua rakyat tahu jumlah yang sebegitu besar adalah sesuatu yang hampir mustahil untuk berlaku dalam dunia hari ini. Tambahan pula menerima derma sebegitu besar secara tersembunyi adalah satu perbuatan yang boleh mengundang fitnah yang besar.

Pelbagai soalan yang membeliti tubuh badan Dato' Seri Najib Tun Razak menjadi semakin busuk dengan kenyataan seperti ini.

Persoalannya; Siapakah penderma?, Ke mana dibelanjakan?, Apakah tujuan sumbangan?, Adakah ia melibatkan sebarang perjanjian? terus menghitamkan imej beliau selaku Perdana Menteri Malaysia.

Kenyataan ini juga jelas menjustifikasikan agar Dato' Seri Najib Tun Razak bercuti bagi meredakan sebarang kekalutan berkaitan skandal yang membeliti beliau.

Menegakkan Kebenaran & Keadilan Amidi Abd Manan, Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Read 1464 times
Rate this item
(4 votes)
Pergaduhan Low Yat: ABIM Gesa Hentikan Sebar Khabar Angin

Merujuk kepada insiden pergaduhan di Plaza Low Yat yang dikatakan berlaku di antara pembeli telefon bimbit Melayu dan penjual berbangsa Cina. Kini mula tersebar beberapa pesanan menerusi aplikasi media sosial yang lain tentang pertembungan yang bakal tercetus di ibu kota, Kuala Lumpur.

Angkatan Belia Islam Malaysia, menyeru agar semua pihak jangan mempedulikan sebarang ajakan yang menjurus kepada pergaduhan antara kaum.

Ia satu hasutan yang cukup membimbangkan dan boleh menjerumuskan negara ke kancah huru hara. Perbuatan ini masih berada pada asas yang kabur dengan cerita pelbagai versi yang mengelirukan.

ABIM juga memohon agar tindakan yang sewajarnya diambil oleh pihak berkuasa bagi mengekalkan keamanan di negara kita.

AMIDI ABD MANAN Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Read 622 times
Rate this item
(1 Vote)
Page 5 of 12

Siaran Media

Video: Pengenalan Kepada Tadabbur Al-Qur'an
Kuliah bersiri ini berdasarkan kepada kitab Tadabbur al-Quran. Video ini adalah siri pertama ...
Sukarelawan Masa Hadapan Memimpin Umat, Mengemudi
Sempena Hari Sukarelawan Antarabangsa 2018 (International Volunteers Day) pada tanggal 5 Disember ...
ABIM Terima Anugerah Maulidur Rasul
27hb November 2018 (Selasa) : Alhamdulillah, Presiden ABIM, Sdr. Mohamad Raimi Ab Rahim telah ...
Sheikh Yusuf Al-Makassari Sumber Inspirasi Nelson
Terdapat pandangan yang mengatakan saranan Abim Pusat ini seolah ingin membawa agenda ICERD melalui ...
ICERD: Mencari Titik Tengah Bukan Titik Noktah
Saya mengamati isu ratifikasi International Convention on the Elimination of All Forms of Racial ...
Tunas Dermaga Didik Kanak-Kanak Melindungi Diri
Alhamdulillah, pada 9hb November 2018, para jurulatih program Tunas Dermaga (Diriku Permata ...
[Video] Hak LGBT, Antara Mimpi Dan Realiti
Lee Ta'arafu : HAK LGBT, ANTARA MIMPI DAN REALITI Panelis: Mohd Khairul Anwar Ismail Peguam Bela ...
Sokongan Masyarakat Penting Untuk Atasi Ancaman
Naib Presiden Helwa, Puan Nur Azura Komarudin Sohami, telah mengisi slot Mental Sihat, Emosi Kuat ...

#Akhbar #TV

Video: Pengenalan Kepada Tadabbur Al-Qur'an
Kuliah bersiri ini berdasarkan kepada kitab Tadabbur al-Quran. Video ini adalah siri pertama ...
Sukarelawan Masa Hadapan Memimpin Umat, Mengemudi
Sempena Hari Sukarelawan Antarabangsa 2018 (International Volunteers Day) pada tanggal 5 Disember ...
ABIM Terima Anugerah Maulidur Rasul
27hb November 2018 (Selasa) : Alhamdulillah, Presiden ABIM, Sdr. Mohamad Raimi Ab Rahim telah ...
Sheikh Yusuf Al-Makassari Sumber Inspirasi Nelson
Terdapat pandangan yang mengatakan saranan Abim Pusat ini seolah ingin membawa agenda ICERD melalui ...
ICERD: Mencari Titik Tengah Bukan Titik Noktah
Saya mengamati isu ratifikasi International Convention on the Elimination of All Forms of Racial ...
Tunas Dermaga Didik Kanak-Kanak Melindungi Diri
Alhamdulillah, pada 9hb November 2018, para jurulatih program Tunas Dermaga (Diriku Permata ...
[Video] Hak LGBT, Antara Mimpi Dan Realiti
Lee Ta'arafu : HAK LGBT, ANTARA MIMPI DAN REALITI Panelis: Mohd Khairul Anwar Ismail Peguam Bela ...
Sokongan Masyarakat Penting Untuk Atasi Ancaman
Naib Presiden Helwa, Puan Nur Azura Komarudin Sohami, telah mengisi slot Mental Sihat, Emosi Kuat ...