Siaran Media (116)

ABIM Gesa Ikuti Seruan Shaykh Yusuf Al-Qaradhawi; Bebaskan DSAI, Amalkan Budaya Terbuka, Ke Arah Masa Depan Negara Yang Lebih Baik

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kepada surat terkini oleh ulama’ tersohor dunia Islam, Sahibus Samahah As-Syaikh Yusuf Al-Qaradhawi kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Sesungguhnya surat hadir tepat pada saat dan ketika meruncingnya pelbagai krisis di negara ini.

ABIM menyokong penuh seruan Syaikh Yusuf Al-Qaradhawi kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia, Seri Paduka Yang Di Pertuan Agong, untuk membebaskan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dari hukuman penjara yang sedang beliau jalani pada ketika ini. ABIM menggesa agar seruan ini turut diikuti oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak, selaras sepertimana yang diinginkan oleh Tokoh Maal Hijrah 2009 itu.

 

 

[SIARAN MEDIA]SURAT SAMAHAH AL-SHAYKH YUSUF AL-QARADAWI KEPADA ANWAR IBRAHIM DAN KERAJAAN MALAYSIA .(Diurus selia...

Posted by Angkatan Belia Islam Malaysia / Muslim Youth Movement of Malaysia (ABIM) on Monday, 10 August 2015

 

ABIM menilai gesaan ini mampu merungkai kekusutan politik yang dihadapi rakyat negara ini semenjak 1998. Dato’ Seri Anwar Ibrahim merupakan insan yang banyak berjasa kepada umat Islam di negara ini serta peringkat antarabangsa. Kesaksian Shaykh Yusuf Al-Qaradhawi hanya merupakan sebahagian daripada pengiktirafan para ulama’ serta ilmuwan dunia Islam terhadap jasa serta peranan beliau.

Pembebasan Dato’ Seri Anwar Ibrahim daripada pelbagai tuduhan liar serta kotor (yang meragukan) ini juga merupakan pintu yang dapat mengundang rahmat dan keberkatan ke atas negara ini.

Merujuk kepada surat beliau, ABIM menggesa agar amalan keterbukaan politik dapat dibudayakan di negara ini secara serius. Ini kerana menurut Shaykh Yusuf Al-Qaradhawi peranan pihak pembangkang adalah satu komponen penting dalam amalan demokrasi kerana ia merupakan teras keamanan yang mampu memelihara keutuhan serta kestabilan sesebuah negara.

Keterbukaan ini juga menurut beliau mampu mengelakkan generasi muda daripada terjebak ke aliran pemikiran yang melampau dan ekstrem. Sesungguhnya seruan ulama’ tersohor (pembebasan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan penerapan amalan politik) terbuka ini sangat tepat pada saat dan ketikanya.

Seruan Shaykh Yusuf Al-Qaradhawi ini merangkumi pelbagai hikmah berupa kebaikan dan kebaikan untuk negara ini sekiranya ia terjemahkan serta dipatuhi menjadi sebuah kenyataan.

AMIDI ABD MANAN, Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Read 457 times
Rate this item
(0 votes)
Al-Fatihah Buat Syeikh Wahbah Az-Zuhaily

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Almarhum Al-Sheikh Prof Dr Wahbah Zuhaily atas berpulangnya ruh beliau ke rahmatullah. Kehilangan beliau adalah satu kehilangan yang besar kepada umat Islam sedunia atas sumbangan beliau kepada umat dalam pelbagai bidang ilmu. Beliau terkenal sebagai seorang faqih yang peka dan bijak dalam menialai suasana semasa. Beliau juga dekat dengan umat menerusi usaha beliau memberikan panduan kepada persoalan umat masa kini. Kehadiran beliau buat kali terakhir ke Malaysia beberapa tahun lalu berkaitan fitnah Liwat 2 juga berkaitan sumpah menunjukkan beliau amat prihatin terhadap gejala politik keji yang menyelubungi dunia Islam. Umat telah kehilangan kandil yang indah dan cerah. Umat telah kehilangan seorang ulamak yang tegas, bermaruah dan berkebolehan. Semoga Allah mengurniakan pengganti bagi mencerahkan kita menuju hidayah Ilahi.Ya Allah! Kau tempatkanlah hambaMu ini ditempat yang Engkau kasihi. Amidi bin Abdul Manan Presiden ABIM

Read 377 times
Rate this item
(0 votes)
ABIM Kesal Dengan Skandal RM 2.6 Billion; Gesa Dato' Seri Najib Mengambil Cuti

Kenyataan Rasmi SPRM bertarikh 3 Ogos 2015 berkaitan siasatan kemasukan wang berjumlah RM 2.6 bilLion ke akaun milik Perdana Menteri adalah dirujuk. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) selaku antara pertubuhan yang mewakili umat Islam di Malaysia berasa terhina dengan kenyataan tersebut.

Ia jelas sebagai usaha memperbodoh rakyat secara terang-terangan. Kenyataan seperti ini adalah satu kenyataan yang mengkhianati rakyat Malaysia. Khianat terhadap kepercayaan rakyat yang mengamanahkan tugas untuk terus menjaga integriti dan kredibiliti institusi kerajaan.

Semua rakyat tahu jumlah yang sebegitu besar adalah sesuatu yang hampir mustahil untuk berlaku dalam dunia hari ini. Tambahan pula menerima derma sebegitu besar secara tersembunyi adalah satu perbuatan yang boleh mengundang fitnah yang besar.

Pelbagai soalan yang membeliti tubuh badan Dato' Seri Najib Tun Razak menjadi semakin busuk dengan kenyataan seperti ini.

Persoalannya; Siapakah penderma?, Ke mana dibelanjakan?, Apakah tujuan sumbangan?, Adakah ia melibatkan sebarang perjanjian? terus menghitamkan imej beliau selaku Perdana Menteri Malaysia.

Kenyataan ini juga jelas menjustifikasikan agar Dato' Seri Najib Tun Razak bercuti bagi meredakan sebarang kekalutan berkaitan skandal yang membeliti beliau.

Menegakkan Kebenaran & Keadilan Amidi Abd Manan, Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Read 1113 times
Rate this item
(4 votes)
Pergaduhan Low Yat: ABIM Gesa Hentikan Sebar Khabar Angin

Merujuk kepada insiden pergaduhan di Plaza Low Yat yang dikatakan berlaku di antara pembeli telefon bimbit Melayu dan penjual berbangsa Cina. Kini mula tersebar beberapa pesanan menerusi aplikasi media sosial yang lain tentang pertembungan yang bakal tercetus di ibu kota, Kuala Lumpur.

Angkatan Belia Islam Malaysia, menyeru agar semua pihak jangan mempedulikan sebarang ajakan yang menjurus kepada pergaduhan antara kaum.

Ia satu hasutan yang cukup membimbangkan dan boleh menjerumuskan negara ke kancah huru hara. Perbuatan ini masih berada pada asas yang kabur dengan cerita pelbagai versi yang mengelirukan.

ABIM juga memohon agar tindakan yang sewajarnya diambil oleh pihak berkuasa bagi mengekalkan keamanan di negara kita.

AMIDI ABD MANAN Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Read 443 times
Rate this item
(1 Vote)
Hari Pelarian Sedunia 2015: Krisis Pelarian Sejagat Semakin Membimbangkan, ABIM Gesa Kerajaan Malaysia Tandatangan Konvensyen Berkaitan Pelarian 1951

Bersempena dengan ketibaan Hari Pelarian Sedunia 2015 pada 20 Jun ini, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memandang berat kenyataan yang dikemukakan oleh Pesuruhjaya Tinggi (Hal Ehwal Pelarian) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Antonio Guterres; bahawa krisis pelarian sedunia kini berada pada tahap yang membimbangkan.

Kenyataan beliau merujuk pada statistik yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) yang mencatatkan seramai 59.5 juta orang menjadi pelarian di seluruh dunia. Daripada jumlah tersebut, seramai 2 juta daripada jumlah tersebut terdiri daripada pelarian Syria yang mendapat perlindungan di Turki. Kenyataan ini menunjukkan krisis pelarian pada detik dan ketika ini telah memuncak ke tahap yang membimbangkan.

Krisis kemanusiaan ini telah melangkaui tahap serta kemampuan maksima pertubuhan-pertubuhan bantuan kemanusiaan sejagat sepertimana yang dinyatakan sendiri oleh Guterres yang berbunyi:

“To those that think that it doesn't matter because humanitarian organizations will be there and able to clean up the mess, I think it's important to say that we are no longer able to clean up the mess. UN agencies, NGOs, the Red Cross -- we no longer have the capacities and the resources to respond to such a dramatic increase in humanitarian needs."

Berasaskan kepada kenyataan ini, ABIM ingin menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan menjunjung tinggi kemuliaan insani (karamah insaniah) agar terus menzahirkan keprihatinan mereka terhadap nasib golongan pelarian sejagat. Dukungan ini berasaskan kepada nilai kemanusian dan kasih sayang sesama insan - seperti yang dianjurkan oleh seluruh agama-agama besar dunia - merentas batas sempadan kenegaraan, warna kulit, ras dan agama.

Sokongan dan dukungan daripada seluruh warga Malaysia yang prihatin secara simboliknya merupakan penolakan terhadap sebarang unsur keganasan serta kezaliman sejagat. Krisis pelarian adalah manifestasi sejagat terhadap keamanan dunia yang kita diami hari ini. Dalam situasi dunia yang diwarnai oleh konflik berpanjangan merentas benua, hampir setiap negara akan merasai dampak krisis pelarian, khususnya negara-negara yang berjiran dengan zon dilanda konflik. Malaysia tidak terkecuali.

Tragedi penemuan kubur serta kem pemerdagangan manusia di Wang Kelian seharusnya membangkitkan kesedaran warga Malaysia yang prihatin terhadap polemik pelarian di negara ini. US State Department's Trafficking In Person (TiP) report 2014, telah meletakkan Malaysia pada kedudukan tier ke-3, termasuk di bawah kategori sebuah negara yang gagal untuk memenuhi kewajipan antarabangsa yang asasi untuk menghalang aktiviti pemerdagangan manusia dan menyelamatkan mangsa-mangsa aktiviti haram ini.

Atas dasar ini, ABIM dengan tegasnya menggesa pihak kerajaan serta masyarakat untuk menolak sama sekali sindiket penyeludupan manusia serta korupsi pihak-pihak yang bersubahat bagi mengaut keuntungan lumayan dengan menindas para pelarian. Tindakan tegas pihak kerajaan terutama sekali amat penting kerana ia menggambarkan tahap sebenar komitmen negara kita terhadap kemelut kemanusiaan sejagat.

Oleh itu ABIM menggesa kerajaan Malaysia untuk menandatangani Konvensyen Berkaitan Pelarian 1951 sebagai legitimasi politik dan perundangan untuk membela nasib golongan pelarian sejagat. Akhir sekali, ABIM menyeru agar warga Malaysia membantu pelarian yang berada di negara ini melalui kempen kesedaran terhadap kemelaratan mereka, mendaftarkan diri sebagai sukarelawan dan melalui bantuan kewangan khususnya dalam memenuhi keperluan kesihatan dan pendidikan kanak-kanak dan wanita.

Mereka amat memerlukan sumbangan dan perhatian untuk “berdiri di atas kaki mereka sendiri” untuk mencorak masa depan yang lebih baik. Semoga sumbangan kecil dari individu, organisasi dan pertubuhan ini akan menjanjikan masa depan yang lebih cerah dan dunia yang lebih aman buat pelarian dan umat manusia seluruhnya. Selamat Memperingati Hari Pelarian Sedunia 2015!

MOHAMMAD RAIMI AB RAHIM, Naib Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

 

 

 

Posted by Rohingya Education Centre - REC Kuantan on Monday, 25 May 2015
Read 759 times
Rate this item
(2 votes)
Kem Dan Kubur Pendatang Di Perlis; ABIM Gesa Siasatan Terperinci & Telus Diadakan

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk penemuan 139 kubur dan 28 kem yang digunakan sebagai aktiviti pemerdagangan manusia dipercayai etnik Rohingya di Wang Kelian di sempadan Malaysia-Thailand.

Berdasarkan maklumat terkini, kem-kem tersebut yang telah wujud semenjak tahun 2013 iaitu kira-kira dua tahun lalu. Dalam keadaan di mana keprihatinan serta kemarahan rakyat Malaysia terhadap tragedi kemanusiaan ke atas umat Islam Rohingya yang masih belum reda, ABIM melahirkan keraguan sejauh mana keseriusan kerajaan Malaysia yang juga sebagai Pengerusi ASEAN bertindak untuk menyelesaikan masalah ini secara tuntas.

Sementara itu, penemuan terbaru itu juga telah menguatkan lagi dakwaan masyarakat antarabangsa bahawa Malaysia adalah antara tempat panas yang menjadi salah satu negara tertinggi dalam rekod aktiviti pemerdagangan manusia.

Sebelum ini menurut US State Department's Trafficking In Person (TiP) report 2014, Malaysia telah jatuh ke tangga tier ke-3 iaitu di bawah kategori sebuah negara yang gagal untuk memenuhi kewajipan antarabangsa yang asasi untuk menghalang aktiviti pemerdagangan manusia dan menyelamatkan mangsa-mangsa aktiviti haram ini.

Justeru, Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat perlu bertanggungjawab untuk membanteras gejala (pemerdagangan) yang keji ini. Penemuan kem-kem serta kubur ini merupakan satu tragedi kemanusiaan yang melangkaui kepentingan keselamatan serta geo-strategik di negara ini.

Atas dasar kemanusiaan, ABIM serta seluruh rakyat Malaysia menggesa satu siasatan terperinci dan telus diadakan untuk kes ini. Pihak berkuasa yang berkenaan perlu menjawab persoalan; bagaimana sebuah kem lengkap yang dipenuhi pendatang asing (dibawa oleh pihak sindiket) boleh wujud di Malaysia? Berapa ramaikah pendatang (atau pelarian) yang telah kehilangan nyawa di hadapan mata kita?

Sekiranya siasatan mendalam serta telus diadakan,tidak mustahil kemungkinan besar banyak kem-kem serupa di sempadan Malaysia-Thailand yang wujud di luar pengetahuan kita. Bukanlah suatu perkara yang mengejutkan seandainya lebih ramai nyawa yang telah terkorban.

Mengambil kesempatan ini, ABIM akan mengadakan Flash Mob “Silent Protest For Rohingya” yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada 30 Mei. Program ini merupakan himpunan aman yang diadakan sebagai tanda protes terhadap kekejaman yang berlaku ke atas umat Islam Rohingya yang dinafikan hak mereka sebagai warganegara yang bermaruah di tanah kelahiran mereka, Burma.

Atas dasar itu, kempen #citizenships4rohingya akan digerakkan secara agresif ke seluruh negara sebagai usaha advokasi mendesak kerajaan Myanmar mengiktiraf kewarganegaraan etnik Rohingya. Semoga seluruh pihak khususnya warga kepimpinan anggota ASEAN mendukung kempen ini.

AMIDI ABD MANAN, Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Read 454 times
Rate this item
(2 votes)
ABIM Pandang Berat Pembelian Sukuk 1 MDB Oleh Takaful Malaysia

Pengakuan anak syarikat TH, Takaful Malaysia Bhd membeli sukuk 1 MDB bernilai RM 985 juta adalah dirujuk. Pengakuan tersebut sekali lagi membimbangkan para pendeposit TH.

Ia merupakan satu pembelian yang penuh tanda tanya kerana masalah yang membelenggui 1MDB. Mampukah 1MDB mengotakan janjinya memberikan pulangan berserta keuntungan kepada pembeli sukuk tersebut?

Sedangkan riuh di pelbagai media, 1MDB sedang bergelut mencari penyelesaian terhadap aliran tunai bagi menjelaskan 'hutang mega' miliknya. Selain itu, pengakuan ini juga menimbulkan tanda tanya terhadap penglibatan 4 orang peneraju pengurusan TH dan peranan mereka di kedua-dua institusi ini? Apakah peranan mereka?

Sekali lagi penjelasan TH khususnya daripada Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TH, Tan Sri Ismee Ismail dituntut. Beliau perlu sedar bahawa umat Islam di Malaysia ternanti-nanti penjelasan daripada beliau. Persoalan selanjutnya adalah, adakah Pengerusi TH memejamkan mata dan menutup telinga terhadap penglibatan para pengurusan tertinggi TH di 1MDB serta urusniaga yang melibatkan keduanya?

Datuk Seri Abdul Azeez, perlu sedar bahawa hubungan yang sebegini antara TH dan 1MDB boleh meragut keyakinan para pendeposit. Ia memusnahkan reputasi TH sebagai pemegang amanah dana rakyat/ umat Islam yang mahu menunaikan rukun Islam kelima. J

ika Datuk Abdul Azeez sudah keliru dengan fungsi TH, maka itu tandanya beliau perlu mengundurkan diri sebagai Pengerusi TH. Umat Islam tidak mahu Pengerusi TH yang tidak peka dengan perkara yang boleh menimbulkan keraguan dan salah sangka.

Amidi Abd Manan, Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia

Read 513 times
Rate this item
(0 votes)
Tabung Haji Beli Hartanah 1MDB; ABIM Tuntut Siasatan & Penjelasan

Merujuk kepada berita yang disebarkan di media sosial berkaitan pembelian hartanah oleh Tabung Haji daripada 1MDB. ABIM memandang serius perkara ini. Ia boleh menjejaskan simpanan umat Islam di Malaysia yang berhajat untuk menunaikan rukun Islam kelima.

ABIM menuntut satu siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa seperti polis atau SPRM. Siasatan ini bagi memastikan kebenaran laporan yang tersebar ini.

Jika benar dakwaan ini, maka ia merupakan ulangan kepada skandal PKFZ. Tapi ia lebih buruk lagi kerana menggunakan duit tabungan bakal-bakal jamaah haji Malaysia.

Amidi Abd Manan, Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia

Read 415 times
Rate this item
(0 votes)
ABIM Pandang Berat Insiden Salib Taman Medan

Merujuk kepada insiden desakan segelintir penduduk Taman Medan, Petaling Jaya agar sebuah gereja menurunkan lambang salib. ABIM memandang berat perkara tersebut. Pada 6 Febuari lalu di Sabah, polis menerima aduan dari ibu bapa yang mendakwa anak mereka ditukar agama kepada agama Islam tanpa kebenaran mereka.

Pada 27 Mac pula Setiausaha Agung SUPP merakamkan rasa gembira atas tindakan yang dikenakan terhadap guru yang menukar agama pelajar mereka kepada agama Islam. Insiden-insiden seperti ini lahir dari pergelutan politik yang semakin sengit. Di mana ada pertelingkahan kaum atau agama, maka akan hadirlah pemimpin politik yang cuba menangguk di air keruh.

Ada yang mahu menjadi hero kononnya merekalah wira dalam membela agama. Kenyataan-kenyataan yang berbaur hasutan dan kebencian dihamburkan demi mensensasikan penglibatan kelompok yang berkepentingan ini. Orang awam terus dijadikan mangsa perebutan kuasa antara kelompok politik ini. Akhirnya wujud satu keresahan yang membantutkan penyuburan keharmonian masyarakat Malaysia yang terdiri dari pelbagai bangsa dan agama.

Adakah insiden terbaru ini merupakan babak-babak dalam plot cerita PRK bagi Parlimen Permatang Pauh dan Rompin? Atau sebagai taktik melarikan perhatian rakyat terhadap isu seperti GST dan sebagainya? ABIM menuntut agar pihak kerajaan khususnya Perdana Menteri bertindak segera meredakan keadaan. Ia selari dengan tuntutan al-Quran yang meletakkan tanggungjawab menjaga keselamatan dan keharmonian negara ke atas pemerintah.

ABIM tidak mahu perkara yang sama berlaku berulang kali iaitu, Perdana Menteri antara individu terlambat memberikan respon sehingga mencetuskan pertelingkahan dalam pelbagai bentuk di pelbagai media komunikasi. ABIM menyarankan agar masyarakat muslim menghayati fitrah kerencaman kewujudan makhluk seperti yang terkandung dalam al-Quran (49:13) yang mengkehendaki kita saling berta’aruf dan begitu juga dalam surah Saba’ (34:24-26) yang memperjelas sikap yang sewajarnya diambil oleh muslim ketika bermuamalah dengan bukan muslim.

Begitu juga dengan Surah al-Kafirun yang menjelaskan pengiktirafan Islam terhadapan kewujudan kepelbagaian agama. Jangan kita mengambil sikap yang melampaui batas kerana ia boleh merosakkan citra Islam sendiri yang dikenali sebagai agama rahmat. Tindakan yang kurang cermat ini memberikan kesan yang negatif terhadap dakwah islamiah di Malaysia. Ia menyukarkan sekali gus menyempitkan ruang dakwah hasil dari tindakan yang tidak berhemah ini. Ia juga boleh menimbulkan kekeliruan terhadap mesej islam itu sendiri.

AMIDI BIN ABDUL MANAN, Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Read 482 times
Rate this item
(0 votes)
ABIM Alu-Alukan Arahan Kabinet Siasat Insiden Salib Taman Medan

Arahan Kabinet agar PDRM menjalankan siasatan terhadap sekumpulan penduduk Taman Medan yang mendesak agar salib diturunkan adalah dirujuk. Reaksi segera pimpinan negara terhadap isu ini dialu-alukan. ABIM menyambut baik arahan tersebut kerana ia memberikan impak positif kepada kerukunan masyarakat berbilang agama dan bangsa di Malaysia.

Namun bagi menjamin profesionalisme pihak polis ABIM mendesak agar Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid bin Abu Bakar tidak terlibat dan bersikap berkecuali. Penglibatan beliau dalam kes ini boleh menimbulkan prasangka kerana abang kandung beliau Dato Abdullah Abu Bakar turut bersama dengan kelompok tersebut.

Selain itu kenyataan 'bias' beliau berkaitan insiden ini amat menggusarkan masyarakat. ABIM menggesa agar Timbalan Ketua Polis Negara Dato Sri Noor Rashid Ibrahim bertindak mengendalikan kes ini. ABIM kesal demgan kenyataan melulu Ketua Polis Negara baru-baru ini berkaitan takrifan hasutan yang diperuntukkan undang-undang boleh mengundang padah kepada keselamatan negara.

Amidi Abdul Manan, Presiden, ABIM

Read 488 times
Rate this item
(0 votes)
ABIM Kecam Serangan IS Ke Atas Kem Palestin Di Yarmouk Syria

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam serangan terkini IS ke atas Kem Pelarian Palestin di Yarmuk Syria. Menurut laporan agensi berita Al-Jazeera, seramai 2,000 orang pelarian Palestin telah pun dipindahkan dari kem tersebut yang didiami seramai 18,000 orang.

Sesungguhnya siri terkini kekejaman ini melangkaui batas pertimbangan manusiawi. Tambahan pula serangan tersebut membabitkan pelarian Palestin sebagai mangsanya. ABIM menilai peristiwa ini akan hanya memburukkan situasi geo-politik di Timur Tengah yang dibayangi pelbagai kemelut pasca-Arab Spring.

Serangan IS ke atas pelarian Palestine seharusnya menjadi “wake up call” kepada generasi muda untuk tidak terjebak ke dalam kelompok ekstremisme seperti IS. Justeru; ABIM mengharapkan kerjasama daripada warga serta organisasi media agar mengetengahkan siri kekejaman terbaru IS ini selari dengan pendirian tegas rakyat serta kerajaan Malaysia menolak IS.

Atas keadaan yang berlaku ini, ABIM menyeru seluruh warga Malaysia yang prihatin agar dapat menyalurkan sokongan serta bantuan kemanusiaan kepada warga Syria serta Palestin (di Syria) yang memerlukan.

Segala bentuk sokongan ini boleh disalurkan menerusi jaringan NGO-NGO kemanusiaan Syria seperti Gabungan Selamatkan Syria.

MOHAMAD RAIMI AB RAHIM Naib Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Read 583 times
Rate this item
(0 votes)
ABIM Gesa Tindakan Provokatif Polis dihentikan Serta Merta.

Merujuk kepada beberapa kes penahanan di bawah Akta Perhimpunan Aman dan Akta Hasutan. ABIM mengecam kaedah penahanan secara provokatif yang digunakan oleh polis. Kaedah penahanan yang dilihat melampau boleh menimbulkan rasa benci masyarakat terhadap pasukan polis.

Ia sekaligus menghilangkan rasa hormat, memandangkan mereka yang ditahan rata-ratanya adalah ahli politik dan aktivis masyarakat bukannya penjenayah berbahaya.

Tambahan pula ada kalangan mereka tanpa gagal memberikan kerjasama kepada polis bagi melakukan siasatan atau merakam perbualan. Apakah keperluan untuk mereka ditahan ditempat-tempat awam diwaktu dinihari? Apatah lagi dengan aksi ala penculik upahan profesional? Sedangkan mereka akan ke balai polis cukup dengan satu notis panggilan.

Ini membuat imej polis kelihatan bodoh, ganas dan tidak bertimbangrasa. Persepsi ini bertambah negatif apabila tindakan sebegini dilakukan secara berpilih atau secara lebih jelas hanya terhadap parti politik tertentu.

ABIM khuatir jika imej polis kembali ketika Tan Sri Abdul Rahim Noor menjadi Ketua Polis Negara yang terbabit dengan insiden mata lebam Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Usaha membaiki imej polis yang telah terjejas teruk diikhtiarkan oleh beberapa KPN selepas itu telah mula membuahkan hasil. ABIM menuntut agar Menteri Dalam Negeri campur tangan sebelum imej polis rosak secara keseluruhan.

Amidi Abd Manan, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Read 2439 times
Rate this item
(0 votes)
Page 4 of 10

Siaran Media

Isu Kelulusan Bahasa Melayu Untuk Doktor :
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kenyataan terbaharu yang dikeluarkan Timbalan Perdana ...
Syarat Lulus Bahasa Melayu :- Kementerian
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kenyataan terbaharu yang dikeluarkan Kementerian ...
Memberdaya Manusia Dengan Puasa dan Hukum
Seluruh alam menzahirkan rasa syukur dan gembira atas kedatangan bulan Ramadhan sebagai hadiah dari ...
Qatar-Gulf Crisis: Can We Rely on OIC 'Oh I See'?
By: Ahmad Shahir Abdul Aziz 1) Some may choose to see Qatar as an impediment of Gulf states' ...
Pertubuhan Pelbagai Agama Rasai Pengalaman Buka
Putrajaya: Pelbagai pertubuhan mewakili agama di negara ini berpeluang merasai pengalaman berbuka ...

#Akhbar #TV

Isu Kelulusan Bahasa Melayu Untuk Doktor :
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kenyataan terbaharu yang dikeluarkan Timbalan Perdana ...
Syarat Lulus Bahasa Melayu :- Kementerian
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kenyataan terbaharu yang dikeluarkan Kementerian ...
Memberdaya Manusia Dengan Puasa dan Hukum
Seluruh alam menzahirkan rasa syukur dan gembira atas kedatangan bulan Ramadhan sebagai hadiah dari ...
Qatar-Gulf Crisis: Can We Rely on OIC 'Oh I See'?
By: Ahmad Shahir Abdul Aziz 1) Some may choose to see Qatar as an impediment of Gulf states' ...
Pertubuhan Pelbagai Agama Rasai Pengalaman Buka
Putrajaya: Pelbagai pertubuhan mewakili agama di negara ini berpeluang merasai pengalaman berbuka ...