Minda Presiden

Published in Minda Presiden

Perutusan Maal Hijrah ABIM Featured

Oct 14, 2015 Hit: 359 Written by 
Perutusan Maal Hijrah ABIM

Tahun 1436 Hijrah telah pun berlalu meninggalkan kita. Tirai tahun baru 1437 Hijrah menuntut umat Islam untuk mengisinya dengan sebaik mungkin. Perubahan kita ke tahun baru hijrah tidak seharusnya ditanggapi menerusi perspektif peranjakan tahun semata-semata.

Hijrah mempunyai signifikasi yang amat penting dalam misi dakwah yang dibawa Rasulullah S.A.W. Atas signifikasi tersebut Khalifah Umar Ibnu Khattab mengabadikan peristiwa ini dalam kiraan kalendar umat Islam sehingga ke hari ini. Justeru banyak pengajaran penting yang perlu kita himbau sebagai rujukan serta teladan. Peristiwa Hijrah tidak akan dapat direalisasikan tanpa perancangan yang strategik dari Rasullulah S.A.W.

Perancangan teliti yang dibuat Rasulullah S.A.W membolehkan peristiwa hijrah ini terlaksana walaupun berhadapan dengan kepungan, sekatan serta buruan daripada pihak musuh. Seiring dengan perubahan masa dan zaman; umat Islam perlu sentiasa siaga dan bersedia untuk menghadapinya secara strategik serta hikmah.

Perancangan strategik adalah umpama jambatan di antara masa kini dan masa hadapan, yang membawa erti persiapan masa kini untuk menghadapi apa yang akan terjadi pada hadapan. Esensi hikmah pula memerlukan kita untuk menganalisa serta mencermati sesuatu dengan lebih mendalam. Kejayaan peristiwa hijrah juga dicapai hasil daripada perpaduan antara golongan Muhajirin dan Ansar.

 

Segalanya dimulai daripada dua persetiaan di Aqabah yang merintis kepada perdamaian Aus-Khazraj (kemudian dikenali golongan Ansar) dan kesediaan golongan Ansar menerima kehadiran golongan Muhajirin ke Madinah. Atas dasar mahabah dan perpaduan ini golongan Muhajirin dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan mereka di Madinah hasil daripada sokongan tidak berbelah bagi dari golongan Ansar. Kenyataan ini dapat direalisasikan menerusi rasa mahabbah yang membentuk ikatan ukhuwwah antara kedua golongan tersebut.

Signifikasi peristiwa hijrah juga sangat penting dalam konteks kenegaraan kerana ia menyaksikan termeterainya Sahifah (Piagam) Madinah yang menjamin hak politik setiap lapisan warga penduduk Madinah tanpa dibezakan dengan perbezaan agama mahupun kaum. Meskipun umat Islam tampil sebagai autoriti politik utama Madinah namun ruang untuk warga bukan Islam tetap mempunyai ruang untuk berpartisipasi sebagai seorang warganegara yang sama tarafnya dengan umat Islam.

Atas dasar tersebut, gejala ekstremisme ataupun sentimen perkauman (atas nama agama) yang cuba diketengahkan oleh sesetengah pihak perlu ditolak samasekali umat Islam di negara ini. Perspektif serta amalan Wasatiyyah yang merupakan asas keseimbangan utama seseorang Islam perlu dihayati dan dibudayakan dalam kehidupan seseorang.

Atas dasar merujuk kepada ibrah peristiwa hijrah yang sangat besar maknanya kepada umat Islam, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyeru seluruh umat Islam untuk mengukuhkan ikatan perpaduan atas kemaslahatan umat yang lebih utama. Golongan Mustad’ afin yang terdiri daripada golongan pelarian, miskin mahupun mangsa peperangan dan penindasan amat mendambakan pembelaan dari saudara seislam mereka terutama sekali di Malaysia.

Atas dasar ini, permulaan tahun baru hijrah 1437 adalah detik penting untuk seluruh umat Islam menyemangati semula misi Islah dan Tajdid dalam setiap perancangan serta usaha yang digerakkan oleh mereka. Salam 1 Muharram 1437 Hijrah!

MOHAMAD RAIMI AB RAHIM

Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Read 359 times
Rate this item
(1 Vote)