Minda Presiden

Published in Minda Presiden

Melayu Yang Bermaruah Mendukung Keadilan, Menolak Kezaliman Featured

Oct 04, 2015 Hit: 501 Written by 
Melayu Yang Bermaruah Mendukung Keadilan, Menolak Kezaliman

30 September 2015, Kuala Lumpur:- Islam telah membentuk bangsa Melayu menjadi bangsa yang bermaruah. Begitulah penegasan Presiden ABIM, Mohamad Raimi Ab Rahim ketika tampil sebagai panelis ketika forum Mempertahankan Maruah Melayu Anjuran Gabungan Merdeka Rakyat pada 30 September yang lalu. Antara panelis lain yang tampil ialah Prof Emeritus Tan Sri Khoo Khay Kim, YB Nurul Izzah Anwar, dan Datuk Saifuddin Abdullah.

"Menerusi Islam jatidiri Melayu dibentuk. Pandangan Sarwa Alam Islam yang mempengaruhi Psyche Melayu dizahirkan melalui bahasa. Sebagai contoh, gelaran devaraja yang dahulunya dikaitkan dengan pemerintah telah ditukar kepada istilah Sultan. Islam juga mencelikkan bangsa Melayu dengan erti keadilan dan mendorong mereka menolak kezaliman," jelas beliau ketika forum yang dianjurkan Di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur.

 

Menurut beliau sesudah bangsa Melayu memaknai erti keadilan dan menolak kezaliman maka manusia amat menghargai maruah dan kehormatan mereka. "Maruah sudah menjadi intipati penting dalam kehidupan bangsa Melayu. Banyak istilah atau perumpamaan telah dihasilkan untuk menggambarkan betapa pentingnya maruah dalam kehidupan mereka. Sebagai contoh perumpamaan menggadai maruah kerana sesuatu seakan menzahirkan ada kelompok tertentu yang sanggup menjadikan maruah mereka sebagai galang ganti untuk tujuan tertentu".

Bagaimanakah kedudukan maruah Melayu pada ketika ini? Menurut Mohamad Raimi kestabilan ekonomi serta pendapatan menjadi pertimbangan yang sangat penting di kalangan majoriti orang Melayu pada ketika ini. Kestabilan ini meliputi taraf pendapatan yang tidak memadai vs kos keperluan hidup yang sangat tinggi. "Melayu adalah bangsa yang bermaruah serta mandiri di atas kedua kaki mereka sendiri. Justeru kemandirian ekonomi sangat penting kepada orang Melayu kerana ia membentuk hitam putih psyche atau pemikiran mereka. Kegagalan memanfaatkan kesempatan di samping persekitaran ekonomi yang tidak mampan akan mencetuskan kecemburuan sosial yang boleh menjejaskan kestabilan politik sesebuah negara," ujar beliau sambil mengulas buku Amy Chua, "The World On Fire".   

 

Last modified on Monday, 05 October 2015 07:22
Read 501 times
Rate this item
(0 votes)