Minda Presiden

Published in Minda Presiden

Menghayati Perjuangan dan Pengorbanan Kekasih Allah Nabi Ibrahim 'Alaihissalam. Featured

Sep 25, 2015 Hit: 1036 Written by 
Menghayati Perjuangan dan Pengorbanan Kekasih Allah Nabi Ibrahim 'Alaihissalam.

Menghayati Perjuangan dan Pengorbanan Kekasih Allah Nabi Ibrahim 'Alaihissalam.

Kita sering mendengar kisah pengorbanan Nabi Ibrahim ‘Khalil al Allah’ dan anaknya Nabi Ismail a.s saban tahun sewaktu musim Hari Raya ‘Eidul Adha. Sesunguhnya semangat pengorbanan Nabi Ibrahim meninggalkan kesan yang amat mendalam dan memberikan inspirasi keimanan yang kekal abadi dalam coretan sejarah umat Islam.

Selayaknya martabat baginda diangkat di sisi Allah SWT dan dianugerahkan gelaran rasul Ulul ‘Azmi lantaran kejayaan menempuh ujian-ujian berat keimanan sepanjang kehidupannya menyampaikan risalah nubuwwah. Sewajarnya umat Islam yang setiap hari menyebut nama baginda dalam solat menghayati bukan sahaja kisah agung pengorbanan Nabi Ibrahim dan Ismail dengan penuh keinsafan, bahkan mempelajari seluruh dimensi dan sejarah hidupnya yang sarat dengan perjuangan.

Sejauh manakah kita mengetahui babak-babak penting perjuangan baginda sebelum tiba di bumi tandus Makkah membawa bersama-samanya Siti Hajar dan Ismail? Di manakah beliau dilahirkan dan dibesarkan bersama ayahandanya Azar, lantas memulakan misinya membanteras kejahilan dan kekufuran kaumnya menyembah berhala-berhala yang tidak berdaya itu? Masih ingatkah kita kisah yang diceritakan oleh ustaz ketika sekolah rendah dahulu tentang perjuangan Nabi Ibrahim menentang Raja Namrud yang zalim itu? Apakah kesudahannya?

Barangkali masanya sudah tiba , selari dengan semangat pengobanan Eidul Adha yang masih membara ini untuk kita kembali menggali perjalanan hidup dan sejarah perjuangan baginda, yang antara lain dinukilkan oleh Ibn Kathir dalam karya agungnya ‘al Bidayah wan Nihayah’. Bacalah kisah baginda dengan penuh penghayatan dan kutiplah segala hikmah yang ditemui di dalam episod-episod kehidupan baginda yang seluruh dan seutuhnya dipertaruhkan semata-mata demi Allah SWT, tidak untuk yang lain, hatta untuk anak yang tercinta!

Bagi yang ingin pergi lebih jauh dalam mengambil ‘ibrah (pengajaran) dari perjuangannya, jejakilah tinggalan-tinggalan sejarah yang masih berbekas hatta ke saat dan detik ini di pelbagai lokasi bersejarah dunia Islam. Benarlah pesan para ‘alim dan ahli hikmah bahawa dengan menziarahi dan melihat sendiri tinggalan sejarah itu, kesan spiritualnya jauh lebih mendalam dan kekal membekas. Ayuh belajarlah dari Nabi Ibrahim a.s erti pengorbanan, perjuangan, kesabaran, keberanian dan pengabdian setulusnya kepada Allah SWT.

II. Travelog Jejak Rasul @ Sanliurfa Alhamdulillah dengan limpah rahmatnya saya berkesempatan menziarahi tempat kelahiran bermulanya kehidupan dan perjuangan Nabi Ibrahim iaitu di tanah kelahirannya sendiri – di daerah Edessa seperti yang terakam dalam buku sejarah. Tempat bersejarah ini kini dikenali sebagai Sanliurfa di Turki. Walaupun lawatannya amat singkat di selang masa mengantar misi bantuan untuk pelarian Syria, ia memberikan pengalaman ruhaniah dan inspirasi jiwa yang cukup mengesankan.

Menyaksikan dengan mata kepala sendiri bukit di mana Nabi Ibrahim dilontar ke dalam longgokan api yang menggunung sukar dilupakan. Menurut riwayat, dua pancang yang diperbuat dari batu di puncak bukit Urfa tersebut telah digunakan oleh Raja Namrud untuk melastik Nabi Ibrahim ke unggun api besar yang pasti membakar hangus siapapun dan apapun yang dilontar ke dalamnya.

Namun seperti yang dirakamkan oleh Al Quran dalam Surah al Anbiya’ ayat 69, api tersebut tidak membakar Nabi Ibrahim bahkan menjadi dingin sehingga terkejutlah Namrud dan kuncu-kuncunya tatkala Kekasih Allah itu keluar dari puing-puing api dalam keadaan jasadnya masih dikandung badan, tidak diusik bara api walau sedikitpun.

Maka menurut cerita lisan penduduk tempatan di bandar bersejarah Urfa, unggun-unggun kayu yang tidak membakar baginda itu kemudiannya bertukar menjadi ikan-ikan unik yang rupa bentuknya saling tak tumpah seperti cebisan kayu yang terbakar hangus di dalam kolam ikan Balıklıgöl - Wallahu’alam.

Di kawasan Masjid al Halil yang berhampiran pula terletaknya gua yang dikatakan tempat lahirnya Nabi Ibrahim a.s. Di tempat tumpah darahnya inilah Nabi Ibrahim membesar sekaligus memulakan misi perjuangan menentang segala bentuk kezaliman waima kepada yang Maha Esa ataupun kezaliman sesama manusia. Ayuhlah kita belajar dari sosok Nabi Ibrahim a.s erti hikmah, kesabaran, keberanian, pengorbanan, perjuangan dan pengabdian setulusnya dan seutuhnya kepada Allah SWT.

Marilah kita bersama-sama menterjemahkan nilai dan prinsip ajaran anbiya’ yang agung ini dalam kehidupan kita yang singkat di dunia yang fana ini. Hidup perlukan pengorbanan. Berkorbanlah wahai pewaris misi anbiya' bak Nabi Ibrahim yang setia berjuang melaksanakan misi tanwiri-tahririy-taghyiriy - mencerahkan, membebaskan dan merubah masyarakatnya dari belenggu kejahilan, kegelapan, kezaliman dan penindasan ke kepada cahaya, keadilan dan pengabdian setulusnya kepada Allah. Berjuang dan berkorbanlah wahai saudaraku! Bak kata pujangga HAMKA; “Berani berubah dan berkorban, kejayaanlah ganjarannya!” Allahu Akbar! Allahu Akbar! Walillahil Hamd!

Last modified on Friday, 25 September 2015 17:34
Read 1036 times
Rate this item
(3 votes)