Minda Presiden

Published in Minda Presiden

Peralihan Jawatan Perdana Menteri & Kes Duluan (Precedent Case) Mahkamah Persekutuan 2010  Featured

Oct 10, 2020 Hit: 195 Written by 
Peralihan Jawatan Perdana Menteri & Kes Duluan (Precedent Case) Mahkamah Persekutuan 2010 

 

 

Merujuk kepada perkembangan semasa politik Malaysia, terdapat gelombang yang sedang bergerak memperlihatkan peralihan jawatan Perdana Menteri bakal berlaku tidak lama lagi. Ini susulan kenyataan yang dibuat Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) merangkap Ahli Parlimen Port Dickson Y.B Dato’ Seri Anwar Ibrahim bertarikh 23 September 2020 bahawa beliau sedang memiliki sokongan kukuh dari Ahli Parlimen untuk membentuk sebuah kerajaan baharu.

 
Desas-desus ini semakin memuncak terutama apabila beliau semalam mengumumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan untuk menerima beliau mengadap pada hari Selasa 13 Oktober 2020.
 
 
Dalam situasi desas-desus ini, timbul persoalan undang-undang dalam kalangan masyarakat iaitu sama ada tindakan YB Dato’ Seri Anwar untuk mengambil alih jawatan Perdana Menteri ini sah di sisi Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang negara? Persoalan ini disusuli beberapa senario. Pertama kedudukan Perdana Menteri semasa Y.A.B Tan Sri Muhyiddin Yassin yang masih kekal di mana beliau masih belum meletakkan jawatan. Kedua adalah, Y.B Dato’ Seri Anwar tidak membuat tindakan untuk menukar Perdana Menteri dalam Sidang Parlimen menerusi undi tidak percaya, sebaliknya terus bertemu YDPA dengan bukti dokumen sokongan yang beliau terima.
 
 
Menjawab persoalan ini, sudah pasti kes duluan (precedent) Mahkamah Persekutuan Dato’ Seri Ir Hj Mohammad Nizar Jalamuddin v Dato’ Seri Dr Zambry Abdul Kadir 2010 2 CLJ 925 amat cucuk untuk dirujuk kerana kes ini mempunyai fakta kes yang tidak jauh beza dengan persoalan yang kita bincangkan. 
 
 
 
 
 
nizar jamaludin zambry kadir
 
 
 
Selain fakta kes yang lebih kurang sama, peruntukan undang-undang yang menjadi rujukan iaitu Perkara XVI(6) Undang-undang Tubuh (Perlembagaan) Negeri Perak dan Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan adalah tidak berbeza dari sudut perkataan dan/atau maksud.
 
 
Dalam kes ini, Dato’ Seri Ir Hj Mohammad Nizar Jalamuddin adalah merupakan Menteri Besar Perak yang dilantik oleh Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Perak pada 17 Mac 2008. Walaubagaimanapun,  pada 5 Februari 2009, tiga ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang sebelum ini menyokong beliau mengisytiharkan serta memaklumkan kepada DYMM Sultan Perak bahawa mereka tidak lagi menyokong Dato’ Seri Nizar sebaliknya bersama Barisan Nasional dan menyokong Menteri Besar yang dicalonkan Barisan Nasional. 
 
 
Pada hari yang sama, Dato’ Seri Nizar telah mengadap DYMM Sultan Perak yang memohon untuk pembubaran DUN Perak tetapi telah ditolak oleh DYMM Sultan. Beliau kemudiannya diarahkan selaras dengan Perkara XVI(6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak (Perlembagaan Negeri’) oleh DYMM Sultan untuk meletak jawatan kerana beliau tidak lagi mempunyai sokongan majoriti ahli-ahli DUN. Namun, beliau tidak mematuhi arahan tersebut. Maka, pada 6 Februari 2009, DYMM Sultan telah melantik Dato’ Seri Dr Zambry (responden dalam kes ini) sebagai Menteri Besar baharu untuk menggantikan Dato’ Seri Nizar. 
 
Dalam kes ini Dato’ Seri Nizar berhujah bahawa untuk menukar Menteri Besar ia harus dibuat di dalam Sidang DUN secara rasmi. Dalam erti kata lain, sebarang pembuktian hilang sokongan ahli ADUN terhadap MB hendaklah dibuat dalam sidang DUN dan bukan menerusi jalan lain, dan bagi beliau sekiranya ia dibuat tanpa melalui sidang DUN, ini memberi tafsiran bahawa DYMM Sultan Perak telah bertindak di luar kuasa perlembagaan. Dalam masa yang sama, beliau juga berhujah bahawa kedudukan beliau masih merupakan seorang Menteri Besar Perak kerana beliau masih belum meletakkan jawatan. 
 
 
Dari hujah-hujah ini timbul isu besar yang perlu dijawab dari neraca undang-undang dan Perlembagaan. Pertama kedudukan beliau sebagai ketua eksekutif atau Menteri Besar yang masih belum meletakkan jawatan dan apakah implikasi yang berlaku sekiranya beliau enggan meletakkan jawatan? Kedua adalah isu pembuktian ketua eksekutif hilang majoriti sama ada boleh dibuat tanpa melalui sidang Dewan? Ketiga adakah menjadi kewajipan kepada ketua eksekutif untuk meletak jawatan selepas proses pembuktian hilang majoriti telah dipersembahkan kepada DYMM Sultan? 
 
 
1) Kedudukan Ketua Eksekutif yang hilang sokongan ahli Dewan
 
 
Menjawab persoalan pertama iaitu kedudukan Ketua Eksekutif atau Menteri Besar yang masih belum meletakkan jawatan apabila sudah hilang sokongan majoriti ahli dewan, Hakim Yang Arif Arifin Zakaria telah memetik Perkara XVI(6) Undang-undang Tubuh (Perlembagaan) Negeri Perak yang menyatakan:
 
The Executive Council
 
(6) If the Mentri Besar ceases to command the confidence of the majority of the members of the Legislative Assembly, then, unless at his request  His Royal Highness dissolves the Legislative Assembly, he shall tender the resignation of the Executive Council.
 
Terjemahan:
 
 
“Jika Mentri Besar tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Undangan, maka melainkan jika atas permintaannya Dewan Undangan dibubarkan oleh Duli Yang Maha Mulia, Mentri Besar hendaklah meletakkan jawatan Majlis Mesyuarat Kerajaan” 
 
 
Berdasarkan tafsiran dari Perkara XVI(6) Undang-undang Tubuh (Perlembagaan) Negeri Perak tersebut, Yang Amat Arif Hakim Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa dalam situasi di mana Menteri Besar tidak lagi mendapat sokongan majoriti anggota Dewan Undangan Negeri, dan dalam situasi DYMM Sultan menolak permohonan untuk membubarkan Dewan, maka Menteri besar tersebut hendaklah meletakkan jawatan. 
 
 
 
2) Perletakan Jawatan Ketua Eksekutif yang hilang majoriti diwajibkan undang-undang?
 
 
Dalam kes Mahkamah Persekutuan yang dibincangkan, isu yang turut dibahaskan adalah tentang kewajipan Menteri Besar meletakkan jawatan sekiranya terbukti beliau telah hilang sokongan majoriti tanpa melalui sidang Dewan.
 
 Palace of Justice Putrajaya Dec 2006 002
                                                                                                                                                                                                                           
 
 
 Mahkamah Persekutuan dalam mentafsir peruntukan Perkara XVI (6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak, menekankan tafsiran kepada perkataan “shall” yang digunakan. Mahkamah menegaskan bahawa :
 
 
 
“Atas suatu tafsiran literal Perkara XVI(6), kesan mandatori sepatutnya diberi kepada perkataan “shall” (akan- hendaklah dalam terjemahan di atas) yang dikandungi dalamnya. Oleh yang demikian, ia merupakan wajib untuk perayu (Dato’ Seri Nizar) dalam keadaan kes ini untuk meletakkan jawatan Majlis Mesyuarat Kerajaan (yang melalui definasinya termasuk MB). Oleh itu, penolakan perayu untuk meletakkan jawatan selepas diarahkan berbuat demikian oleh DYMM jelas menentang peruntukan-peruntukan nyata Perkara XVI(6).
 
 
Dalam erti kata lain, Menteri Besar atau Ketua Eksekutif wajib untuk meletakkan jawatan selepas bukti hilang sokongan telah dizahirkan kepada DYMM Sultan dan pihak DYMM Sultan berpuas hati dengan bukti-bukti yang dikemukakan.
 
 
3) Implikasi jika Ketua Eksekutif enggan letak jawatan.
 
 
 
Seterusnya Mahkamah Persekutuan membuat satu prinsip undang-undang yang jelas bahawa sekiranya beliau enggan meletakkan jawatan maka jawatan Menteri Besar tersebut adalah dianggap sudah kosong dengan sendirinya.
 
 
“Jika suatu efek mandatori tidak diberi kepada perkataan “shall”, ia akan membawa kepada ketidakpastian politik dalam Negeri. Perayu tidak boleh terus memerintah selepas kehilangan sokongan majoriti, dan untuk membenarkannya untuk berbuat demikian akan bertentangan dengan prinsip-prinsip asasi demokrasi. Oleh yang demikian, jawapan kepada soalan ketiga ialah jika MB enggan meletakkan jawatan Majlis Mesyuarat Kerajaan di bawah Perkara XVI(6), MB dan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan akan dianggap telah mengosongkan jawatan-jawatan mereka masing-masing.”
 
 
Justeru, dalam kes ini, Mahkamah Persekutuan telah mengabsahkan keputusan dari DYMM Sultan bahawa “Sekiranya YAB Dato’ Seri Ir. Mohammad Nizar bin Jamaluddin tidak meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama ahli-ahli MMK, maka jawatan Menteri Besar serta ahli-ahli MMK tersebut dianggap telah dikosongkan.”
Menoleh kembali kepada isu peralihan jawatan Perdana Menteri, Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan menjadi rujukan. Perkara tersebut menyatakan:
 
(4) If the Prime Minister ceases to command the confidence of the majority of the members of the house of Representatives, then, unless at his request the yang di-pertuan Agong dissolves parliament, the prime Minister shall tender the resignation of the Cabinet.
 
Terjemahan:
 
“Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan rakyat, maka melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan jemaah Menteri” 
 
Peruntukan dalam Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan tersebut sebenarnya tidak berbeza malah sama dari sudut perkataan dan / atau maksud dengan Perkara XVI (6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak yang dipetik di atas. Maka prinsip undang-undang dari kes duluan Mahkamah Persekutuan tersebut harus dipakai dalam kes semasa.         
                                                                                                                                                                                                                             
Dalam erti kata lain, sekiranya YAB Perdana Menteri sudah hilang sokongan majoriti dan dalam masa sama YDPA menolak permohonan membubarkan Parlimen (sekiranya ada permohonan dari YAB Perdana Menteri) maka, YAB Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan. Selanjutnya, dalam situasi ini tindakan yang diambil oleh DYMM Sultan Perak adalah suatu yang absah untuk dijadikan sandaran menyelesaikan krisis politik yang berlaku sekiranya YAB Perdana Menteri enggan untuk meletakkan jawatan.
 
Selain itu, Mahkamah juga merujuk kepada prinsip dalam kes Datuk (Datu) Amir Kahar Tun Datu Haji Mustapha v. Tun Mohd Said Keruak & 8 Ors [1995] 1 CLJ 184 yang menyatakan bahawa sekiranya dalam situasi sudah hilang majoriti akan tetapi Ketua Menteri enggan meletakkan jawatan, maka Yang di-Pertua Negeri boleh memecat Ketua Menteri:
 
"In Amir Kahar’s case the word ‘shall’ was construed to have the mandatory effect. The court said: “Under the circumstances, if the Chief Minister refuses or does not tender the resignation of the members of the Cabinet which includes himself, or if he tenders the resignation of himself alone, the fact remains that the Cabinet is dissolved on account of him losing the confidence of the majority of the members of the Assembly and it is not necessary, therefore, for the Yang di-Pertua Negeri as a last resort to remove the Chief Minister and the other members of his Cabinet.”
 
 
4) Bukti sokongan boleh di luar Dewan
 
Menjawab persoalan seterusnya berkenaan hujah Dato’ Seri Nizar bahawa pembuktian hilang sokongan majoriti wajib dibuat di dalam sidang DUN Perak, Yang Arif Hakim telah menegaskan bahawa:
 
“Tidak ada apa-apa dalam Perkara XVI(6) atau dalam mana-mana peruntukan lain Perlembagaan Negeri yang menyatakan bahawa kehilangan keyakinan dengan MB hanya boleh dibuktikan melalui undian dalam DU (Dewan Undangan Negeri). Oleh itu, keterangan kehilangan keyakinan dalam MB boleh dikumpul daripada sumber-sumber luar yang lain jika mereka telah dibuktikan dengan betul. Sumber-sumber sebegitu seharusnya menyertakan akuan oleh MB sendiri dan/atau representasi-representasi yang dibuat oleh ahli-ahli DU bahawa MB tidak lagi mempunyai sokongan majoriti ahli-ahli DU. Dalam kes semasa, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa terdapat keterangan akuan sebegitu oleh perayu sendiri dan apa yang tidak boleh dipertikaikan adalah demonstrasi sokongan oleh 31 ahli-ahli DU untuk BN, oleh yang demikian, memberikan BN majoriti jelas dalam DU. Semua ini jelas menunjukkan kehilangan keyakinan majoriti ahli-ahli DU tentang kepimpinan perayu sebagai MB. Oleh itu, jawapan kepada soalan pertama adalah berbentuk afirmatif.”
 
 
Dalam kes ini, Pengerusi Barisan Nasional ketika itu, Dato’ Seri Najib Tun Razak telah bertemu DYMM Sultan Perak bersama dokumen sokongan 31 ADUN Perak untuk menyokong calon Menteri Besar dari BN menggantikan Dato’ Seri Nizar. Dalam pertemuan tersebut DYMM Sultan Perak berpuas hati bahawa Dato’ Seri Nizar telah hilang majoriti dan meminta beliau meletakkan jawatan sebagai MB. Kes ini telah membuktikan bahawa berdasarkan tafsiran Undang-undang Tubuh Perak, pembuktian hilang majoriti tidak terhad semata-mata dibuat dalam sidang Dewan saja tetapi boleh melalui jalan lain iaitu termasuklah dikemukakan dokumen bukti-bukti secara terus kepada DYMM Sultan.
 
Kembali kepada isu persoalan di peringkat Persekutuan yang dibincangkan, prinsip undang-undang yang sama harus dijadikan sandaran kerana berdasarkan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, tiada peruntukan yang menghadkan kaedah pembuktian seorang Perdana Menteri hilang sokongan hanya melalui sidang Parlimen semata-mata.
 
 
                                                                                                                                                   parlimen malaysia                                                                                                                                                                                                                                                                                                                     
 
 
Sumber Gambar: Facebook Parlimen Malaysia.
                              
 
Maka tindakan Dato’ Seri Anwar untuk mengemukakan bukti sokongan secara terus kepada YDPA tanpa melalui sidang Parlimen adalah sah dan terpakai. Seterusnya, sekiranya YDPA berpuas hati, maka Perdana Menteri semasa dikehendaki meletakkan jawatan dan YDPA berkuasa berlandaskan peruntukan Perlembagaan dan rujukan kes duluan Mahkamah tertinggi negara ini untuk melantik Dato’ Seri Anwar sebagai Perdana Menteri yang baharu.
 
 
5) Adakah kes duluan ini Relevan untuk situasi semasa?
 
Sebagai kesimpulan dan bersesama jawapan kelima ini, seperti yang ditegaskan sebelum ini kes ini amat signifikan dan relevan untuk dijadikan sandaran bagi situasi politik yang melanda negara kini. Pertama adalah atas faktor fakta kes yang lebih kurang sama, antaranya usaha untuk membuktikan kehilangan sokongan majoriti YAB Perdana Menteri dibuat secara langsung dengan mempersembahkannya kepada YDPA tanpa menerusi sidang Parlimen.
 
 
 
Selain itu, prinsip undang-undang yang jelas merujuk kepada peruntukan yang tidak jauh beza dari sudut perkataan dan / atau maksud yang harus memberi implikasi kepada tindakan penyelesaian bagi situasi politik semasa. 
 
Muhammad Faisal Abdul Aziz
Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
Last modified on Sunday, 11 October 2020 10:38
Read 195 times
Rate this item
(1 Vote)
DMC Firewall is a Joomla Security extension!