Anggota Pentadbiran Awam
Dalam kes ini Hakim Yang Amat Arif Raja Azlan Shah menjelaskan konsep pegawai badan awam yang memiliki kuasa untuk membuat keputusan yang menjadi salah satu faktor penting pensabitan seseorang pemimpin sebagai bersalah. Kriteria ini telah dinyatakan dengan jelas dalam Seksyen 3 (a) (ii) Akta Pencegahan Rasuah 1961 [Akta 575] sebagai fakta kes yang wajib dibuktikan.
Dalam ulasan penghakiman, Hakim telah menetapkan bahawa tertuduh sebagai Menteri Besar Selangor adalah seorang pegawai badan awam iaitu Kerajaan Negeri Selangor. Dalam penghakimannya Hakim menyatakan bahawa :
“Tanpa pergi mendalam ke isu semantik undang-undang, tertuduh sebagai Menteri Besar Selangor (Selangor GN 419/69) secara jelas adalah anggota kerajaan negeri. Dalam Persekutuan, negeri mempunyai sistem kerajaan sendiri dalam batasan Perlembagaan di mana Dewan Undangan Negeri adalah mempunyai peranan tertinggi. Dewan Undangan Negeri adalah badan yang dipengaruhi Eksekutif dengan rapat atas faktor anggota Eksekutif turut menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri. Selain itu, di bawah Perlembagaan Selangor 1959, Sultan adalah merupakan Raja Berperlembagaan. Baginda adalah pihak berkuasa eksekutif untuk negeri tetapi dengan beberapa pengecualian iaitu Baginda bertindak atas nasihat Majlis Eksekutif yang Baginda lantik. Baginda melantik Menteri Besar dan melantik anggota Majlis Eksekutif atas nasihat Menteri Besar. Menteri Besar mengetuai Majlis Eksekutif menjalankan fungsi mentadbir negeri bagi pihak Sultan. Menteri Besar dibayar gaji oleh perbendeharaan Negeri, maka secara jelas jika Menteri Besar bukan anggota pentadbiran kerajaan maka saya tidak tahu apa lagi definisi Menteri Besar Selangor.”
Ulasan penghakiman ini bersamaan dengan jawatan utama di peringkat Persekutuan iaitu Perdana Menteri. Dalam Perkara 40 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi yang berikut, iaitu: (a) melantik seorang Perdana Menteri. Selain itu, Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan juga menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan ini.
Hari ini peruntukan dalam Seksyen 3 (a) (ii) Akta Pencegahan Rasuah 1961 [Akta 575] telah digantikan dengan Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (2009) [Akta 694] yang menetapkan bahawa “Mana-mana pegawai badan awam yang menggunakan jawatan atau kedudukannya untuk apa-apa suapan, sama ada bagi dirinya sendiri, saudaranya atau sekutunya, melakukan suatu kesalahan”.
Namun, isu Perdana Menteri sebagai pegawai badan awam timbul bila mana wujud kekeliruan seolah-oleh jawatan Menteri dan Perdana Menteri ini keluar dari definisi pegawai badan awam. Ini kerana jawatan Menteri boleh dibuang tanpa sebab oleh Perdana Menteri sebagai hak preragotif dan hak istimewa eksekutif berbeza dengan prosedur memecat penjawat awam sebagai pegawai badan awam yang mempunyai hak tertentu yang wajib dipatuhi dan dihormati. Sementara itu dalam Perkara 132 (3) (a) Perlembagaan Persekutuan juga menyatakan
“Perkhidmatan awam tidaklah dikira sebagai termasuk—
(a) jawatan mana-mana anggota pentadbiran di dalam Persekutuan atau sesuatu Negeri”
Mengulas lanjut, satu duluan penting kes Mahkamah tertinggi negara amat penting untuk diperhalusi. Dalam kes Tony Pua Kiam Kee v Kerajaan Malaysia [2020] 1 CLJ 337, isu yang timbul adalah sama ada Perdana Menteri boleh disaman oleh rakyat Malaysia sebagai pembayar cukai apabila melakukan kesalahan tort ‘misfeasance’ (tidak melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan) apabila Perdana Menteri waktu itu Dato’ Seri Najib didakwa melakukan kesalahan atas kapasiti penjawat awam berkaitan salah laku dana 1 MDB.
Sebagai tindak balas, Defendan Dato’ Sri Najib dan Kerajaan Malaysia mohon untuk membuang kes berkenaan di bawah Aturan O. 18 r. 19(1)(a), (b), (c) dan (d) Peraturan-Peraturan Mahkamah 2012. Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan telah membuang kes berkenaan atas beberapa sebab antaranya Dato Sri Najib sebagai Perdana Menteri bukan peawai badan awam atau individu yang memegang jawatan awam dan tidak memenuhi unsur paling penting bawah ‘tort common law’.
Namun, Mahkamah Persekutuan diketuai oleh Yang Amat Arif Tengku Maimun Tuan Mat telah membenarkan rayuan dengan mengesahkan bahawa jawatan Perdana Menteri adalah pegawai badan awam selanjutnya tidak kebal untuk diheret di bawah undang-undang tort misfeasance.
Mahkamah menegaskan Seksyen 3 Akta Prosiding Kerajaan 1956 [Akta 359] harus diberikan keutamaan dalam memberi definisi kepada terma ‘pegawai awam’. Dalam Seksyen 2 Akta berkenaan, pegawai ditafsirkan sebagai – “berkaitan dengan kerajaan termasuk individu sama ada secara tetap atau tidak berkerja dengan kerajaan, dan termasuk Menteri kepada kerajaan.”
Selain itu, dalam penghakiman, Mahkamah telah menjelaskan tujuan Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan yang dilihat membezakan penjawat awam dan anggota pentadbiran adalah untuk membentuk perkhidmatan awam yang bebas daripada pengaruh Eksekutif, iaitu, sesuatu yang akan bekerja dengan, dan bukan untuk Kerajaan. Atas faktor tersebut, Menteri-menteri dikatakan dikecualikan daripada perkhidmatan awam. Namun, Mahkamah menegaskan sementara Menteri-menteri bukan ‘pegawai awam’ bawah Perlembagaan, mereka tidak kurang daripada pemegang ‘jawatan awam’ untuk tujuan dan konteks tort misfeasance semasa menjawat jawatan awam. Ini kerana mereka memperoleh gaji daripada orang awam dan menjalankan fungsi dengan tujuan awam.
Lebih penting, dalam penghakiman Mahkamah Persekutuan dinyatakan bahawa Undang-undang Tort misfeasance berkaitan pejabat awam didirikan atas kedaulatan undang-undang, satu sudut yang amat fundamental dalam rangka Perlembagaan negara. Lantas, untuk memutuskan bahawa definisi penjawat awam atau pegawai awam di Malaysia mengecualikan anggota pentadbiran seperti Perdana Menteri, maka pihak anggota pentadbiran seperti Defendan dalam kes ini dianggap kebal, dan seterusnya boleh menyalahgunakan dana awam dan kekal bebas dari tindakan saman sivil tort misfeasence oleh pembayar cukai, maka ia bercanggah dengan doktrin kedaulatan undang-undang dan asas fundamental Perlembagaan Persekutuan.
Maka, dari duluan kes Mahkamah Persekutuan ini menjelaskan bahawa jawatan politik seperti Perdana Menteri dan Menteri tidak empunya kekebalan untuk diambil tindakan termasuk tindakan saman sivil menyalahgunakan kuasa dan dana awam seperti yang diletakkan ke atas penjawat awam biasa.
Selain itu, sekiranya jawatan pentadbiran politik ini diasingkan dari definisi penjawat awam, maka seolah-oleh berlaku gambaran bahawa mereka terkecuali dari peruntukan Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (2009).
Duluan kes ini amat penting untuk memberi pengajaran buat para pemimpin politik sama ada Perdana Menteri, anggota Jemaaah Menteri, malah Menteri Besar dan Anggota Majlis Mesyaurat Kerajaan Negeri untuk sentiasa berhati-hati dari tergelincir ke lembah penyalahgunaan kuasa, pecah amanah dan rasuah.
Muhammad Faisal Abdul Aziz
Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)