Minda Presiden

Published in Minda Presiden

Perebutan Wilayah Laut China Selatan Dari Perspektif Konvensyen dan Undang-Undang Antarabangsa & Permuafakatan ASEAN Featured

Jul 18, 2020 Hit: 162 Written by 

scs4

 

Dalam satu artikel bertajuk Governing The South China Sea: From Freedom Of the Seas To Ocean Enclosure Movements David Rosenberg (2011) menyatakan bahawa Laut China Selatan memainkan peranan penting dalam industri perkapalan khususnya sebagai ‘hub’ kepada revolusi industri Asia. Ia dapat dilihat apabila lebih dari separuh kapal perdagangan besar dunia belayar melalui Laut China Selatan setiap tahun. Ini termasuklah peranannya sebagai laluan sibuk bagi kapal tangki minyak dunia. Maka tidak hairanlah mengapa lebih dari separuh pelabuhan bagi sepuluh kontena terbaik dunia terletak di wilayah berkenaan, kerana kedudukannya yang strategik sebagai penghubung antara Lautan Pasifik dan Lautan Hindi.

Selain Laut China Selatan, Selat Melaka turut berperanan besar buat industri perkapalan dunia. Dalam laporan International Maritime Organization - IMO (2003) lebih dari 60,000 kapal belayar melalui Selat Melaka setiap tahun membawa pelbagai bahan dari bahan mentah hinggalah bahan siap dari seluruh pelusuk dunia dan 80% dari kapal yang melalui Selat Melaka setiap tahun membawa tangki minyak ke Utara Timur Asia.

Maka, menerusi kelebihan ini termasuk laluan kedua yang dimiliki Malaysia iaitu melalui Selat Melaka, Malaysia telah menjadi pintu gerbang kepada industri perkapalan dunia yang memberi manfaat buat negara. Dalam laporan Malaysia Shipping Master Plan 2017-2022 yang dikeluarkan Kementerian Pengangkutan, memetik tahun 2016 sebagai contoh telah merekodkan hasil perdagangan negara melalui perkapalan sebanyak RM 1.48 trillion.

Selain itu, Laut China Selatan kaya dengan pelbagai sumber ekonomi. Ini menyebabkan konflik boleh tercetus dengan mudah apabila terdapat sebilangan nelayan sebagai contoh yang menangkap ikan di Kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) sesebuah negara lain yang seterusnya membawa kepada perebutan Kawasan EEZ.

Kelebihan besar ini sudah pasti dicemberui oleh pelbagai pihak yang mengakibatkan ketidakstabilan wilayah Laut China Selatan. Selain dari pergelutan kuasa besar antara China dan Amerika Syarikat, kekalutan berlaku apabila terdapat aktiviti lanun yang berleluasa mengganggu aktiviti perkapalan di wilayah berkenaan. Dalam dua dekad yang lalu, dicatatkan lebih dari separuh aktiviti lanun dunia berada di Laut China Selatan. Maka, sebagai langkah pencegahan, tentera laut Malaysia, Indonesia dan Singapura telah mengambil inisiatif menggiatkan aktiviti pemantauan di wilayah berkenaan sejak 2004.

Walaubagaimanapun, isu yang lebih utama adalah perebutan yang tidak berkesudahan antara kuasa besar dunia Amerika Syarikat dan China untuk memiliki kelebihan yang wujud di wilayah berkenaan. Dari perspektif Amerika Syarikat dan Jepun, China adalah musuh utama dalam pelbagai sudut termasuk ekonomi dan geo-politik. Maka sudah pasti mereka bertungkus lumus memihak kepada negara kecil seperti Filipina untuk memastikan China tidak memonopoli perdagangan di Laut China Selatan. Maka, negara yang memiliki kepentingan perkapalan dan ketenteraan laut utama seperti Amerika Syarikat dan Jepun sering membawa naratif untuk membebaskan Laut China Selatan dari dimonopoli oleh mana-mana kuasa dunia bagi tujuan kepentingan perdagangan mereka semata-mata.

Sejarah dan Undang-Undang Antarabangsa

Namun, bagi China mereka memiliki justifikasi sebagai ‘pelindung’ kepada isu keselamatan di wilayah berkenaan. Maka tidak hairan mengapa mereka menggiatkan aktiviti 'pemantauan' dengan menggunakan kapal pengawal pantai (coast guard) di wilayah Laut China Selatan. Dari sudut konvensyen antarabangsa, sememangnya negara-negara harus menghormati hak negara lain untuk menggunakan kawasan perairan tertentu bagi laluan kapal. Ia termaktub dalam Artikel 17 UNCLOS "Right of Innocent Passage" yang menyatakan bahawa "Subject to this Convention, ships of all States, whether coastal or land-locked, enjoy the right of innocent passage through the territorial sea". Namun, Artikel 18 dan 19 telah menerangkan dengan lengkap syarat-syarat yang wajib dipatuhi. Antaranya ia tidak bersifat prejudis ke atas keamanan dan keselamatan negara yang terlibat, seperti menggunakan perairan bagi mengumpulkan maklumat pertahanan sesebuah negara dan mengacukan senjata secara terbuka bagi kapal tentera atau pengawal pantai yan terdedah kepada risiko peperangan. (Artikel 19 (b) & (c)). 

OIP9BLE39B4

 

Bermula dari hujah sejarah hingga membuat sesuatu tindakan bagi mendapat pengiktirafan antarabangsa berasaskan tafsiran undang-undang antarabangsa sendiri.

Dari aspek sejarah, China telah mengemukakan peta lama termasuk bertahun 1947 yang mendakwa bahawa Pulau Spratly dan Pulau Paracels adalah sebahagian dari China. Dakwaan ini dicabar oleh Vietnam yang menyatakan bahawa pada 1940-an China tidak pernah menuntut sebarang hak untuk kedua-dua pulau berkenaan. Malah, Vietnam mendakwa mereka telah menguasai kedua-dua pulau berkenaan secara aktif sejak kurun ke-17.

Pertembungan ini telah membawa kepada tercetusnya konflik ketenteraan antara tentera China dan tentera Vietnam Selatan. Konflik ini telah memburukkan lagi keadaan, apabila pada 19 Januari 1974, tentera China telah menembak mati 75 tentera Vietnam Selatan dan menawan 48 yang lain.

Dalam hujahan sejarah ini, China juga mendakwa bahawa dalam rekod lampau nelayan dan pelayar dari China telah menduduki dan menguasai pulau-pulau seperti Scarboroagh Shoal dan pulau lain sekitar Laut China Selatan. Namun, Tribunal Timbangtara (PCA) telah memutuskan bahawa dalam konteks sejarah, sebelum UNCLOS diwujudkan, wilayah Laut China Selatan yang melepasi kawasan perairan China adalah dalam kategori Laut Lepas (High Sea) di mana semua kapal dari mana-mana negara bebas untuk memanfaatkan laluan perairan tersebut mahupun memanfaatkannya dengan menangkap ikan.Justeru, tuntutan sembilan garis putus China dianggap tidak munasabah.

Dari aspek kedua, ia dapat dilihat khususnya menerusi pengubahsuaian pulau-pulau baharu dari asalnya adalah batuan.

Kedua-dua aspek yang digunakan China ini adalah bertujuan membawa kepada justifikasi bahawaa sembilan garis putus (nine-dash line) adalah dimiliki negara berkenaan. (rujuk gambar di atas)

Dalam Sembilan garis putus tersebut terangkum pelbagai pulau seperti Pulau Taiping (Itu Aba), Pulau Paracels, Pulau Spratlys, Pulau Huangyan / Scarborough Shoal dan lain-lain pulau kecil, yang asalnya sama ada dari pulau betul, puluhan batuan dasar (bedrock), pulau karang (atolls), tebir pasir (sandbank), dan temburu (reef).

Menurut Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS), mana-mana negara, selain memiliki Laut Wilayah sendiri berukuran 12 Batu Nautika (Artikel 3) dan Zon Bersebelahan (Contigous Zone) yang berukuran 24 Batu Nautika (Artikel 33), mereka turut memiliki hak tertentu dalam Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ – Exclusive Economic Zone) (Artikel 57) dan Pelantar Benua (Continental Shelf) yang berukuran 200 Batu Nautika (Artikel 76).

Isu hak negara dalam wilayah EEZ ini membawa kepada konflik dengan negara jiran masing-masing apabila terdapat pertindihan wilayah EEZ antara mereka. Lebih utama, konflik ini turut diiringi peruntukan dalam Artikel 121 UNCLOS yang menjadi persoalan utama kepada isu Laut China Selatan.

Artikel 121 UNCLOS menyatakan:

1. An island is a naturally formed area of land, surrounded by water, which is above water at high tide.

2. Except as provided for in paragraph 3, the territorial sea, the contiguous zone, the exclusive economic zone and the continental shelf of an island are determined in accordance with the provisions of this Convention applicable to other land territory.

3. Rocks which cannot sustain human habitation or economic life of their own shall have no exclusive economic zone or continental shelf

Dalam Artikel 121 ini, ia mengiktiraf Laut Wilayah, Zon Bersebelahan, EEZ, dan Pelantar Benua bagi sesebuah pulau sama dengan peruntukan dalam UNCLOS ini bagi ukuran perairan sesebuah negara. Ia bermakna, sekiranya terdapat sebuah pulau dalam wilayah EEZ sesebuah negara, maka negara tersebut boleh meluaskan lagi wilayah EEZ dan Pelantar Benua menjangkau 200 Batu Nautika bermula dari pulau tersebut.

Peruntukan ini telah merancakkan aktiviti pencarian pulau-pulau baharu negara-negara terlibat dengan harapan untuk meluaskan lagi wilayah zon EEZ mereka. Paling ketara adalah China hingga mereka melaksanakan aktiviti-aktiviti mengubahsuai batuan besar menjadi pulau. Walaubagaimanapun, aktiviti China ini menimbulkan isu undang-undang laut yang besar apabila ia dilihat bercanggah dengan Artikel 121 (3) seperti di atas. Dalam Artikel 121 (3) menyatakan bahawa batuan besar yang tidak dapat menampung hidupan manusia atau kehidupan ekonomi secara sendiri tidak boleh memiliki wilayah EEZ dan Pelantar Benua. Maka dalam banyak kes pengubahsuaian batu kepada pulau oleh China telah menimbulkan persoalan sama ada pulau-pulau yang telah diubahsuai itu menepati peruntukan dalam undang-undang laut khususnya Artikel 121 (3) di atas?

Kes Pulau Scarborough Shoal

 

3455

Rujukan kepada The South China Sea Arbitration (The Republic of Philippines v The People’s Republic of China) Award (12 July 2016) PCA 2013-19 amat menarik untuk ditekuni. Tribunal ini telah berlangsung secara absentia kerana pihak Responden (China) memutuskan untuk tidak mengambil bahagian. Dalam kes ini, Filipina (penuntut) menuntut bahawa pulau Scarborough Shoal dan semua “bentuk pulau” yang terangkum dalam Spartly Island dikategorikan sebagai ‘batuan’ berdasarkan Artikel 121 UNCLOS. Tribunal dalam kes ini memutuskan bahawa tuntutan Filipina adalah sah. Ini kerana hasil dari keputusan pakar hydrographic mendapati bahawa “jenis pulau” dalam pertikaian tersebut adalah di luar kategori definisi pulau yang ditetapkan dalam Artikel 121 (1) UNCLOS. Selain itu, Tribunal juga mendapati bahawa kalaupun pulau itu dianggap sebagai batuan ia termasuk dalam kategori batuan yang tidak dapat menampung hidupan manusia dan kehidupan ekonomi secara sendiri seperti disebut dalam Artikel 121 (3) UNCLOS.

Dalam kes ini, Tribunal telah membuat ulasan Panjang tentang maksud pulau seperti dalam Artikel 121 iaitu harus dinilai berasaskan keadaan semulajadinya sebelum berlaku modifikasi atau pengubahsuaian oleh manusia dan kemajuan teknologi.

Dalam pada itu, tribunal juga mentafsirkan perkataan “human habitation” merangkumi standard kualiti, yang dinilai dari kependudukan dan penetapan manusia serta standard kuantitatif yang dinilai berasaskan tempoh masa. Maka, menampung kehidupan manusia bermaksud, keadaan batuan tersebut yang mampu untuk menyokong, menjaga, menyediakan makanan, minuman dan tempat perlindungan untuk manusia untuk mereka berupaya untuk hidup di atas batuan tersebut untuk janga pasa panjang atau selamanya.

Selain itu, berkenaan terma “economic life of their own” dalam Artikel 121 (3), Tribunal telah menetapkan bahawa “of their own” bermaksud sebarang hasil yang wujud di sekeliling batuan di mana aktiviti ekonomi harus bergantung kepada kawasan sekeliling sahaja dan secara mandiri, dan bukan diimport dari sumber luar.

Lantaran, menerusi tafsiran tersebut, Tribunal telah memutuskan bahawa “jenis pulau” yang dalam pertikaian iaitu Scarborough Shoal, Johnson Reef, Cuarteron Reef, Fiery Cross Reef, Gaven Reef (North) and MecKennan Reef kesemuanya adalah batu seperti dalam Artikel 121 (3) UNCLOS yang tidak mampu menampung kehidupan manusia serta kehidupan ekonomi secara semulajadi.

Ketetapan tribunal ini berasaskan fakta bahawa tiada bukti menunjukkan sebarang aktiviti manusia di pulau-pulau ini sebelum pendudukan China pada 1988 dan kehadiran kehidupan manusia hari ini (khususnya nelayan China) adalah bergantung secara eksklusif dengan bekalan luar.

Justeru, menerusi keputusan Tribunal ini, wilayah sekitar Scarborough Shoal dan semua “bentuk pulau” yang terangkum dalam Kawasan berkenaan adalah bukan milik EEZ China mahupun Pelantar Benua. Keputusan Tribunal memberi isyarat bahawa peruntukan 121 UNCLOS jelas bertujuan untuk menghalang sebarang aktiviti meluaskan wilayah maritim sesebuah negara dengan menggunakan “bentuk pulau” yang tidak menepati kriteria sebagai sebuah pulau.

Kes Pulau Taiping / Itu Aba

itu20aba20google20maps2016x91

Selain itu, kes lain yang turut dibincangkan adalah melibatkan Pulau Taiping dan sekitar Spratly Islands. Dalam kes ini, pihak Tribunal menetapkan bahawa semua pulau di Spratly Islands termasuk Pulau Taiping tidak mampu menampung kehidupan manusia mahupun kehidupan ekonomi secara mandiri.

Dalam kes ini, Tribunal menyatakan bahawa Artikel 121(3) mengkehendaki bahawa status batu yang memiliki wilayah EEZ dan Pelantar Benua harus ditentukan berasaskan kapasiti semulajadi dan bukan pertambahan atau modifikasi yang datang dari luar.

Justeru, berasaskan kes-kes Tribunal ini, pulau yang dalam pertikaian tidak boleh memberi kelebihan kepada China untuk menambah hak maritim iaitu menjangkau 200 Batu Nautika EEZ atau Pelantar Benua.

Saluran Diplomasi & Blok Permuafakatan ASEAN

aseascs

Memahami isu undang-undang laut di bawah UNCLOS ini akan menjelaskan kita kedudukan pertembungan kuasa untuk mendominasi wilayah Laut Cina Selatan. Walaubagaimanapun, ketetapan yang dibuat oleh Tribunal antarabangsa gagal untuk dihormati oleh kerajaan China. Tindakan ini pasti memberi gambaran bahawa tindakan undang-undang seperti melalui Tribunal antarabangsa seolah tidak memberi kesan khususnya buat negara yang besar seperti China. 

Justeru, wujud keperluan untuk negara-negara di wilayah Laut China Selatan mengukuhkan diplomasi dan rundingan yang menguntungkan negara-negara yang terlibat. Walaubagaimanapun, saluran diplomasi sudah pasti tidak akan sama sekali memberi kompromi kepada kedautalan perairan sesebuah negara.

Maka dari sudut ini wujud keperluan untuk mengukuhkan permuafakatan antara negara ASEAN yang terlibat dengan perairan Laut China Selatan iaitu Malaysia, Indonesia, Brunei, Filipina, Thailand, Vietnam, Singapura dan Kemboja bagi memastikan kepentingan bersama atas nama ASEAN dapat dipertahankan. Menerusi persefahaman dan permuafakatan ini, ia dapat membawa kepada penubuhan satu blok baharu yang bersifat neutral untuk mengukuhkan kedaulatan ASEAN di wilayah Laut China Selatan berasaskan prinsip Konvensyen dan undang-undang antarabangsa dari dicemari oleh mana-mana kuasa besar sama ada China mahupun Amerika Syarikat.

Pengenalan 'code of condcut' antara ASEAN dan China adalah satu permulaan dan harus sentiasa ditambahbaik dari semasa ke semasa berasaskan laporan perkembangan di wilayah berkenaan. Ini adalah Langkah permulaan sebagai isyarat kepada kuasa besar dunia akan keseriusan kita atas nama ASEAN dalam mempertahankan kedaulatannya di Laut China Selatan.

 

Muhammad Faisal Abdul Aziz

Presiden

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Last modified on Tuesday, 21 July 2020 09:37
Read 162 times
Rate this item
(2 votes)
DMC Firewall is a Joomla Security extension!