Justeru, pemikiran reformis dalam kerangka nahdah bukanlah suatu rekayasa baharu yang bermula dari sifar tanpa sebarang asas pijakannya. Ia merupakan satu proses revisiting dan reinventing yang merupakan sebahagian dan proses muhasabah ke arah pengislahan.
Perkembangan islah dan tajdid tidak dapat dipisahkan dari proses pembaharuan pemikiran serta intelektual yang futuristik melangkaui zamannya. Maka, tidak dapat tidak, pasti akan ada golongan anak muda yang mewakili semangat zaman untuk menggalas amanah gelaran “agen perubahan masyarakat” lantas menjadikan mereka sebagai peneraju tajdidi-islahi.
Buku “Islam & Pemikiran Reformis Masa Hadapan: Mencerahkan Maqasid Yang Digelapkan” adalah sebahagian daripada manifestasi anak muda yang ingin tampil dan mencorak perubahan dalam masyarakat. Tema-tema perbincangan yang diketengahkan penulis mampu merangsang kita untuk menilai sesuatu perkara secara kritis.
Semoga penerbitan buku ini mampu merangsang penulis dan ramai lagi generasi muda untuk mencetuskan perbincangan ke arah membina gagasan pemikiran yang lebih segar untuk masa hadapan.
Mohamad Raimi Ab Rahim Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia