Minda Presiden

Published in Minda Presiden

Islam dan Masyarakat Majmuk: Ke Arah Pembinaan Bangsa Malaysia Featured

Sep 14, 2018 Hit: 86 Written by 
Islam dan Masyarakat Majmuk:  Ke Arah Pembinaan Bangsa Malaysia

Oleh Mohamad Raimi Ab Rahim, Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Kepeloporan ABIM dalam menyikap dan menuangkan gagasan Islam dalam masyarakat majmuk telah diungkapkan secara jelas dan tegas seawal 1978 lewat Muktamar ABIM ke-7:

“Keadilan yarg diperjuangkan oleh Islam ialah keadilan untuk seluruh Umat manusia kerana menurut al-Quran seluruh Umat manusia adalah satu keluarga. Hakikat sejarah telah menunjukkan bahawa Islam telah menghidupkan toleransi antara manusia, menjamin keadilan tanpa mengira bangsa dan agama serta menjamin kebebasan beragama. Berdasar kepada keyakinan inilah ABIM menyeru masyarakat Islam tanahair supaya kembali kepada ajaran Al Quran dan As Sunnah dan masyarakat bukan Islam supaya memahami bentuk masyarakat yang hendak ditegakkan oleh Islam.” – (Pengisytiharan 24 Syaaban 1398H bersempena Muktamar ABIM ke-7 pada 30 Julai 1978)

Pendirian ABIM ini telah diperkukuhkan melalui melalui Ucapan Dasar Sdr. Anwar Ibrahim, Presiden ABIM ketika itu yang telah mengangkat tema Islam – “Penyelesaian kepada Masyarakat Majmuk” pada Muktamar Sanawi ke-8. Beliau menegaskan,

“Dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia, langkah utama haruslah ke arah penghakisan aliran perkauman sempit dan cauvinisma. Persefahaman yang dicapai di antara kaum dianggap sebagai satu quid pro quo, berdasarkan prinsip tolak-ansur di antara masyarakat Melayu dan bukan Melayu. Walaupun sifatknya terbatas, akan tetapi kesepakatan yang dicapai seharusnya dilaksanakan dengan jujur tanpa mengorbankan prinsip-prinsip akhlak dan keadilan” (Ibrahim, Anwar, m/s 21).

Ternyata seruan yang dikumandangkan sejak empat dekad lalu masih relevan dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia. Bahkan kita dapati hari ini -- di sebalik riang-riuh pelbagai bentuk slogan perpaduan, kita menyaksikan bahawa polarisasi perkauman antara masyarakat Malaysia semakin jauh dan menjarak. 

Di sebalik arus kesedaran Islam yang dirasakan semakin meningkat dalam kalangan Umat Melayu, timbul kekhuatiran bahawa Islam yang sepatutnya tampil sebagai agen pembebasan: membebaskan manusia dari diskriminasi dan ketidakadilan berlandaskan kasta, ras, kelas dan perkauman; cuba dicemarkan citranya oleh para pejuang ‘asabiyyah’ yang taksub.

Ini menyebabkan Islam disalahtafsirkan seolah-olah membenarkan peremehan, penghinaan dan bersikap diskriminatif lagi tidak adil terhadap bangsa atau penganut agama lain. 

Atas tanggungjawab melanjutkan dakwah berasaskan misi pembebasan dan ‘rahmatan lil ‘alamin’, kita harus menampilkan Islam dalam wajahnya yang tulen – ‘taqdim al-Islam bi surah al Asliyyah’ ­- dalam menyikapi fenomena kemajmukan yang tampak semakin berkecamuk. Justeru sekali lagi ingin kita tegaskan, bahawa keyakinan kita sejak dahulu, bahawa Islam memiliki formula menangani persoalan kemajmukan dan pluraliti.

Dalam Syarahan Perdananya di Kuala Lumpur yang bertajuk A Muslim Century: Myth or Reality? In Search of Modern Pillars of Wisdom, Ali Al’amin Mazrui menitipkan satu pengamatan yang tajam tentang keunikan umat Melayu di Kepulauan Melayu. Kelihatannya seolah-olah Allah s.w.t menguji orang Melayu untuk menguruskan kemajmukan budaya di dalam sejarah mereka. Dengan memetik firman Allah di dalam ayat 13 Surah al Hujurat berkaitan konsep kemajmukan, beliau mengacukan persoalan mendasar,

The Malay are scattered in diverse countries, and are in power in some of those countries. They are often surrounded by other people who are not Malay. Are the Malay people being challenged by God to manage pluralism and learn the skills of democratization? Was it part of God’s grand design that the history of the Malay people has included a naturalist phase, a Buddhist phase, a Hindu phase, and finally a Muslim phase? Was this multi-religious evolution of the Malay people intended to be a preparation for future multi-cultural leadership?

Bersempena dengan gelombang baru Nahdah ini, dengan rasa tanggungjawab kita ingin menawarkan gagasan pembinaan Bangsa Malaysia sebagai penyelesaian untuk polemik ini. Membentuk kesepaduan suatu bangsa yang terdiri dari pelbagai suku dan penganut agama; sebenarnya bukanlah suatu proses yang asing dalam sejarah politik Islam. 

Dalam kaitan inilah rujukan kepada konsep pembentukan dokumen Sahifah Madinah, yang mengandungi garis-garis besar pembentukan suatu Ummah. yang mengandungi garis-garis besar pembentukan suatu Ummah yang terdiri daripada kaum Muslimin dan kaum Yahudi, seperti yang terungkap dalam Fasal 25, “wa anna Yahuda bani Áwf ummatun ma’a al-Muslimin”.

Ungkapan ‘ma’a al Muslimin’ (bersama kaum Muslimin), menurut Prof. Dr. Siddiq Fadzil, dan bukannya ‘min al Muslimin’ (sebahagian daripada kaum Muslimin); membawa implikasi bahawa masyarakat Yahudi tidak menjadi bahagian daripada ‘Ummah dinniyah’ (Umat keagamaan Islam), tetapi menjadi bahagan daripada ‘Ummah siyasiyah’ (Umat politik) Madinah, bersama-sama dengan Umat Islam.

Dalam konteks inilah, Prof. Dr. Siddiq Fadzil merumuskan bahawa kemajmukan atau istilah Arabnya yang dipakai secara meluas oleh sarjana Muslim kontemporari – at-taáddudiyyah - sebagai fakta dan kenyataan yang selamanya diterima dan diakui oleh Islam (Siddiq, 2016 m/s 48). Fenomena kemajmukan ini telah ditangani dalam bentuknya yang realisitik-pragmatik; berasaskan neraca keadilan oleh Baginda Rasulullah SAW sendiri, melalui prinsip-prinsip perlembagaan yang tercatat dalam Sahifah Madinah.

Yang terpenting, Sahifah tersebut jelas memberikan kewargenaraan penuh (al-muwatanah al-kamilah) kepada masyarakat Yahudi dengan status, hak dan tanggungawab yang sama dengan Umat Islam, dan bukannya warganegara kelas dua. Dalam kaitan ini, Muhammad Salim el-Awa menegaskan bahawa kewarganegaraan yang terhasil dari Sahifah Madinah tersebut sebenarnya bukanlah berasaskan mana-mana agama (in Kamali, 115).

Bahkan, muwatanah yang diistilahkan oleh Muhammad Hashim Kamali (2013) sebagai ‘a permanent status consisting of relationship between a person and a place that gives rise to certain rights and obligations’ itu haruslah bersandarkan kepada kesaksamaan (equality) di antara Muslim dan bukan Muslim, selari dengan konsep ‘karamah insaniyyah’ lewat firman ALLAH SWT dalam Surah 17:70: ‘wa laqad karramna bani Adam’.

Justeru, tanggungawab bersama setiap warganegara berasaskan model Sahifah Madinah terkandung dalam konsep ‘nasrah wa-taáwun’ (bantu-membantu dan berkerjasama) seperti yang dijelaskan oleh Syekh Hassan as-Saffar (in Kamali 2013),

“The constitution of Medina may be said to be the earliest authority on this. The Prophet admitted the Jews as full citizens of Medina and entitled them to assistance and protection, just as they were required also to contribute to the defence expenditures incurred by the state of Medina. All the signatories of this document were thus required also to assist the government and one another in pursuit of the stated objectives of defending Medina against outside aggression and help administering justice among its citizens.” – m/s 168 , in Kamali 2013.

Penghuraian kepada Sahifah Madinah bukanlah bermakna ABIM mencadangkan pemaikaiannya ‘in bulk’ untuk Malaysia dalam konteks hari ini. Sebaliknya, yang perlu dicontohi dan diaplikasikan ialah prinsip-prinsip universal Islam yang tertuang di dalamnya.

Last modified on Wednesday, 19 September 2018 03:53
Read 86 times
Rate this item
(0 votes)